Monday 28 May 2012

Gagasan 1 Malaysia Ke arah Pembentukan Negara Bangsa


PENGENALAN

Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia sekaligus menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan anutan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni Bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih maju, selamat, aman dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia.

Umum diketahui bahawa Negara Malaysia terdiri daripada beberapa bangsa dan kaum yang pelbagai. Untuk merapatkan hubungan diantara kaum, perlunya satu dasar kesamarataan yang perlu dibuat bagi menyemai semangat nasionalisme dan kecintaan kepada negara seterusnya mewujudkan perpaduan sesama kaum.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri keenam Malaysia melihat dasar yang dibuat itu adalah langkah yang bertepatan dalam mewujudkan satu matlamat ke arah bangsa Malaysia. Konsep ini juga selari dengan apa yang termaktub dalam Prinsip-Prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan. 1 Malaysia yang membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.



KONSEP 1 MALAYSIA


Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.



1 MALAYSIA DALAM SUDUT POLITIK

1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” dimana pemimpin memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara dan rakyat memerlukan pemimpin yang cemerlang dan komited serta memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam membentuk sebuah negara.

1 Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.1 Malaysia dilihat sebagai pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Dimana keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan dan pemimpin serta rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai yang telah digariskan didalam dasar 1 Malaysia.



1 MALAYSIA DARI SUDUT EKONOMI

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama dan tiada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Seperti yang dijelaskan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Seperti mana yang diperkenalkan Model Baru Ekonomi (MBE) oleh Perdana Menteri keenam Malaysia dimana matlamatnya adalah bertujuan menjadikan Malaysia sebagai ekonomi maju dan berdaya saing dengan rakyatnya tanpa mengira kaum menikmati kualiti hidup yang tinggi serta berpendapatan tinggi hasil daripada pertumbuhan yang inklusif dan mampan.



1 MALAYSIA DARI SUDUT SOSIAL

Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. 1 Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik untuk menghadapi sebarang cabaran.


NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan dalam konsep 1 Malaysia dan nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya Kecemerlangan

Budaya cemerlang yang diamalkan secara sistematik akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Pengamalan secara berterusan ini dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan disertai prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan.

2. Ketabahan

Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif. Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

3. Rendah Hati

Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

4. Penerimaan

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

5. Kesetiaan

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Kesetiaan akan membina kepercayaan berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

6. Meritokrasi

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7. Pendidikan

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

8. Integriti

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.



PEMBINAAN NEGARA BANGSA


Pembinaan negara bangsa adalah matlamat utama yang hendak dicapai oleh sesebuah negara yang mempunyai multi etnik seperti malaysia, kemuncak kepada kejayaan dalam membina negara bangsa seperti Malaysia adalah kejayaan sesebuah negara, pentadbiran dan juga penduduknya. Pembinaan negara tanpa mengambil kira mewujudkan bangsa yang satu dalam keseluruhan rakyat negara akan merugikan negara pada masa akan datang. Tanpa perpaduan yang kukuh dan rasa etnosentrime sebagai satu kumpulan bangsa bagi masyarakat multi etnik akan mewujudkan perbalahan dan perpecahan antara kaum. Ini secara tidak langsung akan menggugatkan kedudukan ekonomi negara, terutamanya persepsi para pelabur terhadap Malaysia sebagai negara yang tidak mempunyai perpaduan yang kukuh.

Terdapat pelbagai pandangan dalam melangkah ke abad 21, pelbagai pendapat yang dilontarkan akan kemunculan suatu bentuk dunia yang baru akan mengakhiri sistem negara bangsa. Pendapat yang kini di anggap releven adalah sistem negara-wilayah. Sistem negara-wilayah ini dikatakan selari dengan zaman yang semakin canggih, sistem dunia tanpa sempadan dan zaman globalisasi. Pemikiran terhadap gelombang globalisasi dan kehidupan bersama di dunia tanpa sempadan mula tercetus sebagai alternatif terbaik bagi setiap warganegara dunia. Kecanggihan dunia dengan teknologi, komunikasi dan sains telah mendorong untuk melahirkan dunia tanpa sempadan. Topik-topik seperti ini juga kebiasaannya menjadi topik utama bagi pemikir terkenal seperti Ohmae, Fukuyama dan Naisbitt.

