Wednesday 30 May 2012

Perubahan Masyarakat dan Kesannya ke atas Individu



PENGENALAN

Pertumbuhan dan perkembangan manusia adalah amat kompleks sifatnya. Ia mempunyai tahap-tahap tertentu yang merupakan peringkat-peringkat yang harus dilalui oleh seseorang individu dalam hidupnya. Ada pendapat yang mengatakan seorang manusia itu memulakan hidupnya apabila suara tangisan pertamanya bergema. Melalui kelahirannya itulah dia dikatakan memulakan hidupnya. Tetapi, menurut ahli-ahli psikologi, seorang manusia itu sudah pun memulakan kehidupannya sejak di dalam perut atau rahim ibunya lagi.

Seiring dengan perkembangan yang berlaku, baik perkembangan pesat dunia teknologi dan informasi, politik, ekonomi mahupun sosial menyebabkan corak kehidupan masyarakat telah mengalami perubahan demi perubahan. Fenomena ini turut melanda seluruh masyarakat dunia hari ini. Di sini, perubahan masyarakat dapat dilihat melalui tiga pendekatan besar iaitu sama ada melalui perubahan politik, perubahan ekonomi mahupun perubahan sosial.



PERUBAHAN POLITIK

Definisi tentang politik merupakan sesuatu yang subjektif bagi semua masyarakat. Definisi ini dibuat bertujuan untuk memahami sistem politik yang berlainan bagi organisasi politik yang berbeza-beza dalam masyarakat dunia hari ini. Umumnya, politik boleh dilihat sebagai tingkah laku yang biasa, merupakan kepercayaan dan sikap yang ditumpukan untuk menggubal dasar dan melaksanakannya termasuk menjaga keamanan, mententeramkan dan mengekalkan aturan sosial serta menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku. Aturan ini diusahakan oleh masyarakat dalam sesuatu kelompok dan melibatkan semua golongan masyarakat. Pada pandangan ahli antropologi pula, mereka melihat sistem politik itu sebagai salah satu trait kebudayaan dalam sesebuah masyarakat. Hal ini bermakna mereka melihat sistem politik merupakan kebudayaan dalam kelompok masyarakat. Sistem seperti demokrasi, autokrasi dan birokrasi adalah merupakan sebahagian daripada sistem politik yang ada dan diamalkan di serata dunia.

Soal kepimpinan dalam sesebuah organisasi sering diperkatakan apabila ianya menampakkan kecacatan ataupun kemajuan bagi organisasi berkenaan. Keadaan ini terbukti peranan pucuk pimpinan bagi sesebuah organisasi amat penting, kerana ia melibatkan krediabiliti pemimpin dan perlakuan aktiviti dalam organisasi. Pemimpin yang bersifat adil adalah satu ciri penting yang sepatutnya ada bagi seseorang yang bergelar pemimpin. Ianya tidak terbatas kepada jenis kepimpinan kepada sebuah keluarga atau perkumpulan kecil atau sebuah organisasi. Malah apa sahaja yang dipimpin olehnya, keadilan akan sentiasa dipersoalkan.

Kepimpinan bermaksud sistem pembekalan kepimpinan yang lebih dinamik perlu dinikmati oleh rakyat yang merdeka untuk meningkatkan kualiti golongan elit politik yang memimpin mereka. Dengan adanya perubahan kepimpinan yang menyeluruh menyebabkan rakyat dan negara sentiasa dipimpin oleh kumpulan yang terbaik dan cemerlang. Keadaan ini memerlukan wujudnya kebebasan jentera penyelenggara demokrasi seperti SPR yang bebas, Badan Kehakiman, media, jentera penguatkuasa dan pasukan keamanan dan keselamatan yang menjaga kepentingan rakyat yang lebih tinggi dari menjaga kepentingan parti pemerintah.

