Friday, 30 December 2011

Etnografi : Orang Asli Sungai Pergam




LAPORAN LAWATAN KURSUS ETNOGRAFI PRIBUMI MALAYSIA

DI KAMPUNG SUNGAI PERGAM, KEMAMAN

PADA 7 – 8 OKTOBER 2009


1.0 Pengenalan

Pada 7 – 8 Oktober yang lalu, seramai 32 orang Mahasiswa/i dari Ijazah Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) sem 5 telah pergi melawat Perkampungan Orang Asli di Sungai Pergam yang terletak di daerah Kemaman. Kedatangan kami kali ini adalah merupakan kunjungan yang kedua kali dan melihat kepada persekitaran yang pernah kami kunjungi dahulu ternyata banyak perubahan telah berlaku di Kampung Orang Asli Sungai Pergam. Sedikit info mengenai Orang Asli di Sungai Pergam, di mana penduduk Orang Asli di sana adalah terdiri dari suku kaum Semaq Beri dan Jakun dan majoriti masyarakat di sana adalah beragama Islam. Matlamat kedatangan kami kali ini adalah bertujuan mengumpul data di bawah kursus Etnografi Pribumi Malaysia dan dipantau oleh Dr. Ramle b. Abdullah, yang merupakan salah seorang pensyarah di Jabatan Sains Sosial juga merangkap pengiring kami. Antara aktiviti yang dijalankan di sana selain daripada mengumpul data, kami juga tidak ketinggalan dalam mengadakan program sukaneka kepada anak-anak Orang Asli disana seperti pertandingan berebut kerusi, meniup belon, mewarna dan beberapa aktiviti yang lain. Ternyata sambutan yang diberikan oleh anak-anak Orang Asli disana begitu menggalakkan. Masyarakat Orang Asli disana juga senang memberi kerjasama dan begitu mesra sekali ketika kami mahu melakukan tugasan mengumpul data dengan menemuramah penduduk di situ. Kami juga turut mengambil kesempatan dengan mengadakan jamuan raya untuk penduduk tempatan disamping beramah mesra dengan mereka sepanjang dua hari kami di sana. Program kami ini juga turut mendapat kerjasama dari PERKIM Negeri Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Banyak maklumat yang kami dapat disana hasil dari pemerhatian juga temubual dengan penduduk tempatan dimana jika dilihat dari material ternyata mereka berkemampuan cuma mereka kelihatan tercicir dari segi pendidikan khususnya.

2.0 Masalah

2.1 Melalui pemerhatian selama 2 hari disana, kami dapati cara hidup di sana tidak melambangkan cara hidup Islam yang sebenar. Sebagai contoh dalam hal pengebumian mayat dimana mereka tidak melakukan mengikut adat pengebumian Islam walaupun yang meninggal dunia itu adalah yang beragama Islam. Mereka hanya memandikan mayat lalu menanamnya begitu sahaja tanpa ada sembahyang jenazah mahupun mengapankannya terlebih dahulu sepertimana yang diajar oleh Islam. Kami sedia maklum bahawa penduduk di sana baru hanya beberapa generasi memeluk Islam jadi kemungkinan penghayatan Islam itu belum sampai ke tahap untuk menjalaninya seperti mana kehidupan Islam yang lain.

2.2 Kawsan persekitaran di sana juga belum mencapai tahap yang memuaskan di mana kebersihan belum menjadi pilihan utama penduduk di sana. Kehidupan mereka masih dibelenggu kekotoran jika dibandingkan dengan penduduk Orang Asli Temiar yang lebih bersih kawasan persekitarannya. Binatang seperti anjing dianggap sebagai binatang peliharaan seperti ayam dan kucing dan ia berkeliaran ke sana sini dengan banyaknya.

2.3 Adat masih kukuh dipegang oleh mereka. Apa-apa yang berkaitan pantang larang masih dibawah seliaan dan kawalan dari Tok Batin. Ini terbukti apabila kami bertanya mengenai pengambilan gambar di kawasan perkuburan Orang Asli Sungai Pergam adakah dibolehkan atau tidak kerana dikhuatiri ada pantang larangnya yang tersendiri dan penduduk yang kami temuramah disana mengatakan bahawa hal berkaitan adat dan pantang larang itu mestilah ditanya kepada Tok Batin terlebih dahulu kerana mereka tidak tahu apa-apa yang berkaitan dengan kedua-dua hal demikian.

