Saturday 24 September 2011

Apa itu Hukum Hudud?

Hukum Hudud ertinya hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam Al Quran dan Hadis kadar hukumannya (seksaannya) ke atas kesalahan-kesalahan jenayah tertentu, yang tidak dibolehkan manusia mengubah, menokok atau mengurangkannya. 
Contoh : Hukum potong tangan kepada pencuri, hukuman sebat kepada pembuat fitnah, hukuman rotan 80 kali kepada peminum arak, hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang sudah pernah berkahwin dan rotan 100 kali kepada penzina yang belum kahwin, dll.
Hukum Ta'zir ialah hukuman ke atas kesalahan jenayah yang tidak ditetapkan kadar seksanya oleh Allah s.w.t. Allah hanya memulangkannya kepada kebijaksanaan tuan hakim untuk menetapkannya. Dengan syarat pesalah diberi malu sepadan dengan kesalahan yang dilakukan.
Manakala hukuman qisas iaitu membunuh dibalas bunuh, luka dibalas luka, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, pemberian maaf oleh pihak yang dizalimi boleh diterima mahkamah dalam perkara ini.

Demikianlah erti hukum jenayah Islam itu, bahkan kesalahan-kesalahan yang sudah ditetapkan hukuman itu pun, jika tidak cukup syarat untuk dilaksanakan hudud ke atasnya, maka ia dikenakan hukum ta'zir atau terus dibuang kes.
Baca lebih lanjut di sini 

Untuk lebih kefahaman, sila baca dengan lebih teliti dan fahami dengan betul


Pengertian Hudud :
 
(a) Dari segi bahasa hudud bererti menahan atau mencegàh.
(b) Dari segi segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan AsSunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah S.W.T. Kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah.
Maksudnya;
“Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh itu janganlah kamu mencabulnya, dan sesiapa yang mencabuli hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”
Jenis-jenis jenayah hudud dan hukumannya

(a) Zina;
Persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan.
Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.

(b) Qazaf (menuduh zina);
Melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik.
Hukuman : sebat 80 kali

(c) Minum arak;
Meminum minuman yang memabukkan dan boleh menghilangkan kewarasan akal.
Hukuman : sebat 40 kali

(d) Mencuri;
Mengambil harta orang lain secara senyap atau sembunyi.
Hukuman : potong tangan

(e) Merompak;
Mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman.
Hukuman :
sekiranya membunuh hendaklah dibunuh, sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara

(f) Riddah (murtad);
Keluar seseorang Islam itu dan agama Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan.
Hukuman : Bunuh ( setelah diberi tempoh bertaubat selama 3 hari @ 3 kali )
# Semua jenayah hudud yang telah sabit kesalahannya wajib dikenakan hukuman hudud tanpa sebarang pengurangan @ pindahan kepada hukuman yang lain spt penjara @ wang.



Pengertian Qisas 

(a) Dari segi bahasa qisas bermaksud memotong.
(b) Dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas A1-Quran dan Hadis-hadis Nabi saw. kerana kesalahan­-kesalahan yang melibatkan hak individu.

2. Jenis jenayah qisas;

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan 
anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

3. Hukuman terhadap kesalahan qisas;

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.
Maksudnya;
“Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya” 
(Surah al-Maidah ayat 45)
 

Pengertian Diat
 
Diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas.

Kadar Diat 

Kadar diat adalah dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai ketika itu.Kadar penuh diat ialah 100 ekor unta. Walau bagaimanapun, para ulama' berpendapat boleh mengantikan 100 ekor unta dengan harta yang senilai dengannya pada masa tersebut. Di antaranya ialah;
 a) wang emas = 1000 dinar
 b) wang perak = 10,000 - 12,000 dirham
 c) lembu = 200 ekor
 d) kambing = 2000 ekor
 e) Persalinan = 200 persalinan lengkap

1. Diat jenayah membunuh.
 
i. Pembunuhan sengaja - 100 ekor unta secara terus (tanpa tangguh) yang terdiri drp ;
    a) 30 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)
    b) 30 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)
    c) 40 ekor Hulqah
# Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas atau diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qishas bunuh dikenakan. 

ii. Pembunuhan separuh sengaja - 100 ekor unta spt di atas tetapi bayaran boleh ditangguhkan sehingga 3 tahun.

iii. Pembunuhan tidak sengaja - 100 ekor unta dan ditangguhkan sehingga 3 tahun yang terdiri drp ;
a) 20 ekor Juz'ah (unta berumur 5 tahun)
b) 20 ekor Hiqqah (unta berumur 4 tahun)
c) 20 ekor Bintu Labun (unta betina berumur 3 tahun)
d) 20 ekor Ibnu Labun (unta berumur 3 tahun)
e) 20 ekor Bintu Mukhad (unta betina berumur 2 tahun)
# Hukuman bagi jenayah Pembunuhan separuh sengaja dan Pembunuhan Tidak Sengaja adalah Diat sahaja. Qisas tidak dikenakan.
* Diat perempuan 1/2 drp diat lelaki
* Diat hamba 1/2 drp diat merdeka

# Pembunuhan Sengaja ialah membunuh dengan niat.
# Pembunuhan Separuh Sengaja ialah spt seorang memukul orang dengan tongkat @ melempar dengan batu kelikir, tanpa disangka-sangka terus mati orang tersebut. (tanpa niat membunuhnya)
# Pembunuhan Tidak Sengaja ialah spt seorang yang tertembak rakannya yang disangkanya binatang buruan.
# Bagi jenayah membunuh, pembunuh hanya boleh diampunkan oleh warisnya sahaja. Pemerintah tidak ada kuasa dlm pengampunan.

2. Diat jenayah mencederakan anggota

i. 100 ekor unta untuk anggota tunggal spt terputusnya lidah, hilang akal, menyebabkan lumpuh seluruh anggota badan dan hilang keupayaan bersetubuh.
ii. 50 ekor unta untuk anggota yang berpasangan, jika kedua-duanya terlibat maka diatnya 100 unta. Ia melibatkan salah satu drp kaki atau tangan, mata dan telinga.
iii. 33 ekor unta untuk luka al-Ja'ifah (luka hingga ke dlm bhg otak)
iv. 33 ekor unta untuk luka Al-Ma'muumah ( luka yang sampai ke selaput kepala)
v. 25 ekor unta untuk anggota yang 4 bahagian (pasang) spt kelopak mata. Setiap satu kelopak mewakili 25 unta.
vi. 10 ekor unta untuk luka Al-Hasyimah (luka yang memecah @ mematahkan tulang)
vii. 15 ekor unta untuk luka Al-Munqilah (luka yang sampai ke tulang dan mematahkannya sehingga tergeser dari tempatnya).
viii.10 ekor unta untuk anggota yang ada 10 bahagian spt jari tangan dan jari kiri. Setiap satu jari jika patah mewakili 10 ekor unta.
viiii. 5 ekor unta untuk luka Mudhihah @ Muwadhdhohah (luka yang menampakkan tulang)


Pengertian Ta'zir

(a) Dari segi bahasa ta’zir bererti menolak atau menghalang.
(b) Dari segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam Al-Quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya, tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.

Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategoni ta’zir; 

(a) Kesalahan-kesalahan hudud atau qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas.
(b) Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab dan sebagainya.
(c) Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.

Hukuman bagi kesalahan ta’zir.

(a) Nasihat;
Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.

(b) Teguran;
Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

(c) Ancaman;
Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.

(d) Pemulauan;
Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersempit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.

(e) Perisytiharan umum;
Membuat pengisytiharan kepada umum terhadapkesalahan penjenayah. Dengannya penjenayah berasa tertekan dan malu yang amat sangat.

(f) Denda dan merampas harta;
Iaitu hukuman ta ‘zir dengan denda berbentuk kewangan dan merampas harta yang dimiliki oieh penjenayah.

(g) Penjara;
Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut pertimbangan realiti smasa.

(h) Sebat;
Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu mengikut reaiiti semasa.

(i) Bunuh;
Hukuman bunuh bagi kesalahan ta’zir dibenarkan oleh syarak bagi menjaga kemaslahatan umum masyarakat.

(j) Buang daerah;
Hukuman ini dikenakan supaya penjenayah berasa tertekan, mengalami kesusahan dan tersisih akibat dipisahkan dari kaum keluarga dan sahabat handai.


Matlamat Hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir

(a) untuk melindung masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum ia berlaku.

(b) untuk memperbaiki penjenayah dan membetulkan penyelewengan. Ini dapat dilihat daripada kesan yang ditinggalkan oleh hukuman ke atas penjenayah yang memberi pengajaran, memperbaiki dan menghalang seseorang daripada melakukan jenayah.

(c) untuk membersih dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.


Peranan undang-undang jenayah Islam mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat

(a) Undang-undang jenayah Islam menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama. Misalnya orang yang membunuh dihukum bunuh balas. Ini menyebabkan warisnya berpuas hati dan hilang perasaan dendam.

(b) Hukuman jenayah Islam yang kemas dan tegas menyebabkan penjenayah dan orang ramai takut dan gerun untuk mengulangi jenayah. Akhirnya kehidupan masyarakat aman dan sejahtera.

(c) Hukuman jenayah Islam men­gandungi unsur-unsur pendidikan kepada penjenayah dan orang ramai. Hukuman yang dikenakan mendorong seseorang penjenayah bertaubat dan menyesali kesalahan yang dilakukannya. Dengan ini jenayah akan berkurangan dalam masyarakat.

 
Sumber : Jenayah Islam




Datuk Seri Najib Tun Razak

BATU GAJAH – Kerajaan tidak akan melaksanakan undang-undang hudud di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, walaupun hudud adalah undang-undang Tuhan namun pelaksanaannya mesti berpaksikan realiti.

“Jika ditanya ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu,” katanya.

Najib berkata, kerajaan mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan,” kata Najib.

Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.

Beliau menyifatkan langkah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata, taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini berikutan kenyataan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.

Najib berkata, isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

“Dalam soal undang-undang hudud ini, telah timbul satu keadaan di mana perbezaan ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat. Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi,” katanya.

KUALA TERENGGANU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap segelintir orang Melayu Islam yang terus menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Menurutnya, orang Melayu sepatutnya menjadi penyokong kuat terhadap pelaksanaan syariat tersebut yang termaktub di dalam al-Quran tetapi kecewa apabila sambutan diterima adalah sebaliknya.

“Sepatutnya, orang Melayulah yang sokong hudud tapi dukacita kerana dia juga antara orang yang menentangnya. Kita kempen, kita doa mudah-mudahan mereka semua boleh terima hudud Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Dana Kebajikan Insaniah anjuran Pas Kawasan Kuala Terengganu di Jalan Sultan Mahmud, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut; Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar; Setiausaha Pas Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus.

Beliau turut mengakui masih ramai yang berasa takut terhadap pelaksanaan hukum hudud dan juga penubuhan negara Islam sama ada dari kalangan orang Islam atau bukan Islam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan ketakutan tersebut sebagai ‘orang takutkan hantu’.

“Orang takut kepada negara Islam ini macam takut kepada hantu. Orang yang takut kepada hantu itu tidak tahu pun bagaimana hantu. Hudud Islam pun begitu juga, takut kepada hudud. Kenapa takut hudud, tidak tahu. Melayu, India, Cina, sama,” katanya.



Saya telah memberi penjelasan berkenaan apa itu Hudud. Saya juga telah meletakkan 2 kenyataan dari 2 tokoh yang berbeza dari 2 fahaman politik yang berlainan. Maka anda nilailah sendiri samada boleh atau tidak Hukuman Hudud itu dijalankan di Malaysia. Semoga hidayah Allah s.w.t sentiasa bersama kita agar petunjuk dariNya sentiasa menyuluhi perjalanan hidup kita semua. Wallahualam...

Friday 23 September 2011

RM200j naik taraf kemudahan UniSZA

SEBAHAGIAN daripada graduan meraikan kejayaan pada Istiadat Konvokesyen Ketiga UniSZA


KUALA TERENGGANU 20 Sept. - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)) membelanjakan RM200 juta bagi pengembangannya, termasuk melengkapkan prasarana bagi kemudahan dan keselesaan warganya sejak 2006 sehingga kini.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Alias Daud berkata, ia melibatkan kos pembelian tanah, pembinaan bangunan jabatan pembangunan dan penyelenggaraan serta kerja-kerja infrastruktur melibatkan Kampus Besut.

UniSZA juga telah menyiapkan pembinaan blok akademik dan pembinaan bangunan Pusat Teknologi Maklumat di Kampus Gong Badak serta pembinaan Makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Kampus Kota.

"Sebanyak RM417 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh 2006 hingga 2010 dan setakat ini kita telah membelanjakan RM200 juta.

"Manakala RM420 juta telah diperuntukkan bagi RMK-10 iaitu untuk tempoh tahun 2011 hingga 2015," katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ketiga UniSZA di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Alias berkata, terdapat beberapa projek pembangunan yang masih dalam pembinaan pihak universiti bagi melengkapkan kemudahan sedia ada.

Jelasnya, ia termasuk pembinaan bangunan asrama fasa satu di Kampus Besut, bangunan tambahan perpustakaan Kampus Gong Badak, laman selera, kemudahan sukan serta pembinaan Fakulti Informatik dan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi.

Tambahnya, melihat kepada status pembangunan yang dinyatakan itu, ia jelas menunjukkan bahawa UniSZA masih belum mempunyai kemudahan asas yang benar-benar mencukupi berbanding universiti lain yang telah lama.