Pentas politik hari ini memperlihatkan sifat tidak demokratiknya pemerintah dalam menguruskan pemerintahan. Gelodak politik mutakhir tidak pernah berakhir dan sentiasa berterusan berlaku dan ini menyerlahkan lebih banyak lagi bukti kelemahan pemerintah dan ketidakupayaannya mengatasi masalah rasuah, salah guna wang rakyat, pengurusan kewangan yang membazir, projek mega yang mengkayakan kroni, sikap tidak telus kerajaan dan berbagai lagi kejahatan lain yang diwarisi oleh pemimpin kerajaan kini. Dalam negara maju dari sudut amalan demokrasi di mana rakyat menikmati tahap kebebasan yang lebih tinggi dan maju kerana pemerintahan di negara berkenaan sering beralih teraju dari berbagai parti atau kumpulan elit politik yang memerintah dan pemilihan kepimpinan ini adalah menurut kemahuan rakyat yang bebas membuat pilihan. Manakala di negara mundur negara diperintah sekian lama oleh parti tertentu sahaja. Malah parti itu didominasi oleh orang tertentu dan kroni untuk terus berkuasa dengan penuh kelemahan, tanpa kualiti dan terus menindas rakyat. Kegagalan umat adalah kerana kepimpinan haprak yang tidak berkualiti dan lembam serta tidak mempunyai hala tuju yang betul dan sebagainya.

Pemimpin mencerminkan rakyat itulah apa yang dikatakan sebagai kepimpinan melalui teladan. Mutu pemimpin adalah refleksi terhadap mutu rakyat dan akhlak mereka. Oleh sebab itu proses meningkatkan kualiti umat umumnya sangat perlu untuk dapat melahirkan golongan para pemimpin yang berkualiti dan tidak lemah serta melemahkan umat dan negara. Islam mengajak manusia menepati keadilan dalam segenap aspek kepimpinan yang diwakili olehnya. Sebab itulah pemimpin yang adil tempatnya kelak adalah di bawah naungan ‘Arash yang mulia.

Kepimpinan dari kacamata Islam merujuk kepada keperibadian dan segenap aspek tindakan yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Di antara ciri-ciri kepimpinan yang baik di antaranya ialah berilmu pengetahuan. Orang yang berilmu akan ditingkatkan darjat dan tarafnya. Demikian menurut Al-Quran. Sudah semestinya seorang pemimpin dalam sebuah organisasi harus mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih terutama aspek-aspek teknikal dan juga pengurusan dalam organisasi tidak terkecuali menguasai asas ekonomi termasuk memahami laporan-laporan ekonomi kerajaan, pengurusan kewangan kerajaan, pendapatan Negara serta pengawalan inflasi dan sebagainya.Teras Aqidah yang kukuh juga perlu ada bagi seseorang pemimpin. Hal ini bermakna seorang pemimpin yang mempunyai teras aqidah yang kukuh akan berjaya dalam kepimpinannya kerana pegangan yang tetap dan aqidah yang mantap akan mencorakkan kepimpinan yang tegas dan beretika dalam perwatakan dan prosedur kerja.

Islam sangat menganjurkan seorang lelaki sebagai seorang pemimpin kerana pemimpin lelaki mempunyai beberapa kelebihan berbanding wanita dari segi kepimpinan. Pandangan yang jauh dan bermakna lebih utama dari mengutamakan perkara yang dekat dan remeh dari segi soal-soal kepimpinan. Kaum wanita pula adalah penting dari segi mengukuhkan organisasi dan perkara-perkara yang perlu dihalusi untuk mencapai kesempurnaan. Sifat amanah adalah sifat yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dan seharusnya seseorang pemimpin mewarisi sifat tersebut untuk mewujudkan sikap kerja yang baik dalam berbagai urusan organisasi. Seterusnya sifat yang perlu ada bagi seorang pemimpin adalah benar dalam perkataan dan tindakan. Seseorang yang benar dalam perkataan dan tindakannya menggambarkan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan menepati soal Kepimpinan Melalui Teladan.