2.4 Faktor kekurangan orang yang tahu tentang agama dalam memantau kehidupan mereka. Di Kampung Orang Asli Sungai Pergam hanya terdapat seorang ustaz sahaja yang ditempatkan disana. Jadi usaha dari segi mengajar mereka mengenai kehidupan Islam agar sukar dilaksanakan kerana tiada kerjasama yang lebih berkesan. Apa-apa aktiviti yang mahu dilakukan oleh seorang ustaz mestilah meminta kerjasama daripada JHEOA terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan. Jadi disini sudah dapat dilihat kekangan dari segi masa dan usaha dalam menjalani sesuatu aktiviti.


3.0 Cadangan

3.1 Dalam perkampungan mana-mana Orang Asli, sudah sedia maklum bahawa Tok Batin amat mempengaruhi kehidupan Orang Asli itu sendiri kerana Tok Batin dianggap sebagai ketua mereka. Jadi disini kita perlulah memainkan peranan dalam mempengaruhi Tok Batin itu sendiri. Mungkin agak sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Walaupun kita sudah tahu bahawa sudah ada kursus mengenai pengurusan ekonomi, pentadbiran dan sebagainya untuk Tok Batin dan organisasi dibawahnya tetapi kita juga patut selitkan mengenai agama Islam dalam pentadbiran dan ekonomi misalnya. Membentuk semula jati diri Tok Batin agar dia lebih mempercayai agama Islam daripada kepercayaan Animisme yang dipegang berkurun lamanya. Tidak perlu tergesa-gesa tetapi cukuplah dengan cara yang cukup perlahan agar dia dapat menyerapnya secara sedikit demi sedikit.

3.2 Menempatkan paling kurang seramai 2,3 ustaz disetiap perkampungan Orang Asli. Dan ustaz yang dipilih mestilah orang yang mengetahui khususnya dalam bidang Antropologi dan Dakwah. Ia bukan sahaja bertujuan untuk berdakwah secara membuta tuli tetapi turut memahami kehidupan Orang Asli dengan lebih telus. Mengamalkan cara hidup Islam dalam erti kata yang sebenar agar ia dapat dijadikan contoh dalam kehidupan dan dalam masa yang sama tidak meletakkan sempadan diantara dirinya dengan penduduk Orang Asli. Bergaullah sepertimana masyarakat disana dan dalam masa yang sama cuba pelajari budaya dan bahasa mereka agar lebih mudah untuk mendekati mereka.

3.3 Dengan bilangan ustaz yang ramai disana, jadi segala aktiviti yang kecil seperti mengadakan kelas fardhu ain misalnya tidak perlu meminta kerjasama dari JHEOA. Tetapi cukuplah jika dilaksanakan secara sederhana seperti mengajar dirumah sahaja. Tariklah 2,3 anak orang asli yang tinggal berdekatan dan pastikan yang mereka itu sudah biasa dengan ustaz itu sebelum membawa mereka ke langkah yang seterusnya.

3.4 Peranan yang penting diantara ustaz dan Tok Batin disana amatlah perlu dimainkan dengan lebih berkesan. Fungsi untuk setiap sistem perlu digerakkan agar tiada satu fungsi yang rosak. Hubungan dengan Tok Batin mestilah dijaga dengan baik. Tok Batin bertindak sebagai ketua manakala ustaz diletakkan sebagai penasihat lebih-lebih lagi jika melibatkan soal agama.


4.0 Kesimpulan

‘Hendak 1000 daya, tidak hendak 1000 dalih’ pepatah melayu ini cukup menggambarkan usaha yang akan dilakukan jika kita bersungguh-sungguh. Selagi ada keinginan untuk melaksanakannnya tiada yang mustahil yang dapat menghalangnya.

Pendekatan melalui kehidupan dapat dilaksanakan secara perlahan-lahan. Walaupun mengambil masa yang lama tetapi sekurang-kurang dapat pulangan yang berbaloi itu sudah cukup baik. Jadi setiap pihak perlu memainkan peranan dan fungsi masing-masing dengan lebih telus dan sabar dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Diharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan pemantauan mestilah sentiasa dilakukan bagi mengetahui keadaan disana dari semasa ke semasa.



No comments :