Saturday 29 October 2011

Kedudukan Wanita dalam Politik Islam


PENDAHULUAN
Penglibatan Wanita dalam politik sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Hal ini berlaku semenjak kelahiran Islam lagi bahkan semenjak wujudnya manusia di muka bumi ini. Nama-nama wanita terkemuka dalam sejarah Islam seperti Mariam, Asiah, Balqis, Khadijah, Aisyah, Sumayyah dan Khansa’ membuktikan bahawa mereka berperanan dalam membentuk dan mencorakkan masyarakat. Demikian juga hari ini, wanita Islam mampu berperanan bersama dengan golongan lelaki untuk membangunkan negara dan masyarakat.
Hak politik wanita memang telah diakui oleh Islam sebelum Hijrah lagi di mana Rasulullah telah menerima sumpah setia atau bai’ah wanita Islam dan kemudiannya bai’ah ini telah diiktiraf oleh al-Quran dalam surah al-Mumtahanah ayat 12 yang menyuruh Nabi supaya terus menerima sumpah setia kaum wanita. Ekoran daripada itu, para Ulama’ telah berpendapat bahawa wanita sememangnya mempunyai hak berpolitik dalam Islam. Misalnya, ‘Aishah Ummul-Mu’minin telah mengambil bahagian yang cergas dalam pentadbiran negara.
Dalam membincangkan isu keterlibatan wanita dalam politik, persoalan utama yang sering timbul ialah mempersoalkan sejauhmanakah kaum wanita ini boleh menceburkan diri bergandingan dengan kaum lelaki serta apakah batas-batasannya. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat salah faham mengenai pembabitan wanita dalam berpolitik. Ada yang berpendapat bahawa keterlibatan kaum wanita dalam politik adalah tidak layak dan melanggar fitrah kerana ada yang menganggap politik itu hanya sesuai bagi lelaki sahaja .
Oleh yang demikian, berdasarkan konsep siyasah syari’yyah jelas menunjukkan bahawa kaum wanita itu boleh melibatkan diri dalam politik walaupun terdapat banyak pendapat dan pandangan sarjana Islam mengenainya. Ini adalah berikutan daripada kemaslahatan, situasi tempat serta perubahan zaman yang berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain malah Islam juga mengharuskan wanita dalam berpolitik berdasarkan teori siyasah syar’iyyah.

PERANAN WANITA DI DALAM PILIHAN RAYA

Peranan wanita di dalam pilihan raya terbahagi kepada dua iaitu peranan sebagai pengundi dan peranan sebagai calon. Peranan wanita sebagai pengundi adalah suatu yang wajib dijalankan tanggungjawabnya manakala peranan wanita sebagai calon pilihanraya adalah bergantung kepada keadaan semasa negara tersebut.
Melihat kepada keadaan pemerintahan di Malaysia yang bercorak pemerintahan Demokrasi Berparlimen ini yang mana keputusan pilihanraya adalah di tangan rakyat yang mengundi maka hukum bagi tanggungjawab mengundi itu adalah wajib untuk dilaksanakan. ‘Satu undi akan mengubah keputusan pilihanraya’ itulah apa yang dimaksudkan dengan tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh semua rakyat tidak kira samada lelaki mahupun perempuan.
Signifikannya dalam hal ini ialah rakyat berhak memilih calon pilihanraya yang dikatakan sesuai dan berkaliber dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Jadi dengan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi telah memberi satu peluang untuk memilih yang terbaik yang bakal menjadi pemerintah. Sebagai contoh di dalam hal memilih calon pilihanraya di mana berlaku perebutan di antara calon Islam dengan calon bukan Islam, masyarakat wajib datang mengundi bagi menyelamatkan mereka sendiri daripada mendapat calon yang tidak mengamalkan ajaran Islam. Jika wanita dilarang mengundi, tentu sahaja ia akan memberi kesan kepada keputusan yang bakal diperolehi berbanding dengan calon bukan Islam yang mana wanita di jalanan pun dibolehkan mengundi. Jadi dalam hal ini adakah adil jika menyekat kebebasan wanita dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam masa yang sama menghalang mereka daripada melakukan amar makruf nahi mungkar?
            Dalam hal peranan wanita sebagai pengundi ini, Ulama sepakat menyatakan adalah wajib bagi mereka untuk sama-sama membantu dalam menentukan keputusan pilihanraya kerana keputusan ini bukan bergantung kepada berapa ramai jumlah pengundi lelaki atau perempuan tetapi bergantung kepada kuantiti pengundi itu sendiri.
            Ibn Rushd menyatakan ulama sependapat mengharuskan orang-orang yang ghaib (tidak hadir), orang yang sakit, wanita dan orang yang berhak mentadbir urusannya sendiri boleh berwakil kepada orang lain. Dr. al-Mustafa al-Saba’ie menyatakan bahawa wanita berhak mengundi dan urusan mengundi adalah urusan berwakil kepada orang lain.
Islam menganggap penyertaan seseorang dalam pilihanraya dan pungutan suara adalah serupa dengan memberi kesaksian bahawa calon yang dipilih adalah baik. Oleh itu mesti ada dua syarat utama pada peribadi pemilih ataupun peribadi calon yang akan dipilih. Dua syarat utama ialah adil dan diredhai orang ramai. (Dr Yusuf Al-Qardhawi, 2002 : 215) Firman Allah s.w.t  dalam surah At-Talaq ayat 2 :
منكم عدل ذوى وٲشهدوا
“Dan mintalah kesaksian daripada dua orang yang adil diantara kamu.”
            Sesiapa yang memberikan kesaksian ke atas seorang yang tidak baik dengan mengatakan bahawa dia baik maka dia telah melakukan dosa besar iaitu dosa memberi keterangan palsu. Begitu juga memberi undian atas alasan kerabat dekat atau sekampung atau kerana berharap mendapat manfaat daripada calon itu jika dia menang, maka dia telah menentang firman Allah dalam surah At-Talaq ayat 2 :
لله ٱلشهدة وأقيموا
“Dan hendaklah kalian dirikan kesaksian itu kerana Allah.”
Dan sesiapa yang tidak menunaikan kewajipannya dalam pilihanraya, sehingga golongan yang jujur kalah manakala golongan yang tidak layak pula menang dengan suara majoriti, maka dia telah menentang perintah Allah dalam memberi kesaksian.(Dr Yusuf Al-Qardhawi, 2002 : 216)  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 283 :
“Dan janganlah kalian (para saksi) menyembunyikan kesaksiannya dan sesiapa menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.”
Manakala ketika berlakunya pilihan raya wanita juga berperanan sebagai jawatankuasa penggerak pilihanraya seperti mengira undi atau terlibat didalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dibolehkan selagi ketelusan dalam pengiraan undi itu dijaga serta amanah dalam memikul tanggungjawab. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 283 :
“Sesiapa yang menyembunyikannya maka ia adalah seseorang yang berdosa terhadap hatinya (sendiri).”
Dan pada ayat yang lain pula dalam surah al-Maidah ayat 8 :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi penegak keadilan kerana Allah dan menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu semua terhadap satu kaum mendorong kamu untuk bersikap tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.”

