Friday 14 September 2012

Alasan vs Matlamat

Tazkirah hari ini.

Berdebar rasa apabila diminta oleh pensyarah untuk menyampaikan tazkirah. Berbekalkan ilmu yang serba kekurangan ini, usaha untuk mengemudi pangkalan ilmu kerah dikerjakan. Kembali membuka beberapa mutiara kata dan membawa bersama beberapa surah al-Quran sebagai dasar pegangan. Setelah diteliti dan diamati, maka lahirlah tajuk ini 'Alasan vs Matlamat' hasil dari keadaan semasa yang dialami kini oleh pelajar Misdev 11 dalam usaha mengpsikologikan diri bagi pentabahan hati untuk menghadapi realiti.

Mengambil surah Ar-Rahmaan ayat 1-78 sebagai dasar rujukan utama, maka diteliti terdapat 2 perkara yang ditekankan berkenaannya.

Perkara 1 : Menceritakan berkenaan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada umat manusia sebagai khalifah di muka bumi
Perkara 2 : Membawa bersama balasan syurga mahupun neraka kepada sesiapa yang patuh atau ingkar kepada suruhan dan laranganNya.

Rumusan dari kedua-dua perkara tersebut, maka apa yang dapat dilihat ialah adanya kaitan di antara alasan juga matlamat. 

Perkara 1 memberi justifikasi kepada manusia alasan yang perlu diguna pakai oleh manusia bagi mensyukuri nikmat pemberiaanNya.
Perkara 2 pula dijadikan matlamat untuk manusia dalam memenuhi tuntutannya sebagai khalifah Allah. Dua pilihan diberikan sama ada untuk ke syurga mahupun neraka. Bagi yang menyembahNya dan mengikut apa yang disuruh oleh Allah maka tempatnya adalah di syurga. Tetapi bagi yang menyekutuiNya dan membuat perkara yang dilarang, maka nerakalah tempatnya.

Menyusuri secara lebih teliti berkenaan kedua-dua perkara ini, membawa kepada terjahan secara umum dalam memperjelaskan lagi hal ini.

Alasan 
Alasan dapat dibahagikan kepada dua. Sama ada alasan itu membawa kepada perkara baik mahupun tidak baik. Ada yang menggunakan sesuatu alasan untuk berjaya mencapai matlamat tetapi ada juga yang menggunakan alasan untuk mengenepikan matlamat. Tetapi apa yang akan disampaikan di sini adalah 

'alasan untuk bagi yang mengenepikan matlamat'

Meneliti semula dalam surah ke 55 dalam al-Quran ini dapat dilihat bahawa terdapat beberapa pengulangan yang telah Allah SWT tekankan di sini.

Ayat ini telah diulang oleh Allah SWT sebanyak 31 kali. Melihat dari sudut psikologi, pengulangan ini memberi suatu bentuk peringatan untuk manusia agar tidak lupa mengenainya. Maka, atas alasan apakah untuk kita tidak menyembah serta melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah di atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakanNya?

Matlamat
Apakah sebenarnya matlamat hidup manusia? Adakah sekadar bersekolah-bekerja-berkahwin-berkeluarga-mati? Adakah perkara yang dilakukan itu sekadar resam hidup seorang manusia atau dilapisinya bersama keimanan yang dimanifestasi sebagai ibadat menuju halawatul iman?

Perkara ini sebenarnya telah Allah SWT nyatakan banyak kali dalam al-Quran. Malah matlamat penciptaan manusia dalam hal yang sebenar-benarnya juga telah Allah SWT jelaskan dalam firmanNya yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 30 :
 Dan surah Adz-Zaariyat ayat 56 :

Banyak lagi firman Allah dalam beberapa surah al-Quran yang menjelaskan lagi berkenaan matlamat penciptaan manusia. Dan keseluruhan itu membawa kepada rumusan bahawa manusia diciptakan oleh Allah adalah semata-mata untuk menyembah serta beriman kepadaNya. Maka, untuk mencapai matlamat itu, dijadikan manusia lengkap beserta akal bagi membezakannya dengan makhluk Allah yang lain. Atas alasan bahawa manusia itu adalah khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini berdasarkan sepertimana yang disuruh olehNya.

Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?

Manusia sering memberi 1000 dalih untuk mencapai 1 matlamat. Perkara ini jelas diterangkan dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 67-74 yang meceritakan berkenaan kisah penyembelihan sapi betina. Berbagai alasan yang diciptakan oleh umat Nabi Musa dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Walaupun setelah ditunjukkan bukti kekuasaan Allah SWT, mereka masih tidak mahu beriman kepadaNya.
 



Perkara sebegini juga dapat dilihat kepada permasalahan manusia akhir zaman kini. Alasan dicipta untuk matlamat duniawi bukan ukhrawi. Melihat kepada permasalahan rokok misalnya yang dikira agak popular perbahasannya sekitar waktu ini. 

Keadaan 1 : Rokok dibolehkan.
Keadaan 2 : Rokok boleh memudaratkan kesihatan. Maka tidak digalakkan. Cukuplah sekadar mengurangkan kuantitinya.
Keadaan 3 : Rokok boleh menyebabkan kematian. Maka ia diharamkan. Beberapa buah negeri mengeluarkan fatwa berkenaannya.
Keadaan 4 : Seluruh negara Malaysia mengharamkan merokok. Rujuk fatwa Malaysia.

Walaupun telah difatwakan haram, masih ramai lagi masyarakat Islam di luar sana yang masih merokok. Antara alasan yang diberikan ialah 'sudah sebati jadi susah mahu berhenti', 'kalau tidak merokok tidak ada daya nanti', 'kalau haram kenapa masih banyak dijual dikedai?', 'sudah lebih 10 tahun merokok sihat saja badan ni' dan berbagai alasan diberikan untuk tidak berhenti merokok. Benarlah kata pepatah,

'Hendak 1000 daya, tidak hendak 1000 dalih'
Tidak berniat mahu menghukum golongan sebegini. Tetapi apa yang mahu ditekan di sini adalah 'alasan' untuk tidak mahu melaksanakan sesuatu perkara yang baik demi kemaslahatan bersama. Pengharaman itu bukan sahaja untuk menjaga kemaslahatan kepada penghisap rokok tetapi juga kepada orang sekeliling yang terhidu bersama kerana boleh membawa kepada kemudaratan 2 kali ganda dari penghisap. Bukankah itu mementingkan diri namanya?  Maka, apabila perkara haram itu menjadi darah daging dalam diri, bagaimanakah untuk menghadap Allah dalam keadaan yang suci? Bagaimanakah menuju kepada matlamat Allah yang abadi?



 Ini cuma sebahagian daripada contoh yang dikemukakan. Banyak lagi perkara yang dapat dilihat dan dimuhasabah semula tindak tanduk diri dalam memberi penilaian sendiri. Tanpa sedar mahupun sedar, alasan ini sering diciptakan. Niat di hati mahu berjaya di dunia dan di akhirat. Tetapi apabila melibatkan tindakan, alasan terlahir dengan 1001 perkataan.

 "Orang yang berjaya tidak akan mencipta alasan, tetapi melaksanakan tindakan"

Suka saya jadikan kata-kata hikmat Saidina Ali bin Abi Thalib sebagai pemangkin semangat seorang khalifah dimuka bumi ini,

"Beribadatlah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan mati esok hari dan bekerjalah bersungguh-sungguh, seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi."
 
Akhir kata, 
Kepada Misdev 11 dan diri sendiri khususnya dalam menghadapi 'kemelut gelombang pendaratan terakhir', marilah perjelaskan semula matlamat serta tujuan diri seawalnya diri berada dalam 'penyiapan kepada pemantapan ilmu'. Kejelasan itulah yang akan membenteras alasan negatif yang sentiasa berlegar dalam minda, saat diri hampir berlabuh ke pangkalan. Mari sama-sama berjaya dunia dan akhirat dalam menyemai ilmu Allah untuk kemaslahatan ummat beserta tunduknya seorang hamba kepada penciptaNya. Semoga-moga kita sentiasa bertabah dalam menghadapi ujian serta dugaan malah nikmat yang dikurniakan sebagai pemangkin diri untuk kembali dekat denganNya. Ameen... 
 


No comments :