Monday, 28 May 2012

Latihan Ilmiah di PERKIM




From Malay Nasionalism to Malay Nation

Tanah Airku - Malaysia

Persekutuan Tanah Melayu telah ditubuhkan pada Januari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957 selepas pembentukan Malayan Union ditentang oleh penduduk Tanah Melayu. Pada tahun 1963, 3 wilayah iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak telah mendapat kemerdekaan selepas bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Negara Malaysia. Walau bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura telah terkeluar daripada Malaysia dan ini menjadikan Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bukan sahaja terdiri daripada bangsa Melayu, malah bangsa Cina dan India turut dibawa masuk secara migrasi sewaktu penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Pemerintahan Pecah dan Perintah yang dilaksanakan oleh Penjajah ke atas kaum majoriti ini secara tidak langsung telah memberi impak positif mahupun negatif dari segi ekonomi, politik dan sosial. Tempoh 50 tahun selepas pembentukan Malaysia daripada negara mundur menuju ke arah negara membangun berlaku dalam jangka masa yang cukup singkat menurut ukuran sejarah dunia. Pengabungan 3 etnik terbesar di Semenanjung yang terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India telah menimbulkan polemik berbeza dari sudut budaya, agama dan bahasa dalam mengekalkan identiti nasionalis masing-masing. Perpaduan yang dicapai dilihat hanya sebagai retorik semata-mata dimana walaupun semua bangsa telah bersetuju dalam memberikan toleransi berkenaan hak keistimewaan Orang Melayu sebagai pertukaran kepada warganegara yang diterima namun mereka juga secara tidak langsung mahu mengekalkan budaya masing-masing dan ini menimbulkan semangat nasionalis terhadap bangsa mereka sendiri.

Penubuhan parti-parti politik seperti United Malays National Organization (UMNO) untuk memperjuangkan bangsa Melayu, Malayan Chinese Association (MCA) bagi bangsa Cina dan Malayan Indian Congress (MIC) bagi bangsa India, masing-masing mewakili bangsa tersendiri dalam menyuarakan mengenai hak disamping menjaga kebajikan bangsa mereka. Ini menimbulkan satu persoalan berkaitan kekuasaan dalam Negara Malaysia itu sendiri. Walaupun telah disepakati mengenai hak keistimewaan orang Melayu disamping agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Negara, namun tetap timbul persepsi berkenaan ketuanan bangsa Melayu itu sendiri sementelah Negara Malaysia pada asalnya adalah dari Tanah Melayu yang merupakan Negara bagi bangsa Melayu itu sendiri. Maka atas faktor itulah menyebabkan bangsa lain merasa tergugat dan tidak berasa terjamin dengan keadaan itu seterusnya mula mencipta strategi bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing seterusnya melahirkan berbagai kebudayaan yang diwarisi sejak turun temurun lantas mencipta variasi yang tersendiri. Tetapi apa yang pasti, perbezaan budaya tidak memberikan kesan perbezaan yang ketara diantara bangsa yang ada kerana faktor perubahan yang dilihat menimbulkan jurang yang nyata adalah berkaitan anutan agama itu sendiri. Kerajaan telah menjangkakan dalam tempoh 30 tahun, asas identiti berdasarkan etnik yang berbagai itu akan bertukar kepada etnik sivik iaitu ‘Bangsa Malaysia’ dimana tiada lagi istilah bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India yang merujuk kepada kepelbagaian rakyat dalam erti kata lain penggunaan bangsa Malaysia merujuk kepada keseluruhan rakyat Malaysia itu sendiri. Ini juga merupakan salah satu langkah dalam mewujudkan ‘Negara Bangsa’ bagi menyatupadukan rakyat dengan mengenepikan kelainan yang wujud pada setiap bangsa berdasarkan formula A + B + C = D.

Terdapat juga batu penghalang dalam mewujudkan ‘bangsa Malaysia’ seperti teori budaya yang melibatkan bahasa, agama, nilai budaya dan kepercayaan. Seperti yang diketahui, kepelbagaian bangsa di Malaysia telah melahirkan variasi etnik yang pelbagai dengan perayaan dan adat istiadat yang berbeza diantara satu sama lain. Faktor pengekalan inilah yang menjadi masalah untuk mewujudkan satu kesamaan kerana faktor kelainan budaya inilah membantu bangsa ini dalam menerangkan identiti kumpulan dan kenegaraan disamping menonjolkan bangsa itu sendiri. Kenyataan ini yang telah mendorong kebanyakan teori menterjemahkan maksud berkenaan negara adalah subjektif dimana pemahaman berkenaan Negara adalah sesuatu yang arbitrari. Teori ini percaya bahawa negara akan mudah dibentuk dan dibina apabila pemerintah dapat memanipulasi intelektual dengan mengawal media, bahasa dan pendidikan. Maka apabila munculnya pemerintah yang lain akan lahirlah pula metod dan teori yang berbeza diguna pakaikan untuk dipraktikkan kepada Negara bagi membentuk satu dasar yang dapat memberi kelainan didalam pemerintahannya. Strategi seperti ini yang dikatakan oleh Hobsbwan dan Ranger berkenaan adat tradisional yang sering diguna pakaikan oleh tampuk pemerintahan yang baru. Maka apabila munculnya konflik, menjadi tanggungjawab pemerintah mencari inisiatif penyelesaian kepada permasalahan dari segi politik, ekonomi dan persaingan kelas status dengan tindak balas yang rasional selain daripada permasalahan kewujudan perbezaan budaya. Dimana dalam perbezaan budaya ini akan wujud jurang antara teori budaya dengan pembinaan sosial seperti yang dijelaskan oleh penulis Horowitz dan Lijphart. Mereka melihat permasalahan ini dengan merujuk kepada konflik etnik dan semangat kebangsaan yang timbul apabila berkaitan dengan interaksi kepada beberapa pemboleh ubah seperti tipikal budaya, kepercayaan serta kesungguhan, manipulasi golongan pemerintah dan juga beberapa faktor yang lain dengan menilai bagaimana identiti, status dan kekuasaan dapat dibentuk semula disebabkan faktor perubahan seperti pemerintahan, keadaan dan peristiwa yang berlaku.

