Agak berbeza penggunaan perkataan JANJI dan PAKSAAN. Walaupun berbeza tetapi tetap berkaitan.
Kadang-kadang perkara yang diJANJIkan sering dijadikan alasan untuk diLAKUkan apabila tiba masa untuk tunaikannya. Dan akhirnya ia menjadi seakan satu PAKSAAN apabila diminta untuk melaksanakannya.
Sekarang, nampak perkaitan antara kedua-dua perkataan ini?
Dua situasi yang mungkin dapat menjelaskan perkaitan antara JANJI dengan PAKSAAN
Situasi 1
Manusia telah berjanji dengan Allah SWT untuk melaksanakan perintah-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari
sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya
berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan
kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat
kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang
lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" (al-A'raf 7:172).
Namun, setelah manusia lahir dimuka bumi, mereka ingkar dengan perjanjian yang dilakukan. Mereka tidak mengikut perintah Allah. Malah mereka melakukan apa yang dilarang. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu):
Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa,
kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah
kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat.
Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu,
dan kamu selalu berpaling (al-Baqarah 2:83).
Jadi apabila terjadinya perkara sebegini, adakah perintah Allah SWT itu dikira sebagai paksaan?
Situasi 2
Atas persetujuan semua pihak untuk menghadiri rumah terbuka seorang kawan maka segalanya di atur bagi memudahkan perancangan. Apabila tiba waktu yang dijanjikan, ada yang tidak dapat hadir tanpa sebab musabah. Apabila di tuntut untuk menunaikan janji, maka dikatakan sebagai memaksa. Atas sebab apakah dikatakan seperti itu?
Berjanji --> Tiba masa melaksanakannya --> Tidak dapat menunaikannya tanpa sebab --> Diminta menunaikan janji = Paksaan.
Sedar atau tidak sedar, kita sering melakukan perkara sebegitu. Mungkin bagi kita perkara ini bukan suatu masalah besar. Tapi tidak bagi sesetengah pihak. Perkara berkaitan janji amat dituntut oleh Allah. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hinggalah dia meninggalkannya. Empat perkara itu ialah apabila dia dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila ia berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (Riwayat Ahmad).
Sesungguhnya perkara begini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Dengan sedar, kita berjanji dan tanpa sedar kita tidak menunaikannya dan kemudian baru tersedar bahawa perkara itu menjadi seakan paksaan pula.
Kesimpulannya, sebelum perjanjian dimeterai eloklah dimuhasabahkan diri sama ada mampu atau tidak untuk kita menunaikannya agar dikemudian hari, kita tidak menganggapnya sebagai satu paksaan untuk diri sendiri.
Setiap detik masa yang bergerak adalah sama. Tidak pantas dan tidak lambat. Tapi, kenapa manusia sering merasakan masa yang berlalu adalah cepat? Maka keluarlah istilah "Masa bergerak pantas", "Masa tidak menunggu kita", dan bermacam istilah bagi mengambarkan masa itu cepat sahaja bergerak walau hakikatnya hari-hari yang berlalu disukat dengan 24 jam sahaja. Tidak pernah hari ini 24 jam dan esok 20 jam. Dulu, kini dan selamanya 24 jam. Jadi masa terlalu cepat atau kita yang lambat?
Allah SWT telah berfirman dalam surah al-'Asr 103:1-3 berkaitan masa. Maka rugilah kepada sesiapa yang membiarkan masa itu berlalu dengan begitu sahaja tanpa memanfaatkan dengan sebaiknya. Jadi, kita tergolong dalam kategori yang mana? Untung atau rugi? Cepat atau lambat?
Seringkali kita menyalahkan masa tetapi jarang kita menunding jari kepada diri sendiri. Apabila hampir tiba due date, mulalah keluar perkataan "Cepatnya masa berlalu", "Alahai, sikitnya masa, mana cukup nak buat semua ni", "Sekejapnya, dah hampir masa." Jadi, masa yang cepat berlalukah? atau kita yang terlalu lambat?
