Thursday 18 August 2011

Sila cegah Murtad segera!

Salam,

"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu mereka mencari lain daripada agama Allah? Pada hal kepadaNya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepadaNya lah mereka dikembalikan."
Surah Ali 'Imran : 83

Terkedu seketika dengan berita demi berita yang dilaporkan semakin hangat dari sehari ke sehari. Tidak lain tidak bukan isu murtad. Nauzubillah.

Teringat kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Mufti Perak, Harussani Zakaria :
"Ini bukan soal berapa ratus ribu, tetapi jika seorang pun yang murtad, ini memberi tanda bahawa umat Islam di Malaysia dalam bahaya."
Baca sini dan perhatikan bahawa ia dah diperkatakan sejak dahulu lagi. Tujuannya hanya satu, 'sila benteras dari awal.' Tapi apa yang berlaku? Kenyataannya pula dibidas dengan alasan statistik yang digunakan oleh Harussani  menimbulkan keraguan. 

Teliti sejarah berkenaan murtad sedari awal. Banyak kes yang di laporkan. Paling hangat adalah kes Lina Joy (sini). Ada yang menyokong tidak kurang juga menentang. Ramai yang mempersoalkan tindakannya itu tetapi tidak ramai yang cuba meneliti sebab kenapa berlaku begitu. Apakah metodologi yang di guna pakai oleh orang kafir ini dalam menarik mereka yang beragama Islam ini keluar dari pegangannya dan apakah juga alasan untuk 'orang islam' ini cepat sahaja terpengaruh dengan dakyah mereka.

Kini, isu murtad ini kembali kecoh. Bukan lagi disebabkan seorang dua punya kes, tetapi berlambak kes. Bila dah bilangan ramai, baru semua mula risau, semua mula bising. Kecoh sana, kecoh sini. Dulu, tidak pernah diambil berat, diambil tindakan tetapi kini? Sudah terhantuk baru nak tergadah. 

Jangan menyalahkan seratus peratus orang-orang kafir ini dalam menarik umat Islam kepada agama mereka sebab sudah terang lagi bersuluh Allah S.W.T memberi peringatan dalam firmanNya :

  "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sesekali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)"
Surah Al-Baqarah : 120

Jadi mengapa tidak kita sebagai umat Islam ini sendiri memikirkan inisiatif dalam mencegah perkara ini daripada berlaku. Tidak perlu menunding jari menuduh pihak sana pihak sini. Tetapi mulailah dari diri kita sendiri sebagai seorang yang beragama Islam. Sabda Nabi S.A.W : 
"Manakah yang utama dalam Islam? Maka jawab Nabi ialah orang yang menyelamatkan orang Islam lainnya dengan lidah dan tangannya."
Hadis riwayat Muslim

 Marilah kita sama-sama mencegah perkara ini. Sila elakkan ia daripada merebak. Bagaimana? Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Rum ayat 30 : 
"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan (turutlah terus) 'Agama Allah'. Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya lagi) untuk menerimanya ; Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Dan firmanNya lagi dalam Surah At-Taubah ayat 29 :

"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (beriman) kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan rasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar..."

Lihat pada sistem yang ada misalnya. Adakah berkesan atau tidak? Perlunya penambahbaikkan dari semasa ke semasa. Undang-undang Islam perlu didirikan. Tiada lagi undang-undang yang lebih sempurna melainkan undang-undang Islam itu. Kerana ia dicipta oleh Tuhan yang mencipta makhluk, yang mencambahkan ilmu, yang memberi penghidupan dan mematikan. Jadi masih adakah selayaknya dari Nya lagi? La ila ha ilallah 

Peringatan untuk kita. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 217 :

"...dan sesiapa diantara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (yakni Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya) ."

Nauzubillah hi min zalik. 
"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam."
Surah Ali 'Imran : 19

"Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah."
Surah Al-Fussilat : 33

Ya Allah, semoga hidayah dan rahmatMu sentiasa bersama-sama kami. 

"Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya."

