Wednesday, 9 November 2011

Seni layar sebagai medium dakwah

PENDAHULUAN

Melihat dari sudut tasawur Islam mengenai sesuatu perkara itu bukanlah sesuatu yang sukar jika ia dibimbing serta dialasi oleh epistemologi yang kukuh dasarnya. Jadi di atas perkara ini, maka sesuatu isu itu akan dilihat bagi merungkai permasalahan di dalamnya disamping memperjelaskan lagi mengenai sesuatu perkara yang timbul itu. Sehubungan dengan itu, isu berkaitan seni layar sebagai medium dakwah ini telah dibincangkan dengan lebih lanjut mengikut dari sudut pandangan tasawur Islam itu sendiri dalam menjadikan sesebuah drama mahupun filem sebagai satu nashkah berbentuk visual yang boleh memberi panduan dan berfaedah untuk para penonton. Hal ini dilihat melalui kukuhnya dasar ilmu agama itu sendiri yang cuba diterapkan ke dalam drama mahupun filem dengan tujuan berdakwah serta menyebarkan Islam secara tidak langsung kepada di luar tabir mahupun disebalik tabir.
 
Beberapa tahun kebelakangan ini, ramai penggiat serta produser drama dan filem menghasilkan drama mahupun filem yang lebih terarah kepada unsur Islamik dan dakwah. Kemunculan filem-filem seperti  “Ayat-Ayat Cinta”, “Ketika Cinta Bertasbih”, “Perempuan Berkalung Sorban” dan sebagainya yang dihasilkan oleh jiran serumpun Indonesia misalnya, telah membawa fenomena baru kepada masyarakat dan penggiat seni layar khususnya di Malaysia untuk menghasilkan drama dan filem yang dapat membawa kesan pengajaran yang lebih praktikal dan sesuai  kepada masyarakat pada hari ini.

Ketika Cinta Bertasbih
Perempuan Berkalung Sorban
Ayat-ayat Cinta

Fenomena menarik dalam konteks pemanfaatan media drama dan filem sebagai saluran dakwah dalam populasi masyarakat Malaysia hari ini seharusnya mampu memanfaatkan secara efektif teknologi audio-visual sebagai medium perubahan masyarakat ke arah yang lebih baik. Sedar atau tidak penghasilan drama dan filem yang baik dan berkualiti memberi pengalaman kepada kekuatan dalaman dan luaran kepada masyarakat.

Isu perbincangan ini akan melihat kerelevenan seni layar itu sendiri dalam konteks semasa yang digunakan sebagai sebuah medium dakwah kepada masyarakat. Seterusnya hasil perbincangan ini dapat dimanfaatkan dalam merancang, mencipta, membaiki kelemahan dan menambah kekuatan dakwah dalam penghasilan sebuah drama dan filem yang benar-benar memberi suatu anjakan positif kepada masyarakat umumnya. Secara tidak langsung menentukan hala tuju dalam membina masyarakat yang benar-benar mantap dari segi aqidah, patuh dari segi syariat agama serta berperibadi mulia selaras dengan akhlak Islam. 

Sebagai contoh drama berunsur Islamik di Malaysia yang terbaru adalah drama Tahajjud Cinta (TC) arahan sutradara Eirma Fatimah yang menimbulkan banyak kontroversi dari awal tayangan sehingga tamat siarannya. Banyak bantahan dibuat pada permulaan tayangannya di kaca televisyen kerana dikatakan agak liberal pendekatan Islamnya mengikut keseluruhan jalan cerita. Jadi, drama ini dipilih untuk dijadikan contoh rujukan bagaimana penghasilan sesebuah drama itu dilakukan dengan mengikut ciri-ciri sepertimana yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri.