Kita terlupa atau sering kali kurang beringat tentang perkara yang lebih bermanfaat berbanding yang tidak bermanfaat. Sebab itu kita merasakan betapa cepat masa berlalu. Kita merasakan belum sempat melakukan sesuatu perkara, masa pantas bergerak. Kita belum lagi merasakan belum membuat sesuatu perkara, tetapi cepat sahaja hari ini berlalu. Sebab? Kita lebih mengutamakan perkara-perkara yang tidak bermanfaat berbanding perkara bermanfaat. Oleh sebab itu kita merasakan kita tidak sempat berbuat apa-apa tetapi masa dah tiada. Bila dah sampai due, baru kita sedar betapa banyak masa yang dah terbuang.
Seringkali kita alpa mengenai perkara ini. Dan inilah yang saya kira kesilapan yang sentiasa berulang-ulang dilakukan. Insaf seketika dan akan dilakukan kembali dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Kita sering terlambat untuk sedar perkara yang berlaku. Apabila tiba pengakhirannya, maka kita mula sedar apa yang telah kita lakukan sepanjang tempoh itu.
Maka, bangkitlah kembali. Perbaiki diri sedikit demi sedikit. Masa tidak perlu dikejar, jika diri mula cepat berlari. Hanya perlu fikirkan mana yang lebih utama diberi perhatian barulah apa yang berlaku tidak akan merugikan. Masa itu adalah emaskan? Jadi, jangan bazirkannya dengan perkara yang tidak berfaedah. Unless jika kita mempunyai lebih dari 24 jam sehari berbanding orang lain.
Akhir kata,
"Hargailah masa sepertimana kita menghargai orang yang kita sayang. Apabila hilang perasaan hargai itu, maka tiada lagi peluang kedua untuk kita nikmatinya. Jadi, selamat menjaga 'MASA'."
Berdebar rasa apabila diminta oleh pensyarah untuk menyampaikan tazkirah. Berbekalkan ilmu yang serba kekurangan ini, usaha untuk mengemudi pangkalan ilmu kerah dikerjakan. Kembali membuka beberapa mutiara kata dan membawa bersama beberapa surah al-Quran sebagai dasar pegangan. Setelah diteliti dan diamati, maka lahirlah tajuk ini 'Alasan vs Matlamat' hasil dari keadaan semasa yang dialami kini oleh pelajar Misdev 11 dalam usaha mengpsikologikan diri bagi pentabahan hati untuk menghadapi realiti.
Mengambil surah Ar-Rahmaan ayat 1-78 sebagai dasar rujukan utama, maka diteliti terdapat 2 perkara yang ditekankan berkenaannya.
Perkara 1 : Menceritakan berkenaan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada umat manusia sebagai khalifah di muka bumi
Perkara 2 : Membawa bersama balasan syurga mahupun neraka kepada sesiapa yang patuh atau ingkar kepada suruhan dan laranganNya.
Rumusan dari kedua-dua perkara tersebut, maka apa yang dapat dilihat ialah adanya kaitan di antara alasan juga matlamat.
Perkara 1 memberi justifikasi kepada manusia alasan yang perlu diguna pakai oleh manusia bagi mensyukuri nikmat pemberiaanNya.
Perkara 2 pula dijadikan matlamat untuk manusia dalam memenuhi tuntutannya sebagai khalifah Allah. Dua pilihan diberikan sama ada untuk ke syurga mahupun neraka. Bagi yang menyembahNya dan mengikut apa yang disuruh oleh Allah maka tempatnya adalah di syurga. Tetapi bagi yang menyekutuiNya dan membuat perkara yang dilarang, maka nerakalah tempatnya.
Menyusuri secara lebih teliti berkenaan kedua-dua perkara ini, membawa kepada terjahan secara umum dalam memperjelaskan lagi hal ini.
Alasan
Alasan dapat dibahagikan kepada dua. Sama ada alasan itu membawa kepada perkara baik mahupun tidak baik. Ada yang menggunakan sesuatu alasan untuk berjaya mencapai matlamat tetapi ada juga yang menggunakan alasan untuk mengenepikan matlamat. Tetapi apa yang akan disampaikan di sini adalah
'alasan untuk bagi yang mengenepikan matlamat'
Meneliti semula dalam surah ke 55 dalam al-Quran ini dapat dilihat bahawa terdapat beberapa pengulangan yang telah Allah SWT tekankan di sini.