PANDANGAN FUQAHA’ TERHADAP PENGLIBATAN WANITA SEBAGAI CALON DALAM PILIHAN RAYA (Zulqarnain Hassan, 2008:35)
Dalam penglibatan wanita sebagai calon pilihan raya, terdapat dua pandangan fuqaha yang ketara mengenai perkara ini. Satu golongan mengharuskannya dan satu golongan lagi tidak mengharuskannya. Setiap pandangan mereka adalah bersandarkan kepada dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah, pengalaman silam dan logik akal.

A)Pandangan Fuqaha yang Tidak Mengharuskan Penglibatan Wanita sebagai Calon Pilihan Raya
Sebahagian besar fuqaha dan institusi hukum berpendapat bahawa tidak harus bagi wanita terlibat sebagai calon dalam pilihan raya sekali gus sebagai wakil rakyat. Bahkan penglibatan tersebut hanya terhad kepada golongan lelaki sahaja. Manakala, wanita hanya diminta pandangan sahaja dalam urusan yang bersangkutan dengan kewanitaan yang tidak diketahui oleh lelaki tanpa terlibat sebagai ahli parlimen. Antara mereka ialah al-Syeikh Hasanayn Muhammad Makhluf (bekas Mufti Mesir dalam fatwanya pada 4 Mei 1952) dan Syed Abu al-A’la al-Maududi.
            Golongan ini meletakkan syarat bagi keanggotaan parlimen atau calon dalam pilihan raya mestilah dalam kalangan lelaki. Bagi mereka, Islam mengharamkan penglibatan wanita dalam urusan tersebut atas alasan keanggotaan ahli parlimen dikira sebagai kepimpinan umum. Mereka mengukuhkan hujah dengan mendatangkan dalil al-Quran, al-Sunnah, pengalaman lampau dan rasional pemikiran.
Antara  dalil al-Quran yang mereka gunakan ialah firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dalam pada itu kaum lelaki mempunyai kelebihan satu darjat atas kaum wanita”
 (Surah al-Baqarah : 228)
Ayat ini menunjukkan bahawa kaum lelaki mempunyai keistimewaan ke atas kaum wanita. Darjat yang dimaksudkan pada ayat ini ialah kepimpinan dan kepatuhan. Ahmad al-Qattan menegaskan:
Oleh itu tidak harus kaum wanita mendahului kaum lelaki dalam kepimpinan; justeru penglibatan wanita sebagai ahli parlimen adalah bercanggah dengan ayat di atas.
Selain dari itu, sebenarnya banyak dalil hadis yang dikemukakan oleh golongan ini. Namun di sini hanya dikemukakan satu hadis sahaja iaitu daripada Abi Bakrah menyatakan bahawa sesungguhnya Allah telah memeliharaku dengan satu perkara yang aku dengar daripada Rasulullah SAW ketika mangkat Raja Kisra. Tatkala sampai berita bahawa penduduk Parsi telah melantik anak perempuannya sebagai raja, maka Rasulullah SAW pun bersabda:
“Tidak akan berjaya suatu kaum yang ditadbir urusan mereka oleh wanita”
Muhammad Abu Faris menegaskan:
Pada hadis tersebut Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa tiada mendapat kejayaan suatu kaum yang menyandarkan urusan kepimpinan umum mereka kepada kaum wanita termasuklah keanggotaan majlis syura. Umat Islam adalah disuruh berusaha mencari sebab ke arah membawa kejayaan dan dilarang melakukan apa sahaja yang boleh membawa kerugian yang nyata.
Perkhabaran ini memberi maksud larangan terhadap umatnya untuk berbuat demikian. Menurut Muhammad ‘Atiyyah Khamis, hakikat ini telah dipraktikkan oleh para sahabat dan golongan salaf terdahulu. Keputusan dan sikap mereka ini semuanya berpandukan kepada hadis tadi iaitu mengharamkan wanita menjawat ketua negara, hakim, ketua tentera dan lain-lain yang merupakan kepimpinan umum.
            Golongan fuqaha ini juga menggunakan pengalaman silam bagi menguatkan pandangan mereka. Antara contoh peristiwa penting pada zaman sahabat yang menggambarkan tiada penglibatan wanita adalah seperti berikut:
  1. Peristiwa perlantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah di Saqifah Bani Sa’idah. Dalam peristiwa tersebut, tiada seorang wanita pun terlibat, samada Fatimah binti Muhammad Rasulullah SAW mahupun para Ummahat al-Mu’minin atau para sahabiyyah yang lain.
  2. Peristiwa riddah. Abu Bakar al-Siddiq telah meminta pandangan para sahabat dalam perkara tersebut, namun tiada riwayat yang menyatakan bahawa wanita dalam kalangan sahabiyyah terlibat sama.
Kemudian golongan fuqaha yang mengharamkan penglibatan wanita sebagai calon di dalam pilihan raya turut mengukuhkan pandangan mereka dengan logik akal. Mereka meletakkan dua perkara penting yang mempunyai hubungan secara langsung dengan tugas sebagai ahli parlimen iaitu:
  1. Tugas sebagai ahli parlimen
Parlimen mengambil tempat yang terpenting dalam sesebuah negara. Anggotanya melaksanakan tugas untuk berbincang permasalahan negara. Mereka dituntut hadir bersidang di dewan parlimen dalam keadaan bercampur antara lelaki dan wanita, di samping bebas berinteraksi sesama mereka. Mereka juga terpaksa keluar berhadapan dengan masyarakat dan mendedahkan sesuatu yang diharamkan seperti mendedahkan kecantikan mereka. Kadang kala mereka juga perlu bermusafir dalam jarak yang jauh sehingga ke luar negara tanpa ditemani oleh mahram mereka.
            Situasi tersebut ternyata bercanggah dengan Islam yang mengharamkan ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita) di setiap tempat, dan Islam juga menutup ruang yang boleh mendorong ke arah itu. Islam juga amat melarang khulwah (bersunyi-sunyian) dengan lelaki ajnabi dan bermusafir tanpa kehadiran mahram. Semua ini tidak akan mampu dipelihara dalam keadaan wanita terlibat sebagai anggota parlimen.
  1. Tabiat semula jadi wanita
Kejadian wanita dari sudut biologi dan emosinya amat berbeza dengan lelaki. Berdasarkan perbezaan tersebutlah maka ruang lingkup pekerjaan mereka juga berbeza. Lebih serius lagi terdapat beberapa bentuk halangan semula jadi yang berbentuk rutin berlaku ke atas wanita, iaitu kedatangan haid setiap bulan dan fenomena kehamilan serta melahirkan anak. Faktor ini menyebabkan kekuatan dalaman mereka menjadi lemah dan juga memberi kesan kepada semangat untuk membentuk pandangan yang bernas.

