Thursday 23 August 2012

Jubli Perak

24 Ogos 1987. Tepat jam 3.17am, bertempat di Hospital Universiti Kuala Lumpur 25 tahun yang lepas.

Sekarang dah 25 tahun berlalu. Orang kata dah boleh sambut Jubli Perak. Bila tengok pada angka, baru rasa peningkatan usia. Melihat pada tahap kematangan, rasanya belum cukup tahap masak lagi. Banyak perkara yang belum diteroka. Banyak ilmu yang belum didalami. Banyak tempat tidak dijajahi. Dan 'banyak' itulah memberi petanda kekurangan serba serbi dan kelemahan peribadi.

Walaupun begitu, semoga dengan peningkatan usia dari hari ke hari, tahun ke tahun, membawa sama peningkatan kendiri baik dari segi ilmu duniawi mahupun ukhrawi, kecekalan jasmani mahupun rohani serta pengistiqamahan kepada sifat ubudiyah dalam menjadi khalifah kepada kehidupan dua alam yang bersatu dalam acuan yang sama. 

Maka, dengan harapan dan usaha serta diiringi doa dan tawakal, semoga kehidupan di dunia ini dapat memberi manfaat kepada kehidupan di akhirat kelak. Berbakti kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan mencurahkan sedikit sebanyak ilmu yang bermanfaat untuk kemaslahatan semua. Semoga kehidupan ini tidak menjadi output kepada semua tapi memberi input kepada kehidupan yang sementara dan kekal kelak.

"Membina jati diri yang teguh berumbi dasarkan agama yang diredhai, berbekalkan ilmu yang serba berkurangan walaupun sentiasa digali dalam mendapatkan restu ilahi untuk bekalan kehidupan yang hakiki."

Semoga diri ini dan semua sentiasa berada di bawah RahmatNya dan diredhai dengan curahan nikmatNya. Ameen.



Salam Ikhlas dari Insan serba kurang,
                                                                    Widad Ali




Wednesday 22 August 2012

Salah faham atau tidak faham?

Kesibukan melakukan kerja a membataskan kerja b.

Ramai orang keliru. Mungkin tidak tahu. Sengaja tidak mahu tahu. Sebab merasakan diri tahu. Tidak mahu mengaku. Atau paling teruk tidak tahu pun diri memang tidak tahu. Dilema streotaip pemikiran.

Salah faham atau tidak faham. Membawa dua makna berbeza tetapi satu matlamat yang sama. Iaitu ketahuan, pengetahuan, pemahaman, kefahaman. 

Klise perbuatan seperti 
A : "Saya nak beli colgate."
B : "Saya nak beli ubat gigi."
Satu benda yang sama tetapi penjenamaan yang berbeza. Ada orang nak beli ubat gigi tetapi disebut 'colgate'. Tetapi tidak bermakna dia nak beli ubat gigi jenama colgate. Kadang-kadang kita tidak sedar, tetapi itulah yang selalu berlaku. Sebab mind set otak kita dah terarah, ubat gigi = colgate. Jadi, salah faham atau tidak faham?

Jenama Ubat gigi Colgate


Contoh lain, 
A : "PR = Pembangkang. BN = Kerajaan."
B : "PR & BN = Parti dominan di Malaysia."
Tipikal Malaysian (tidak majoriti tetapi boleh dikatakan hampir keseluruhan) akan melihat dua kompenan politikal Malaysia dalam corak begini. Pemikiran telah diterap sejak dulu lagi bahawa hanya satu kompenan yang memerintah dan berhak ke atas rakyat maka automatik satu kompenan tidak berhak memerintah. Tidak salah pemikiran sebegitu sebab memang betul hanya satu yang layak. Benar-benar layak. Persoalan tidak faham di sini ialah, apabila pembangkang tidak semestinya tidak boleh menjadi kerajaan, dan kerajaan tidak semestinya tidak boleh menjadi pembangkang. Pemikiran telah di set bahawa pembangkang, selamanya pembangkang. Sebab itu ramai yang tidak bersetuju kerajaan bertukar. Tetapi cuba lihat dalam konteks yang luas. Jangan tengok siapa pembangkang siapa kerajaan. Tengok atas kapasiti parti itu sendiri. Amerika  sebagai contoh, bertanding di atas parti dan dilantik melalui pilihanraya berdasarkan manifesto yang dibawa oleh perwakilan siapakah yang lebih layak menyandang jawatan presiden. Tiada bias. Semua bebas memilih. Tiada paksaan, tiada provokasi. Boleh nampak khidmat masyarakat yang diberikan untuk rakyat. Secara umumnya. Tetapi di Malaysia, perkara sebaliknya berlaku. Mungkin faktor sejarah sejak dahulu lamanya Malaysia diperintah oleh satu kompenan yang sama. Maka hal ini telah menjadi semacam adat yang sukar dipisahkan. Jika berubah kerajaan seolah-olah satu dosa yang besar telah dilakukan. Maka terdengarlah sok sek sok sek 'tidak tahu menghargai', 'inikah balasan atas perkhidmatan yang diberikan selama ini', 'sudah sampai masanya untuk membalas budi'. Ok, salah faham atau tidak faham konsep politik, demokrasi, kerajaan, parti, pembangkang atau apa-apa yang berkaitan? 

Berbagai parti di Malaysia


Mengenai kahwin muda,
A : "Gatalnya! Berkawanlah dulu. Dah cukup semua, barulah kahwin"
B : "Alhamdulillah, dah sampai jodoh."
Bila orang muda nak kahwin awal, dikatanya gatal. Bila orang muda bercinta/berpasangan, dikatakan biasalah tu anak muda. Jadi, 'biasa' itu merujuk kepada perkara yang sebagaimana? Dalam Islam, tiada istilah biasa jika merujuk kepada hubungan antara lelaki dan perempuan yang tidak sah. Islam amat menitik beratkan soal perhubungan antara lelaki dan perempuan. Lantas atas kedudukan yang bagaimana 'biasa' itu mahu diletakkan? Adat? Orang dulu-dulu pun mereka kahwin muda. Malah ada yang umur 9, 10 tahun (bagi perempuan) telah berkahwin, sesudah mereka baligh. Mereka dahulu nak bertentang mata dengan berlainan gender pun segan, apa lagi nak berpacaran? Kebanyakan ibu bapalah yang menentukan jodoh uda dan dara. Tidak seperti sekarang yang majoriti berkahwin atas pilihan sendiri. Jadi, boleh dikatakan budaya persekitaran sekarang inilah yang menyebabkan perkara luar biasa menjadi biasa. Maka, larangan agama kadang-kadang ditolak ke tepi, halal dan haram dilihat beriringan. Jadi, salah faham konsep perhubungan, atau tidak faham?

Kahwin itu menghalalkan yang haram. Sunnah Nabi untuk penambahan generasi yang diredhai Allah


Banyak perkara yang tanpa sedar kita sendiri terkeliru di atas penjenamaan, persekitaran, adat yang membelenggu, agama yang disalah ertikan dan momentum sejarah terdahulu. Berbagai punca penyumbang kepada kesalahfahaman sehingga membawa kepada ketidakfahaman. Hal ini perlu diperbetulkan dengan ilmu yang cukup bagi membebaskan diri dari cengkaman kejahilan tanpa kesedaran. Biarlah ilmu memandu kehidupan, agama pelengkap kerohanian, pengalaman mengajar kedewasaan, persekitaran menjatikan keteguhan dan sikap ubudiyah pengubah keseluruhan.