Seperti yang kita ketahui, Malaysia sama sekali tidak menolak proses pembangunan dan proses perkembangan dunia. Malaysia juga tidak menolak pendapat yang menyatakan berakhirnya era negara bangsa apabila menerima kehadiran era globalisasi. Kewujudan Malaysia sebagai negara yang mempunyai multi etnik akibat penjajahan daripada pihak barat menyebabkan proses pembinaan bangsa itu sukar berlaku dan mengambil masa yang panjang disamping suatu cabaran yang besar bagi Malaysia.

Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi manifestasi kepada keadaan cabaran sebenar yang digambarkan dalam usaha pembentukan pembinaan negara bangsa. Tindakan kerajaan dengan memperkenalkan dasar ekonomi baru (DEB) adalah untuk merapatkan jurang di antara semua kaum terutamanya tiga kaum terbesar di Malaysia disamping menyusun semula rakyat. Rentetan daripada itu, pelbagai dasar-dasar diperkenalkan, antaranya Dasar Kebudayaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara dan pembentukan parti politik pelbagai kaum seperti Barisan Nasional yang memberi ruang kepada pembinaan negara bangsa.

Proses bina bangsa semakin hari diberi perhatian yang serius oleh pelbagai pihak, usaha perpaduan kini bergerak seiring dengan keperluan pembangunan ekonomi. Ini selari dengan cabaran untuk merealisasikan gagasan perdana menteri kelima iaitu Wawasan 2020. Dasar ini merupakan perancangan masa panjang yang dirangka oleh kerajaan sebagai panduan bangsa dan negara yang maju. Kekuatan yang perlu digunakan oleh kerajaan bagi mencapai matlamat ini adalah nasionalisme, ia menjadi pegangan bagi pemilikan semangat kebangsaan oleh semua warganegara berasaskan nilai-nilai kebangsaan yang dikongsi bersama.

Nasionalisme menyediakan asas-asas kepada sesebuah bangsa dan negara bagi mempertahankan kumpulan negara bangsa supaya terus wujud. Nasionalisme yang wujud dalam negara kita perlulah bersandar kepada nilai-nilai yang dapat dikongsi bersama oleh semua penduduk negara ini tanpa ada perbezaan. Hakikat yang perlu diketahui, konsep pembinaan negara bangsa adalah suatu proses yang melibatkan suatu jangka masa yang berpanjangan. Sekalipun sukar dan mengambil masa yang panjang, pembinaan negara bangsa adalah suatu perkara yang penting dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti Malaysia. Pembinaan negara bangsa yang mantap memerlukan penyertaan secara menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat dan jentera kerajaan.



KONSEP NEGARA BANGSA

Negara bangsa merujuk kepada kombinasi masyarakat dan negara yang berfungsi dalam wilayah yang mengkhusus persempadannya (Sodaro, 2001). Ia adalah berkenaan hidup dalam keadaan terintegrasi tanpa wujud perbezaan antara mereka sekaligus dapat menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara dan dapat mengelak daripada berlakunya sebarang konflik antara kaum yang semestinya akan merugikan semua pihak di negara ini.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara multi etnik seperti Malaysia adalah penting terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi. Cabaran seperti ini membuatkan pembinaan negara bangsa amat diperlukan bagi mengelakkan Malaysia terdedah kepada konflik perkauman yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sekiranya satu nilai kebangsaan yang dikongsi bersama tidak dapat diwujudkan dan dihargai oleh semua warganegara Malaysia. 1 Malaysia adalah pemangkin kepada kewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.


CIRI-CIRI NEGARA BANGSA

INTEGRASI
Integrasi merupakan suatu proses yang mewujudkan suatu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang sudah terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Ia terdiri daripada wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial, pendidikan dan politik. Integrasi merupakan salah satu instrumen penting dalam pembentukan perpaduan dan penyatuan masyarakat dalam negara. Aktiviti-aktiviti integrasi mampu mengikis perasaan perkauman yang sempit dan sekaligus boleh mengancam matlamat untuk membentuk negara bangsa. Contoh Konsep 1 malaysia adalah dasar untuk mewujudkan integriti dalam setiap kaum.