Keadilan yang meliputi segenap aspek yang dipimpin dan pemimpin yang adil adalah tunggak yang utama dalam sesebuah organisasi. Ciri kepimpinan yang adil mewarisi sifat-sifat utama pemimpin Islam sebagai termaktub dalam perjuangan para nabi dan rasul. Pemimpin yang adil juga dijamin keselamatannya di bawah naungan ‘Arash Allah swt. Bersifat rahim seperti sabda Rasulullah s.a.w. “Sebaik-baik pemimpin ialah yang kamu mencintai dan Dia mencintaimu, dan kamu mendoakan dan ia mendoakanmu. Dan sejahat-jahat pemimpin ialah yang kamu benci dan membenci kamu…”. Bijak dalam menangani masalah seperti Kisah Nabi Yusuf a.s yang bijak dalam menangani masalah ekonomi meleset akibat musim kemarau yang berpanjangan melalui perancangan dan pentadbiran yang bijak menjadi rujukan penting bagi sifat-sifat pemimpin yang bijak. Dan yang terakhir adalah sentiasa menyampaikan pesanan dan perkara-perkara yang hak. Pesanan Rasulullah s.a.w., “Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat”.

Sifat-sifat yang digariskan dalam Islam bagi ciri-ciri kepimpinan yang baik seperti memaafkan, bertanggungjawab, petunjuk akhlak yang baik dan sebagainya. Jelas sekali, dari sifat-sifat di atas perlu dijadikan panduan dan rujukan kepada pemimpin-pemimpin organisasi yang mahukan kepimpinannya berakhlak.


PERUBAHAN EKONOMI

Pembangunan ekonomi pada asasnya adalah proses perubahan dalam aspek ekonomi yang melibatkan proses pengeluaran, teknologi yang digunakan dan panduan sumber-sumber dalam proses pengeluaran. Matlamat utama dalam pembangunan ekonomi adalah pencapaian keuntungan maksimum dan berusaha meminimumkan kos. Pembangunan ekonomi seringkali disamakan dengan pembangunan sesebuah negara. Namun konsep ini kini diperluaskan kepada pembangunan yang meliputi aspek pembangunan sosial dan politik. Pembangunan sosial merujuk kepada satu proses perubahan sosial dan penyertaan yang teratur, bertujuan untuk mensejahterakan penduduk masa kini tanpa mengabaikan generasi akan datang. Prinsip ini sesuai dengan matlamat pembangunan yang mampan.

Pembangunan perindustrian memberi kesan kepada aspek sosio-ekonomi, penghijrahan, perbandaran, institusi keluarga, pekerjaan, serta alam sekitar. Beberapa isu penting dalam proses perindustrian akan diberi perhatian yang terperinci seperti soal taraf hidup, kesuburan, peranan wanita, kanak-kanak, tekanan sosial, kesunyian dan jenayah. Pertumbuhan ekonomi Negara yang pesat telah meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat. Situasi ini telah membawa kesedaran kepada masyarakat untuk menikmati apa sahaja yang terbaik dalam kehidupan mereka. Dari sini timbullah pula perhatian dan pengetahuan masyarakat kepada masalah kepenggunaan. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing secara positif, maka kualiti hidup dan kemakmuran rakyat dan Negara dapat dipertingkatkan lagi.

Kemelesetan ekonomi bukanlah alasan yang dibuat-buat untuk tidak berbuat sesuatu bagi kepentingan kakitangan awam. Kakitangan awam seharusnya berasa bertuah kerana di musim kemelesetan ekonomi ini pun kerajaan sentiasa membuat penelitian untuk memperbaiki lagi keadaan mereka. Dan pada masa sekarang, Malaysia tidak terlalu terkena tempias krisis kewangan seperti yang dialami sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa buah negara lain kerana Malaysia mengamalkan sistem ekonomi campuran.

Krisis yang dihadapi di Amerika Syarikat dan Eropah hari ini telah membuktikan sistem kewangan Barat yang mengamalkan riba', terdapat begitu banyak kelemahan, ketempangan dan ketidakseimbangan. Keadaan ini berbeza dengan sistem kewangan Islam yang bebas riba', dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan. Fakta ini disokong oleh ramai pengkaji yang mengakui kesan positif ekonomi dunia kini beralih kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitulmal, sedekah, hibah dan banyak lagi di samping beberapa produk-produk baru dalam produk ekonomi Islam.

