Monday 28 May 2012

From Malay Nasionalism to Malay Nation

Tanah Airku - Malaysia

Persekutuan Tanah Melayu telah ditubuhkan pada Januari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957 selepas pembentukan Malayan Union ditentang oleh penduduk Tanah Melayu. Pada tahun 1963, 3 wilayah iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak telah mendapat kemerdekaan selepas bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk Negara Malaysia. Walau bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura telah terkeluar daripada Malaysia dan ini menjadikan Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara bukan sahaja terdiri daripada bangsa Melayu, malah bangsa Cina dan India turut dibawa masuk secara migrasi sewaktu penjajahan British ke atas Tanah Melayu. Pemerintahan Pecah dan Perintah yang dilaksanakan oleh Penjajah ke atas kaum majoriti ini secara tidak langsung telah memberi impak positif mahupun negatif dari segi ekonomi, politik dan sosial. Tempoh 50 tahun selepas pembentukan Malaysia daripada negara mundur menuju ke arah negara membangun berlaku dalam jangka masa yang cukup singkat menurut ukuran sejarah dunia. Pengabungan 3 etnik terbesar di Semenanjung yang terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India telah menimbulkan polemik berbeza dari sudut budaya, agama dan bahasa dalam mengekalkan identiti nasionalis masing-masing. Perpaduan yang dicapai dilihat hanya sebagai retorik semata-mata dimana walaupun semua bangsa telah bersetuju dalam memberikan toleransi berkenaan hak keistimewaan Orang Melayu sebagai pertukaran kepada warganegara yang diterima namun mereka juga secara tidak langsung mahu mengekalkan budaya masing-masing dan ini menimbulkan semangat nasionalis terhadap bangsa mereka sendiri.

Penubuhan parti-parti politik seperti United Malays National Organization (UMNO) untuk memperjuangkan bangsa Melayu, Malayan Chinese Association (MCA) bagi bangsa Cina dan Malayan Indian Congress (MIC) bagi bangsa India, masing-masing mewakili bangsa tersendiri dalam menyuarakan mengenai hak disamping menjaga kebajikan bangsa mereka. Ini menimbulkan satu persoalan berkaitan kekuasaan dalam Negara Malaysia itu sendiri. Walaupun telah disepakati mengenai hak keistimewaan orang Melayu disamping agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Negara, namun tetap timbul persepsi berkenaan ketuanan bangsa Melayu itu sendiri sementelah Negara Malaysia pada asalnya adalah dari Tanah Melayu yang merupakan Negara bagi bangsa Melayu itu sendiri. Maka atas faktor itulah menyebabkan bangsa lain merasa tergugat dan tidak berasa terjamin dengan keadaan itu seterusnya mula mencipta strategi bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing seterusnya melahirkan berbagai kebudayaan yang diwarisi sejak turun temurun lantas mencipta variasi yang tersendiri. Tetapi apa yang pasti, perbezaan budaya tidak memberikan kesan perbezaan yang ketara diantara bangsa yang ada kerana faktor perubahan yang dilihat menimbulkan jurang yang nyata adalah berkaitan anutan agama itu sendiri. Kerajaan telah menjangkakan dalam tempoh 30 tahun, asas identiti berdasarkan etnik yang berbagai itu akan bertukar kepada etnik sivik iaitu ‘Bangsa Malaysia’ dimana tiada lagi istilah bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India yang merujuk kepada kepelbagaian rakyat dalam erti kata lain penggunaan bangsa Malaysia merujuk kepada keseluruhan rakyat Malaysia itu sendiri. Ini juga merupakan salah satu langkah dalam mewujudkan ‘Negara Bangsa’ bagi menyatupadukan rakyat dengan mengenepikan kelainan yang wujud pada setiap bangsa berdasarkan formula A + B + C = D.

