Sunday 13 January 2013

Diskriminasi Wanita didiskriminasi

Perjuangan wanita. Seringkali didengari di mana-mana. Alasannya, wanita sering menjadi mangsa. Jadi, mana buktinya?

Banyak persatuan, NGO mahu pun secara persendirian bersemangat untuk memperjuangkan hak wanita. Melindungi kaum wanita daripada ditindas. Kadang-kadang sehingga berlebih-lebihan baik daripada segi perkataan, perbuatan mahupun pemikiran.

Pernah suatu ketika, saya menyertai suatu forum yang diadakan di sebuah IPTA. Forum mengenai wanita, saya hadiri kerana ingin menambah input bagi tujuan kajian saya. Tapi sungguh kecewa kerana saya tidak mendapat input apa-apa daripada forum tersebut. Kebanyakan yang dibincangkan adalah berkenaan tanggungjawab pasangan dalam rumah tangga. Saya kira seolah-olah menghadiri kursus kahwin untuk kedua kali. Walhal tajuk forum tersebut adalah "Wanita dan Politik". Perkara ini berlanjutan sehingga ada tayangan video yang banyaknya diselitkan mengenai Bersih 3.0.  Di akhir program, para hadirin di minta untuk berdiri dan membacakan ikrar taat setia kepada PM Malaysia ketika ini. Owh! Saya baru tersedar hakikat berlangsungnya program ini walaupun sedari awal hati sudah berat mahu menghadirinya. Tanpa membuang masa (walaupun hakikatnya masa saya dah terbuang begitu sahaja), saya terus keluar dari dewan tanpa mengikut bacaan ikrar tersebut. Taat saya adalah untuk Allah dan pemimpin yang melaksanakan syariat Islam. Lain daripada itu? Sorry!

Saya teringat petikan kata-kata moderator tersebut "Wanita harus bangkit memperjuangkan haknya." Tetapi setelah ditayangkan video tersebut, beliau mengatakan "Wanita yang terlibat dalam demonstrasi ini telah didiskriminasikan". Kata-kata beliau ini membuatkan saya mula berfikir, apakah beza memperjuangkan hak dengan diskriminasi yang dimaksudkan oleh beliau?

Wanita berhak untuk memperjuangkan haknya, menyuarakan pendapatnya, melahirkan buah fikiran yang baik. Adakah keterlibatan mereka dalam demonstrasi itu dianggap sebagai suatu diskriminasi jika mereka berjuang untuk melindungi hak mereka. Demonstrasi adalah salah satu cara bagaimana mereka bangkit menyuarakan pendapat jika sudah tiada alternatif yang lain. Adakah kerana sifat mereka lemah lembut, maka apabila terlibat dalam hal begini, mereka dikatakan telah didiskriminasi?

Wanita menjadi model. Meliuk lentukkan badan. Memakai pakaian yang tidak menutup aurat. Owh, itu bukan diskriminasi. Itu adalah kelebihan. Kelebihan para wanita yang tiada pada lelaki. Jadi, tidak salah untuk menayangkannya. Bukankah wanita itu kejadian yang paling sempurna? Tidak salah, sesekali menggunakan kelebihan ini. Itukan tanda bersyukur dan redha dengan ciptaan yang dianugerahkan.

Wanita menutup aurat. Terlibat dengan demonstrasi. Owh, kesian. Mereka telah dipergunakan oleh sesetengah pihak. Kerana perlu bertutup semua? Kenapa perlu terlibat dengan demonstrasi semua. Itukan tandanya didiskriminasi. Tidak diberi hak untuk menunjukkan kecantikan diri. Malah di ajak pula menyertai demontrasi. Kesian.

Begitu rupanya. Tanpa sedar, kita membiarkan perkataan 'diskriminasi' menjadi penghalang kepada kemajuan pemikiran dan kemunduran akhlak. Yang tidak cukup kain dan pergi ke tempat-tempat yang tidak elok dipandang gah. Yang membungkus badan dan pergi ke tempat-tempat perjuangan dipandang malu.

Tanpa sedar, kita membiarkan perkataan diskriminasi itu menguasai diri. Merasa tidak perlu untuk bangkit kerana dikhuatiri dipergunakan orang. Tanpa kita mahu menjana pemikiran ke arah yang lebih intelek. Adakah begitu yang dimahukan? Adakah itu yang dimaksudkan memperjuangkan diri dengan membiarkan diri dipergunakan? Dan adakah memperjuangkan hak itu bermaksud diskriminasi?

Jadi wanita, sila fahami semula apakah yang dimaksudkan dengan diskriminasi dan apa bezanya dengan memperjuangkan hak. Jangan membiarkan dirimu dipergunakan orang dan menyangka itu adalah perjuanganmu. Perjuanganmu adalah berdiri di landasan syariat dan berjuang jika ada yang menghalang hak mu sebagai seorang wanita Islam. Hanya hak sebagai wanita Islam.