Kini, adalah masa dan medan terbaik buat negara-negara Islam dan umatnya, memperkukuh struktur dan produk kewangan Islam serta mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi dunia. Pertumbuhan sebanyak 15 peratus setahun sistem perbankan Islam, mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan ciri-cirinya yang tersendiri menyaingi sistem kewangan Barat. Sistem kewangan Islam bersifat lebih adil kepada pelabur dan pengusaha, di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang ini.

Tetapi apa yang dibimbangkan dengan keadaan kemelesetan ekonomi dunia hari ini, kesannya akan menyebabkan keretakkan institusi keluarga, meningkatnya jenayah, bertambahnya kes membunuh diri, menjual maruah diri, penindasan, keruntuhan moral dan sebagainya. Justeru itu, semua pihak diseru agar sentiasa menyediakan perancangan kewangan yang mampan melalui perbelanjaan berhemah dan menjauhi budaya berhutang dan riba' bagi mengelakkan kehancuran masa depan individu, masyarakat dan negara.

Semua negara di dunia sama ada maju atau sedang membangun mengalami inflasi. Inflasi boleh di definisikan sebagai suatu proses kenaikan tingkat harga umum untuk semua barang secara menyeluruh dan serentak dalam ekonomi. Jika inflasi dapat dikawal maka kenaikan pendapatan akan lebih bermakna dalam menaikkan taraf hidup. Kerajaan telah mengambil berbagai-bagai langkah untuk menentukan pertumbuhan pesat negara berjalan dalam suasana harga barangan dan perkhidmatan yang rendah dan stabil kerana kerajaan percaya kestabilan harga merupakan tunggak dalam usaha ke arah pembangunan yang berterusan atau 'sustainable development'. Keazaman tersebut telah mendorong Kerajaan mengambil tindakan dengan segera setiap kali mula ternampak adanya tanda-tanda tekanan harga. Oleh kerana kenaikan harga ini berlaku untuk semua jenis barang maka kenaikan harga itu perlulah dilihat secara purata iaitu dengan menggunakan indeks harga.

Dasar kewangan yang ketat telah dilaksanakan untuk menentukan bekalan wang tidak akan berlebihan supaya tidak wujud keadaan di mana terlalu banyak wang mengejar barang-barang yang terhad. Namun demikian sejak ekonomi pulih daripada kemelesetan dalam tahun 1987, negara telah mengalami pertumbuhan yang pesat selama enam tahun berturut-turut. Pada masa yang sama, bekalan wang telah berkembang dengan pesat dan mencapai kadar peratusan dua angka. Pertambahan bekalan wang telah membawa kepada permintaan yang berlebihan dan dalam keadaan pendapatan yang lebih tinggi dan ekonomi yang mencapai guna tenaga penuh, pertambahan tersebut telah memberi tekanan yang hebat ke atas harga. Hal ini merupakan satu daripada punca meningkatnya inflasi. Apabila inflasi berlaku dan nilai wang merosot, nilai pendapatan juga merosot. Cara yang mudah bagi mengatasi masalah kemerosotan nilai pendapatan ialah dengan menambah pendapatan, umpamanya dengan kenaikan gaji atau kenaikan margin keuntungan.

Kerajaan akan terus memainkan peranannya berusaha memerangi inflasi. Hal ini adalah kerana inflasi yang tinggi hanya akan menjejaskan taraf hidup rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah dan berpendapatan tidak menentu atau mereka yang berpendapatan tetap seperti pesara. Golongan-golongan inilah yang paling `vulnerable' apabila masalah kepenggunaan dan inflasi melanda negara. Sesungguhnya Kerajaan telah mengambil berbagai-bagai langkah untuk mengurangkan tekanan inflasi bagi menentukan kesejahteraan pengguna. Walau bagaimanapun, seperti yang telah disebutkan kejayaan dasar Kerajaan adalah bergantung kepada kerjasama semua pihak.