'Page Facebook' yang diwujudkan bagi membantah tayangan Perdana Drama Tahajjud Cinta



ANALISIS DRAMA TAHAJJUD CINTA


Jalan cerita TC agak 'bagus' jika dibaca daripada sinopsis yang diberikan kerana memaparkan bagaimana kaum wanita berusaha menegakkan hak-hak mereka dalam mengubah adat dan budaya yang telah sekian lama membelenggu masyarakat pada hari ini. Tetapi drama TC ini agak lemah dari segi penghuraian serta penyampaian maksud tujuan yang agak mendalam. Drama ini sekadar memperlihatkan sisi mendatar tanpa kupasan lebih teliti baik dari segi perwatakan mahupun dialognya. Apa yang ingin disampaikan di sini adalah hujahan motif di sebalik tayangan drama ini serta kesalafahaman yang timbul akibat disebaliknya.

Sepanjang menonton drama ini banyak persoalan berkenaan kisah yang bagaimana yang ingin diolah timbul berlegar di kepala. Objektif drama ini tidak dapat dikenalpasti kerana timbul berbagai perkara yang menerbitkan tanda tanya sepanjang drama ini ditayangkan. Apabila pertama kali mendengarkan tajuk drama ini, kemungkinan ia adalah drama berkisar cerita cinta berunsur islamik (lari sedikit dari tema cerita cinta yang streotaip dari kebiasaan drama melayu). Mungkin disebabkan patah perkataan yang digunakan untuk tajuk drama itu serta beberapa faktor yang lain seperti pemakaian, suasana persekitaran serta dialog itu sendiri yang menterjemahkan ia sebagai sebuah drama berunsur islamik.

Jadi, dengan menganalisis drama TC ini dari sudut pandangan tasawur Islam beralaskan kepada epistemologi yang kukuh dasarnya, maka beberapa kesalahfahaman yang timbul di dalam drama ini diharap dapat dijelaskan dengan lebih lanjut dari segi makna tersirat mahupun tersurat. Oleh itu, bagi menjadikan sesebuah seni layar itu sebagai medium dakwah, perkara ini perlu dititikberatkan agar tidak akan timbul lagi kesalahfahamannya agar maksud yang ingin disampaikan itu dapat memberi kesan kepada penonton tanpa mengucar-kacirkan pemikiran mereka dengan kekeliruan yang berlaku.


Penggunaan ayat Al-Quran dan Hadis

Penggunaan ayat Al-Quran dan Hadis di dalam drama ini perlu diberi lebih perhatian kerana tersalah penggunaan tempatnya maka ia boleh menimbulkan polemik yang berbeza di kalangan penonton yang melihatnya.  Ayat Al-Quran dan Hadis tidak boleh diguna pakai dengan sewenang-wenangnya kerana asas kedua-dua ilmu itu adalah datangnya dari Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Malah kedua-dua sumber ilmu ini juga adalah menjadi asas pegangan utama dalam memandu umat Islam dari terpesong ke jalan kesesatan. Jadi, di atas alasan itu maka penggunaan ayat Al-Quran dan Hadis ini tidak boleh digunakan sekadar menjadi pelengkap kepada sesebuah drama mahupun filem tetapi ia mestilah digunakan untuk memberi peringatan kepada seluruh umat manusia. Maka kerana itu, penggunaan ayat Al-Quran dan Hadis ini mestilah diletakkan di tempat yang sepatutnya sesuai dengan tarafnya sebagai sesuatu yang suci dan terpelihara. 

Merujuk kepada drama TC ini dapat dilihat penggunaan penghujahan dialog yang diselang-selikan dengan penggunaan ayat Al-Quran dan Hadis beserta sumbernya sekali menampakkan unsur Islamik di situ. Tampak drama ini melakukan kajian yang agak teliti dan mendalam. Tetapi sedikit perkara yang perlu diberi tumpuan lagi adalah berkenaan bacaan ayat Al-Quran para pelakonnya. Ada beberapa kesilapan dalam penggunaan tajwid bacaannya. Malah penggunaan ayat Al-Quran yang tidak kena pada tempatnya itu agak boleh mengelirukan penonton jikalau tanpa pengawalan dan penjelasan yang tepat. Sedikit kesalahan yang agak ketara dipendengaran adalah apabila pelakon Eman Manan yang memegang watak sebagai Ustaz Shauki membaca ayat Al-Quran dari surah An-Nisa’ : 34