Sebelum pemerintahan British pada akhir abad ke 19 Semenanjung Tanah Melayu di dominasi oleh orang Melayu. Pemerintahan di Semenanjung Tanah Melayu di kuasai oleh pemerintahan Melayu yang berkuasa sepenuhnya. Bahasa Melayu sebagai lingua franca dan agama Islam sebagai agama rasmi. Kedatangan British telah membawa perubahan ke atas Tanah Melayu dengan pembahagian yang dilakukan ke atas negeri-negeri Tanah Melayu dimana pemisahan kepada empat negeri bersekutu, lima negeri tidak bersekutu dan negeri-negeri selat dilakukan. Dengan membawa masuk imigran yang terdiri daripada bangsa Cina dan bangsa India yang kemudiaannya ditempatkan masing-masing di bandar dan di estet memberikan pulangan berganda kepada British dari segi pendapatan dan mengukuhkan lagi kekuasaan mereka seterusnya membuatkan bangsa Melayu menjadi terpencil di tanah air sendiri. Corak pemerintahan kolonial oleh British sedikit sebanyak telah mengubah corak pemerintahan Tanah Melayu yang selama ini setia dengan sistem beraja atau feudalism. Keadaan perubahan ini juga turut dibantu oleh para pemimpin yang mula mahukan perubahan politik apabila mereka ditawarkan dengan tawaran yang lumayan dari segi pendapatan serta ketinggian status kelas oleh pihak British.

Semangat kebangsaan Melayu banyak diinspirasikan daripada Timur Tengah. Ini dilihat daripada bukti-bukti empirikal hasil dari semangat yang didapati seperti pembukaan sekolah agama dan penyebaran kesusateraan Islam di Semenanjung. Semasa peperangan Jepun dan China, orang Cina di Tanah Melayu menyalurkan wang kepada orang Cina di Tanah Besar China. Ini sedikit sebanyak telah menakutkan orang Melayu sendiri di atas faktor jumlah kependudukan orang Cina yang semakin ramai di Tanah Melayu selain kekayaan yang diperolehi sedikit sebanyak akan mengugat kedudukan orang Melayu sendiri. Pada tahun 1941-1945, Jepun yang datang menjajah ke Tanah Melayu telah meningkatkan semangat kebangsaan Melayu dengan menghapuskan mitos keunggulan Eropah dengan memperkenalkan propaganda “Asia untuk orang Asia”. Kemudian Parti Komunis Malaya (PKM) bekerjasama dengan sekutu untuk menentang Jepun pada tahun 1945. Walaupun secara luaran ia kelihatan seperti peperangan yang berlaku diantara Jepun dengan PKM tetapi dalamannya ia sebenarnya memberi impak yang lebih lagi berkaitan orang Melayu dengan orang Cina sendiri dimana rata-rata tali barut tentera Jepun terdiri daripada bangsa Melayu manakala anggota PKM pula lebih kepada orang Cina. Ini sedikit sebanyank menyumbang kepada faktor konflik perkauman diantara orang Melayu dengan orang Cina.

Perancangan dalam meninggikan taraf Negara Malaysia itu sendiri mewujudkan beberapa rancangan yang diatur dan direncana sendiri oleh pemerintah tempatan selepas mendapat kemerdekaan dengan cara mereka tersendiri. Rancangan Malaya Pertama dan Kedua diikuti Rancangan Malaysia Pertama sehingga kesembilan dengan mengambil tempoh masa 5 tahun pada setiap perancangan adalah langkah awal atau percubaan dalam merubah keadaan Negara Malaysia ke arah yang lebih baik. Pembasmian kemiskinan, penyusunan semula rakyat, perubahan corak ekonomi dari pertanian kepada moden, perkenalan beberapa dasar seperti dasar sogoshosa, pandang ke timur, dasar perindustrian dan beberapa dasar lagi dilihat dapat mengubah masyarakat yang dahulunya tradisional kepada moden atau kepada masyarakat industri. Perangcangan ini disusun sedikit demi sedikit dalam masa sama tetap tidak mengabaikan kebajikan setiap kaum yang ada dalam bersama-sama menuju ke arah pembangunan yang lebih jitu. Cuma sedikit pengaruh globalisasi menyebabkan keadaan perancangan itu berubah dan memerlukan perencana yang lebih bersifat dinamik dan progresif seiring dengan peningkatan teknologi dan pendidikan.