Bagaimanapun, beliau menolak kekurangan itu menjadi halangan kepada warganya untuk melahirkan graduan dan staf yang berkeupayaan serta berprestasi tinggi.

"Buktikan UniSZA telah berjaya melahirkan pencapaian yang membanggakan daripada sudut akademik, penyelidikan dan kokurikulum.

"Antaranya, pensyarah UniSZA telah meraih anugerah Best Paper Award pada persidangan antarabangsa ASEAN Academy of Applied Business 2011 dan meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi di Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik.

"Selain menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti antarabangsa dari China, Timur Tengah, Jepun dan Thailand, UniSZA turut mengadakan perjanjian persefahaman dengan McGill University di Kanada bagi membina sebuah hospital pengajaran dan kemudahan teleperubatan di universiti itu,"ujarnya.

Dalam ucapan pembukaan istiadat itu, Alias turut memberitahu, jumlah graduan UniSZA sehingga kini 5,451 orang termasuk 3,280 graduan pada tahun 2009 dan 1,003 graduan tahun lalu.
Sumber : Utusan Online










Jalinan Kasih GPMS UniSZA

Penduduk kampung, mahasiswa dan tetamu kehormat bergambar bersama pelajar cemerlang di Majlis Penutupan Program Jalinan Kasih dan Cakna Waris, di Terengganu, baru-baru ini.

Pada 14 Januari 2011, Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama dari Kawasan Rukun Tetangga Kampung Gong Baru (KRT), Persatuan Belia Ikatan Kampung Gong Baru dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Gong Baru telah mengadakan Program Jalinan Kasih dan Cakna Waris yang bertempat di Kampung Gong Baru.
            Program yang diadakan selama satu hari ini lebih kepada program yang berbentuk khidmat masyarakat diantara mahasiswa dengan penduduk Kampung Gong Baru. Sebanyak 3 aktiviti yang dijalankan secara serentak melibatkan kepada pembahagian mahasiswa kepada 3 kumpulan dan ini secara tidak langsung dapat memudahkan semua pihak dalam menjalankan kerja secara sekaligus. Malah ia juga dapat memberi peluang kepada Mahasiswa UniSZA mencurahkan khidmat bakti kepada semua golongan masyarakat secara bersama. Kumpulan pertama adalah kumpulan yang terlibat dengan Program Motivasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh Mahasiswa UniSZA sendiri dimana sasaran yang terlibat adalah terdiri daripada anak penduduk kampung Gong Baru yang berumur dari 12 sehingga 18 tahun. Mereka telah diberi pendedahan mengenai matlamat yang perlu dicapai dalam hidup seterusnya lebih mengetahui dimanakah hala tuju kehidupan mereka selepas ini bagi memberi input kepada persediaan mental mereka kelak. Kumpulan kedua pula memfokuskan kepada aktiviti bergotong-royong yang diadakan bersama-sama penduduk kampung dalam pembersihan kawasan kubur. Aktiviti gotong-royong ini pula mengetengahkan golongan pertengahan dalam mencurahkan khidmat tenaga dalam sama-sama tolong-menolong di antara satu sama lain. Manakala kumpulan ketiga pula adalah kumpulan yang terlibat di dalam aktiviti menziarahi penduduk kampung yang sakit, orang kurang upaya dan golongan tua. Ini sebagai sumbangan empati dalam merasai sendiri penderitaan mereka dimana dapat memberi kesedaran kepada Mahasiswa sendiri bahawa tidak semua orang bernasib baik malah ada orang yang lebih malang lagi daripada kita serta bersyukurlah dengan apa yang ada
GPMS dibina atas kesedaran kebangsaan Melayu, agama Islam dan menjadi persatuan pelajar kebangsaan. Segala perjuangan GPMS sebelum merdeka menjadi sebahagian gerakan nasionalisme negara. Jadi program yang bertemakan ‘Generasi Berilmu Warisan Melayu’ itu memberikan seribu manfaat bukan sahaja buat penduduk kampung malah sebagai mukadimah yang sesuai untuk merapatkan hubungan sesama mahasiswa dan penduduk kampung. Program yang menghimpunkan seramai 38 mahasiswa GPMS UniSZA untuk turut sama-sama mencurahkan bakti kepada masyarakat kampung. Selain menjalinkan ukhuwah antara mahasiswa dengan penduduk kampung, mereka juga mengenali, mendekati dan memahami budaya penduduk. Malah, dengan adanya program ini juga dapat mempromosikan peranan dan sumbangan GPMS kepada masyarakat tidak kira batasan kaum dan agama. GPMS akan terus memberi sumbangan kepada Negara melalui program keagamaan, kebajikan, pendidikan dan kebudayaan. Semua program yang dianjurkan itu akan disesuaikan dengan tujuan GPMS iaitu memperbaiki keadaan pelajar Melayu dari segenap lapisan, menjaga hak-hak dan mengemukakan segala permintaan. GPMS UniSZA juga turut memberi sedikit sumbangan cenderahati  kepada penduduk kampung sebagai tanda persahabatan dan salam perkenalan dalam menunjukkan kesediaan GPMS  bagi memberi pertolongan kepada penduduk kampung.
Perasmian penutup telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Che Mat Jusoh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok di mana dalam ucapannya mengatakan bahawa beliau amat berbesar hati dan menyambut baik kedatangan Mahasiswa dalam mencurahkan bakti serta berkongsi pengalaman mereka kepada penduduk kampung. Hal ini kerana golongan Mahasiswa ini adalah merupakan golongan yang berpengaruh dan sumbangan daripada mereka amat di nanti-nantikan. Tugas Mahasiswa bukan sekadar menuntut ilmu sahaja, bahkan lebih daripada itu di mana peranan Mahasiswa tidak hanya terhad kepada IPT sahaja malah mereka juga perlu diberi pendedahan kepada masyarakat luar bagi penambahan input pengalaman yang tidak dapat dijumpai dimana-mana. Jadi dengan adanya program seperti ini, bukan sahaja penduduk kampung malah Mahasiswa juga turut mendapat kesan yang positif dan mengguntungkan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah dan keyakinan menghadapi dunia yang lebih mencabar.
Turut hadir adalah Penghulu Mukim Bukit Besar, Pengerusi KRT merangkap Pengerusi Persatuan Belia juga Pengerusi JKK Kampung Gong Baru, Tuan Haji Hanafiah atau mesra dipanggil Pok Cu serta Penduduk Kampung Gong Baru. Penduduk Kampung Gong Baru juga turut memberi penghargaan kepada anak kampung yang mendapat keputusan cemerlang di dalam Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang itu dibuat agar dapat memberi sokongan dan pemangkin semangat kepada pelajar untuk lebih berusaha bagi menggapai cita-cita.
            Program Jalinan Kasih dan Cakna Waris ini juga telah mendapat liputan yang meluas dari media sendiri di mana sebanyak 5 kali berturut-turut tersiar di Surat Khabar Sinar Harian Negeri Terengganu bermula 15-18 Januari dan 27 Januari 2011. Kemudian Surat Khabar Utusan pula melaporkannya pada 31 Januari 2011 di dalam keluaran sisipan Hello Campus! dan dalam ruangan Mega Agama pada 9 Februari 2011. Manakala Surat Khabar Harian Metro pula pada 7 Februari 2011.