Penilaian Dampak Sosial atau PDS merujuk kepada penilaian yang dijalankan terhadap keadaan dan proses sosial serta dampak terhadap individu dan masyarakat hasil daripada perlaksanaan projek, program atau dasar pembangunan. PDS bertujuan mengenalpasti, meramal dan menilai kesan daripada pembentukan dasar dan perancangan projek terhadap pembangunan manusia sebelum ianya dilaksanakan. PDS berupaya mengenalpasti pihak yang untung dan rugi akibat pelaksanan sesuatu dasar atau projek. Dampak sosial melibatkan semua akibat sosial dan budaya terhadap penduduk yang boleh merubah cara bagaimana mereka hidup, bekerja, bermain, berhubung antara satu sama lain, mengatur hidup untuk memenuhi keperluan mereka dan menyesuaikan diri sebagai ahli sesebuah masyarakat. Perlu diketahui bahawa PDS bukan merupakan penyelesaian masalah tetapi dapat membantu menggariskan masalah yang mungkin wujud sebelum sesuatu dasar atau program dijalankan.

Perubahan yang berlaku dalam ekonomi secara tidak langsung telah membawa kepada masalah pengangguran dalam kalangan individu khususnya apabila terdapatnya kemelesetan teruk dalam permintaan agregat. Pengurangan permintaan agregat ini akan mengurangkan pengeluaran dan seterusnya akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh oleh pengeluar. Malah perubahan terhadap masyarakat terutamanya institusi kekeluargaan juga turut terjejas kerana sesebuah keluarga berperanan dalam ekonomi sebagai sumber buruh utama tetapi perubahan teknologi dalam pengeluaran kilang dan perubahan nilai majikan yang mengambil pekerja wanita dalam sektor perkilangan telah menyebabkan pengangguran dan perubahan rol wanita dalam struktur sosial yang membawa kepada perubahan nilai-nilai asas. Walau bagaimanapun jika dilihat daripada perspektif paradigma struktural fungsional perubahan dari segi ekonomi hanya merupakan perubahan satu daripada keseluruhan perubahan dalam masyarakat yang terjadi di mana perubahan mana-mana satu akan mempengaruhi yang lain.

Pengangguran yang tinggi kadarnya akan meningkatkan kadar kemiskinan dalam negara. Kerajaan terpaksa merancang beberapa program untuk mengatasi masalah kemiskinan kerana kemiskinan akan menjejaskan usaha kerajaan untuk memajukan negara. Malah kemiskinan jugalah penyebab masalah sosial berlaku.



PERUBAHAN SOSIAL

Perkataan sosial menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga memberi makna segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Dalam masyarakat pula perubahan sosial ini dapat dilihat dalam aspek budaya, persekitaran dan migrasi.

Berdasarkan kajian sejarah sosial masyarakat, satu perubahan seperti dari masyarakat tradisional kepada masyarakat moden telah berlaku, yang berubah bukan sahaja dari aspek kebudayaan bahkan juga dari struktur masyarakat itu sendiri. Dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat akan membawa kesan kepada individu secara tidak langsung.

Manusia selalunya menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekitarnya. Perubahan-perubahan bentuk evolusi lahir dari keperluan manusia. Untuk menyesuaikan dengan perubahan jangka pendek mereka terpaksa melahirkan keperluan-keperluan tingkah laku yang mudah disesuaikan dan percaya akan mendapat faedah dari perubahan itu. Corak dan tingkah laku seseorang manusia sebelum dilahirkan ini, tetap dipengaruhi oleh darah keturunannya (genetic inheritance). Walaupun demikian suatu hal menarik yang dimiliki oleh manusia ialah keupayaannya mempelajari sesuatu daripada persekitarannya.