Walaupun Negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak sekian lama, permasalahan yang sering kali timbul adalah berkaitan dengan isu perkauman yang sering menimbulkan konflik. Orang Melayu merasakan mereka berhak ke atas tanah air mereka dimana di sinilah tempat tumpah darah berlainan dengan bangsa imigran yang lain kerana Negara asal mereka sudah sedia ada dan mereka boleh ke sana bila-bila mereka mahu dan ini menimbulkan sedikit curiga berkenaan kesetiaan mereka terhadap Malaysia. Disitulah yang telah menimbulkan persoalan kepada hak orang Melayu itu sendiri dan konflik berpanjangan apabila bangsa imigran mula mempersoalkan mengenainya. Bangsa Melayu dilihat lebih mempertahankan hak mereka berbanding bangsa lain yang dilihat mahu menguasainya. Bangsa Cina mula menguasai ekonomi, bangsa India pula dilihat cuba memasuki sistem perundangan dan bangsa Melayu masih dengan politik yang sering bertukar ideologinya. Keadaan seperti ini selagi tiada penyelesaian memberikan kesan jangka masa yang panjang dalam merencana pembangunan Negara seiring Wawasan 2020 yang dikatakan dapat membawa Malaysia dari Negara membangun kepada Negara maju. Apa yang pasti adakah penubuhan ‘Negara Bangsa’ dapat merealisasikan pembangunan dan perubahan Negara menuju ke arah Negara maju dengan sokongan dan bantuan dari semua kaum tanpa ada prasangka dalam masa yang sama keadaan ini juga akan memberikan impak kehilangan identiti bangsa masing-masing dan ‘kemelayuan’ juga akan terhakis dengan begitu sahaja.





RUJUKAN


Khairul Azmi Mohamad Af Yassin (2000), Insan Perjuang Bangsa Melayu Abad Ke 20, Yayasan Warisan Johor 
Noriah Mohamed (2008), ISM Research Monograph Series No.7 ;A Study of Social Support for the Elderly in a Rural Area, Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia.
Rahimah Abdul Aziz (2001), Pengantar Sosiologi Pembangunan Edisi Kedua, Kuala Lumpur ;Dewan Bahasa dan Pustaka
Ruslan Zainuddin (2005), Sejarah Malaysia, Selangor Darul Ehsan ;Penerbit Fajar Bakti Sdn . Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin (2006), Modul Hubungan Etnik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Wan Azmi Ramli (1992), Pembangunan Masyarakat dari Perspektif Kebajikan, Kuala Lumpur ;Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.






Ya Taiba

Ya tayba ya tayba ya dawa al-ayyana
Eshta`nalik wil hawa nadana

Lamma sar ilmarkab nasani
Saro we`dam`i ma jafani
Akhado albi ma` jinani
Ya tayba ya teem alwalhana

Qiblati baytu`llahi sabir
Allani laki yawman za`ir
Ya tura hal tarani nathir lil K`abah
W`toghmurni `bamana

Nabina aghla umniyati
Azorak lo marra `b hayati
Wib jiwarak salli salati
Wathkur rabbi watlu `l Qurana

Bushrakil`Madina bushraki
Biqudom ilHadi ya bushraki
Fa hal li ma`wa fi himaki
Atamalla fa`nnooru sabana
Noorukom sabana
 
 
------------------------Terjemahan--------------------------
 

Wahai Taiba, wahai Taiba,
Penawar kepada yang sabar
Kami merinduimu
Dan kecintaan telah membawakanku kepadamu

Aku tertinggal ketika kapal berlayar
Mereka berlayar pergi dan tangisanku tidak mengering
Mereka telah membawa pergi jiwa dan ragaku bersama
Wahai Taiba, kau cinta orang yang terganggu

Arah sembahyangku (Kiblat ku), Rumah Allah, Aku bersabar
Mungkin suatu hari akan datang melawatimu
Aku tertanya-tanya, adakah aku akan melihat Kaabah
dan merasa kagum dengan keselamatannya..

Nabi kami, impian tertinggiku, ialah melawatimu,
Sekurang-kurangnya sekali seumur hidupku
dan dekat dengan kamu, untuk menjalankan ibadahku
untuk memuji Tuhanku, dan membaca Qur'an
  
Wahai Madinah, betapa beruntungnya kamu
dengan kedatangan bintang petunjuk itu
Izinkan aku berlindung disisimu
Benarlah, cahayamu telah mengagumkan aku.

Kaabah

Sumber : http://artemisart.blogspot.com/2012/01/lagu-ya-taiba-versi-arab-dan-versi.html



SEJARAH PENCIPTAAN KAABAH

Kaabah yakni rumah Allah adalah kiblat di mana seluruh umat Islam menghadapnya ketika menunaikan solat. Diriwayatkan bahawa Allah telah menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada air 2000 tahun sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah membentangkan bumi dari bawah Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya sehingga lapisan bumi yang ke tujuh.

Di setiap tujuh langit ada rumah Allah tempat para malaikat beribadat padaNya dan pada langit ke tujuh nama rumah Allah itu adalah Baitul Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul Makmur adalah masjid yang berada di langit dan ia betul-betul di atas Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia akan menghempap Kaabah”.

Sebelum Baitul Makmur dicipta, para malaikat tawaf mengelilingi Arasy pada masa yang sangat lama. Allah memandang mereka kemudian menurunkan rahmat kepada mereka. Allah membina sebuah rumah di bawah Arasy yang diberi nama Baitul Makmur. Allah memerintahkan para Malaikat supaya tawaf di Baitul Makmur dan tinggalkan Arasy. Para malaikat telah melakukan tawaf di Baitul Makmur sehingga jumlah yang memasukinya siang dan malam seramai 70,000 malaikat. Mereka tidak kembali lagi buat selama-lama.