Akhbar Utusan Malaysia Slot Hello Kampus

Akhbar Harian Metro

Akhbar Sinar Harian Kuala Terengganu




Sumber : Utusan Online

Perkim Ziarah PPUM

"HILANGKANLAH segala penyakit dan sembuhkanlah ia wahai Tuhan pencipta manusia, Engkaulah sahaja (Ya Allah) penyembuh segala penyakit, tiada kesembuhan kecuali daripada-Mu sahaja. Iaitu kesembuhan yang tidak akan dihinggapi penyakit lagi."
(Riwayat Bukhari & Muslim)


Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuktikan kasih sayang. Bukan setakat wang ringgit tetapi melakukan amal kebajikan adalah satu cara untuk melahirkan rasa prihatin sesama insan.

Kebelakangan ini, pelbagai pihak berusaha menganjurkan program amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, golongan memerlukan dan mereka yang terlantar sakit.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (SPPUM) dan Skali Web Services Sdn. Bhd. menganjurkan program ziarah pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor pada 16 Jun lalu.

Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara, Puteh Kalsom Shamsuddin bersama 20 sukarelawan menziarahi serta menyampaikan 60 hamper dan buku Panduan Solat kepada pesakit Muslim sambil dipimpin oleh jururawat bertugas di Wad Surgikal 7U dan Pusat Harian Psikiatri.

Puteh yang juga sukarelawan Perkim berkata, program ini merupakan satu kaedah merapatkan silaturrahim antara Perkim dan pesakit tanpa mengira agama dan bangsa.

"Biarpun jumlah bantuan yang disampaikan tidak seberapa tetapi diharapkan ia dapat meringankan beban penerima," katanya.

Pesakit yang ditempatkan di Wad Surgikal ialah mereka yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan, ketumbuhan, pendarahan usus, pembedahan plastik.

Manakala di Pusat Harian Psikiatri ialah mereka yang mengalami tekanan, kemurungan, gangguan saraf otak, gangguan perasaan dan gangguan persekitaran.

Menurut Ketua Jururawat Pusat Harian Psikiatri, Suhana Yaakob, selain membantu memulihkan pesakit, aktiviti senaman aerobik, terapi bersantai, terapi tempatan, kraftangan, latihan kemahiran sosial, program pengurusan kesihatan mental turut ditekankan.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi SPPUM, Prof. Dr. Omar Salleh.
 
 
Sumber :  Utusan Online

Program Ziarah Pesakit Perkim

"SESUNGGUHNYA Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar."
(an-Nisa’: 40)




KEBAJIKAN adalah sesuatu perbuatan yang baik yang membawa kebaikan. Setiap individu Muslim berkewajipan berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan berbuat sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Perkim Bahagian Negeri Melaka berkesempatan menziarahi 60 pesakit di Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka.

Dalam program pada 27 Mei lalu, Perkim turut menghulurkan buah tangan kepada 60 pesakit.

Program itu mendapat kerjasama dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Persatuan Tionghua Muslim (Pertim) Melaka, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Melaka, Badan Kebajikan dan Persaudaraan Islam (Bakpis) Melaka.

Rombongan ziarah itu diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Perkim Bahagian Negeri Melaka, Rokiah Sungip. Ia turut disertai beberapa kakitangan dan sukarelawan Perkim.

Suariza berkata, rombongan menziarah pesakit seperti ini adalah yang pertama dilakukan di hospital swasta.

Katanya, adalah menjadi hasrat utama Perkim untuk memperluaskannya ke seluruh Malaysia selain penganjuran aktiviti dakwah dan pendidikan lain.

“Program ini sebagai menyahut seruan kerajaan serta sokongan terhadap usaha dan tindakan yang di ambil sebagai organisasi yang prihatin. Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.

“Perasaan gembira, syukur dan terharu akan timbul apabila kita menjadi salah seorang pesakit yang diziarahi serta menerima sumbangan daripada pihak-pihak tertentu,” jelas beliau.

Dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Radhuana Salleh menyampaikan taklimat ringkas dan persembahan multimedia mengenai latar belakang, sejarah, visi dan misi PSH yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Hospital ini menyediakan perkhidmatan dan kemudahan antaranya kecemasan dan kemalangan 24 jam, poliklinik 24 jam, ambulans 24 jam, x-ray, fisioterapi, hemodialisis, pakar bedah, unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan jantung (CCU), unit pemulihan, pemeriksaan kesihatan, patologi dan makmal klinikal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Perkim Kebangsaan, Datuk Abu Pit berkata, pihaknya memilih menziarahi dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit-pesakit di wad pembedahan lelaki dan wanita, wad bersalin dan wad kanak-kanak.

“Dengan menziarahi pesakit-pesakit kita dapat menyelami dan menghayati penderitaan mereka yang sedang menghadapi musibah.

“Di samping itu, beliau turut menghiburkan pesakit dengan berpantun nasihat agar bersabar dan tabah serta mendoakan pesakit agar sembuh,” ujar Abu Pit.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Persekutuan Malaysia India Muslim Melaka, Datuk Meera Mohideen dan Penolong Pengurus Kanan Kejururawatan PSH Maznan Mohamed Hassan.
Sumber : Utusan Online

Intergrasi Sosial Perkim di pedalaman Sarawak




PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) terus melebarkan program dakwahnya. Kali ini melalui program kebajikan sosial di Perkampungan Ulu Simunjan, Perkampungan Sungai Buluh di Serian, Perkampungan Rayang dan Rodan di Pedawan, Kuching, Sarawak.

Aktiviti yang diadakan dengan kerjasama Harakah Islamiah (Hikmah) dan Perkim Cawangan Damansara Utama itu berlangsung pada 4 hingga 22 Jun 2009.

Program yang dinamakan 'Integrasi Sosial Bersama Masyarakat Kampung Pedalaman Sarawak' ini berjalan lancar. Ia juga menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Bidayuh dan Iban di kampung berkenaan.

Melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Kelab Perkim Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Kelab Perkim Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Foster Home Perkim dan juga dari Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Ulu Simunjan, Sungai Buluh, Rayang dan Rodan sendiri, banyak pengisian menarik berjaya diadakan sepanjang program.

Menurut Pengarah Program yang juga Ketua Unit Penyelarasan Perpaduan & Mubaligh Perkim, Nik Mohd. Nizam Mohd. Nasir, aktiviti itu pada dasarnya adalah untuk membawa imej Islam kepada masyarakat di pedalaman Sarawak melalui pendekatan perpaduan kaum dan keharmonian sosial.