NASIONALITI
Nasionaliti adalah kewarganegaraan yang mewujudkan suatu bentuk identiti kepada semua orang sebagai warganegara dalam sesebuah negara itu. Elemen ini mewujudkan suatu bentuk identiti kepada semua individu yan terdapat dalam negara ini sebagai warganegara. Contohnya seperti kad pengenalan yang sama bagi warganegara Malaysia. Faktor kebersamaan dan perasaan berkongsi milik dalam hal seperti kebudayaan, sistem politik dan bahasa boleh menjadi penyatuan rakyat yang diiktiraf sebagai satu bentuk nasionaliti kebangsaan. Contoh pengenalan Meritokrasi dalam gagasan 1 Malaysia: kesamarataan- Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan 1 Malaysia.

NASIONALISME
Perasaan cinta kepada tanahair dapat memberi nilai perkongsian yang tiada batas kepada semua pihak dalam sesebuah negara. Nasionalisme adalah asas membina semangat kekuatan, keyakinan diri, penyatuan dan perpaduan nasional. Prinsip utama dalam 1 Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). 1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

PATRIOTISME
Kesetiaan teragung untuk tanahair, elemen patriotisme hadir selepas hadir perasaan nasionalisme. Melalui patriotisme, bangsa akan menjadi kuat dan mampu berjuang membangunkan bangsa daripada kemunduran dan penindasan. Hanya bangsa yang kuat akan berjaya menghadapi cabaran abad ke-21. Bangsa yang kuat perlulah mempunyai keberanian, ketahanan mental, emosi dan fizikal dalam ketahanan nasional.

DEMOKRASI
Alat mewujudkan keutuhan pentadbiran yang direstui rakyat secara keseluruhan. Kekuatan demokrasi dalam membantu pembentukan negara bangsa ialah dari sudut pemberian hak kepada semua warganegara berkongsi ideologi yang satu dalam memilih pemerintahan negara.Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.



KONSEP 1 MALAYSIA DARI SUDUT PANDANGAN PLURALISME

Gagasan ini adalah sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan lagi perpaduan di kalangan rakyat, seiring dengan usaha untuk mencapai kejayaan dan perpaduan di Malaysia. Memandangkan dalam pembinaan sebuah negara maju perpaduan adalah antara pra syaratnya, maka, kerajaan lebih tertumpu kepada perpaduan antara masyarakat tanpa mempedulikan warna kulit dan bangsa. Umumnya, apabila seluruh warganegara Malaysia bersatu padu dan bersama berganding bahu dalam gagasan 1 Malaysia, usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 akan mencapai objektifnya.

Konsep 1 Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya, penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara. Malah, Malaysia masih kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, walaupun masyarakat memahami konsep 1 Malaysia sebagai kesamarataan diantara kaum di Malaysia, namun secara tersuratnya bangsa Melayu masih lagi dikekalkan kedudukannya sebagai bangsa ketuanan di Malaysia seperti mana mengikut perjanjian yang telah termaktub didalam kontrak sosial.

Meneliti 8 nilai yang diketengahkan didalam konsep 1 Malaysia dapat diperhatikan bahawa 1 Malaysia bukan sahaja menekankan kepada semangat perpaduan diantara kaum, malah turut menekankan kepada modal insan rakyat dan pemimpin itu sendiri. Seiring dengan slogan ‘Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’ memberi pengertian akan keprihatinan kerajaan kepada nasib rakyat dengan memberi keutamaan didalam apa perkara sekalipun. Dalam pembentukan sesebuah Negara, perlunya pemimpin dan rakyat sebagai anggota penggerak dan penentu keupayaan Negara. Maka, mereka akan saling memerlukan dan siapa yang lebih memerlukan rakyat kalau bukan pemimpin dan siapa yang akan memerintah rakyat kalau bukan pemimpin? Jadi disitulah terletaknya teori fungtional dimana diantara kedua-dua subjek ini saling memerlukan dan berfungsi untuk memenuhi skop masing-masing. Sesungguhnya matlamat akhir 1 Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian kaum di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.