Kemudian Allah mengutuskan para malaikat turun ke bumi dan berfirman kepada mereka, “Binalah sebuah rumah untukKu di bumi sepertinya”. Allah memerintah seluruh makhlukNya di bumi supaya tawaf mengelilingi Kaabah sebagaimana penghuni langit tawaf mengelilingi Baitul Makmur. Diriwayatkan bahawa Allah telah mengutuskan Jibril kepada Nabi Adam serta Hawa supaya membina satu rumah untukNya. Jibril telah menggariskan (rangka) kepada keduanya lalu Nabi Adam menggali tanah manakala Hawa mengangkutnya sehinggalah air menyahut serta menyeru dari bawah beliau meminta agar berhenti menggali dengan kata-kata, “Cukuplah wahai Adam!”

Setelah Nabi Adam wafat, anak-anaknya telah membina Kaabah dengan menggunakan tanah dan batu. Diriwayatkan bahawa orang yang membinanya ialah anak Nabi Adam iaitu Nabi Syith. Mereka sentiasa mendiami dan memakmurkan Baitullah dan begitulah juga dengan orang-orang yang selepas mereka sehinggalah tiba zaman Nabi Nuh, Kaabah telah runtuh dan kawasan tersebut ditenggelami air serta tidak dapat dikesani.

Kemudian Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu. Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

Ciri-ciri binaan yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim:

- Tingginya 9 hasta.
- Panjang di paras bumi dari Hajarul Aswad hingga ke penjuru sebelah Syam 32 hasta.
- Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat 22 hasta.
- Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman 31 hasta.
- Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarul Aswad 20 hasta.

Selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, ia terus berdiri megah di bumi Allah dan tidak akan runtuh sehingga hari Kiamat. Namun usaha membaik pulih dan menyelenggarakan Kaabah tetap diteruskan sehingga sekarang. Berikut adalah rumusan sejarah pembinaan Kaabah.

- Binaan pertama: Malaikat
- Binaan kedua: Nabi Adam
- Binaan ketiga: Nabi Syith
- Binaan keempat: Nabi Ibrahim
- Binaan kelima: Kaum Amaliqah
- Binaan keenam: Kaum Jurhum
- Binaan ketujuh: Qusai bin Kilab (Abad keempat Masihi)
- Binaan kelapan: Abdul Mutalib
- Binaan kesembilan: Kaum Quraisy (Tahun 605 Masihi ketika Rasulullah berusia 35 tahun)
- Binaan ke-10: Abdullah ibnu Zubair (Tahun 64 hijrah)
- Binaan ke-11: Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi (Tahun 74 hijrah/693 Masihi)
- Binaan ke-12: Sultan Murad Khan (Tahun 1040 hijrah/1630 masihi)

Sumber : http://syahirul.com/sejarah-penciptaan-kaabah/

Gagasan 1 Malaysia Ke arah Pembentukan Negara Bangsa


PENGENALAN

Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia sekaligus menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia.

Umum diketahui bahawa Negara Malaysia terdiri daripada beberapa bangsa dan kaum yang pelbagai. Untuk merapatkan hubungan diantara kaum, perlunya satu dasar kesamarataan yang perlu dibuat bagi menyemai semangat nasionalisme dan kecintaan kepada negara seterusnya mewujudkan perpaduan sesama kaum.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri keenam Malaysia melihat dasar yang dibuat itu adalah langkah yang bertepatan dalam mewujudkan satu matlamat ke arah bangsa Malaysia. Konsep ini juga selari dengan apa yang termaktub dalam Prinsip-Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan. 1 Malaysia yang membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.



KONSEP 1 MALAYSIA


Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.



1 MALAYSIA DALAM SUDUT POLITIK

1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” dimana pemimpin memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara dan rakyat memerlukan pemimpin yang cemerlang dan komited serta memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam membentuk sebuah negara.

1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.1 Malaysia dilihat sebagai pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Dimana keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan dan pemimpin serta rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai yang telah digariskan didalam dasar 1 Malaysia.



1 MALAYSIA DARI SUDUT EKONOMI

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama dan tiada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Seperti yang dijelaskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Seperti mana yang diperkenalkan Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Perdana Menteri keenam Malaysia dimana matlamatnya adalah bertujuan menjadikan Malaysia sebagai ekonomi maju dan berdaya saing dengan rakyatnya tanpa mengira kaum menikmati kualiti hidup yang tinggi serta berpendapatan tinggi hasil daripada pertumbuhan yang inklusif dan mampan.



1 MALAYSIA DARI SUDUT SOSIAL

Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. 1 Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik untuk menghadapi sebarang cabaran.


NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan dalam konsep 1 Malaysia dan nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya Kecemerlangan

Budaya cemerlang yang diamalkan secara sistematik akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Pengamalan secara berterusan ini dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan disertai prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan.

2. Ketabahan

Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

3. Rendah Hati

Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

4. Penerimaan

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

5. Kesetiaan

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan akan membina kepercayaan berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

6. Meritokrasi

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7. Pendidikan

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

8. Integriti

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.



PEMBINAAN NEGARA BANGSA


Pembinaan negara bangsa adalah matlamat utama yang hendak dicapai oleh sesebuah negara yang mempunyai multi etnik seperti malaysia, kemuncak kepada kejayaan dalam membina negara bangsa seperti Malaysia adalah kejayaan sesebuah negara, pentadbiran dan juga penduduknya. Pembinaan negara tanpa mengambil kira mewujudkan bangsa yang satu dalam keseluruhan rakyat negara akan merugikan negara pada masa akan datang. Tanpa perpaduan yang kukuh dan rasa etnosentrime sebagai satu kumpulan bangsa bagi masyarakat multi etnik akan mewujudkan perbalahan dan perpecahan antara kaum. Ini secara tidak langsung akan menggugatkan kedudukan ekonomi negara, terutamanya persepsi para pelabur terhadap Malaysia sebagai negara yang tidak mempunyai perpaduan yang kukuh.

