Sunday 21 October 2012

Masa terlalu cepat atau kita yang lambat?


Setiap detik masa yang bergerak adalah sama. Tidak pantas dan tidak lambat. Tapi, kenapa manusia sering merasakan masa yang berlalu adalah cepat? Maka keluarlah istilah "Masa bergerak pantas", "Masa tidak menunggu kita", dan bermacam istilah bagi mengambarkan masa itu cepat sahaja bergerak walau hakikatnya hari-hari yang berlalu disukat dengan 24 jam sahaja. Tidak pernah hari ini 24 jam dan esok 20 jam. Dulu, kini dan selamanya 24 jam. Jadi masa terlalu cepat atau kita yang lambat?

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-'Asr 103:1-3 berkaitan masa. Maka rugilah kepada sesiapa yang membiarkan masa itu berlalu dengan begitu sahaja tanpa memanfaatkan dengan sebaiknya. Jadi, kita tergolong dalam kategori yang mana? Untung atau rugi? Cepat atau lambat?

Seringkali kita menyalahkan masa tetapi jarang kita menunding jari kepada diri sendiri. Apabila hampir tiba due date, mulalah keluar perkataan "Cepatnya masa berlalu", "Alahai, sikitnya masa, mana cukup nak buat semua ni", "Sekejapnya, dah hampir masa." Jadi, masa yang cepat berlalukah? atau kita yang terlalu lambat?

Kita terlupa atau sering kali kurang beringat tentang perkara yang lebih bermanfaat berbanding yang tidak bermanfaat. Sebab itu kita merasakan betapa cepat masa berlalu. Kita merasakan belum sempat melakukan sesuatu perkara, masa pantas bergerak. Kita belum lagi merasakan belum membuat sesuatu perkara, tetapi cepat sahaja hari ini berlalu. Sebab? Kita lebih mengutamakan perkara-perkara yang tidak bermanfaat berbanding perkara bermanfaat. Oleh sebab itu kita merasakan kita tidak sempat berbuat apa-apa tetapi masa dah tiada. Bila dah sampai due, baru kita sedar betapa banyak masa yang dah terbuang.

Seringkali kita alpa mengenai perkara ini. Dan inilah yang saya kira kesilapan yang sentiasa berulang-ulang dilakukan. Insaf seketika dan akan dilakukan kembali dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Kita sering terlambat untuk sedar perkara yang berlaku. Apabila tiba pengakhirannya, maka kita mula sedar apa yang telah kita lakukan sepanjang tempoh itu.

Maka, bangkitlah kembali. Perbaiki diri sedikit demi sedikit. Masa tidak perlu dikejar, jika diri mula cepat berlari. Hanya perlu fikirkan mana yang lebih utama diberi perhatian barulah apa yang berlaku tidak akan merugikan. Masa itu adalah emaskan? Jadi, jangan bazirkannya dengan perkara yang tidak berfaedah. Unless jika kita mempunyai lebih dari 24 jam sehari berbanding orang lain. 

Akhir kata,
"Hargailah masa sepertimana kita menghargai orang yang kita sayang. Apabila hilang perasaan hargai itu, maka tiada lagi peluang kedua untuk kita nikmatinya. Jadi, selamat menjaga 'MASA'."