Terdapat juga batu penghalang dalam mewujudkan ‘bangsa Malaysia’ seperti teori budaya yang melibatkan bahasa, agama, nilai budaya dan kepercayaan. Seperti yang diketahui, kepelbagaian bangsa di Malaysia telah melahirkan variasi etnik yang pelbagai dengan perayaan dan adat istiadat yang berbeza diantara satu sama lain. Faktor pengekalan inilah yang menjadi masalah untuk mewujudkan satu kesamaan kerana faktor kelainan budaya inilah membantu bangsa ini dalam menerangkan identiti kumpulan dan kenegaraan disamping menonjolkan bangsa itu sendiri. Kenyataan ini yang telah mendorong kebanyakan teori menterjemahkan maksud berkenaan negara adalah subjektif dimana pemahaman berkenaan Negara adalah sesuatu yang arbitrari. Teori ini percaya bahawa negara akan mudah dibentuk dan dibina apabila pemerintah dapat memanipulasi intelektual dengan mengawal media, bahasa dan pendidikan. Maka apabila munculnya pemerintah yang lain akan lahirlah pula metod dan teori yang berbeza diguna pakaikan untuk dipraktikkan kepada Negara bagi membentuk satu dasar yang dapat memberi kelainan didalam pemerintahannya. Strategi seperti ini yang dikatakan oleh Hobsbwan dan Ranger berkenaan adat tradisional yang sering diguna pakaikan oleh tampuk pemerintahan yang baru. Maka apabila munculnya konflik, menjadi tanggungjawab pemerintah mencari inisiatif penyelesaian kepada permasalahan dari segi politik, ekonomi dan persaingan kelas status dengan tindak balas yang rasional selain daripada permasalahan kewujudan perbezaan budaya. Dimana dalam perbezaan budaya ini akan wujud jurang antara teori budaya dengan pembinaan sosial seperti yang dijelaskan oleh penulis Horowitz dan Lijphart. Mereka melihat permasalahan ini dengan merujuk kepada konflik etnik dan semangat kebangsaan yang timbul apabila berkaitan dengan interaksi kepada beberapa pemboleh ubah seperti tipikal budaya, kepercayaan serta kesungguhan, manipulasi golongan pemerintah dan juga beberapa faktor yang lain dengan menilai bagaimana identiti, status dan kekuasaan dapat dibentuk semula disebabkan faktor perubahan seperti pemerintahan, keadaan dan peristiwa yang berlaku.

Sebelum pemerintahan British pada akhir abad ke 19 Semenanjung Tanah Melayu di dominasi oleh orang Melayu. Pemerintahan di Semenanjung Tanah Melayu di kuasai oleh pemerintahan Melayu yang berkuasa sepenuhnya. Bahasa Melayu sebagai lingua franca dan agama Islam sebagai agama rasmi. Kedatangan British telah membawa perubahan ke atas Tanah Melayu dengan pembahagian yang dilakukan ke atas negeri-negeri Tanah Melayu dimana pemisahan kepada empat negeri bersekutu, lima negeri tidak bersekutu dan negeri-negeri selat dilakukan. Dengan membawa masuk imigran yang terdiri daripada bangsa Cina dan bangsa India yang kemudiaannya ditempatkan masing-masing di bandar dan di estet memberikan pulangan berganda kepada British dari segi pendapatan dan mengukuhkan lagi kekuasaan mereka seterusnya membuatkan bangsa Melayu menjadi terpencil di tanah air sendiri. Corak pemerintahan kolonial oleh British sedikit sebanyak telah mengubah corak pemerintahan Tanah Melayu yang selama ini setia dengan sistem beraja atau feudalism. Keadaan perubahan ini juga turut dibantu oleh para pemimpin yang mula mahukan perubahan politik apabila mereka ditawarkan dengan tawaran yang lumayan dari segi pendapatan serta ketinggian status kelas oleh pihak British.

Semangat kebangsaan Melayu banyak diinspirasikan daripada Timur Tengah. Ini dilihat daripada bukti-bukti empirikal hasil dari semangat yang didapati seperti pembukaan sekolah agama dan penyebaran kesusateraan Islam di Semenanjung. Semasa peperangan Jepun dan China, orang Cina di Tanah Melayu menyalurkan wang kepada orang Cina di Tanah Besar China. Ini sedikit sebanyak telah menakutkan orang Melayu sendiri di atas faktor jumlah kependudukan orang Cina yang semakin ramai di Tanah Melayu selain kekayaan yang diperolehi sedikit sebanyak akan mengugat kedudukan orang Melayu sendiri. Pada tahun 1941-1945, Jepun yang datang menjajah ke Tanah Melayu telah meningkatkan semangat kebangsaan Melayu dengan menghapuskan mitos keunggulan Eropah dengan memperkenalkan propaganda “Asia untuk orang Asia”. Kemudian Parti Komunis Malaya (PKM) bekerjasama dengan sekutu untuk menentang Jepun pada tahun 1945. Walaupun secara luaran ia kelihatan seperti peperangan yang berlaku diantara Jepun dengan PKM tetapi dalamannya ia sebenarnya memberi impak yang lebih lagi berkaitan orang Melayu dengan orang Cina sendiri dimana rata-rata tali barut tentera Jepun terdiri daripada bangsa Melayu manakala anggota PKM pula lebih kepada orang Cina. Ini sedikit sebanyank menyumbang kepada faktor konflik perkauman diantara orang Melayu dengan orang Cina.