Surah Al-A'raf : 56

Wallahualam...




Tuesday 16 August 2011

Bingkisan Ramadhan

Kali ini Ramadhan datang lagi kepada kita
datangnya seperti selalu
dengan seribu satu rahmat dan berkat dari Yang Esa
untuk hambaNya yg tidak leka dengan kelebihannya

Namun perhatikanlah umatku...

datangnya awal Ramadhan
ingatannya maju terus kehadapan kepada awal Syawal
ingatannya segar untuk persediaan awal Syawal
resepi-resepi untuk raya ditonton asyik sekali di tv
lupanya dia, alpanya dia nikmat diberi peluang
bersama Ramadhan
bukankah Ramadhan bulan untuk perbanyak amal ibadat?
tapi mengapa otakmu ligat berfikir ttg baju
raya,kuih raya dan beraya?

Perhatikanlah umatku itu...
dia tahu bahawa Ramadhan hanya sekali sahaja dalam setahun
dia tahu Ramadhan, pahala nya berganda-ganda dari bulan lain
namun, apakah gerangannya ibadat masih sama seperti bulan lain?
mengapa masih terkejar-kejar dunia yg sekelumit itu?

Perhatikanlah umatku itu...
Dia tak pernah lupa untuk berpuasa
dari subuh sampai maghrib,sanggup dia berlapar dan berhaus
tapi, puasanya hanya berlapar dahaga sahaja
seperti kata Nabiku dulu
sayang sekali puasanya bukanlah ubat kepada virus dalam hatinya itu
virus mengumpat,dengki,bohong,r iya'....tak hilang tak luntur dengan puasanya
puasanya sia-sia disisi Yang Esa..

Ramadhan datang
umatku tahu dimana Syaitan Iblis diwaktu itu patutnya terasa mudah
senang dan ringan beribadat
kerana musuh utama sudah dirantai dibelenggu
tapi mengapa masih seperti biasa?
Puasa seperti tidak berpuasa,maksiat masih menjadi rutin,solat masih berat....
mengapa?

Perhatikanlah umatku itu...
gembira dia bila datangnya Ramadhan
seronok dia berpuasa..
rupanya Ramadhan adalah pesta makanan
baginya
dua jam sebelum berbuka,dia mesti di pasar Ramadhan
membeli itu dan ini untuk juadah berbuka nanti
seharian berpuasa bagai mahu ditebus dgn
sekali berbuka
rupanya Ramadhan juga ditunggu-tunggu untuk membeli belah
banyak jualan murah
potongan harga disana,potongan disini..
dalam kepala ingat shopping..baju raya,kuih raya,langsir raya..
setahun sekali katanya..apa salahnya?
tapi mengapa tidak praktikkan 'setahun sekali' itu untuk tuntutan Ramadhan?

Lihatlah umatku itu....
berduyun-duyun ke Masjid menunaikan Tarawikh
seperti suatu pesta ramainya baik lelaki mahupun perempuan
kalau boleh setiap malam, dia nak bertarawikh masjid yang berbeza
ada yang buat 8 ada yang buat 20...
namun terkesankah dihati mereka tujuan tarawikh 30 mlm itu?
di manakah mereka semasa rukuk,sujud..
didalam tarawikh itu atau luar sana?
adakah ia ibadat atau sekadar adat menyambut Ramadhan ?
tepuk dada,tanya iman...

Lihatlah umatku itu....
Bila Ramadhan bertamu
bersemangat mereka menuju ke masjid setiap kali azan solat fardhu
solat subuh yg tak penuh satu saf pada hari biasa boleh penuh satu masjid
hebatnya umatku ,masjid yg cuma penuh pada hari Jumaat sahaja,
menjadi penuh dengan manusia pada hari-hari Ramadhan
tapi...dimanakah umatku ini selepas Ramadhan?
Masjid mulai kosong, solat subuh menjadi satu saf kembali...
dimanakah kesan latihan diBulan Mulia itu?