Ayat ini telah diulang oleh Allah SWT sebanyak 31 kali. Melihat dari sudut psikologi, pengulangan ini memberi suatu bentuk peringatan untuk manusia agar tidak lupa mengenainya. Maka, atas alasan apakah untuk kita tidak menyembah serta melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah di atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakanNya?
Matlamat
Apakah sebenarnya matlamat hidup manusia? Adakah sekadar bersekolah-bekerja-berkahwin-berkeluarga-mati? Adakah perkara yang dilakukan itu sekadar resam hidup seorang manusia atau dilapisinya bersama keimanan yang dimanifestasi sebagai ibadat menuju halawatul iman?
Perkara ini sebenarnya telah Allah SWT nyatakan banyak kali dalam al-Quran. Malah matlamat penciptaan manusia dalam hal yang sebenar-benarnya juga telah Allah SWT jelaskan dalam firmanNya yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 30 :
Dan surah Adz-Zaariyat ayat 56 :
Banyak lagi firman Allah dalam beberapa surah al-Quran yang menjelaskan lagi berkenaan matlamat penciptaan manusia. Dan keseluruhan itu membawa kepada rumusan bahawa manusia diciptakan oleh Allah adalah semata-mata untuk menyembah serta beriman kepadaNya. Maka, untuk mencapai matlamat itu, dijadikan manusia lengkap beserta akal bagi membezakannya dengan makhluk Allah yang lain. Atas alasan bahawa manusia itu adalah khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini berdasarkan sepertimana yang disuruh olehNya.
Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?
Manusia sering memberi 1000 dalih untuk mencapai 1 matlamat. Perkara ini jelas diterangkan dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 67-74 yang meceritakan berkenaan kisah penyembelihan sapi betina. Berbagai alasan yang diciptakan oleh umat Nabi Musa dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Walaupun setelah ditunjukkan bukti kekuasaan Allah SWT, mereka masih tidak mahu beriman kepadaNya.
Perkara sebegini juga dapat dilihat kepada permasalahan manusia akhir zaman kini. Alasan dicipta untuk matlamat duniawi bukan ukhrawi. Melihat kepada permasalahan rokok misalnya yang dikira agak popular perbahasannya sekitar waktu ini.
Keadaan 1 : Rokok dibolehkan.
Keadaan 2 : Rokok boleh memudaratkan kesihatan. Maka tidak digalakkan. Cukuplah sekadar mengurangkan kuantitinya.
Keadaan 3 : Rokok boleh menyebabkan kematian. Maka ia diharamkan. Beberapa buah negeri mengeluarkan fatwa berkenaannya.
Walaupun telah difatwakan haram, masih ramai lagi masyarakat Islam di luar sana yang masih merokok. Antara alasan yang diberikan ialah 'sudah sebati jadi susah mahu berhenti', 'kalau tidak merokok tidak ada daya nanti', 'kalau haram kenapa masih banyak dijual dikedai?', 'sudah lebih 10 tahun merokok sihat saja badan ni' dan berbagai alasan diberikan untuk tidak berhenti merokok. Benarlah kata pepatah,
'Hendak 1000 daya, tidak hendak 1000 dalih'
Tidak berniat mahu menghukum golongan sebegini. Tetapi apa yang mahu ditekan di sini adalah 'alasan' untuk tidak mahu melaksanakan sesuatu perkara yang baik demi kemaslahatan bersama. Pengharaman itu bukan sahaja untuk menjaga kemaslahatan kepada penghisap
rokok tetapi juga kepada orang sekeliling yang terhidu bersama kerana boleh membawa kepada kemudaratan 2 kali ganda dari penghisap. Bukankah itu mementingkan diri namanya? Maka, apabila perkara haram itu menjadi darah daging dalam diri, bagaimanakah untuk menghadap Allah dalam keadaan yang suci? Bagaimanakah menuju kepada matlamat Allah yang abadi?
Ini cuma sebahagian daripada contoh yang dikemukakan. Banyak lagi perkara yang dapat dilihat dan dimuhasabah semula tindak tanduk diri dalam memberi penilaian sendiri. Tanpa sedar mahupun sedar, alasan ini sering diciptakan. Niat di hati mahu berjaya di dunia dan di akhirat. Tetapi apabila melibatkan tindakan, alasan terlahir dengan 1001 perkataan.