"Melalui pelbagai bentuk kerja kemasyarakatan, pendidikan, amal kebajikan dan sosial yang boleh membawa kepada kesefahaman kemesraan, persahabatan dan persaudaraan bersama masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Ini supaya segala prejudis dan salah sangka terhadap Islam dapat terhapus dan kehadiran Islam dapat diterima secara baik," jelas beliau.

Aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat. Seramai 75 pelajar Kelab Perkim IDIP, UDM dan Foster Home dijadikan anak angkat penduduk kampung.

Ia bertujuan mewujud dan menjalin hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat mereka untuk jangka masa panjang.

Selain bantuan dari aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, peserta juga diminta mempraktikkan sifat prihatin kepada keluarga angkat mereka dalam semua aspek termasuk kebersihan, gotong-royong, keceriaan, pendidikan, kesihatan dan keagamaan.

Sementara itu, Perkim menghadiahkan sebuah generator kepada penduduk kampung Rodan di Pedawan yang selama ini terpaksa bergelap ketika malam hari.

Ini kerana generator yang sedia ada telah rosak dan hanya menunggu sumbangan dari pihak-pihak tertentu.

Para peserta juga menimba pengalaman baru antaranya menikmati makanan tradisi masyarakat kampung seperti nasi buluh, paku-pakis dan rebung.

Majoriti penduduk di sini bekerja menanam padi bukit, mencari herba, kayu, berburu dan hasil kelapa sawit.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan. Antaranya, motivasi kanak-kanak dan remaja, pertandingan penghayatan Islam merangkumi kuiz, mengaji al-Quran, pertandingan azan, membaca puisi dan juga karaoke nasyid.

Pertandingan sukaneka, bolasepak, boling kelapa, bola tampar, lari dalam guni, belon air dan mencari gula-gula dalam tepung turut diadakan.

Majlis penutup program selama 20 hari itu dilakukan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Sumber : Utusan Online

Thursday 22 September 2011

Pesanan Nabi sebelum tidur

Sekadar ingat mengingati.. ...

Sebelum Tidur 
Perkara Sebelum Tidur( Tafsir Haqqi )
Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : "Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, yaitu :
1. Sebelum khatam Al Qur'an,
2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir,
3. Sebelum para muslim meredhai kamu,
4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah....

Bertanya Aisyah :
"Ya Rasulullah.. .. Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika?"
Rasulullah S.A.W tersenyum dan bersabda : 
"Jika engkau tidur bacalah Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur'an. Bismillaahirrohmaan irrohiim, Qulhualloohu ahad' Alloohushshomad' lam yalid walam yuulad' walam yakul lahuu kufuwan ahad' ( 3 x )"
Membacalah selawat untukKu dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat. 
"Bismillaahirrohmaan irrohiim, Alloohumma shollii 'alaa syaidinaa. Muhammad wa'alaa aalii syaidinaa Muhammad ( 3 x )"
Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredhai kamu.
"Astaghfirulloohal adziim aladzii laa ilaaha illaa huwal hayyul qoyyuum wa atuubu ilaih (3 x )"
Dan, perbanyaklah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir maka seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah
"Bismillaahirrohmaan irrohiim, Subhanalloohi Walhamdulillaahi walaailaaha illalloohu alloohu akbar(3 x )"

Sekian untuk ingatan kita bersama.
Kalau rajin..Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Muslim yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.





Kita, Sempurnakah?

"Tidak payahlah nak tegur aku, kau tengok dulu diri kau, sempurna sangat ke nak tegur orang ni?"
Ini contoh ayat klise yang biasa di dengar bila mukadimah nasihat atau teguran baru hendak bermula.
"Aku tahulah aku tidak sempurna, tetapi salahkah aku nak menegur sesuatu yang baik untuk kebaikan kita bersama?"
Ini pula contoh jawapan balasan yang akan dituturkan bila di bidas sebegitu. Tapi kadangkala ada juga yang terus menembak dengan kata sebegini. 
"Kau nak terima ke tidak itu kau punya pasal, yang pasti tanggungjawab menegur aku dah lepas."
Kalau ada yang mendengar atau mungkin malas mahu memanjangkan hal, mereka akan berkata, 
"Ya, aku tahu. Bagi aku masa, okay."
tidak pun, ada yang suka menggunakan ayat yang streotaip
"Aku belum bersedia lagi. Insyaallah, dah tua nanti tahulah aku berubah."
Malah yang lebih hebat lagi siap masukkan watak ketiga dalam dialognya,
"Mak ayah aku pun tak tegur, yang kau nak sibuk sangat ni kenapa?"
Yaw! hebatkan?!

Berbalik kepada tajuk perbincangan di atas 'Kita, sempurnakah?' Ada ke manusia yang sempurna dalam dunia ini? Sekali lagi ditekankan manusia tiada yang sempurna di dunia ini. Oleh kerana itu adanya tanggungjawab saling tegur menegur yang Allah berikan kepada kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanggungjawab itulah yang akan dipersoalkan oleh Allah kepada kita adakah kita telah melaksanakannya atau tidak. Allah tidak akan mempersoalkan apa hasil dari kejayaan kita itu tetapi apakah usaha yang kita lakukan untuk menegur. Lantas, apa yang mahu kita jawabkan kepadaNya?

Kenapa mesti mempersoalkan tahap kesempurnaan orang yang menegur jika teguran yang diberikan itu baik untuk diterima? Kita tahu hakikat bahawa tiada yang sempurna, jadi adakah kita mahu menunggu orang yang sempurna untuk menegur kita? Maka, akan adakah harinya untuk melihat orang yang sempurna itu walaupun kewujudannya kita sendiri tahu tiada? Jadi, lantas apakah yang sebenarnya kita mahu? Itulah egois namanya. Egois untuk tidak mahu mengikut. Egois dalam diri dengan memberi beribu alasan, mereka beribu ayat untuk mengatakan tidak. Hanya itu yang terlintas di fikiran saya. Egois dan sombong. Buruk padahnya jika kita sombong di muka bumi ini. Jadi, sila berhati-hati ya :)

Jangan sesekali kita menyalahkan ibu bapa di atas apa yang berlaku pada diri kita. Jika kita mahu melakukan perubahan, maka ia adalah bermula dengan diri kamu sendiri. Tiada ibu bapa yang akan melenting dengan perubahan baik yang dilakukan oleh anak mereka. (Jika ada itu mungkin ada sebab disebaliknya. Wallahualam.)  Tidak semestinya ibu bapa tidak tegur, orang lain pun tidak boleh menegur. Sila jangan salah faham ya. Kita hidup secara bermasyarakat. Bermula dari keluarga kemudian berkembang kepada masyarakat dan seterusnya kepada negara. Jadi, tidak berkaitkah antara satu sama lain?  Maka, atas alasan apakah untuk tidak kita ikutinya?