Perancangan dalam meninggikan taraf Negara Malaysia itu sendiri mewujudkan beberapa rancangan yang diatur dan direncana sendiri oleh pemerintah tempatan selepas mendapat kemerdekaan dengan cara mereka tersendiri. Rancangan Malaya Pertama dan Kedua diikuti Rancangan Malaysia Pertama sehingga kesembilan dengan mengambil tempoh masa 5 tahun pada setiap perancangan adalah langkah awal atau percubaan dalam merubah keadaan Negara Malaysia ke arah yang lebih baik. Pembasmian kemiskinan, penyusunan semula rakyat, perubahan corak ekonomi dari pertanian kepada moden, perkenalan beberapa dasar seperti dasar sogoshosa, pandang ke timur, dasar perindustrian dan beberapa dasar lagi dilihat dapat mengubah masyarakat yang dahulunya tradisional kepada moden atau kepada masyarakat industri. Perangcangan ini disusun sedikit demi sedikit dalam masa sama tetap tidak mengabaikan kebajikan setiap kaum yang ada dalam bersama-sama menuju ke arah pembangunan yang lebih jitu. Cuma sedikit pengaruh globalisasi menyebabkan keadaan perancangan itu berubah dan memerlukan perencana yang lebih bersifat dinamik dan progresif seiring dengan peningkatan teknologi dan pendidikan.

Walaupun Negara Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak sekian lama, permasalahan yang sering kali timbul adalah berkaitan dengan isu perkauman yang sering menimbulkan konflik. Orang Melayu merasakan mereka berhak ke atas tanah air mereka dimana di sinilah tempat tumpah darah berlainan dengan bangsa imigran yang lain kerana Negara asal mereka sudah sedia ada dan mereka boleh ke sana bila-bila mereka mahu dan ini menimbulkan sedikit curiga berkenaan kesetiaan mereka terhadap Malaysia. Disitulah yang telah menimbulkan persoalan kepada hak orang Melayu itu sendiri dan konflik berpanjangan apabila bangsa imigran mula mempersoalkan mengenainya. Bangsa Melayu dilihat lebih mempertahankan hak mereka berbanding bangsa lain yang dilihat mahu menguasainya. Bangsa Cina mula menguasai ekonomi, bangsa India pula dilihat cuba memasuki sistem perundangan dan bangsa Melayu masih dengan politik yang sering bertukar ideologinya. Keadaan seperti ini selagi tiada penyelesaian memberikan kesan jangka masa yang panjang dalam merencana pembangunan Negara seiring Wawasan 2020 yang dikatakan dapat membawa Malaysia dari Negara membangun kepada Negara maju. Apa yang pasti adakah penubuhan ‘Negara Bangsa’ dapat merealisasikan pembangunan dan perubahan Negara menuju ke arah Negara maju dengan sokongan dan bantuan dari semua kaum tanpa ada prasangka dalam masa yang sama keadaan ini juga akan memberikan impak kehilangan identiti bangsa masing-masing dan ‘kemelayuan’ juga akan terhakis dengan begitu sahaja.





RUJUKAN


Khairul Azmi Mohamad Af Yassin (2000), Insan Perjuang Bangsa Melayu Abad Ke 20, Yayasan Warisan Johor 
Noriah Mohamed (2008), ISM Research Monograph Series No.7 ;A Study of Social Support for the Elderly in a Rural Area, Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia.
Rahimah Abdul Aziz (2001), Pengantar Sosiologi Pembangunan Edisi Kedua, Kuala Lumpur ;Dewan Bahasa dan Pustaka
Ruslan Zainuddin (2005), Sejarah Malaysia, Selangor Darul Ehsan ;Penerbit Fajar Bakti Sdn . Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin (2006), Modul Hubungan Etnik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Wan Azmi Ramli (1992), Pembangunan Masyarakat dari Perspektif Kebajikan, Kuala Lumpur ;Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.






No comments :