B)Pandangan Fuqaha yang Mengharuskan Penglibatan Wanita sebagai Calon Pilihan Raya
Sebahagian fuqaha lagi mengharuskan wanita menjadi calon, seterusnya menjadi wakil rakyat. Mereka berpendapat bahawa tidak disyaratkan lelaki sahaja pada jawatan tersebut bahkan wanita layak melibatkan diri dalam apa sahaja aktiviti dan jawatan politik. Antara mereka ialah Abd al-Hamid Mutawalli, Sulayman Muhammad al-Tamawi, Yusuf al-Qardawi, Sa’id Ramadhan al-Buti dan Muhammad Baltaji.
            Mereka berhujah dengan keumuman syariat yang merangkumkan dan menyamakan keahlian golongan lelaki dan wanita. Mereka juga berdalilkan beberapa ayat al-Quran, al-Sunnah dan beberapa pengalaman silam pada zaman awal Islam.
            Dalam mengharuskan penglibatan wanita sebagai calon atau anggota parlimen, mereka mendasarkan hujah kepada tabiat tugas ahli parlimen dalam sistem demokrasi moden iaitu:
  1. Menggubal undang-undang.
  2. Mengawasi tindakan pemerintah dalam segala kegiatan dan tindakan.
Antara dalil al-Quran yang mereka gunakan ialah surah at-Taubah ayat 71, firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang beriman, lelaki dan wanita, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain; mereka menyuruh membuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
Ayat tersebut menegaskan tentang wujudnya perkongsian antara lelaki dan wanita dalam melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar. Maka ayat ini amat jelas menyatakan bahawa golongan lelaki dan wanita berkongsi dalam mentadbir masyarakat. Perkongsian tugas ini boleh difahami sebagai perkongsian kuasa perundangan, kehakiman dan eksekutif kerana ketiga-tiga kuasa ini menjurus kepada amar makruf nahi mungkar.
            Golongan ini menggunakan peristiwa perjanjian Hudaibiyyah sebagai dalil al-Sunnah bagi mengukuhkan pandangan mereka. Yang mana Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat baginda yang bermaksud :
                        “Bangkitlah untuk menyembelih ternakan kemudian bercukurlah”
Namun tiada seorang sahabat pun yang bangkit menyahut arahan tersebut sehingga Rasulullah SAW mengulanginya sebanyak tiga kali. Apabila didapati tiada seorang sahabat pun yang bangkit, Baginda lalu masuk ke dalam khemah menemui Ummu Salamah lalu menceritakan apa yang terjadi. Lalu Ummu Salamah mencadangkan supaya Rasulullah SAW keluar kembali dan menyembelih ternakannya tanpa berkata-kata kepada sahabatnya dan kemudian memanggil tukang cukur untuk mencukur rambutnya. Setelah Rasulullah SAW melakukannya, barulah para sahabat menurutinya sehingga semuanya selesai dengan baik.
Peristiwa ini merupakan dalil bahawa wanita diharuskan menjadi ahli dewan rakyat atau majlis syura, kerana Rasulullah SAW sendiri pernah meminta pendapat isterinya dan Baginda menuruti pula pandangan yang diberikan.
            Melalui pengalaman silam pula, golongan ini mengukuhkan pandangan dengan kisah penglibatan Sayidatina Aisyah r.a yang keluar dari rumah, bahkan dari Madinah dan bermusafir ke Basrah untuk mengepalai bala tentera yang terdiri dalam kalangan sahabat yang dijamin syurga (Talhah r.a dan al-Zubayr r.a) untuk menuntut apa yang diyakini benar dan tepat iaitu supaya disegerakan qisas terhadap pembunuh Saiyidina Uthman r.a.
            Menurut Fu’ad Abd al-Mun’im:
Tindakan Aisyah r.a membuktikan tentang keharusan wanita dilantik menjadi wakil rakyat atau ahli parlimen bagi golongan fuqaha yang mengharuskannya.
Secara keseluruhannya, pendapat dan ijtihad para fuqaha dalam persoalan ini menunjukkan bahawa hujah masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri. Kesemua mereka nampaknya cuba memperkukuhkan pandangan masing-masing dengan berpandukan syarak.
Namun begitu, keputusan yang terbaik adalah dengan mengambil jalan kompromi antara dua pandangan (al-tawfiq bayn al-ra’yayni). Ini bermaksud bahawa pandangan golongan yang menolak penglibatan wanita tidaklah disisihkan secara total dan pandangan golongan yang menerima pula tidaklah diambil sepenuhnya.
Bahkan dengan meletakkan peraturan dan syarat-syarat yang ketat terhadap penglibatan mereka dalam arena ini, bolehlah dianggap sebagai pendekatan terbaik ketika berhadapan dengan isu ini. (Zulqarnain Hassan, 2008:68)