Lihat umatku itu....
Ramadhan ialah bulan yg Mulia dan dijanjikan banyak pahala..
katanya ingin perbanyakkan membaca al-Quran
azamnya nak khatam satu al-Quran dalam Ramadhan
setiap hari dia mewajibkan dirinya menghabiskan bacaan satu juzu'
tapi.... bila berlalu Ramadhan..
al-Quran mula diletakkan dalam almari sebagai hiasan.
al-Quran mula menjadi tempat habuk dan debu bertandang
untuk Ramadhan sajakah al-Quran?
untuk kematian saja kah al-Quran?

Lihat umatku itu
semakin hampir Ramadhan kepada Syawal,
semakin sedikit masa Ramadhan yg ada dengan mereka
semakin rancak mereka bersiap sedia untuk menyambut syawal
Rendang,ketupat,langsir raya,baju raya semua dihitung-hitung cukup ke tidak
lupakah umatku itu dimana Nabiku dan
sahabatnya dikala 10 mlm terakhir Ramadhan?
tidakkah mereka tahu bezakan antara Lailatul Qadar dengan seisi dunia ini?
cukupkah sudah pahala yg dibuat sehingga
malas mencari satu malam yg lebih baik dari seribu bulan itu?"

*Credit to permatahatiku 

Friday 5 August 2011

Puas hati atau Panas hati?

Salam,

Apabila diberi tugasan sesuatu yang bukan dalam bidang kita. Bagaimanakah kita mahu menjadikan ia sesuatu yang puas hati penghasilannya? Kadang-kadang, apabila ia tidak menepati piawaian yang diberikan, boleh jadi panas hati pula. Bukan panas disebabkan teguran tetapi disebabkan kegagalan kita untuk mencapai tahap itu.

Persoalan di sini, mengapa mesti menerima tugasan itu? Well, sometimes timbul rasa mahu menolong, ada juga rasa mahu mencuba dan mungkin lebih inginkan pengalaman. Because, bila everthing dah settle, Wow! terasa kepuasannya di situ. Tetapi sejauh mana rasa kepuasan itu dapat dirasa apabila kepanasan mula menjelma.

Mula pening bukan?! Sebenarnya manusia ini dilahirkan dengan banyak pilihan. Samada dia mahukan itu atau ini. Tapi perkara ini mula timbul permasalahan apabila muncul sifat tamak manusia yang mahukan semua tanpa memikirkan diri samada mampu atau tidak. Dari situ barulah timbul isu kepanasan hati. Mula merungut itu dan ini. Mula merasa betapa terbebannya dengan tugasan tanpa menilai kemampuan diri. Banyak faktor, banyak sebab, banyak penyebab dan kemudian akibat. 

Bukan senang nak buat orang puas hati dengan tugasan yang dilakukan. Jadi dalam menjalankan sesuatu tugasan, perlunya komitmen 100% dan lakukan ia dengan keikhlasan. Barulah kita dan dia sama-sama berpuas hati dengan hasilnya. Tetapi tidak ramai yang dapat melakukannya dengan baik. 

Adakalanya saya terfikir,
"Saya berpuas hati dapat menolong orang yang inginkan pertolongan, tetapi adakah orang itu puas hati dengan hasil yang diberikan?"

Dan saya harapkan jawapan yang diberikan adalah positif dan membina. Mungkin dari situ kita dapat melihat kekurangan, kelemahan, kepincangan yang ada untuk kita perbaiki dari semasa ke semasa. Ameen...~


Wallahualam..


Besarnya Tanggungjawab

Salam,

"Apa yang paling berat di dunia ini?"

Kata Imam Ghazali adalah "memegang AMANAH" seperti firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 72 :
"Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya".