Bersedia? Ya, kita perlu bersedia jika mahu melakukan sesuatu perubahan. Tetapi apa yang menjadi permasalahannya, kita tidak tahu sampai bila kita boleh hidup. Bagaimana jikalau kita tidak sempat untuk melihat hari esok? Bagaimana pula jika sedetik dua selepas ini kita tiada lagi. Ada sesiapa tahu tempoh hayat hidup kita sampai bila? Kalaulah manusia ada tarikh luput, nescaya tidak akan wujud tegur menegur ini kerana masing-masing tahu bilakah mereka mahu bertaubat. Jadi, kenapa mesti mahu menunggu untuk melakukan perubahan jika kita tahu perubahan itu adalah baik. Malah menjadi jaminan untuk hari yang akan kekal suatu ketika nanti.

Jadi, apa yang sebenarnya kita tunggu dalam hidup ini? Jangan mencipta pelbagai alasan untuk tidak melakukannya. Anda boleh patuh kepada dress code yang ditentukan oleh sesuatu majlis, tetapi kenapa anda tidak boleh patuh kepada dress code yang ditetapkan oleh Islam? Adakah membebankan untuk mengikutnya? Selesa sangatkah pakaian yang dipakai itu sehingga anda susah sangat mahu bertukar fesyen? Adakah kolot jika anda memakainya atau anda merasa tidak up to date atau mungkin juga anda tidak mahu dikenali sebagai seorang muslimah? Jadi, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Renungkanlah dan nilai diri. Jika anda masih bermaruah, anda tidak akan sombong kepada tempat di mana anda menumpang. Ya, menumpang di bumi Allah. Jika kita berada di rumah orang lain, adakah kita akan melakukan rumah itu sepertimana rumah kita? Tentu tidak bukan. Anda mungkin akan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh tuan rumah itu. Begitu juga dengan bumi Allah ini di mana Allah berhak meletakkan peraturan dan kita wajib mengikutinya. Jadi, apakah alasan anda untuk mengatakan tidak?

Manusia diberi akal fikiran untuk berfikir. Ilmu yang didapati itulah yang akan digunakan sebagai petunjuk untuk diri kita. Jadi, masih tidak cukupkah ilmu yang ada untuk memandu anda sedikit demi sedikit? Kita diberi ilmu untuk menjadikan diri kita seorang yang bertamadun selaras dengan syariat yang ditetapkan. Pengubahan itu akan muncul dalam diri hasil keberkatan ilmu yang diberi berserta keredhaan dari Allah atas perkongsiannya. Semuanya bergantung kepada diri individu bagaimana mahu menerima ilmu lantas mengaplikasinya dengan betul...

Di sini saya kongsikan bersama quotes yang saya kongsikan di facebook saya untuk perkongsian bersama. :)

Dan akhir kata dari saya, marilah kita renung bersama kata-kata dari Imam Hasan al-Basri :

Wallahualam..~

Wednesday 21 September 2011

Adab Sopan Ketika Berdoa

Sebagai umat Islam kita yakin dengan hidayat dan nikmat Allah, kita sering berdoa memohon sesuatu daripada-Nya. Justeru, kita menadahkan tangan, terutama ketika kita menghadapi pelbagai kesulitan hidup.

Allah berfirman bermaksud:
"Berdoalah, nescaya aku perkenankan untukmu".
Dalam sebuah kitab Hikam ada dijelaskan mengenai konsep doa. Menurut kitab itu, apabila Allah melepaskan lidahmu untuk memohon, ketahuilah bahawa Allah ingin memberikan pertolongan mengikut apa yang dipohon. Oleh yang demikian, berdasarkan doa itu sendiri yang berfungsi sebagai jiwa ibadat, maka proses doa itu adalah permohonan yang diatur dalam bentuk ayat yang menyatakan suara hati seseorang hamba.

Ketenangan jiwa akan diperolehi apabila segala kesulitan yang membabitkan diri manusia dilepaskan kepada Allah. Permohonan itu disusun dengan penuh perasaan. Selepas itu jiwa kembali jernih, murni selepas dibulatkan segala permasalahan - dalam bentuk jalinan kalimat, ditujukan pula kepada Allah.

Bertepatan dengan konsep doa itu sendiri sebagai perantara yang membabitkan suatu ruang waktu yang tiada had dan batasnya, maka Allah sendiri menyuruh setiap hambanya berdoa tanpa mengira keadaan dan masa.

Sebenarnya bentuk doa akan diperkenankan mengikut ketentuan Tuhan, asal saja doa atau permohonan itu menuju ke arah kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan umat sejagat.

Isi doa juga sewajarnya mengandungi unsur-unsur kesejahteraan umat, memohon untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat, murah rezeki, sihat tubuh badan, tambahkan ilmu pengetahuan dan keimanan.

Islam melarang keras berdoa kepada Allah dengan motif yang tidak baik dan bertujuan jahat, umpamanya seseorang memohon kepada Allah:
"Ya Allah, cabutlah nyawaku, aku tidak sanggup lagi menghadapi kesusahan di dunia ini."
Rasulullah tidak pernah memohon doa bertujuan untuk merosakkan umat manusia, biar pun baginda seringkali menderita kerana perbuatan orang lain terhadapnya.

Ruang hidup dan situasi untuk kita bertindak begitu luas. Misalnya, seseorang itu gagal dan kecewa dalam sesuatu bidang yang disertainya, sesekali perlulah beralih ke bidang lain yang berlainan, insya-Allah dengan semangat dan motivasi yang baru, Allah akan menitipkan rahmat dan nikmat-Nya. Seiring itu juga, kita perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah, kuatkan semangat serta berdoa setiap masa.

Ketidaksesuaian sewaktu berdoa turut mempengaruhi kesempurnaan berdoa. Di masjid atau surau dapat dilihat jemaah dalam pelbagai aksi sewaktu imam melafazkan doa, ada yang memegang sapu tangan, buku dan majalah. Tak kurang juga yang suka mencuit-cuit sesama sendiri.

Keadaan sebegitu tentunya tidak manis dan tidak sesuai pula dalam suatu keadaan yang begitu mengharapkan pertolongan Allah. Kita sewajibnya berada dalam keadaan penuh khusyuk, rasa rendah diri mengharapkan pertolongan Allah saja.

Beberapa adab sopan seperti yang dianjurkan oleh agama perlulah sama-sama diikuti sewaktu memohon pertolongan dari Allah. Imam Al-Ghazali menyenaraikan perkara itu dalam Kitab Ihya Ulumuddin Jilid 1, halaman 306-309. Antaranya ialah:

1. Pada Hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat dan waktu sahur.

2. Dalam keadaan yang khusyuk seperti waktu sujud

3. Menghadap kiblat dan mengangkat tangan sampai ke garis ketiak, bukan atas lutut.

4. Merendahkan suara, hanya sekadar dapat didengar oleh orang yang ada di sisi kita.

5. Tidak perlu menggunakan kata-kata bersajak, cukuplah dengan kata-kata yang sederhana serta merendahkan diri, tidak perlu berirama, namun diutamakan doa yang berasal daripada Rasulullah s.a.w. dan sahabat.

