Friday 23 November 2012

Kursus Pembangunan Insaniah




SXW502: AMALAN TADBIR URUS UNTUK AHLI EKONOMI POLITIK

WANITA ISLAM VS WANITA LIBERAL:
PEMBELAAN MENUNTUT HAK WANITA

Widad binti Mat Ali
P-SM0310/11
Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang

Wanita adalah makhluk Allah SWT yang dicipta dengan fitrahnya yang tersendiri. Wanita berbeza dengan lelaki baik dari segi fizikal mahupun emosi. Sejarah wanita bermula sejak turunnya Hawa dan Adam dari syurga Allah. Kedudukan dan status wanita sering berubah mengikut peredaran zaman. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan secara lengkap atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan. Jika ada pembelaan, hak mereka adalah atas ehsan atau simpati lelaki semata-mata. Malah dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon misalnya, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya daripada lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam Masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. Sementara itu, jika masyarakat Arab mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup, masyarakat Hindu pula membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. 

Keadaan ini berterusan sehinggalah datangnya Islam ke dalam masyarakat Jahiliah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 119 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran, sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.”. Kedatangan Islam pada ketika itu walaupun tidak diterima secara menyeluruh tetapi membawa sirna keadilan kepada manusia. Kedudukan wanita diangkat setaraf kedudukan lelaki di sisi Allah SWT.

Kedatangan Rasulullah SAW adalah rahmat bagi wanita di atas pembelaan Baginda dalam mempertahankan hak golongan ini. Sepertimana janji Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 124 mafhumnya, “Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahu pun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.”

Hal ini memperlihatkan betapa Islam mengangkat tinggi martabat wanita setaraf kaum lelaki. Malah, dalam penggubalan Piagam Madinah sebagai satu bentuk perlembagaan undang-undang Kota Madinah pada ketika itu, Rasulullah SAW turut tidak terkecuali memasukkan satu fasal berkenaan wanita. Fasal 41 yang menyentuh hal ehwal kewanitaan dinyatakan seperti “Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan (wanita) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.”

Perkara ini memberi justifikasi berkenaan kedudukan wanita yang dipelihara dengan baik oleh Islam. Malah mereka juga diberi hak yang sama sepertimana lelaki. Sebagai contoh dalam isu membaiah pemimpin. Ia dapat dilihat di dalam firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 12 yang bermaksud, Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Keadilan yang diberikan di antara lelaki dan wanita dalam konteks Islam telah meningkatkan martabat kaum wanita secara tidak langsung. Peningkatan ini dapat dilihat daripada dua segi. Pertama, Islam telah melepaskan mereka daripada cengkaman amalan tradisi masyarakat Jahiliah yang menindas dan meminggirkan kaum wanita. Kedua, Islam memberikan wanita hak-hak sebagai manusia yang selama ini telah dinafikan daripada mereka.

Seiring dengan Piagam Madinah yang merupakan perlembagaan pertama dunia, kini ia dijadikan panduan dan ikutan oleh banyak negara Islam mahupun bukan Islam mengikut kesesuaian zaman. Pertubuhan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Perkara 7, Perisytiharan 1948 mengiktiraf hak dan perlindungan dari segala bentuk diskriminasi terhadap wanita sama ada dalam keluarga, masyarakat atau dalam kehidupan seharian. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) misalnya tidak terkecuali memasukkan dasar perlindungan wanita di dalam agendanya. Semua perkara ini dirangka adalah bertujuan untuk memelihara kedudukan dan hak asasi manusia khususnya kaum wanita.

Kewujudan pertubuhan antarabangsa bagi menyelaraskan peruntukan undang-undang kepada semua negara memperlihatkan usaha bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi berhubung isu wanita. Jika pada zaman Rasulullah SAW, Piagam Madinah diguna pakai, tetapi pada zaman kini diwujudkan beberapa dasar di atas tujuan yang sama.

Walaupun hak wanita dilihat dipelihara dari segi perundangan dengan baik tetapi mereka masih lagi diancam baik dari segi hak mahupun peribadi. Golongan wanita masih tidak dapat lari daripada isu-isu seperti keganasan rumah tangga, pemerdagangan manusia, diskriminasi eksploitasi, penganiayaan terutama hak sebagai isteri dan gejala membuang bayi yang berleluasa.