PENGLIBATAN WANITA DALAM PILIHAN RAYA MENURUT PERSPEKTIF SIYASAH SYAR’IYYAH (Zulqarnain Hassan, 2008:74)
            Islam merupakan agama yang universal di mana ia sesuai untuk dipraktikkan untuk setiap zaman dan suasana. Di dalam Islam ada prinsip yang tetap hukum perlaksanaannya disebut sebagai al-thawabit dan ada juga hukum yang boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan semasa disebut pula sebagai al-mutaghayyirat.
            Berkenaan isu penglibatan wanita sebagai calon pilihan raya atau wakil rakyat, tiada nas yang jelas menetapkan hukum samada harus atau haram mengenainya. Di mana di sini, ia disebut sebagai ahkam al-siyasah syar’iyyah. Di antara kaedah atau asas yang disebut di sini ialah asas Maslahah ‘Ammah, asas menepati objektif syarak (Maqasid al-Syari’ah) dari sudut kepimpinan, asas selaras dengan Prinsip Syura, keadilan dan kesamaan dalam Islam, faktor ‘Urf dan Sadd al-Dhara’i

•      Maslahah ‘Ammah (Al-Istislah)
Hukum wanita dalam menyertai pilihan raya menurut maslahah ‘ammah dikatakan menjadi sesuatu keperluan di mana mereka menyertai pilihan raya kerana keperluan maslahah seperti untuk menyampaikan dakwah, menyatakan yang hak dan mencegah kemungkaran. Di mana di sini wanita-wanita Islam yang beriltizam dengan agamanya perlu dalam berhadapan dengan wanita-wanita sekular yang lain yang berniat jahat dalam memporak-perandakan Islam sendiri dengan memberi gambaran yang salah mengenai kedudukan wanita yang dikatakan tidak bebas dan dizalimi oleh agama mereka sendiri.
Jadi di sinilah pentingnya penglibatan wanita Islam dalam pilihan raya bagi membetulkan semula anggapan dan tuduhan mereka itu dengan membuktikan sendiri bahawa apa yang dikatakan mereka itu sekadar hanya tuduhan dan provokasi semata-mata.
Malah penglibatan wanita dalam pilihan raya juga dilihat sebagai suatu keperluan kerana banyak perkara dalam undang-undang syarak yang bersangkutan dengan hal-ehwal kewanitaan dan kekeluargaan yang mana memerlukan pandangan wanita secara langsung dalam hal ini. Signifikannya dalam hal ini, merekalah yang lebih berautoriti dalam menjelaskan persoalan tersebut berbanding golongan lelaki.
Sebagai contoh bagaimana Khalifah Umar al-Khattab r.a meminta pandangan dari anaknya sendiri iaitu Habsah dalam hal berkenaan masalah undang-undang bagi menetapkan tempoh masa seseorang suami boleh meninggalkan isterinya untuk keluar berjihad setelah beliau terdengar rintihan seorang isteri dalam menyatakan rindunya kepada suami yang keluar berperang.
Dapatlah dirumuskan bahawa penglibatan wanita Islam sebagai calon pilihan raya adalah menepati asas maslahah ‘ammah kerana mereka dapat mewakili kaum wanita yang lain dalam menyuarakan pendapat dan hak mereka disamping memberikan pandangan yang bernas dalam hal kewanitaan khususnya selain menghindarkan urusan kewanitaan dimonopoli wanita sekular yang prejudis terhadap Islam.