Maksud : Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita
  

Ini kerana penggunaan baris hadapan ini dikenali sebagai Hamzah Wasal (همزة الوصل) di mana ia dibaca baris atas ketika mula bacaan jika perkataan merupakan Isim Ma'rifah ( ال ) atau Isim Mausul ( الذي atau  التي ). Jadi di sini dapat diperhatikan bahawa pengarah mahupun pelakon itu sendiri tidak peka terhadap bacaan ayat Al-Quran yang dilafazkan dan hanya bermain dihujung bibir tanpa mengetahui tanda bacaan yang betul. Perkara yang melibatkan agama seperti bacaan ayat Al-Quran, Hadis mahupun berkaitan hukum-hakam agama seeloknya dibawa kepada pengetahuan para ulama mahupun ustaz untuk diberi semakan. Mestilah juga disertai bersama kehadiran mereka di dalam pembikinan sesebuah drama sebegini bagi mengelakkan kesalahan seperti ini dari berulang kembali. Perlu diingatkan sekali lagi bahawa salah penggunaan ayat Al-Quran dan Hadis baik dari segi letaknya di dalam sesebuah plot mahupun dari segi salah bacaan tajwidnya boleh membawa kepada bermacam maksud dan perbezaan pandangan dari yang melihatnya. Maka, akan muncullah justifikasi yang tidak sepatutnya dalam menilai perkara ini.


Gambaran lakonan yang mengelirukan

Drama ini membawa mesej islamik di dalamnya jadi perlulah dari segi dialog, jalan cerita serta pelakon sendiri menunjukkan gaya hidup Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila beberapa babak dalam drama ini tidak memberi gambaran yang sepatutnya dipaparkan maka akan berlakulah kekeliruan bagi pemahaman orang yang jahil. Jadi atas alasan itu, bagaimanakah mahu menyebarkan dakwah jika mesej yang ingin disampaikan itu tidak difahami penonton? 

Contoh pada beberapa babak di Jordan yang menjadi latar belakang drama itu di awal penceritaan. Seseorang yang sempurna penutupan auratnya (berjilbab serta berpurdah bagi perempuan) adakah dengan senang boleh berpacaran dengan orang yang bukan mahramnya sendiri dengan sebegitu mudah? Timbul tanda tanya di sini motif disebalik babak sebegini. Adakah mahu memperlihatkan bahawa mereka sedang berpacaran secara 'baik' mungkin (keluar secara beramai bukan berduaan) atau cuba untuk mengelirukan penonton dengan memberi gambaran realiti bahawa tidak semua yang menutup aurat, menjaga agama Islam itu adalah orang yang baik kelakuannya. Babak ini amat menyalahi batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh syarak.  Keluar di antara lelaki dan perempuan tanpa mahram adalah tidak boleh menurut Islam. Malah tidak boleh keluar berpasangan sebegitu kerana ia boleh menimbulkan fitnah kepada mereka. Jadi, tidak sepatutnya ditonjolkan situasi sebegini kerana boleh menimbulkan pandangan negatif kepada golongan seperti ini walaupun hakikatnya memang ada golongan yang seperti ini. 


Malah pada episod 3 drama TC ini dipaparkan babak di mana Seri (Fouziah Ghous) bersalaman dengan Ustaz Shauki (Eman Manan) yang mana jelas sekali di dalam Islam ia adalah haram sama sekali kerana bersentuhan di antara lelaki dengan perempuan tanpa hubungan yang halal. Adakah disebabkan hubungan antara guru dan pelajar, maka sentuhan itu dibolehkan? 


Banyak persoalan yang timbul tanpa penjelasan yang jelas berkenaan kekeliruan ini. Bagi yang mengetahui tentang hukum halal haram, tiada masalah. Tetapi bagaimana dengan golongan yang masih lemah dalam penghayatan Islam mereka? Tidakkah ini memberi perspektif negatif terhadap Islam itu sendiri? Terutama bagi yang bukan Islam. Mungkin mereka akan beranggapan bahawa di dalam Islam itu sendiri ada kecelaruan dan kekeliruan.