6. Mempercayai dan berkeyakinan dengan doa itu. Tidak kecewa dan gelisah jika doa belum lagi diperkenankan.

7. Memulakan doa dengan memuji Allah, jangan terus memohon apa yang dihajati.

8. Taubat sebelum berdoa.


Adab Membaca Al-Quran

Antara ibadah sunat yang digalakkan dalam bulan Ramadhan, selain sembahyang tarawih, ialah bertadarrus membaca (tilawah) al-Qur'an al-Karim. Seperti ibadah yang lain, tilawah al-Qur'an juga punya peraturan dan adabnya. Pembaca al-Qur'an (qari`/qari`ah) sebaik-baiknya mengetahui dan mematuhi peraturan dan adab membaca kitab suci itu. Perlu diketahui bahawa yang lebih utama (awla) bagi ibadah tilawah al-Qur'an ialah kefahaman terhadap maksud atau tafsiran ayat-ayatnya lalu mengamalkannya. Di samping itu pembacaannya hendaklah mengikut hukum tajwid dan peraturan-peraturan yang tertentu. Allah Taala berfirman, mafhumnya, 
"Orang-orang yang telah kami datangkan al-Kitab sedangkan mereka membacanya dengan bacaan yang sebenar-benarnya, maka mereka itulah yang beriman kepadanya, dan barangsiapa ingkar terhadapnya maka merekalah orang-orang yang rugi". 
(al-Baqarah : 121).

Mengikut Ibnu 'Abbas, ayat "membacanya dengan bacaan yang sebenar-benarnya" dalam di atas itu bermaksud: "mempelajarinya dan benar-benar patuh mengamalkannya".

Mengikut Imam al-Ghazali : Bacaan al-Qur'an dengan sebenar-benar bacaan itu ialah adanya persepaduan antara lidah, akal dan hati. Lidah mentashihkan segala hurufnya, akal mentafsirkan segala maknanya dan hati menerima pengajarannya, kesannya, tegahannya dan suruhannya. Tersebut dalam sebuah kitab : Wajib ke atas qari / qariah ikhlas membaca al-Qur'an dengan mengqasadkan semata-mata kerana Allah. Janagan diqasadkan kerana selain-Nya. Dalam kitab lain tersebut : Makruh diambil al-Qur'an sebagai usaha untuk kehidupan (mata pencarian), kerana mengikut satu riwayat, Rasulullah bersabda, mafhumnya, 
"Barangsiapa membaca Qur'an, maka hendaklah meminta (balasan) daripada Allah. Bahawa sesungguhnya nanti akan datang satu kaum yang membaca Quran untuk mendapat balasan daripada manusia".
Berikut adalah adab-adab membaca al-Qu'an sebagaimana yang tersebut dalam kitab Mawradul-Zham`aan:
  1. Sebelum membaca al-Qur'an hendaklah membersihkan badan dan mengambil wudhuk. Jika sudah berwudhuk, mulut hendaklah dibersihkan. Rasulullah bersabda, mafhumnya : "Sesungguhnya mulut kamu itu laluan al-Qur'an, maka bersihkanlah ia dengan bersugi". Apabila wudhuk terbatal, segeralah memberhentikan bacaan dan mengambil wudhuk semula. Sunat berpakaian yang elok, bersih dan menutup aurat serta memakai bau-bauan.
  2. Tempat membaca al-qur'an hendaklah suci. Afdhalnya di masjid. Makruh membaca di jalanan atau di tepi jalan, di dalam bilik mandi, di pasar atau tempat perhimpunan orang yang dungu ataupun di tempat yang tak selayaknya dengan kesucian dan kemuliaan al-Qur'an. Hendaklah duduk mengadap kiblat dengan penuh ta'zhim, kepala tertunduk dan tidak di dalam keadaan bersila. Jangan sekali-kali duduk seperti duduk orang yang takabbur.
  3. Sebelum memulakan bacaan, bacalah dulu ta'awwuz. Allah berfirman, maksudnya : "Apabila engkau membaca al-Qur'an, bacalah t'awwuz ( A'uuzu billaahi minal-syaithaanil-rajiim )". Bacaan ta'awwuz ini jika di khalayak boleh dibaca nyaring, tetapi jika tiada khalayak untuk mendengarnya, lebih utama (awla) diperlahankan bacaannya, iaitu seperti membacanya di dalam sembahyang. Kecuali bacaan al-Qur'an tehenti lama, selama mengerjakan satu raka'at sembahynag, bacaan ta'awwuz ini tidak dituntut untuk diulang lagi.
  4. Hendaklah membaca tasmiyah (bismillaahil-Rahmaanil-Rahiim) pada awal tiap-tiap surah kecuali surah al-Tawbah (Baraa`ah). Ketika membaca, qari / qariah hendaklah di dalam keadaan sentiasa mengingati bahawa dirinya diperhatikan oleh Allah sebagaimana ketika mengerjakan sembahyang juga.
  5. Untuk menghormati atau memuliakan al-Qur'an, jangan teruskan bacaan semasa menguap, kerana menguap itu tabiat syaitan. Selesai menguap dengan sopan, barulah menyambung semula bacaan. Jangan tertawa atau bercakap bercampur-aduk dengan bacaan kecuali kerana satu-satu hajat yang dharurat. Justeru, bacaan sebaik-baiknya di tempat yang terasing agar tidak diganggu atau diajak bercakap oleh orang lain. Bagaimana pun qari/qari`ah boleh memutuskan bacaannya untuk memberi salam atau untuk menjawab salam.

Sunat memutuskan bacaan untuk tujuan berikut :
1. mengucap "Al-hamdulillaah" selepas bersin,
2. mengucap "Yarhamukallaah" kepada orang yang bersin,
3. menjawab azan,
4. bangun menghormati ketibaan orang alim, orang shalih atau orang yang dimuliakan, tetapi bukan dengan riyak.

Keseluruhan bacaan sebaik-baiknya (afdhal) dengan suara nyaring jika bertujuan untuk didengar, disemak serta dimanfaatkan atau dihayati oleh orang lain, atau pun untuk mengawal konsentrasi diri sendiri terhadap bacaan atau untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk. Sebaliknya, jika ditakuti menjadi riyak atau akan mengganggu orang yang sedang atau akan bersembahyang atau tidur, tidak digalakkan membaca nyaring, yakni membaca perlahan adalah lebih afdhal. Suatu masa di dalam masjid, Rasulullah pernah bersabda, mafhumnya: 
"Ketahuilah, setiap kamu bermunajat kepada Tuhan, maka janganlah menyakiti (mengganggu) antara satu sama lain dan jangan antara kamu mengangkat suara bacaan sehingga menggannggu yang lain. 
(HR. Abu Dawud).