•      Menepati Objektif Syarak (Maqasid al-Syari’ah) dari sudut Kepimpinan
Setiap orang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan dan keistimewaan masing-masing. Begitu juga seperti lelaki dan wanita di mana ada perkara yang tidak boleh atau tidak pakar untuk dibuat oleh lelaki kerana ia lebih sesuai dilakukan oleh wanita dan begitu juga sebaliknya. Sebab itu ia memerlukan kepada kerjasama daripada dua pihak dalam mendapatkan hasil yang terbaik.  Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah An-Nisa’ ayat 32:
“Bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi wanita ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.”
Kebolehan wanita Islam dalam bidang tertentu seperti misalnya yang melibatkan hal kewanitaan, kekeluargaan, ekonomi serta pendidikan dapat membantu kerajaan dalam menguruskan negara baik dari sudut politik, sosial, dan ekonomi.
Menyelak helaian sejarah yang lalu menyaksikan ramai tokoh wanita yang telah memberi jasa dan bakti mereka kepada negara seperti Ummu Salamah yang berjaya meredakan konflik yang berlaku di antara Rasulullah s.a.w dengan para sahabat sejurus Perjanjian Hudaibiyah, Saidatina ‘Aisyah binti Abu Bakr pula dijadikan sebagai tempat rujukan bagi golongan lelaki mahupun perempuan dalam persoalan berkaitan hadith dan hukum fiqh, Siti Zubaydah binti Ja’afar memberi khidmat dengan menyumbangkan idea membina tali air bagi kemudahan para hujjaj dan ramai lagi wanita Islam yang lain yang turut sama-sama mengembleng usaha dan kebolehan mereka dalam membantu menguruskan negara samada secara langsung mahupun tidak langsung. 
Penglibatan yang sedemikian dilihat dapat merealisasikan maksud tersebut dengan lebih jelas jika mereka diberikan portfolio yang sesuai dengan kebolehan dan fitrah mereka.

•      Selaras dengan Prinsip Syura, Keadilan dan Kesamaan Islam
Dalam Negara Islam, syura terlaksana dengan sempurna melalui penglibatan daripada semua pihak yang pakar dalam bidang masing-masing. Tidak kira samada kaum lelaki atau wanita yang menjadi anggota dalam majlis syura itu kerana prinsip syura adalah tempat untuk dibincangkan mengenai sesuatu masalah di mana disitulah para ilmuan dan cendekiawan yang pakar dalam bidang masing-masing membincangkannya bersama dan mampu membawa maslahah kepada negara.
Dalam hal ini, golongan wanita juga tidak terkecuali menjadi anggota dalam majlis syura kerana berkisar mengenai kebolehan mereka dalam memberi pendapat lebih-lebih lagi jika berkenaan hal-hal kewanitaan dan kekeluargaan yang sesuai dengan fitrah semulajadi mereka. Tujuan utama syura adalah untuk mencapai kebenaran dan kebaikan, jadi baik lelaki mahupun wanita sama-sama dalam berkongsi memikul tanggungjawab ini demi kebaikan rakyat dan Negara.
Perihal keadilan dan kesamaan pula, Islam melihatnya dengan pandangan yang sama bagi seluruh manusia. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 :
"Hai manusia ! sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa. "
Prinsip ini telah didatangkan kepada Islam di dalam keadaan umat Arab dahulu yang mementingkan semangat asabiyyah ataupun kepuakan dikalangan mereka. Maka Islam datang dengan membawa satu angin perubahan yang boleh diterima oleh semua masyarakat, iaitu satu bentuk prinsip keadilan di dalam bermasyarakat, iaitu prinsip persamaan antara individu.
Melihat kepada ayat al-Quran itu, dapatlah disimpulkan bahawa keadilan dan kesamaan mestilah berlaku seiringan dalam segenap ruang lingkup kehidupan yang mana ia wajib terlaksana baik dalam sistem kehakiman, tanggungjawab umum termasuklah dalam urusan kenegaraan.
Berkenaan dalam hal menggubal undang-undang, Islam tidak melarang penglibatan wanita dalam hal ini di mana Islam membuka ruang yang seluasnya kepada umatnya baik lelaki mahupun wanita untuk menuntut ilmu kerana dalam hal menggubal undang-undang memerlukan daya keintelektualan yang tinggi.
Mengawasi tindakan pemerintah pula adalah termasuk kategori jihad, atau amar makruf nahi mungkar atau amal perbuatan atau kekuasaan tertentu di dalam hukum dimana baik lelaki mahupun wanita sama-sama bertanggungjawab dalam melaksanakannya bagi membuktikan wujudnya konsep kesamaan dan keadilan disitu.

•      Faktor ‘Urf
Faktor ‘urf adalah berasaskan kepada faktor zaman, suasana, dan budaya setempat. Justeru perubahan fatwa dibenarkan sesuai dengan kaedah fiqh :
الزمان بتغير الأحكام تغير ينكر لا
“Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa”
            Jika ditinjau dari sudut perubahan zaman yang berlaku, didapati partisipasi wanita pada zaman dahulu agak pasif disebabkan keadaan persekitaran ketika itu yang tidak memerlukan wanita terlibat secara langsung dalam hal berkaitan pemerintahan Negara. Namun perubahan zaman turut merubah keadaan yang jauh berbeza berbanding dahulu dimana wanita kini dilihat mula bangkit seiring dengan perubahan yang berlaku.
            Ilmu diberi samada rata tidak kira kepada lelaki atau wanita, masing-masing bebas dalam mempelajari apa yang mereka minati. Jadi keupayaan dan kebolehan wanita dalam profesion tertentu perlu digembleng bukan sahaja untuk pembangunan keluarga malahan bangsa dan negara keseluruhannya.
            Tetapi tidak semua negara mengalami perubahan yang sama. Walaupun di Malaysia dan beberapa buah negara Islam yang lain telah mengubah pendirian mereka terhadap partisipasi wanita dalam pemerintahan negara, ada juga negara yang masih tidak membenarkan wanita terlibat dalam pilihan raya di atas sebab-sebab tertentu. Contohnya di Mesir di mana pengasas Ikhwan al-Muslimin iaitu Imam Hasan al-Banna dalam kenyataan berbunyi :
أحد يجحدها لا السياسيه المرأۃ حقوق أن
ولكن الوقت لم يحن بعد لاستخدامها
“Tidak ada halangan bagi wanita menunaikan haknya untuk berpolitik, namun masa dan ketikanya belum sesuai.”
            Di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang sebelum ini tidak membenarkan calon wanita bertanding dalam pilihanraya atas disebabkan suasana politik yang tidak mengizinkan mula mengubah keputusannya seiring dengan perubahan zaman. Hal ini terbukti apabila Parti itu meletakkan calon pilihanraya seperti Dr. Lo’ Lo’ bt Dato’ Haji Mohd Ghazali untuk bertanding bagi kerusi Parlimen dan akhirnya beliau berjaya dalam merebut kerusi untuk Parlimen Bukit Gantang, Perak.
            Daripada penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa faktor ‘urf atau faktor perubahan yang berlaku pada zaman, suasana, budaya dan adat setempat memang memainkan peranan dalam menetapkan serta mempengaruhi fatwa keharusan wanita dalam berpolitik.