"Orang yang berjaya tidak akan mencipta alasan, tetapi melaksanakan tindakan"
Suka saya jadikan kata-kata hikmat Saidina Ali bin Abi Thalib sebagai pemangkin semangat seorang khalifah dimuka bumi ini,
"Beribadatlah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan mati esok hari dan bekerjalah bersungguh-sungguh, seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi."
Akhir kata,
Kepada Misdev 11 dan diri sendiri khususnya dalam menghadapi 'kemelut gelombang pendaratan terakhir', marilah perjelaskan semula matlamat serta tujuan diri seawalnya diri berada dalam 'penyiapan kepada pemantapan ilmu'. Kejelasan itulah yang akan membenteras alasan negatif yang sentiasa berlegar dalam minda, saat diri hampir berlabuh ke pangkalan. Mari sama-sama berjaya dunia dan akhirat dalam menyemai ilmu Allah untuk kemaslahatan ummat beserta tunduknya seorang hamba kepada penciptaNya. Semoga-moga kita sentiasa bertabah dalam menghadapi ujian serta dugaan malah nikmat yang dikurniakan sebagai pemangkin diri untuk kembali dekat denganNya. Ameen...
24 Ogos 1987. Tepat jam 3.17am, bertempat di Hospital Universiti Kuala Lumpur 25 tahun yang lepas.
Sekarang dah 25 tahun berlalu. Orang kata dah boleh sambut Jubli Perak. Bila tengok pada angka, baru rasa peningkatan usia. Melihat pada tahap kematangan, rasanya belum cukup tahap masak lagi. Banyak perkara yang belum diteroka. Banyak ilmu yang belum didalami. Banyak tempat tidak dijajahi. Dan 'banyak' itulah memberi petanda kekurangan serba serbi dan kelemahan peribadi.
Walaupun begitu, semoga dengan peningkatan usia dari hari ke hari, tahun ke tahun, membawa sama peningkatan kendiri baik dari segi ilmu duniawi mahupun ukhrawi, kecekalan jasmani mahupun rohani serta pengistiqamahan kepada sifat ubudiyah dalam menjadi khalifah kepada kehidupan dua alam yang bersatu dalam acuan yang sama.
Maka, dengan harapan dan usaha serta diiringi doa dan tawakal, semoga kehidupan di dunia ini dapat memberi manfaat kepada kehidupan di akhirat kelak. Berbakti kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan mencurahkan sedikit sebanyak ilmu yang bermanfaat untuk kemaslahatan semua. Semoga kehidupan ini tidak menjadi output kepada semua tapi memberi input kepada kehidupan yang sementara dan kekal kelak.
"Membina jati diri yang teguh berumbi dasarkan agama yang diredhai, berbekalkan ilmu yang serba berkurangan walaupun sentiasa digali dalam mendapatkan restu ilahi untuk bekalan kehidupan yang hakiki."
Semoga diri ini dan semua sentiasa berada di bawah RahmatNya dan diredhai dengan curahan nikmatNya. Ameen.
Ramai orang keliru. Mungkin tidak tahu. Sengaja tidak mahu tahu. Sebab merasakan diri tahu. Tidak mahu mengaku. Atau paling teruk tidak tahu pun diri memang tidak tahu. Dilema streotaip pemikiran.
Salah faham atau tidak faham. Membawa dua makna berbeza tetapi satu matlamat yang sama. Iaitu ketahuan, pengetahuan, pemahaman, kefahaman.
Klise perbuatan seperti
A : "Saya nak beli colgate."
B : "Saya nak beli ubat gigi."
Satu benda yang sama tetapi penjenamaan yang berbeza. Ada orang nak beli ubat gigi tetapi disebut 'colgate'. Tetapi tidak bermakna dia nak beli ubat gigi jenama colgate. Kadang-kadang kita tidak sedar, tetapi itulah yang selalu berlaku. Sebab mind set otak kita dah terarah, ubat gigi = colgate. Jadi, salah faham atau tidak faham?
Jenama Ubat gigi Colgate
Contoh lain,
A : "PR = Pembangkang. BN = Kerajaan."
B : "PR & BN = Parti dominan di Malaysia."