Terdapat pelbagai pandangan dalam melangkah ke abad 21, pelbagai pendapat yang dilontarkan akan kemunculan suatu bentuk dunia yang baru akan mengakhiri sistem negara bangsa. Pendapat yang kini di anggap releven adalah sistem negara-wilayah. Sistem negara-wilayah ini dikatakan selari dengan zaman yang semakin canggih, sistem dunia tanpa sempadan dan zaman globalisasi. Pemikiran terhadap gelombang globalisasi dan kehidupan bersama di dunia tanpa sempadan mula tercetus sebagai alternatif terbaik bagi setiap warganegara dunia. Kecanggihan dunia dengan teknologi, komunikasi dan sains telah mendorong untuk melahirkan dunia tanpa sempadan. Topik-topik seperti ini juga kebiasaannya menjadi topik utama bagi pemikir terkenal seperti Ohmae, Fukuyama dan Naisbitt.

Seperti yang kita ketahui, Malaysia sama sekali tidak menolak proses pembangunan dan proses perkembangan dunia. Malaysia juga tidak menolak pendapat yang menyatakan berakhirnya era negara bangsa apabila menerima kehadiran era globalisasi. Kewujudan Malaysia sebagai negara yang mempunyai multi etnik akibat penjajahan daripada pihak barat menyebabkan proses pembinaan bangsa itu sukar berlaku dan mengambil masa yang panjang disamping suatu cabaran yang besar bagi Malaysia.

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi manifestasi kepada keadaan cabaran sebenar yang digambarkan dalam usaha pembentukan pembinaan negara bangsa. Tindakan kerajaan dengan memperkenalkan dasar ekonomi baru (DEB) adalah untuk merapatkan jurang di antara semua kaum terutamanya tiga kaum terbesar di Malaysia disamping menyusun semula rakyat. Rentetan daripada itu, pelbagai dasar-dasar diperkenalkan, antaranya Dasar Kebudayaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara dan pembentukan parti politik pelbagai kaum seperti Barisan Nasional yang memberi ruang kepada pembinaan negara bangsa.

Proses bina bangsa semakin hari diberi perhatian yang serius oleh pelbagai pihak, usaha perpaduan kini bergerak seiring dengan keperluan pembangunan ekonomi. Ini selari dengan cabaran untuk merealisasikan gagasan perdana menteri kelima iaitu Wawasan 2020. Dasar ini merupakan perancangan masa panjang yang dirangka oleh kerajaan sebagai panduan bangsa dan negara yang maju. Kekuatan yang perlu digunakan oleh kerajaan bagi mencapai matlamat ini adalah nasionalisme, ia menjadi pegangan bagi pemilikan semangat kebangsaan oleh semua warganegara berasaskan nilai-nilai kebangsaan yang dikongsi bersama.

Nasionalisme menyediakan asas-asas kepada sesebuah bangsa dan negara bagi mempertahankan kumpulan negara bangsa supaya terus wujud. Nasionalisme yang wujud dalam negara kita perlulah bersandar kepada nilai-nilai yang dapat dikongsi bersama oleh semua penduduk negara ini tanpa ada perbezaan. Hakikat yang perlu diketahui, konsep pembinaan negara bangsa adalah suatu proses yang melibatkan suatu jangka masa yang berpanjangan. Sekalipun sukar dan mengambil masa yang panjang, pembinaan negara bangsa adalah suatu perkara yang penting dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti Malaysia. Pembinaan negara bangsa yang mantap memerlukan penyertaan secara menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat dan jentera kerajaan.



KONSEP NEGARA BANGSA

Negara bangsa merujuk kepada kombinasi masyarakat dan negara yang berfungsi dalam wilayah yang mengkhusus persempadannya (Sodaro, 2001). Ia adalah berkenaan hidup dalam keadaan terintegrasi tanpa wujud perbezaan antara mereka sekaligus dapat menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara dan dapat mengelak daripada berlakunya sebarang konflik antara kaum yang semestinya akan merugikan semua pihak di negara ini.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara multi etnik seperti Malaysia adalah penting terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi. Cabaran seperti ini membuatkan pembinaan negara bangsa amat diperlukan bagi mengelakkan Malaysia terdedah kepada konflik perkauman yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sekiranya satu nilai kebangsaan yang dikongsi bersama tidak dapat diwujudkan dan dihargai oleh semua warganegara Malaysia. 1 Malaysia adalah pemangkin kepada kewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.


CIRI-CIRI NEGARA BANGSA

INTEGRASI
Integrasi merupakan suatu proses yang mewujudkan suatu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang sudah terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Ia terdiri daripada wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik. Integrasi merupakan salah satu instrumen penting dalam pembentukan perpaduan dan penyatuan masyarakat dalam negara. Aktiviti-aktiviti integrasi mampu mengikis perasaan perkauman yang sempit dan sekaligus boleh mengancam matlamat untuk membentuk negara bangsa. Contoh Konsep 1 malaysia adalah dasar untuk mewujudkan integriti dalam setiap kaum.