•      Sadd al-Dhara’i
Kaedah fiqh Sadd al-Dhara’i yang bermaksud menutup pintu perkara-perkara yang boleh menimbulkan kerosakan digunakan oleh beberapa orang para ulama’ dalam membatasi penglibatan wanita dalam pilihan raya dengan hujah bahawa khuatir kemungkinan timbulnya fitnah seperti berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita yang boleh menjejaskan kehormatan wanita tersebut juga fitnah yang ditimbulkan akibat tabarruj yang dikenakan oleh wanita bagi menarik pengundi agar memilih mereka.
Namun para ulama’ telah menetapkan bahawa berlebih-lebihan dalam menutup pintu perkara-perkara yang boleh membawa kepada kerosakan adalah sama seperti berlebih-lebihan dalam membuka pintu kerosakan. Ini kerana sekiranya wanita Islam tidak keluar untuk mengundi di dalam pilihan raya lantaran larangan daripada para ulama’ bagi menghindarkan fitnah dan kerosakan akan menyebabkan calon yang beriltizam untuk agama kehilangan undi yang banyak berbanding calon yang menentang Islam akan menang hasil undian daripada wanita jalanan yang tidak terikat dengan agama. 
Begitu juga dengan calon wanita yang bertanding di dalam pilihan raya. Jika wanita tidak dibenarkan untuk terlibat secara langsung dalam hal berkaitan pemerintahan negara kerana dikhuatiri berlakunya percampuran diantara lelaki dan perempuan, jadi kepada siapakah golongan wanita yang teraniaya mahu mengadu nasib dan memperjuangkan hak mereka jika bukan pada wakil wanita yang lebih memahami fitrah mereka.
Berdasarkan kepada perspektif siyasah syar’iyyah berkenaan penglibatan wanita dalam pilihan raya dapatlah disimpulkan bahawa keterlibatan mereka memberi maslahah atau kebaikan yang lebih banyak berbanding kemudaratan yang akan timbul. Justeru itulah maka keterlibatan mereka dilihat menepati asas-asas siyasah syar’iyyah selagi mereka tidak melanggar etika atau syarat-syarat tertentu bagi mengelakkan perkara yang bercanggah dengan syarak.