Dikatakan sunat juga suara bacaan al-Qur'an itu berselang-seli_sekali perlahan sekali nyaring. Apabila terasa jemu atau mengantuk dengan membaca perlahan, bacalah secara nyaring dan apabila terasa penat, lalu kembali membaca perlahan sebagai istirahat.

Sunat bacaan secara tartil, serentak dengan tadabbur (penelitian) dan tafahhum akan makna ayat-ayatnya. Allah berfirman, mafhumnya, 
"Dan bacalah al-Qur'an itu (mantapkan bacaan) dengan perlahan-lahan (tidak terlalu cepat)". 
(QS. 73 : 4)
"Inilah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat agar mereka mentadabburkan makna segala ayatnya dan agar mendapat pelajaran orang-orang yang berfikiran". 
(QS. 38:29)
Kata Ibnu 'Abbas, "Aku baca surah al-Baqarah dan Ali 'Imran dengan tartil dan aku tadabburkan kedua surah itu . Ini lebih aku suka daripada membaca dengan pantas seluruh al-Quran". Apabila membaca ayat-ayat yang berkenaan, sunat beristighfar, bershalawat, bersyukur, minta berlindung atau berdoa dan sebagainya. Berkata 'Auf bin Malik, "Aku bersama dengan Rasulullah yang membaca surah al-Baqarah pada suatu malam. Baginda berhenti berdoa apabila membaca ayat mengenai rahmat dan meminta berlindung dengan Allah apabila membaca ayat mengenai azab". (HR. Abu Dawud dan al-Nisa`i).

Rasulullah bersabda, mafhumnya,  
"Barangsiapa membaca surah al-Tiin hingga akhir ayatnya, maka hendak berkata 'Balaa wa ana 'alaa dzaalika minal-syaahidiin' (Bahkan, dan aku daripada mereka yang menjadi saksi atas yang demikian itu); barang siapa membaca surah al-Qiyaamah samapi selesai pada ayat, 'Alaysa dzaalika biqaadirin 'alaa an yuhyiyal-mawtaa', maka hendaklah berkata, 'Balaa' (bahkan); dan barangsiapa membaca surah al-Mursalaat hingga akhir ayatnya, maka hendaklah berkata, 'Aamannaa billaah' (Kami beriman dengan Allah)" 
(HR. Abu Dawud dan al-Tirmizi).

Al-Hakim meriwayatkan : "Apabila selesai membaca ayat akhir surah al-Mulk, iaitu "Faman ya`tiikum bimaa`in ma'iin" (Maka siapakah yang memberikan kepada kamu air yang mengalir? , hendaklah berkata "Allaahu Rabul-'Aalamiin" (Allah Tuhan seantero alam) dan apabila selesai membaca surah al-Dhuhaa, hendaklah mengucap takbir." Bacaan-bacaan tambahan tersebut, selain sunat dibaca oleh qari/qari`ah berkenaan, sunat juga dibaca oleh pendengar.

Pada ayat-ayat tertentu yang merupakan kata-kata orang kafir pula disunatkan membacanya dengan perlahan (tidak nyaring). Diwayatkan Ibrahim al-Nakha'i : "Membaca perlahan pada ayat "Wa qaalatil-Yahuudu yadullaahi maghluulah" (Dan berkata orang-orang Yahudi, 'Tangan Allah terbelenggu' (QS. 5:64) dan "Wa qaalatil-Yhuudu 'Uzayrunibnullaah" (Dan berkata orang-orang Yahudi: ''Uzayr anak Allah' (QS. 9:30) .

Sunat membaca al-Qur'an sambil menangis. Rasulullah s. a. w bersabda, mafhumnya, "Bacalah al-qur'an serta menangis. Jika tidak menangis seberapa boleh menangislah". Kata Ibu 'Abbas, "Apabila kamu baca ayat Sajadah, maka jangan kamu segera sujud sehingga kamu menangis. Jika tidak menangis, hendaklah menangis di dalam hati". Sesungguhnya yang mendorongkan tangisan itu ialah menjadikan hati dukacita. Daripada dukacita itulah tercetusnya tangisan. Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Bahawa al-qur'an itu diturunkan dengan dukacita, maka apabila kamu membacanya, hendaklah dengan hati yang dukacita". Timbulnya dukacita itu ialah dengan mengingati dan mengamati perbuatan yang dimurkai Allah serta mengingati kecuaian mentaati perintah dan tegahan-Nya, lalu tercetuslah tangisan. Diriwayatkan, bahawa menangis ketika membaca al-Qur'an itu ialah sifat orang-rang shalihin dan 'arifin.

Sunat memelihara hak ayat-ayat yang dibaca, iaitu hendaklah melakukan sujud al-Tilawah (sudut Sajadah) apabila membaca ayat-ayat Sajadah. Terdapat 14 tempat (ayat Sajadah) di dalam al-Qur'an : masing-maasing satu ayat dalam surah al-A'raaf, al-Ra'd, al-Nahl, al-Israa`, Maryam, dua dalam surah al-Hajj, masing-masing satu ayat dalam surah al-Furqaan, al-Naml, Alif-laam-mimm al-Sajadah, Haa-miim al-Sajadah, al-Najm, al-Insyiqaaq dan al-Qalam. Selain itu, ayat Sajadah dalam surah Shaad disunatkan melakukan sujud Syukur. Rasulullah bersabda, mafhumnya, "Nabi Dawud Sujud kerana taubat dan kami sujud kerana syukur" - (HR. al-Nasa`ii).

Dalam setiap sujud Syukur dan Tilawah itu disunatkan membaca doa yang tertentu. Syarat-syaratnya pula sama dengan syarat-syarat mendirikan sembahyang, iaitu berwudhu', menutup aurat, mengadap kiblat dan tempat, pakaian serta tubuh badan yang suci. Apabila selesai bacaan, disunatkan mentashdiqkan Allah dan naik saksi tentang tabligh Rasul-Nya, iaitu : Shadaqallaahul-'Azhiim wa ballagha Rasuuluhul-kariim wa nahnu 'alaa dzaalika minal-Syaahidiin. Kemudian disunatkan pula berdoa : Allaahummaj'alnaa min syuhadaa`il-haqqil-qaa`iminna bil-qisth. Kemudian ditambah dengan mana-mana doa pilihan yang lain. Akhirnya, apabila khatam bacaan, bacalah doa Khatam al-Qur'an. Demikianlah adab-adab membaca al-Qur'an al-Karim. Dengan mengamalkannya, mudah-mudahan akan mendapat berkat dan keredhaan Allah, insya Allah.

Wallahu a'lam.