NASIONALITI
Nasionaliti adalah kewarganegaraan yang mewujudkan suatu bentuk identiti kepada semua orang sebagai warganegara dalam sesebuah negara itu. Elemen ini mewujudkan suatu bentuk identiti kepada semua individu yan terdapat dalam negara ini sebagai warganegara. Contohnya seperti kad pengenalan yang sama bagi warganegara Malaysia. Faktor kebersamaan dan perasaan berkongsi milik dalam hal seperti kebudayaan, sistem politik dan bahasa boleh menjadi penyatuan rakyat yang diiktiraf sebagai satu bentuk nasionaliti kebangsaan. Contoh pengenalan Meritokrasi dalam gagasan 1 Malaysia: kesamarataan- Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan 1 Malaysia.

NASIONALISME
Perasaan cinta kepada tanahair dapat memberi nilai perkongsian yang tiada batas kepada semua pihak dalam sesebuah negara. Nasionalisme adalah asas membina semangat kekuatan, keyakinan diri, penyatuan dan perpaduan nasional. Prinsip utama dalam 1 Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). 1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

PATRIOTISME
Kesetiaan teragung untuk tanahair, elemen patriotisme hadir selepas hadir perasaan nasionalisme. Melalui patriotisme, bangsa akan menjadi kuat dan mampu berjuang membangunkan bangsa daripada kemunduran dan penindasan. Hanya bangsa yang kuat akan berjaya menghadapi cabaran abad ke-21. Bangsa yang kuat perlulah mempunyai keberanian, ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam ketahanan nasional.

DEMOKRASI
Alat mewujudkan keutuhan pentadbiran yang direstui rakyat secara keseluruhan. Kekuatan demokrasi dalam membantu pembentukan negara bangsa ialah dari sudut pemberian hak kepada semua warganegara berkongsi ideologi yang satu dalam memilih pemerintahan negara.Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.



KONSEP 1 MALAYSIA DARI SUDUT PANDANGAN PLURALISME

Gagasan ini adalah sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan lagi perpaduan di kalangan rakyat, seiring dengan usaha untuk mencapai kejayaan dan perpaduan di Malaysia. Memandangkan dalam pembinaan sebuah negara maju perpaduan adalah antara pra syaratnya, maka, kerajaan lebih tertumpu kepada perpaduan antara masyarakat tanpa mempedulikan warna kulit dan bangsa. Umumnya, apabila seluruh warganegara Malaysia bersatu padu dan bersama berganding bahu dalam gagasan 1 Malaysia, usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 akan mencapai objektifnya.

Konsep 1 Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya, penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara. Malah, Malaysia masih kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, walaupun masyarakat memahami konsep 1 Malaysia sebagai kesamarataan diantara kaum di Malaysia, namun secara tersuratnya bangsa Melayu masih lagi dikekalkan kedudukannya sebagai bangsa ketuanan di Malaysia seperti mana mengikut perjanjian yang telah termaktub didalam kontrak sosial.

Meneliti 8 nilai yang diketengahkan didalam konsep 1 Malaysia dapat diperhatikan bahawa 1 Malaysia bukan sahaja menekankan kepada semangat perpaduan diantara kaum, malah turut menekankan kepada modal insan rakyat dan pemimpin itu sendiri. Seiring dengan slogan ‘Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’ memberi pengertian akan keprihatinan kerajaan kepada nasib rakyat dengan memberi keutamaan didalam apa perkara sekalipun. Dalam pembentukan sesebuah Negara, perlunya pemimpin dan rakyat sebagai anggota penggerak dan penentu keupayaan Negara. Maka, mereka akan saling memerlukan dan siapa yang lebih memerlukan rakyat kalau bukan pemimpin dan siapa yang akan memerintah rakyat kalau bukan pemimpin? Jadi disitulah terletaknya teori fungtional dimana diantara kedua-dua subjek ini saling memerlukan dan berfungsi untuk memenuhi skop masing-masing. Sesungguhnya matlamat akhir 1 Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian kaum di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.



KONSEP 1 MALAYSIA DARI SUDUT PANDANGAN MARXISME

Malaysia seperti yang diketahui berbilang kaum, bangsa dan agama. Untuk melahirkan perpaduan dalam Negara yang berbilang kaum, perlunya sesuatu instrumen kepada kebergantungan untuk mencapai apa yang dimiliki. Melihat kepada perkara ini, maka tersetuslah idea 1 Malaysia bagi melahirkan hanya 1 bangsa didalam sesebuah Negara.

Kesalahfahaman konsep 1 Malaysia yang cuba diterapkan ini memberi seribu satu masalah dalam menginterpretasikannya didalam masyarakat. Rata-rata rakyat memahami konsep 1 Malaysia sebagai satu konsep mewujudkan kesamarataan diantara kaum yang wujud di Malaysia. Jadi 1 bangsa, 1 bahasa, dan 1 agama meliputi 1 negara. Maka disini timbulnya protes ketidakpuasan hati tentang kesamarataan yang dijelmakan diatas kesalahan menginterpretasikan makna konsep itu. Ini terbukti melalui iklan raya sinari lebaran yang ditayangkan di TV3 sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh bangsa Melayu beragama Islam pada September 2010 yang lalu. Iklan yang memaparkan kemeriahan beraya cuba menjelmakannya dalam konteks kepelbagaian perayaan dijadikan kepada 1 perayaan. Dalam iklan yang berdurasi 3 minit itu memaparkan perayaan Krismas, Buddha, Hindu dicampurkan menjadi satu dan diterjemahkan kepada simbol-simbol tertentu dalam menyambut Hari Raya. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana agama Islam telah dicemari dengan unsur-unsur yang tidak patut sama sekali diletakkan tarafnya bersama.