Untuk meneruskan kewujudan sesuatu kebudayaan itu, ia perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang ada. Oleh kerana alam sekitar yang berbeza-beza maka terdapat bentuk adaptasi yang berbagai-bagai. Persekitaran masyarakat yang teruk misalnya boleh membawa kepada tingkah laku individu yang bermasalah. Penghidupan masyarakat kian menjadi rumit akibat perubahan sosial yang semakin pesat dan keadaan ini mengakibatkan tekanan hidup bagi individu, keluarga, kelompok dan komuniti dalam menghadapi berbagai-bagai masalah sosial. Masalah sosial pula kian mendesak sehingga boleh mengganggu kesejahteraan negara. Ianya jelas semakin bertambah dengan meningkatnya kadar penjenayahan, pelacuran, penderaan kanak-kanak, keciciran dalam pendidikan dan kenakalan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah yang menyebabkan timbulnya masalah juvana, keganasan dalam institusi keluarga, perceraian, pengangguran, dan banyak lagi masalah sosial pada zaman serba moden ini.

Semua kebudayaan berubah dalam tempoh yang tertentu. Perubahan ini mungkin akibat dari kedatangan kuasa-kuasa luar yang menyebabkan berlakunya modifikasi tingkah laku dan nilai-nilai kebudayaan itu tadi. Faktor migrasi seperti kedatangan orang asing yang berbeza kebudayaan juga merupakan salah satu pendorong terjadinya perubahan dalam masyarakat kerana ia akan membawa kepada berubahnya struktur sosial dan pola budaya dalam suatu masyarakat. Perubahan sosial budaya merupakan gejala umum yang terjadi sepanjang masa dalam setiap masyarakat. Perubahan itu terjadi sesuai dengan hakikat dan sifat dasar manusia yang selalu ingin mengadakan perubahan. Perubahan yang terjadi disebabkan migrasi ke atas budaya boleh berlaku kerana beberapa faktor internal dan eksternal. Faktor internal seperti perubahan jumlah penduduk, penemuan baru serta terjadinya konflik atau revolusi manakala faktor eksternal pula adalah seperti bencana alam dan perubahan iklim, peperangan, serta pengaruh kebudayaan masyarakat lain. Jadi di situlah terjadinya pertembungan antara budaya di antara masyarakat tetap dengan masyarakat migrasi.

Malah penghijrahan yang berlaku di antara penduduk luar bandar ke bandar-bandar besar menyebabkan kurangnya tenaga manusia di luar bandar lalu mewujudkan suatu kesan negatif yang lain seperti kemajuan yang tidak seimbang di antara bandar dengan luar bandar. Ramai golongan muda khususnya berhijrah ke bandar bagi mencari pekerjaan dan seterusnya meninggalkan golongan tua yang berusaha sendiri memajukan kawasan luar bandar.

Kedatangan budaya dari luar banyak tersebar melalui proses seperti difusi, akulturasi dan asimilasi. Keadaan ini sedikit sebanyak membawa kepada kehilangan identiti asal masyarakat penerima yang diamalkan sejak turun temurun. Seperti proses difusi yang dapat dilihat bagaimana sesuatu tret kebudayaan itu dipindahkan dari satu kebudayaan kepada satu kebudayaan yang lain. Proses akulturasi merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Manakala proses asimilasi pula adalah merupakan satu proses pencantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Proses ini berlaku apabila kumpulan minoriti sanggup menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti dan begitulah juga sebaliknya.

Perubahan sosial adalah perubahan dalam masyarakat yang mempengaruhi sistem sosial, nilai, sikap, dan pola perilaku individu dalam kelompoknya. Perubahan budaya adalah perubahan yang terjadi dalam sistem idea yang dimiliki bersama dalam berbagai bidang kehidupan dalam masyarakat yang bersangkutan. Agar dapat bertahan, setiap budaya di dunia akan mengalami perubahan sama ada cepat ataupun lambat. Teknologi dan penemuan membawa perubahan terhadap budaya, meskipun tidak semua orang terbuka terhadap perubahan.