ETIKA WANITA DALAM POLITIK
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas kita melihat hukum wanita melibatkan diri dalam pilihan raya sebagai calon dan pengundi adalah harus berpandukan kepada peraturan dan syarat sebagai langkah daripada berlakunya perkara yang tidak dikehendaki. Secara umumnya penglibatan wanita sebagai calon pilihanraya tertakluk kepada dua syarat. Syarat yang pertama ialah bersangkutan hal peribadi wanita itu sendiri. Manakala syarat yang kedua pula ialah bersangkutan tugasnya sebagai calon atau wakil rakyat. Bagi menjelaskan perkara ini, kita akan membincangkan secara terperinci apa yang terdapat di dalam dua perkara di atas.
Pada asasnya syarat calon wanita dalam politik adalah sama dengan lelaki kecuali dalam beberapa perkara yang ditetapkan oleh Allah ke atas wanita selari dengan fitrah kewanitaan itu sendiri. Antara syarat yang bersangkutan peribadi wanita itu ialah berkelayakan dan berkemampuan. Berkelayakan dan berkemampuan bolehlah di definisikan sebagai memiliki ciri-ciri asas seperti Islam, baligh, merdeka, sejahtera pancaindera dan anggota badan serta berakal. Selain memiliki ciri asas ini wanita itu juga perlulah mencapai tahap penguasaan ilmu sebagai wakil rakyat. (Zulqarnain Hassan, 2008:86)
Seterusnya dari sudut keperibadian pula, mereka hendaklah ada sifat aspek agama dan akhlak. Sifat pada agama bagi wanita ialah bertakwa kapada Allah. Manakala sifat aspek akhlak ialah adil, menunaikan amanah, memastikan yang berhak menerima haknya, menghargai jasa orang bawahan dan merangsang mereka bekerja dengan tekun dan cekap. Di samping itu perlu ada sifat berani dalam diri wanita itu bagi berdepan dengan cabaran dan rintangan. (Andek Masnah Andek Kelawa, 1999: 114)
Sifat yang kedua yang bersangkutan dengan  peribadi calon wanita ialah memelihara etika pertemuan dan pergaulan antara lelaki dan wanita. Beberapa etika pertemuan yang wajib di ambil ialah keseriusan agenda pertemuan. Firman Allah “...dan ucapkanlah olehmu (kaum wanita) perkataan yang baik” Ayat tersebut mengisyaratkan bahawa topik perbicaraan antara lelaki dan wanita haruslah berada dalam batasan-batasan yang makruf. Oleh yang demikian pentingnya keseriusan agenda dalam pertemuan mereka. Agenda yang diisi dengan gurau senda yang berlebihan merupakan pembuka jalan kemungkaran.
Etika kedua ialah menundukkan pandangan iaitu tidak memandang ke sana ke mari kerana dikhuawatirkan akan berlaku fitnah. Disarankan wanita jangan terlalu mengikut kehendak hati menjamu mata pada sesuatu yang tidak sewajarnya. Sebaiknya setiap individu haruslah berusaha membangun keperibadian, pemikiran, dan perasaan ke arah perkara yang lebih bermanfaat. Etika ketiga ialah menghindari berjabat tangan dalam situasi umum lantaran ia adalah punca untuk merangsang syahwat. Berjabat tangan dengan kaum wanita atau sebaliknya adalah tidak disenangi oleh Rasulullah S.A.W. Ini bermakna adalah tindakan terbaik jika kita mencontohi Rasulullah yang tidak berjabat tangan dengan menyentuh wanita pada keadaan umum. Sebaliknya jika keadaan benar-benar bebas daripada fitnah dan alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.
Seterusnya, etika yang mesti dipatuhi ialah memisahkan lelaki dan wanita atau menjauhkan percampuran. Wanita perlu ditempatkan pada barisan belakang ketika berada di dalam majlis atau dirumah. Etika ini bertujuan untuk menghindari percampuran dengan cara menempatkan wanita di tempat yang bersesak-sesak yang akhirnya membawa kepada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Selain memisahkan lelaki dan perempuan di dalam pertemuan perlu juga wanita itu menghindari khulwah (bersunyi-sunyian). Berdasarkan kepada beberapa hadis sahih, khulwah atau bersunyi-sunyian antara lelaki dan wanita adalah dilarang oleh agama. Antaranya ialah hadis daripada Ibnu Abbas r.a daripada Nabi SAW Bersabda: “Janganlah seorang lelaki khulwah dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya” jelas hadis ini menentang perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram.
Oleh itu, wanita yang telah masuk dalam pilihan raya sebagai calon atau sebagai pengundi hendaklah menghindarkan pertemuan yang lama dan berulang-ulang. Hal ini pertemuan sedemikian agak sukar menjaga pelbagai etika seperti menahan pandangan, serius dalam perbualan, dan bertingkah laku sopan. Melainkan jika sifat tugas tersebut memang menuntut pertemuan yang berulang- ulang untuk tujuan bekerjasama dan bertukar fikiran atau hal-hal yang betul-betul manfaat.
Seterusnya syarat-syarat yang bersangkutan dengan tugas sebagai calon atau wakil rakyat secara umumnya adalah seperti berikut. Wanita sebagai wakil rakyat hendaklah pastikan tugas mereka tidak bercanggah dengan syarak. Tugas mereka hendaklah bersesuaian dengan tabii kewanitaan dan memelihara kehormatan. Wanita itu juga haruslah memastikan tugas sebagai wakil rakyat itu tidak menjejaskan tugas utama sebagai isteri dan ibu. Tugas dan kerja wanita itu hendaklah tidak menjejaskan atau menyempitkan peluang kaum lelaki untuk bekerja. (Zulqarnain Hassan, 2008:101)
Kesimpulannya, sebagai seorang pemimpin, wanita sebagaimana juga kaum lelaki perlulah mempunyai ilmu pengetahuan serta keupayaan dan kebolehan untuk memimpin dan mentadbir di samping mempunyai nilai-nilai akhlak yang tinggi seperti amanah, adil serta menjaga batas-batas aurat dan pergaulan bagi melindungi kaum wanita daripada fitnah. Selain daripada itu, wanita juga perlu memenuhi etika khusus apabila berurusan di luar rumah termasuklah dalam aktiviti politik. Etika tersebut termasuklah mendapat keizinan wali atau suarni, tidak mengabaikan tanggungjawab asasi sebagai isteri dan ibu dalam unit kekeluargaan serta memastikan kualiti tugas dalam rumahtangga serta tidak menimbulkan kemudaratan sama ada kepada diri atau kumpulan yang dipimpin.

SISTEM DEMOKRASI
Dalam sistem demokrasi, parlimen terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang pertama aspek penilaian atau muhasabah dan yang kedua aspek perundangan. Aspek penilaian atau muhasabah adalah berlandaskan kepada kefahaman syarak iaitu merujuk kepada amar makruf dan nahi mungkar serta nasihat dalam agama. Tugas amar makruf nahi mungkar serta nasihat dalam agama merupakan kewajipan pemimpin Islam dan juga orang awam. Ia merupakan kewajipan yang dituntut sama ada kaum lelaki mahupun perempuan, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Taubah ayat 71 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
            Rasulullah s.a.w pernah meminta pandangan Ummu Salamah di dalam peperangan Hudaibiyah dan pandangan yang diberikan oleh beliau dilaksanakan oleh nabi. Hasilnya mendatangkan kebaikan kepada umat Islam. Keadaan ini membuktikan, selagi mana seorang wanita itu menasihati dan mengemukakan pendapat di dalam perkara yang dilihatnya sebagai betul serta melakukan amar makruf nahi mungkar adalah menjadi hak dan tidak ada dalil syarak yang manghalangnya dari menjadi anggota dalam majlis parlimen.
            Bagi aspek perundangan pula, perlu diketahui pembuat perundangan yang asasi adalah Allah s.w.t. manusia hanya mengeluarkan hukum dalam perkara yang tiada nas atau menjelaskan nas yang bersifat umum. Manusia mengeluarkan hukum, membuat perincian dan penyesuaian dengan berijtihad. Mengikut perundangan Islam, ijtihad boleh dilakukan sama ada lelaki maupun perempuan. Dalam sejarah ijtihad tidak begitu tersebar dalam kalangan perempuan berbanding lelaki. Hal ini kerana ia merujuk kepada tidak tersebarnya ilmu dalam kalangan perempuan kerana keadaan pada zaman tersebut berbeza dengan zaman kini. Bilangan perempuan terpelajar sama atau hampir sama dengan bilangan lelaki terpelajar. Mereka mempunyai ciri-ciri kecemerlangan yang kadang-kadang mengatasi kaum lelaki. Kecemerlangan sebenarnya tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki sahaja malah kepada kaum perempuan.
            Selain daripada itu, terdapat beberapa perkara di dalam perundangan yang berkaitan dengan kaum wanita dan kekeluargaan, sewajarnya suara kaum wanita perlu juga diambilkira dalam perkara-perkara tersebut.
            Di Malaysia, jumlah kaum wanita yang dicalonkan menjadi wakil rakyat atau ahli parlimen adalah terbatas. Majoritinya masih dikuasai oleh kaum lelaki. Suara majoriti inilah yang memiliki kuasa untuk membuat keputusan. Dalam erti kata sebenar, kekuasaan umum wanita ke atas kaum lelaki adalah yang dilarang. Kekuasaan umum yang dimaksudkan di sini ialah kekuasaan umum ke atas ummah iaitu kepimpinan keseluruhan negara Islam.
            Walaupun begitu, tidak semua wanita sesuai untuk memegang jawatan sebagai wakil rakyat atau ahli parlimen. Keadaan ini kerana wanita mempunyai tugas yang paling besar iaitu mendidik anak-anak di rumah. Namun, bagi wanita yang tidak mempunyai anak tetapi mempunyai kekuatan minda, kelebihan masa, berilmu dan pintar atau wanita yang mana anak-anaknya sudah pun berkahwin, wanita seumpama ini tidak ada halangan untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat atau ahli parlimen.