Memberi salah faham berkenaan hukum Islam
 
Paling mengelirukan adalah apabila hukum Islam digunakan dengan cara yang salah. Adakah berdua-duaan dengan ibu tiri adalah dikira berzina? Walaupun hakikatnya dalam Islam adalah hukumnya haram selama-lamanya berkahwin. Sepertimana firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 22 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu, terkecuali pada masa yang telah lampau. Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh)."

Jadi, adakah boleh seseorang yang arif tentang agama menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada pasangan yang ditangkap atas tuduhan berdua-duaan itu. Walaupun hakikatnya ia bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Hukuman bagi pasangan yang berzina bagi pasangan yang telah berkahwin adalah rejam sampai mati tetapi bagi pasangan yang belum berkahwin adalah hukuman sebat sebanyak 100 kali. Maka, atas alasan apakah diguna pakai hukum hudud kepada pasangan yang seorang telah berkahwin manakala seorang lagi masih bujang. Bukankah itu boleh mengelirukan lagi masyakarat yang tidak mengetahui apa itu hukum hudud secara yang sebetulnya?
Tanpa penjelasan yang jelas, babak seperti ini telah memberi masyarakat yang jahil tentang agama khususnya suatu pandangan ketidakadilan menjatuhkan hukuman di dalam Islam itu sendiri walaupun hakikatnya ia adalah salah sama sekali. Apakah peranan masyarakat sekeliling pada ketika itu? Jika ikut pada logik akal, tidak adakah seorang dua yang mengetahui tentang agama Islam walaupun membesar di kawasan pondok yang dari awalnya mengamalkan cara hidup Islam. Adakah mahu diketengahkan bahawa lemahnya sistem pondok itu sendiri sehingga tiada siapa yang dapat melawan kata Tok Guru mereka. Bukankah itu boleh memberi semacam pandangan negatif tentang sistem persekolahan pondok yang selama ini banyak melahirkan tokoh agamawan terkenal.  Tidak mustahil selepas ini, masyarakat yang jahil akan mula memandang serong kepada pelajar-pelajar yang mengaji pondok, yang memakai serban, yang memakai jubah kerana bagi mereka tidak semua yang memakai sebegini adalah orang yang baik peribadinya. Malah amat dikhuatiri jika orang-orang yang jahil ini mula menjauhkan diri dari mereka yang berilmu agama ini malah tidak terkecuali ibu bapa yang jahil tidak yakin hendak menghantar anak-anak mereka belajar agama dengan para ulama kerana dibimbangi bila pulang ke rumah akan terdengar perkataan itu haram dan ini haram. Bukankah itu semua tidak mustahil untuk berlaku? Jadi, bagaimanakah dakwah itu mahu disebarkan jika drama berunsur islamik itu sendiri tidak mengambarkan sepertimana yang sepatutnya dipaparkan.

Mengkontroversikan isu yang hangat

Isu yang boleh menimbulkan kontroversi dalam drama ini adalah isu poligami yang selama ini menjadi semacam sesuatu yang ‘haram’ untuk dilakukan di Malaysia khususnya. Perkara yang halal seperti ini tidak ramai yang tahu apakah kelebihan berpoligami di dalam Islam. Tidak ramai yang tahu konsep keadilan yang sebenarnya dimaksudkan di dalam Islam dan apakah hak seorang isteri dalam poligami. Ramai yang tersalah faham hakikat itu dan lebih mempercayai dakyah luar bahawa poligami itu menyeksa wanita kerana ramai wanita yang terdera rohani dan jasmani mereka disebabkan pengamalan poligami yang salah dalam Islam. Kesalafahaman ini turut disumbangkan lagi apabila banyak drama memaparkannya dalam bentuk nashkah yang diterjemahkan secara realitinya. Drama Tahajjud Cinta yang juga turut menyelitkan kisah poligami ini menambahkan lagi polemik berbeza dikalangan masyarakat kerana tidak melaksanakan poligami itu mengikut sepertimana yang telah Islam tetapkan. Hak seorang isteri di dalam hal berkaitan poligami tidak diterangkan dengan lebih jelas di dalam drama ini. Malah agak mengelirukan di situ apabila ketidakadilan dalam rumah tangga ditayangkan disertakan sekali hujahan contoh yang tidak diletakkan pada tempat yang betul mengikut persekitaran yang sesuai sekaligus digunakan bagi melindungi kepincangan yang berlaku itu. Jadi, perkara ini telah menimbulkan suatu pandangan yang negatif kepada poligami itu sendiri di atas kekeliruan yang berlaku. Padahal di dalam Islam, hak isteri dalam berpoligami amat dipelihara. Malah undang-undang Syariah di Malaysia juga memperuntukkan di dalam Seksyen 128 AUKI 1984 bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajamya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pentingnya kaum wanita itu dilindungi dari penyalahgunaan amalan poligami yang sememangnya dihalalkan ini. Penekanan perlu dibuat supaya suami memberikan keadilan yang secukupnya kepada isteri.