Perkembangan teknologi yang telah berjaya mencipta alatan yang lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos pengeluaran yang semakin berkurangan juga turut memberi kesan kepada individu kerana pengangguran teknologi boleh berlaku apabila penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah diambil alih oleh mesin dan robot. Disebabkan masalah pengangguran ini telah mewujudkan keadaan tidak tenteram dalam keluarga. Apabila berlaku pengangguran, keadaan rumah tangga berada dalam keadaan tidak tenteram kerana akan berlaku pergaduhan dan pertengkaran dan akhirnya membawa kepada penceraian. Peningkatan kejadian anti sosial dalam masyarakat akibat dari masalah kewangan yang dihadapi oleh pengangguran menyebabkan mereka sanggup melakukan rompakan, pembunuhan dan lain-lain kegiatan anti sosial untuk mendapatkan wang. Malah masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri akan dialami penganggur yang telah lama menganggur. Ia akan sentiasa berfikir bagaimana tanggungjawabnya terhadap keluarga dapat disempurnakan dalam keadaan ia sedang menganggur.



PENUTUP

Perubahan yang berlaku baik dari segi politik, ekonomi dan sosial, keseluruhannya membawa kepada perubahan masyarakat dan sekaligus kesannya kepada individu sama ada positif mahupun negatif. Setiap pekerjaan perlu diberi penilaian kerana hasil rezeki yang baik untuk menampung keperluan diri dan keluarga hendaklah bersumberkan rezeki yang halal seperti dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik-baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu betul beribadat kepadanya" Pengambilan rezeki yang halal akan melahirkan individu yang baik perilakunya dan berhikmah tindakannya.

Pekerjaan yang baik pula adalah pekerjaan yang mendapat keredhaan Allah s.w.t iaitu kerja yang mendatangkan manfaat dan bukan kerja yang bersubahat dengan kemungkaran. Unsur-unsur riba, rasuah, perjudian dan lain-lain hasil haram wajib dielakkan. Allah s.w.t membuat penegasan bahawa rezeki yang diperolehi dengan cara yang tidak halal akan diberi balasan yang setimpal di akhirat nanti. FirmanNya dalam Surah An-Nisa’ ayat 161 yang bermaksud: "Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

Rezeki yang diperolehi dengan hasil yang haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suap makanan yang tidak halal, diisi ke perut akan memberikan kesan kepada tindakannya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan (sumber) yang haram, maka api nerakalah yang paling layak baginya". Malah disebabkan rezeki inilah generasi muda mudah terjerumus ke lembah kebinasaan kerana sejak kecil lagi mereka diberi makanan yang tidak halal. Golongan ini harus diberi kesedaran dan peringatan tentang keimanan kepada Allah dan hari akhirat sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi yang bermaksud: "Kedua-dua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya tanpa berganjak sedikit pun pada hari kiamat sehingga ditanya tentang 4 perkara iaitu tentang umur, bagaimana ia menghabiskannya, tentang masa muda ke arah mana ia mempergunakan, tentang hartanya, dari mana diperolehi dan bagaimana dihabiskan dan tentang ilmunya, apakah yang dibuat dengannya." Ingatan baginda ini sememangnya bertepatan dengan realiti kehidupan muda mudi dewasa ini dan masyarakat umumnya yang terjebak dengan gejala sosial yang akan merosakkan masa depan dan memusnahkan harapan agama, bangsa dan Negara.

Kesimpulannya politik yang diamalkan oleh pemimpin yang baik dan telus dalam kepimpinannya akan mengamalkan corak ekonomi yang jujur dan halal selaras dengan perintah Islam yang melarang pengamalan riba’ seterusnya dengan hasil yang didapati dari ekonomi yang diredhai oleh Allah melahirkan generasi yang bermutu serta bijaksana.



BIBLIOGRAFI

1. Maarof Redzuan (2001). Psikologi Sosial, Penerbit Universiti Putra Malaysia.

2. Mohd Ali Abu Bakar (2005). Tanggungjawab Setiap Muslim, Kuala Lumpur; Al-Hidayah Publishers.

3. Muhd Mansur Abdullah (1988). Psikologi Remaja, Petaling Jaya; Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

4. Prof Madya Dr. Abdullah Taib (1985). Asas-asas Antropologi, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Sifat-sifat Rasullulah S.A.W – Bekalan untuk Pendakwah (1991). Kuala Lumpur; Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.

6. Yusof Al-Qaradawi (1998). Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi Islam, Kuala Lumpur; Metacorp Berhad.




No comments :