Apabila kita telah diberi tanggungjawab yang besar seperti memegang jawatan dalam sesebuah organisasi, jadi jangan mempersoalkan mengapa dipilih tetapi persoalkan apa tanggungjawab yang anda boleh lakukan. Kita memang bukan yang sempurna sebab itu manusia diberi tanggungjawab untuk berdakwah supaya saling ingat mengingati. Walaupun anda bukan dikalangan orang yang terpilih dalam memegang jawatan apa-apa sekalipun, anda juga turut bertanggungjawab dalam menyebarkan dakwah, cuma dalam konteks ni ia agak berlainan peranannya. Jadi mainkan peranan anda sebaik mungkin. Jadikan medium 'jawatan' anda sebagai salah satu medium untuk anda menyebarkan dakwah dengan lebih berkesan. Jangan ambil peduli dengan kata-kata orang yang ingin merendah-rendahkan diri kita tetapi terima kata-kata mereka sebagai satu cabaran untuk kita mengubah diri kita menjadi lebih baik. Kenapa tidak anda jadikan 'jawatan' itu sebagai satu instrumen ke arah pengubahan diri yang lebih baik? Tetapi walau bagaimanapun, perlulah beristiqamah agar diri anda sentiasa dirahmati olehNya..

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 : 
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

Jadi, pikullah tanggungjawab itu dengan sebaiknya dan jadikan ia sebagai satu alasan untuk anda mengubah diri anda ke arah kebaikan kerana manusia selalunya tidak akan mengubah diri mereka sehingga ada perkara yang membuatkan mereka berubah.

Berkata Saidina Abu Bakar as-siddiq kepada Sahabat, 
"Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu tetapi aku bukanlah orang yang paling baik dikalangan kalian, maka berilah pertolongan kepada aku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutlah aku tetapi jika aku salah maka tegurlah aku."

Melihat dari kata-kata Saidina Abu Bakar ini dapat kita lihat betapa pentingnya kritikan dalam sesebuah kepimpinan kerana dengan kritikan inilah dapat membuat kita berfikir akan kekurangan dan keterlepasan perkara yang mungkin kita tidak pernah terfikir mengenainya. Kritikan yang membina dapat membantu mengubah diri menjadi lebih baik manakala kritikan menjatuhkan dapat membantu kita lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Pemikiran mestilah positif.

Jangan sesekali merasakan apa yang kita lakukan adalah terbaik untuk semua kerana lain manusia lain kehendak. Jadi mungkin kita rasa itu adalah yang terbaik tetapi tidak bagi sesetengah pihak. Sebab itulah perlunya kita dalam mendengar pandangan dan kritikan dari orang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Baqarah ayat 216 :  
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu,Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Sesungguhnya manusia adalah tidak sempurna dan memerlukan bantuan daripada yang lain untuk menjadikan mereka sempurna. Seperti kata Ibn Khaldun, 
"Manusia adalah lemah jadi kerana itu perlunya masyarakat untuk saling tolong menolong.."

Akhir kata, ingatlah bahawa setapak ke alam perjuangan bererti selamanya dalam kepahitan, kemanisan hanya terasa bila takbir dilaungkan, roh jihad mula bertebaran, mendakap ukhwah dalam kejauhan, jannah bertapak dihati insan, hidup dan mati diiringi iman, hebatnya sebuah keakraban, andai dibasahi embun perjuangan, salam setinggi ukhuwah sekencang dakwah.
Wallahualam...

Memilih Kawan?

Salam,

Kawan memang memainkan peranan dalam mempengaruhi kehidupan seseorang kerana kawan merupakan salah satu agen sosialisasi. Tapi perlu diingatkan bahawa kawan hanya mempengaruhi tetapi bukan penentu kita dipengaruhi. Mempengaruhi dan terpengaruh ini depend pada diri kita samada kita mahu mempengaruhi atau dipengaruhi. Ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi, maka kita akan terlekat wangiaannya berbanding berkawan dengan penjual ikan, maka bauannya akan melekat pada diri kita. Jadi semuanya terletak ditangan anda samada mahu berkawan dengan penjual minyak wangi atau penjual ikan. 