KONSEP 1 MALAYSIA DARI SUDUT PANDANGAN MARXISME

Malaysia seperti yang diketahui berbilang kaum, bangsa dan agama. Untuk melahirkan perpaduan dalam Negara yang berbilang kaum, perlunya sesuatu instrumen kepada kebergantungan untuk mencapai apa yang dimiliki. Melihat kepada perkara ini, maka tersetuslah idea 1 Malaysia bagi melahirkan hanya 1 bangsa didalam sesebuah Negara.

Kesalahfahaman konsep 1 Malaysia yang cuba diterapkan ini memberi seribu satu masalah dalam menginterpretasikannya didalam masyarakat. Rata-rata rakyat memahami konsep 1 Malaysia sebagai satu konsep mewujudkan kesamarataan diantara kaum yang wujud di Malaysia. Jadi 1 bangsa, 1 bahasa, dan 1 agama meliputi 1 negara. Maka disini timbulnya protes ketidakpuasan hati tentang kesamarataan yang dijelmakan diatas kesalahan menginterpretasikan makna konsep itu. Ini terbukti melalui iklan raya sinari lebaran yang ditayangkan di TV3 sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh bangsa Melayu beragama Islam pada September 2010 yang lalu. Iklan yang memaparkan kemeriahan beraya cuba menjelmakannya dalam konteks kepelbagaian perayaan dijadikan kepada 1 perayaan. Dalam iklan yang berdurasi 3 minit itu memaparkan perayaan Krismas, Buddha, Hindu dicampurkan menjadi satu dan diterjemahkan kepada simbol-simbol tertentu dalam menyambut Hari Raya. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia kerana agama Islam telah dicemari dengan unsur-unsur yang tidak patut sama sekali diletakkan tarafnya bersama.

Sistem meritokrasi yang dibuka untuk memilih yang terbaik antara yang terbaik membuka satu lapangan saingan sengit diantara masyarakat berbilang kaum. Walaupun matlamatnya secara tersirat adalah untuk kesamarataan kaum tetapi sistem ini secara tidak langsung memencilkan kedudukan bangsa melayu sendiri dimana melihatkan kepada persaingan diantara kaum-kaum lain di Malaysia, kaum Melayulah yang paling ketinggalan. Jadi walaupun 1 Malaysia ini dikatakan untuk semua kaum dan bangsa, realitinya ia masih mengekalkan ketuanan bangsa Melayu itu sendiri. Dan disini menimbulkan konflik perkauman kepada bangsa lain yang tidak berpuas hati diatas ‘dasar kesamaan’ yang tidak adil itu.

Melihat kepada pengekalan perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan menterjemahkan kepada persamaan diantara kaum di Malaysia menjadi 1 Malaysia ibarat A + B + C = A. Dimana bangsa Melayu dilihat mendominasi keistimewaannya sementelah bangsa Melayu adalah bangsa ketuanan dan ini juga yang dipersetujui oleh ketua kaum-kaum lain jika menyelak helaian sejarah dahulu. Walaupun hakikat konsep 1 Malaysia lebih memberi penekanan kepada A + B + C = D tetapi realitinya tidak seperti begitu. Masing-masing mahu mementingkan kaum tersendiri tanpa mengambil kira faktor 1 negara yang dihuninya.



KESIMPULAN

Gagasan satu Malaysia ke arah pembentukan negara bangsa yang membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama.

Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.



-------------------Power Point--------------------






BIBLIOGRAFI

A.Aziz Deraman. 1992. Tamadun Melayu Dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Arena Ilmu Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Embong. 2006. Negara-Bangsa, Proses Dan Perbahasan Edisi Kedua. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. Selangor

Perlembagaan Persekutuan. 2005. Lembaga Penyelidikan Undang-undang. International Law Book Services : Petaling Jaya.

Syed Husin Ali. 2008. The Malays Their Problems and Future. The Other Press : Kuala Lumpur

Syed Mahadzir Syed Ibrahim & Prof Madya Mohd Shah A’shaari. 2010. Gagasan Najib: 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. WARISAN Inked. Selangor.

Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani. 2003. Pendidikan Negara Bangsa. PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. Kampus PTS. Pahang.




No comments :