KESIMPULAN
Berpandukan kepada konsep Siasah Syar’iyyah, wanita islam dibolehkan untuk melibatkan diri khususnya sebagai calon dalam pilihanraya dan keanggotaan parlimen. Peningkatan kualiti yang dimiliki oleh mereka pada zaman kini ditambah lagi dengan kemahiran tertentu, perlu digarap sebaik mungkin agar dapat membawa maslahah (keperluan) kepada ummah. Oleh itu penglibatan mereka dalam arena politik perlulah diterima dengan sebaiknya tanpa prejudis dengan mengambil kira syarat-syarat tertentu sebagaimana yang telah dijelaskan.
Sungguhpun begitu, siyasah syari’yyah mempunyai syarat-syarat serta prosedur yang tersendiri dalam membolehkan wanita itu melibatkan diri dalam politik di mana mereka perlu mematuhi etika dan disiplin tertentu sebagaimana yang telah digariskan supaya keperluan diri, keluarga dan masyarakat sentiasa terjaga.
Namun, harus juga difahami bahawa penglibatan mereka dalam politik tidaklah bererti mereka ini menandingi kaum lelaki dari sudut menjadi pemimpin utama negara dan seumpamanya tetapi keterlibatan kaum wanita ini adalah lebih kepada memenuhi keperluan        (maslahah) semasa bagi mengimbangi penguasaan golongan penentang Islam atau secular juga sebagai wakil wanita Islam untuk menyuarakan hak-hak wanita serta menjawab segala persoalan yang berkaitan dengan hal ehwal wanita.
Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa wanita amat memainkan peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah negara khasnya dan pemerintahan amnya. Penglibatan kaum ini didapati tidak bertentangan dengan system pemerintahan Islam yang membenarkan mereka menceburkan diri dalam bidang pekerjaan (politik dan politik) malah sebagai calon pilihanraya. Namun, wanita juga perlu faham akan keutamaan yang wajib bagi mereka terhadap institusi kekeluargaan dan etika atau akhlak yang perlu dipelihara ketika melibatkan diri dalam masyarakat.

Assingment bersama :

Siti Nurmala bt Ariff
Siti Marhanim bt Abdullah
Nurul Ain bt Zainul Abidin
Aeiza Munirah bt Ahmad Fuad
Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dengan Kepujian


Seliaan dari :

Dr. Basri bin Ibrahim
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu




RUJUKAN

1. Abdul Monir Yaacob (2002), Etika dan Budaya Berpolitik dari Perspektif Islam, Kuala Lumpur; Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)

2. Andek Masnah Andek Kelawa (1999), Kepimpinan Wanita dalam Islam; Kedudukannya dalam Syariah, Bangi; Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

3. Dr Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari (2009), Isu-isu Fiqh Halam Haram Semasa, Penerbitan Al-Hidayah Sdn. Bhd

4. Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris (2000), Fiqh Siasah menurut Imam Syahid Hassan Al-Banna, Kuala Lumpur; Pustaka Syuhada

5. Dr Yusuf Al-Qardhawi (2002) diterjemah oleh Arsil Ibrahim, Fiqh Kenegaraan, Kuala Lumpur; Angkatan Belia Islam Malaysia

6. Dr. Yusuf Qardhawi (1998) dierjemah oleh Ust. Hj Juanda Hj Jaya, Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, Selangor; Martabah al-Qardhawi

7. Sa’adiah Hassan dan Endang Erwani Md. Dom (1997), Martabat Wanita Dan Tuntutan Abad Ke-21, Kuala Lumpur; Institut Perkembangan Minda (INMIND)

8. Haji Muhammad Nur Lubis (2008), Hukum dan Persoalan Wanita dilantik sebagai Ketua Negara, Hakim atau Menteri, Kuala Lumpur; Al-Hidayah Publications

9. Muhammad ‘Ali Quthub terjemahan Jamaludin Kafie (1984), Bai’atun Nisa’ Linnabi S.A.W (Bai’at Kaum Wanita terhadap Rasulullah), Johor Bahru ; Penerbit Penamas Sdn. Bhd

10. Prof. Madya Dr. Haji Faisal Othman (1989), Peranan Wanita Islam Dalam Pembangunan Malaysia, Kuala Lumpur; Sanon Corporation Sdn. Bhd.

11. Zulqarnain Hassan (2008), Wanita Sebagai Calon Pilihan Raya : Suatu Perbahasan Dari Sudut Siyasah Syar’iyyah, Kuala Lumpur; Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd