Saturday 3 November 2012

Antara Janji atau Paksaan

Agak berbeza penggunaan perkataan JANJI dan PAKSAAN. Walaupun berbeza tetapi tetap berkaitan. 

Kadang-kadang perkara yang diJANJIkan sering dijadikan alasan untuk diLAKUkan apabila tiba masa untuk tunaikannya. Dan akhirnya ia menjadi seakan satu PAKSAAN apabila diminta untuk melaksanakannya. 

Sekarang, nampak perkaitan antara kedua-dua perkataan ini?

Dua situasi yang mungkin dapat menjelaskan perkaitan antara JANJI dengan PAKSAAN

Situasi 1
Manusia telah berjanji dengan Allah SWT untuk melaksanakan perintah-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: 
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)" (al-A'raf 7:172).

Namun, setelah manusia lahir dimuka bumi, mereka ingkar dengan perjanjian yang dilakukan. Mereka tidak mengikut perintah Allah. Malah mereka melakukan apa yang dilarang. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (yaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling (al-Baqarah 2:83). 

Jadi apabila terjadinya perkara sebegini, adakah perintah Allah SWT itu dikira sebagai paksaan?

Situasi 2
Atas persetujuan semua pihak untuk menghadiri rumah terbuka seorang kawan maka segalanya di atur bagi memudahkan perancangan. Apabila tiba waktu yang dijanjikan, ada yang tidak dapat hadir tanpa sebab musabah. Apabila di tuntut untuk menunaikan janji, maka dikatakan sebagai memaksa. Atas sebab apakah dikatakan seperti itu?

Berjanji --> Tiba masa melaksanakannya --> Tidak dapat menunaikannya tanpa sebab --> Diminta menunaikan janji = Paksaan.

Sedar atau tidak sedar, kita sering melakukan perkara sebegitu. Mungkin bagi kita perkara ini bukan suatu masalah besar. Tapi tidak bagi sesetengah pihak. Perkara berkaitan janji amat dituntut oleh Allah. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hinggalah dia meninggalkannya. Empat perkara itu ialah apabila dia dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila ia berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran (Riwayat Ahmad).
Sesungguhnya perkara begini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Dengan sedar, kita berjanji dan tanpa sedar kita tidak menunaikannya dan kemudian baru tersedar bahawa perkara itu menjadi seakan paksaan pula.

Kesimpulannya, sebelum perjanjian dimeterai eloklah dimuhasabahkan diri sama ada mampu atau tidak untuk kita menunaikannya agar dikemudian hari, kita tidak menganggapnya sebagai satu paksaan untuk diri sendiri.



 

No comments :