Setelah menonton dari awal episod sehingga akhir episod drama Tahajjud Cinta ini, kesimpulan yang telah diberikan adalah berdasarkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud :  
"Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dikalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)".
 (Daripada Abu Hurairah r.a - Riwayat Tarmizi).


Maksud golongan yang disebutkan di dalam Hadis ini ialah orang orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat habuan dan keuntungan dunia yang mereka kejar. Mereka rela menggadaikan agama untuk mengejar kuasa, nama, pangkat, dan harta dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Inilah yang disebut menghalalkan cara. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasan-alasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya semata-mata timbul dari kelicikan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri. (Sumber: Ustaz Abu Ali Al Banjarian Nadwi  dalam bukunya 40 Hadith tentang Peristiwa Akhir Zaman).

Sedikit mengecewakan apabila drama ini berakhir secara tergantung sebegitu. Sepatutnya biarlah diberi penjelasan setiap kali sesuatu babak itu ditayangkan agar masyarakat di luar sana dapat memahami apakah yang ingin disampaikan itu. Perlu diingatkan tidak semua orang boleh berfikir dan memahami sepertimana yang difahami oleh orang yang faham agama dan bukan semua orang boleh nampak perkara yang tersirat itu. Dikhuatiri yang tersirat itu akan jadi berselirat pula. Dari yang jelas akan menjadi bertambah kabur.



CADANGAN

Tidak salah kalau dibuat filem yang terkandung di dalamnya jelas mengenai Islam itu sendiri. Membuat filem yang boleh memberi kefahaman kepada orang bukan Islam dan orang Islam itu sendiri terhadap Islam, terhadap kecantikan Islam, terhadap kesyumulan Islam serta kesempurnaan Islam sendiri. Contoh drama mengenai Islam yang dirasakan amat baik untuk dijadikan panduan serta pengetahuan mengenai Islam itu sendiri iaitu Ketika Cinta Bertasbih (KCB) yang dikeluarkan dari produser Indonesia. Baik filem mahupun drama KCB ini disebalik layar skrin ataupun ketika berlakon, setiap batas pergaulan itu dijaga biarpun ada pelakon yang free hair. Sebagai contoh sewaktu melakonkan watak suami isteri, aurat di antara mereka masih terjaga dan tidak bersentuhan walaupun dalam drama dikira ‘halal’ sepertimana yang banyak berlaku di dalam drama-drama lain.

Mungkin niat pengarah adalah baik kerana ingin menerbitkan filem berunsur Islamik bagi tujuan dakwah mungkin. Tetapi disebabkan kurang kajian atau mungkin juga kurang ilmu agama maka tindakannya itu telah menyalahpotretkan golongan agamawan. Banyak yang ditonjolkan adalah tentang golongan agamawan yang mana lebih tertumpu kepada sisi negatif mereka sahaja. Mengapa tidak menonjolkan watak-watak yang memberi impak positif pada penonton? Tidak rugi rasanya jika membuat karya sebegitu.

Islam itu disebarkan melalui keindahan dan kemudahan di dalamnya kepada non-muslim dengan tujuan mengislahkan orang muslim yang jauh dari Islam disamping menunjukkan contoh yang baik kepada non-muslim itu sendiri.

Seni layar dikatakan sebagai medium dakwah apabila drama dan filem yang dihasilkan dan disajikan kepada masyarakat mempunyai nilai nasihat agama dan jalan penceritaan yang dipertonjolkan tidak bertentangan dengan syara’. Dalam menyampaikan dakwah Islam tidak timbul soal matlamat menghalalkan cara kerana Islam sudah mempunyai konsep yang lengkap, teratur dan yang paling utama berhikmah.

Pada era globalisasi ini seni layar merupakan medium dakwah yang paling dekat dengan masyarakat. Semua masyarakat hari ini tidak kira lapisan kanak-kanak, remaja, belia dan orang tua sebahagian besar suka melihat drama dan filem yang mungkin ditayangkan di televisyen mahupun pawagam. Drama dan filem yang dihasilkan sebenarnya memberi gambaran realiti sebenar kepada masyarakat. Suntikan elemen berunsurkan dakwah secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Nilai yang boleh diterapkan dalam penghasilan drama dan filem boleh merangkumi nilai kekeluargaan, politik, hubungan manusia, ibadah dan yang paling utama ialah nilai dan konsep aqidah Islam yang betul dan benar. Selain itu, nilai yang lain boleh diterapkan ialah nilai cara hidup beragama. Penghasilan drama dan filem secara tidak langsung dapat memaparkan perbezaan kehidupan dalam ajaran Islam dengan agama lain. Pemaparan nilai kehidupan Islam ini dapat merungkai kekeliruan dalam masyarakat Islam sendiri yang mencampuradukkan antara nilai Islam dengan adat budaya lama yang turut terpengaruh dengan agama lain seperti Hindu dan Buddha.

Pemilihan pelakon melalui peribadi pelakon yang baik, beserta skrip yang baik serta jauh dari unsur yang negatif juga boleh mengklasifikasikan sesebuah drama dan filem itu sebagai sebuah seni layar yang berunsurkan dakwah. Cerita yang baik bukan setakat lahir dari jalan cerita sahaja tetapi turut dipengaruhi oleh peribadi pelakon sama ada di dalam lakonan mahupun di luar lakonan bagi mendapatkan hasil dakwah yang lebih berkesan.

Bagi penggunaan ayat Al-Quran dalam penghasilan drama dan filem pula merupakan satu pelengkap kepada jalan cerita dan pada masa yang sama menjelaskan pengajaran dan maksud tersirat dalam sesebuah filem dan drama. Tetapi penggunaan ayat Al-Quran biarlah sesuai pada tempatnya dan tidak diletakkan secara semberono sahaja kerana dikhuatiri akan menjadi penghinaan sebagai menghalalkan drama dan filem yang bersifat keuntungan dan hiburan semata-mata. Perlu ada satu garis panduan dan pantauan oleh pihak-pihak tertentu berkenaan penggunaan ayat Al-Quran dalam drama dan filem. Melalui garis panduan yang diwujudkan dan pantauan yang berterusan dapat menjadikan penggunaan ayat Al-Quran releven dengan sebuah drama atau filem dan seterusnya memanfaatkan teknologi visual yang digunakan dalam drama dan filem untuk mendekatkan Al-Quran kepada masyarakat



KESIMPULAN

Seni layar merupakan medium dakwah yang berkesan untuk menyebarkan dakwah dengan lebih meluas. Perkembangan teknologi yang ada pada hari ini terutamanya yang berkait dengan visual drama dan filem perlu dimanfaatkan penggunaannya secara maksimum.

Peredaran masa yang berlaku menghendaki perubahan dan penambahbaikan pendekatan dakwah. Masyarakat semakin besar dari masa ke masa dan kekangan semakin meningkat memerlukan medium yang dapat membantu kerja dakwah dalam masyarakat. Penghasilan drama dan filem dakwah pada hari ini amat tepat pada masanya dan menjadi keperluan kepada masyarakat. Kekreatifan pengarah dalam mengolah sesebuah cerita tanpa merosakkan mesej yang ingin disampaikan juga perlu diambil berat dalam membentuk sebuah masyarakat yang terdidik hati dan akhlaknya seiring dengan apa yang syariat mahukan.

No comments :