Apa-apa pun tidak semestinya berkawan dengan orang yang 'tidak baik' itu tidak boleh. Kita boleh berkawan dengan sesiapa yang kita mahu, kerana penentunya adalah hati kita sendiri. Jika kita berkawan dengan perompak sekali pun adakah kita juga perlu menjadi perompak? Tentu tidak bukan kalau kita tahu yang mana satu yang betul dan yang mana satu yang salah. Jadi, jika dalaman kita kuat, percayalah datanglah kawan yang macamana sekalipun, kita tidak akan dipengaruhi malah kita yang akan mempengaruhi.

Di sini saya kongsikan mengenai Wasiat ‘Alqamah kepada puteranya : 
“Hai anakku, jika engkau merasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka pilihlah yang mempunyai sifat-sifat ini"

1. Jika engkau melayaninya dia suka melindungimu, jika engkau bersahabat dengannya, dia merupakan hiasan bagi dirimu, dan jika engakau dalam kekurangan, dia gemar pula mencukupinya.

2. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberi bantuan, lalu dia suka menerima dengan rasa terharu, jika dia melihat keistimewaan yang timbul darimu, dia suka menghitung-hitungnya dan dianggapnya sangat berguna. Sedang jikalau dia mengetahui keburukkan dari dirimu lalu dia suka menutupinya.

3. Pilihlah sahabat yang jika engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti dia memberi. Jika engkau diam dia mula menyapamu dahulu dan jika ada sesuatu kesukaran serta kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu untuk meringankan dan menghiburkan dirimu.

4. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau berkata-kata, dia suka membenarkan ucapanmu dan bukan selalu mempercayainya sahaja, jika engkau mengusahakan satu persoalan yang berat, dia suka berkawan denganmu serta berusaha menolongmu, sedang jika engkau berselisih dengannya, dia suka sekali mengalah untuk kepentinganmu.

Apa-apa pun, segalanya terletak ditangan anda dalam menentukan semuanya. Ingatlah Allah menjadikan akal kepada manusia untuk berfikir bukan sahaja mengenai kejadian alam tetapi juga untuk menolong manusia membezakan baik & buruk...insyaallah semoga segala yang kita lakukan akan diberkati Allah. Pandulah akal dengan hati bukan nafsu. Wallahualam... 


Tegurlah jika ia membawa kepada kebaikan

Salam...

Dakwah adalah bermaksud menyampaikan atau dalam erti kata lain menegur ke arah kebaikan. Apa-apa sahaja yang kamu sampaikan yang membawa kepada kebaikan juga dikira berdakwah. Iaitu memberi atau menyampaikan peringatan kepada yang terleka. Maka dengan ini ia menjadi tanggungjawab kepada semua umat manusia. 

Tidak salah untuk kita menegur dan ditegur. Sentiasalah berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan.

Fahamilah disebalik perbuatannya itu mengapa begitu dan kenapa begini sebelum menegur. Gunakan sebab begini dan begitu dengan cara menegur yang sesuai metodnya.

Sekali tegur cukuplah untuk peringatan. Teguran kedua untuk memperingatkan dan teguran seterusnya agar teringat. Menegur, bukan suatu perkara mudah dan ditegur juga bukan suatu perkara yang senang diterima.
Cuba jadi diri kita bila ditegur, rasanya tidak semua orang akan suka akan hakikat ditegur. Tapi telah menjadi kewajipan semua orang untuk menegur dan kita tidak boleh lari dari tanggungjawab ini. Maka perlunya menegur sekadar yang kita boleh lakukan. Jangan meletak teguran kita itu untuk mengubah dirinya tetapi anggaplah teguran itu sekadar satu peringatan pada yang terleka, terlupa mengenai sesuatu.

Lihat kepada isi teguran itu, bukan kepada orang yang menegur. Jikalau teguran yang diberikan itu adalah untuk kebaikan, kenapa tidak kita ikutinya? Tidak perlulah membandingkan tegurannya itu dengan dirinya. Perkara itu, biarlah Tuhan yang tentukan. Sekurang-kurangnya dia telah berkongsi sesuatu yang memberi kebaikan kepada kita bukan merugikan. Jadi janganlah timbul isu "Cakap tidak serupa bikin" kerana manusia ini tidak ada yang sempurna. Kerana itulah kita dipertanggungjawabkan untuk saling memberi peringatan dan saling menasihati. 