Sistem meritokrasi yang dibuka untuk memilih yang terbaik antara yang terbaik membuka satu lapangan saingan sengit diantara masyarakat berbilang kaum. Walaupun matlamatnya secara tersirat adalah untuk kesamarataan kaum tetapi sistem ini secara tidak langsung memencilkan kedudukan bangsa melayu sendiri dimana melihatkan kepada persaingan diantara kaum-kaum lain di Malaysia, kaum Melayulah yang paling ketinggalan. Jadi walaupun 1 Malaysia ini dikatakan untuk semua kaum dan bangsa, realitinya ia masih mengekalkan ketuanan bangsa Melayu itu sendiri. Dan disini menimbulkan konflik perkauman kepada bangsa lain yang tidak berpuas hati diatas ‘dasar kesamaan’ yang tidak adil itu.

Melihat kepada pengekalan perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan menterjemahkan kepada persamaan diantara kaum di Malaysia menjadi 1 Malaysia ibarat A + B + C = A. Dimana bangsa Melayu dilihat mendominasi keistimewaannya sementelah bangsa Melayu adalah bangsa ketuanan dan ini juga yang dipersetujui oleh ketua kaum-kaum lain jika menyelak helaian sejarah dahulu. Walaupun hakikat konsep 1 Malaysia lebih memberi penekanan kepada A + B + C = D tetapi realitinya tidak seperti begitu. Masing-masing mahu mementingkan kaum tersendiri tanpa mengambil kira faktor 1 negara yang dihuninya.



KESIMPULAN

Gagasan satu Malaysia ke arah pembentukan negara bangsa yang membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama.

Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.



-------------------Power Point--------------------






BIBLIOGRAFI

A.Aziz Deraman. 1992. Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Arena Ilmu Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Embong. 2006. Negara-Bangsa, Proses Dan Perbahasan Edisi Kedua. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. Selangor

Perlembagaan Persekutuan. 2005. Lembaga Penyelidikan Undang-undang. International Law Book Services : Petaling Jaya.

Syed Husin Ali. 2008. The Malays Their Problems and Future. The Other Press : Kuala Lumpur

Syed Mahadzir Syed Ibrahim & Prof Madya Mohd Shah A’shaari. 2010. Gagasan Najib: 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. WARISAN Inked. Selangor.

Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani. 2003. Pendidikan Negara Bangsa. PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. Kampus PTS. Pahang.




Sunday, 27 May 2012

Permainan Komputer Lebih Banyak Keburukan Berbanding Kebaikan

Permainan komputer merupakan antara hiburan bentuk media yang menarik perhatian golongan remaja khususnya pada alaf ke 21 ini. Permainan komputer adalah permainan yang melibatkan interaksi diantara pengguna dengan ruang hubung kait yang menghasilkan maklum balas visual melalui sambungan alat video. Menurut Wolf dan Perron setiap permainan digital memiliki elemen-elemen dasar, berupa sebuah algoritme, aktiviti pemain, interface dan grafik. Yang paling mudah dikenali adalah elemen grafik, iaitu mengenai penampilan permainan tersebut di layar atau melalui paparan alat elektronik. Gambaran tersebut berupa kumpulan pixel iaitu satuan gambar terkecil dengan salah satu pembahagian gambar tersebut mempunyai gerakan yang terhasil dari manipulasi si pemain. Interface pula adalah pengantara permainan tersebut dengan pemain, yang menjadi pemproses antara input pemain dengan output dalam permainan, beserta alat-alat input seperti papan kekunci atau keyboard dan gerakan joystick atau mouse.

Bagaimanapun, pemain ‘permainan komputer’ atau yang disebut gamers ini kini tidak lagi terbatas pada usia anak-anak saja. Menurut pemerhatian yang dilakukan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa pemain permainan komputer merupakan suatu komuniti yang tidak lagi dianggap sebagai suatu sub-kultur tersendiri, tetapi dua generasi usia yang telah terpengaruhi oleh permainan komputer. Baik orang dewasa mahupun anak-anak remaja turut tidak terkecuali mengilai permainan komputer ini. Dan jika dilihat pada zaman sekarang, permainan komputer ini tidak lagi dimainkan untuk mengisi waktu lapang, tetapi turut digunakan dengan tujuan komersil.

Namun disebalik semua itu permainan komputer ada juga keburukannya. Segelintir pihak seperti ibu bapa dan guru berpendapat permainan komputer terlalu menarik perhatian anak-anak remaja khususnya sehingga melekakan mereka disamping mengurangi motivasi pembelajaran mereka, Kebanyakan ibu bapa dan guru berpendapat bermain permainan komputer membuang masa, malah ada yang menggunakan pendekatan dengan melarang anak-anak dari bermain permainan komputer. Ada juga ibu bapa yang mengizinkan anak mereka bermain permainan komputer dengan syarat anak tersebut telah mengerjakan tugas-tugasnya. Namun tetap ada ibu bapa dan guru yang mempunyai persepsi bahawa permainan digital ini adalah tidak elok, kerana waktu yang digunakan untuk bermain permainan komputer ini boleh diluangkan untuk hal-hal lain yang lebih berguna.