Tipikal Malaysian (tidak majoriti tetapi boleh dikatakan hampir keseluruhan) akan melihat dua kompenan politikal Malaysia dalam corak begini. Pemikiran telah diterap sejak dulu lagi bahawa hanya satu kompenan yang memerintah dan berhak ke atas rakyat maka automatik satu kompenan tidak berhak memerintah. Tidak salah pemikiran sebegitu sebab memang betul hanya satu yang layak. Benar-benar layak. Persoalan tidak faham di sini ialah, apabila pembangkang tidak semestinya tidak boleh menjadi kerajaan, dan kerajaan tidak semestinya tidak boleh menjadi pembangkang. Pemikiran telah di set bahawa pembangkang, selamanya pembangkang. Sebab itu ramai yang tidak bersetuju kerajaan bertukar. Tetapi cuba lihat dalam konteks yang luas. Jangan tengok siapa pembangkang siapa kerajaan. Tengok atas kapasiti parti itu sendiri. Amerika sebagai contoh, bertanding di atas parti dan dilantik melalui pilihanraya berdasarkan manifesto yang dibawa oleh perwakilan siapakah yang lebih layak menyandang jawatan presiden. Tiada bias. Semua bebas memilih. Tiada paksaan, tiada provokasi. Boleh nampak khidmat masyarakat yang diberikan untuk rakyat. Secara umumnya. Tetapi di Malaysia, perkara sebaliknya berlaku. Mungkin faktor sejarah sejak dahulu lamanya Malaysia diperintah oleh satu kompenan yang sama. Maka hal ini telah menjadi semacam adat yang sukar dipisahkan. Jika berubah kerajaan seolah-olah satu dosa yang besar telah dilakukan. Maka terdengarlah sok sek sok sek 'tidak tahu menghargai', 'inikah balasan atas perkhidmatan yang diberikan selama ini', 'sudah sampai masanya untuk membalas budi'. Ok, salah faham atau tidak faham konsep politik, demokrasi, kerajaan, parti, pembangkang atau apa-apa yang berkaitan?
Berbagai parti di Malaysia
Mengenai kahwin muda,
A : "Gatalnya! Berkawanlah dulu. Dah cukup semua, barulah kahwin"
B : "Alhamdulillah, dah sampai jodoh."
Bila orang muda nak kahwin awal, dikatanya gatal. Bila orang muda bercinta/berpasangan, dikatakan biasalah tu anak muda. Jadi, 'biasa' itu merujuk kepada perkara yang sebagaimana? Dalam Islam, tiada istilah biasa jika merujuk kepada hubungan antara lelaki dan perempuan yang tidak sah. Islam amat menitik beratkan soal perhubungan antara lelaki dan perempuan. Lantas atas kedudukan yang bagaimana 'biasa' itu mahu diletakkan? Adat? Orang dulu-dulu pun mereka kahwin muda. Malah ada yang umur 9, 10 tahun (bagi perempuan) telah berkahwin, sesudah mereka baligh. Mereka dahulu nak bertentang mata dengan berlainan gender pun segan, apa lagi nak berpacaran? Kebanyakan ibu bapalah yang menentukan jodoh uda dan dara. Tidak seperti sekarang yang majoriti berkahwin atas pilihan sendiri. Jadi, boleh dikatakan budaya persekitaran sekarang inilah yang menyebabkan perkara luar biasa menjadi biasa. Maka, larangan agama kadang-kadang ditolak ke tepi, halal dan haram dilihat beriringan. Jadi, salah faham konsep perhubungan, atau tidak faham?
Kahwin itu menghalalkan yang haram. Sunnah Nabi untuk penambahan generasi yang diredhai Allah
Banyak perkara yang tanpa sedar kita sendiri terkeliru di atas penjenamaan, persekitaran, adat yang membelenggu, agama yang disalah ertikan dan momentum sejarah terdahulu. Berbagai punca penyumbang kepada kesalahfahaman sehingga membawa kepada ketidakfahaman. Hal ini perlu diperbetulkan dengan ilmu yang cukup bagi membebaskan diri dari cengkaman kejahilan tanpa kesedaran. Biarlah ilmu memandu kehidupan, agama pelengkap kerohanian, pengalaman mengajar kedewasaan, persekitaran menjatikan keteguhan dan sikap ubudiyah pengubah keseluruhan.