"Kita ini tidak sempurna, jadilah tidak payahlah nak menegur orang lain. Baiki diri itu dulu!" Ayat seperti ini seringkali kita dengar dari mulut kebanyakan orang. Tidak ada salahnya dari segi penuturan 'Kita tidak sempurna' kerana manusia memang tiada yang sempurna. Jadi, adakah itu boleh dijadikan alasan untuk kita tidak mahu menegur? Adakah mahu menunggu manusia yang sempurna barulah boleh menegur? Persoalan di sini, adakah ada manusia yang sempurna? Kalau begitu kenyataannya, masihkah lagi kita mengelak dari memikul tanggungjawab menegur itu?

Nabi s.a.w juga dijadikan oleh Allah sebagai penyampai peringatan kepada manusia untuk menyedarkan mereka akan kealpaan tetapi Nabi bukan pengubah hakikat hidup manusia kerana itu semua kerja Allah. Kerana tugas seorang Rasul adalah penyampai peringatan. 

Jadi perlu diingatkan kita perlu menegur tetapi yang mahu mengubah adalah dirinya sendiri. Jika ditegur masih tidak mahu berubah maka terserah pada diri mereka. Kita sekadar memperingatkan tapi perlu juga diingatkan jangan berputus asa. Jadi tegurlah selagi mana kita boleh menegur. Insyaallah berkat usaha kita, Allah pasti akan memudahkan caranya. Maka mohonlah pada Allah kerana Dialah penentu segalanya. Wallahualam...

 

Salam Ramadhan

Salam,

Sudah 5 hari Ramadhan berlalu...tinggal hanya 25 hari lagi untuk sama-sama mengejar serta memperolehi rahmat yang berlipat kali ganda. Seperti Sabda Nabi Muhammad s.a.w : 

“Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka.”

Jadi, betapa besarnya rahmat pada bulan Ramadhan ini. Cuba tanya pada diri sendiri, adakah sepanjang berlalunya tempoh 5 hari ini, amat membanggakan diri kita atau hanya sekadar melaksanakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sahaja?

Tidak mahukah kita sama-sama beroleh keuntungan yang besar dalam tempoh masa sebulan ini atau kita hanya sekadar mengejar malam lailatul qadar yang tidak kita ketahui bila masa ketibaannya.

Tidak ada ruginya jikalau tiap-tiap malam kita menghabiskan sepermalam kita dengan mengadakan 'dating' bersama Yang Maha Esa. Malah, kitalah paling beruntung kerana 'dating' di malam hari itu amat sunyi dan cukuplah hanya ada kita dan Dia yang Maha Melihat. Tidak akan ada makhluk lain yang berani menganggu. Tidak akan kedengaran Pegawai Pencegah Maksiat mengetuk pintu rumah anda. Malah tiada apa-apa lagi yang boleh mengugat pemerhatian kita pada 'kekasih' yang kita dambakan kasihNya. Maka, di manakah ruginya kita?

Masa tidur tidak akan terganggu jika kita komited pada setiap detik yang berlangsung. Seeloknya selepas Tarawikh, bolehlah kita melelapkan mata sekejap sekadar untuk merehatkan fizikal dan mental untuk seketika. Tidak perlulah dibuang masa dengan berborak sehingga larut malam atau menonton rancangan televisyen yang melekakan. Perlu diingatkan, masa pada bulan Ramadhan adalah terhad di malam harinya. Jika kita tidak dapat mengawal masa yang bergerak, maka kita yang akan dikawal olehnya.  

Sepertimana firman Allah s.w.t : 
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."
(Surah Al-'Ashr  : 103 ; 1-3)

Jadi, amat rugilah manusia yang tidak memanfaatkan waktunya untuk berbakti. Maka, masih rugikah lagi kita? Marilah sama-sama kita renungkan bersama. Wallahualam...~