Malah mengikut kajian yang dilakukan, permainan komputer boleh mendatangkan kesan sosial negatif terhadap golongan remaja khususnya dimana kandungan yang disajikan menerusi permainan komputer kebanyakannya berbentuk keganasan, seks dan budaya kuning boleh menimbulkan kesan negatif dikalangan muda mudi. Keruntuhan akhlak muda mudi pula mudah terjadi jika program-program demikian tidak dikawal atau ditapis secara ketat. Ini kerana mereka mudah terpengaruh dengan apa yang dipaparkan dalam permainan komputer sekaligus gagal membezakan antara dunia realiti dengan fantasi. Malah permainan komputer juga sering dikaitkan dengan salah laku muda mudi disebabkan pengaruh permainan komputer terhadap sifat agresif remaja menemukan hubungan yang signifikan antara permainan komputer yang berisi kekerasan dengan perilaku agresif remaja, baik yang bersifat verbal mahupun non-verbal. Kajian dan penelitian yang telah dilakukan menunjukkan impak permainan komputer terhadap sikap agresif atau hostile attribution bias mengimplikasikan bahawa permainan komputer akan menghasilkan stimulus yang pasti membawa akibat tertentu. Ini kerana proses-proses yang terjadi pada saat orang bermain permainan komputer lebih kompleks kerana stimulus-stimulus yang ada bukan saja pada program permainan tersebut, tetapi juga hasil olahan input dari pemain sendiri.

Permainan komputer juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan. Ini disebabkan kerana terlalu leka bermain, mereka telah mengabaikan aktiviti senaman atau pergerakan fizikal lain seperti bermain bola, berjogging atau berbasikal misalnya. Ini menyebabkan mereka tidak lagi menjalankan kehidupan yang sihat. Kesan sampingan lain akibat menghadap komputer berjam-jam juga boleh merosakkan penglihatan kerana pendedahan langsung mata mereka kepada sinar radioaktif dan sebagainya. Sistem saraf akan turut terganggu dan ini akan menjejaskan kesihatan. Duduk didalam posisi yang lama dengan otot-otot tubuh berada dalam posisi statik juga beresiko terhadap kesihatan.

Bukan itu sahaja kekerapan menggunakan komputer untuk bermain permainan semata-mata boleh menambahkan caj bil elektrik dan lazimnya ibu bapalah yang terpaksa menanggung kos tersebut. Malah kerana terlalu asyik menghadap komputer berjam-jam setiap hari juga menyebabkan interaksi sosial seseorang dengan rakan-rakannya berkurangan akibat jarang berjumpa dan bertegur sapa.

Tetapi disebalik keburukan permainan komputer turut ada kebaikannya kepada pemain jika mereka pandai menggunakannya. Mengikut segelintir pihak berpendapat permainan komputer dapat meningkatkan minat terhadap komputer dan kemampuan menggunakannya (computer literacy). Padahal menurut satu kajian yang dijalankan, ada 36 prinsip belajar yang boleh dijumpai dalam proses bermain permainan komputer. Sebagai contoh, permainan Minesweeper mengandung prinsip belajar “Regime of Competence”, iaitu dimana pemain dapat mendorong kemampuan-kemampuannya menggunakan sumber yang ada bagi menghadapi tentangan yang beresiko, meskipun dalam sebuah domain yang bersifat “Subset” atau domain realiti yang disederhanakan. Contoh lain, permainan action-multiplayer Counterstrike yang menggunakan prinsip belajar psychosocial moratorium, dimana pemain ini dapat melakukan pengambilan risiko dengan kedudukan dimana konsekuensi dunia nyata dikurangi. Sebagai contoh pemain dapat beraksi sebagai seorang ketua yang memerangi pasukan lawannya dengan melakukan berbagai-bagai taktik dengan tujuan terorisme tertentu. Bagaimana pemain bertindak, menggunakan senjata, memilih taktik-taktik berperang serta meletakkan bom di lokasi-lokasi tertentu dapat dilaksanakannya dengan mudah tanpa menghadapi konsekuensi yang sama seperti dilakukan dalam dunia nyata.

Dibandingkan jenis-jenis media sebelumnya, permainan komputer menawarkan sebuah segi yang tidak diperoleh media lain, iaitu interaksi antara pemain sesama pemain dalam program permainan komputer dimana dengan keseragaman stimulus yang dihasilkan berdasarkan input yang diberikan, pemain dapat bermain dengan pemain-pemain lain yang beribu-ribu kilometer jaraknya. Bagaimana seorang pemain bermain, dengan bertindak dalam membuat pilihan boleh mempengaruhi keseluruhan permainan. Permainan-permainan tersebut juga mempunyai kemampuan untuk menggerakkan pemainnya dari dalam dunia mikro. Antara CD-ROM permainan komputer yang popular di kalangan anak remaja adalah seperti Timezone, Funcity dan Sega World. Malah seiring dengan zaman yang serba canggih, sejumlah programmer juga mengambil kesempatan diatas kegilaan pemain permainan komputer ini dengan memanfaatkan permainan komputer sebagai salah satu medium menyalurkan kreativiti mereka serta menghasilkan wang melalui penjualan perisian mereka.

Kesimpulan yang dapat dibuat adalah permainan komputer yang semakin berkembang pesat ini membawa kebaikan dan keburukannya kepada pengguna. Pengguna permainan komputer harus sedar peranan dan implikasinya akibat penggunaan permainan komputer khususnya menuju alaf baru ini. Yang menjadi persoalannya adalah seberapa jauh para pemain permainan komputer menyedari akan hal tersebut? Apakah mereka sekadar bermain permainan komputer dan menikmatinya, atau adakah ada proses kognitif yang lebih mendalam daripada sekadar input dan proses data bermain? Apakah para pemain menyedari proses-proses yang mereka alami saat mereka bermain? Dan jawapannya hanya mereka sahaja yang boleh menjawabnya.


Sekadar gambar hiasan