Hal seperti ini menyebabkan munculnya beberapa golongan wanita yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang. Golongan ini bersungguh dalam memperjuangkan emansipasi wanita. Mereka membentuk diri mereka menjadi sebuah gerakan feminisme yang menuntut kesamarataan hak antara wanita dengan lelaki. Lebih dari itu, mereka menganggap golongan lelaki sebagai punca mereka ditindas. Gerakan feminisme adalah yang paling aktif dan vokal dalam memperjuang dan mempertahankan ideanya. Gerakan mereka sentiasa dibayangi kontroversi di sebalik kejayaan menuntut hak. Lebih dari itu, perjuangan mereka yang mendaulatkan hak-hak asasi manusia dan prinsip-prinsip sejagat, serta pendekatan agamanya yang berasaskan tafsiran dari perspektif hak-hak kemanusiaan, telah mengundang dakwaan yang mengaitkannya dengan aliran fahaman Islam Liberal. Perjuangan yang dahulunya ingin menjaga serta melindungi kedudukan mereka kini dilihat mula berubah seiring kejayaan yang dicapai. Mereka kini bukan sekadar melindungi tetapi mula berjuang ke peringkat yang lebih tinggi iaitu kesamarataan hak di antara lelaki dan wanita. Bagi mereka, apa yang lelaki boleh lakukan, kaum wanita juga boleh.

Malangnya, adakala pembelaan hak-hak kaum wanita yang dilakukan oleh sesetengah pihak tanpa merujuk dan mengikuti manhaj hadith-hadith Nabi SAW, jika diteliti atau dikaji akan ternyata ketidakseimbangannya. Hal ini kerana mereka terlalu ingin membela kaum wanita sehingga melupakan hak kaum lelaki. Hal ini berbeza dengan Nabi SAW ketika membela hak kaum wanita. Pembelaan baginda adalah seimbang. Kata Ibn Taimiyyah “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah Taala tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).”

Dalam konteks ini, pembelaan terhadap hak-hak kaum wanita sepatutnya tidak menyebabkan kepentingan dan hak kaum lelaki dipinggirkan atau diabaikan. Pembelaan terhadap hak isteri umpamanya tidak menyebabkan hak suami diabaikan. Pembelaan hak ibu tidak menyebabkan dialpakan hak seorang ayah dan anak. Pembelaan hak anak perempuan tidak menyebabkan disia-siakan hak seorang ayah dan ibu. Begitulah seterusnya. Penelitian terhadap hadith-hadith Nabi SAW menunjukkan peruntukan dan pembelaan hak kaum wanita adalah dalam bentuk yang seimbang yang tidak menyebabkan hak-hak pihak yang lain diabaikan.

Perjuangan menuntut keadilan sepatutnya dilihat keadilan dalam konteks Islam itu sendiri. Keadilan dalam Islam ini adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya bukan menyamaratakan di antara satu sama lain. Seperti contoh, perbezaan antara kaum lelaki dan wanita adalah dari segi fizikalnya. Wanita diberi kelebihan dalam sistem reproduksinya bagi melahirkan zuriat. Lelaki pula sebagai penyumbang tetapi tidak boleh melahirkannya. Jadi, dimanakah keadilan dalam konteks kesamarataan yang difahami golongan liberal ini? Maka, disebabkan perbezaan dari segi fizikal ini, akan menimbulkan beberapa perbezaan lain yang seharusnya difahami golongan ini. Oleh sebab itu, Islam meletakkan keadilan sebagai pengukur kesamarataan dalam konteks meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Maka, hendaklah sesiapa yang membela hak mana-mana individu atau pihak mengikuti manhaj yang sahih iaitu tidak ifrat dan tidak tafrit. Perjuangan menuntut hak itu dibolehkan, tetapi mestilah berlandaskan al-quran dan sunnah sebagai tunjang perjuangan.

Hasil nukilan Kak Dalfiza Mohd Yusof. Very appreciated! :)


No comments :