Friday 5 August 2011

Besarnya Tanggungjawab

Salam,

"Apa yang paling berat di dunia ini?"

Kata Imam Ghazali adalah "memegang AMANAH" seperti firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat 72 :
"Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak mampu memegang amanahnya".

Apabila kita telah diberi tanggungjawab yang besar seperti memegang jawatan dalam sesebuah organisasi, jadi jangan mempersoalkan mengapa dipilih tetapi persoalkan apa tanggungjawab yang anda boleh lakukan. Kita memang bukan yang sempurna sebab itu manusia diberi tanggungjawab untuk berdakwah supaya saling ingat mengingati. Walaupun anda bukan dikalangan orang yang terpilih dalam memegang jawatan apa-apa sekalipun, anda juga turut bertanggungjawab dalam menyebarkan dakwah, cuma dalam konteks ni ia agak berlainan peranannya. Jadi mainkan peranan anda sebaik mungkin. Jadikan medium 'jawatan' anda sebagai salah satu medium untuk anda menyebarkan dakwah dengan lebih berkesan. Jangan ambil peduli dengan kata-kata orang yang ingin merendah-rendahkan diri kita tetapi terima kata-kata mereka sebagai satu cabaran untuk kita mengubah diri kita menjadi lebih baik. Kenapa tidak anda jadikan 'jawatan' itu sebagai satu instrumen ke arah pengubahan diri yang lebih baik? Tetapi walau bagaimanapun, perlulah beristiqamah agar diri anda sentiasa dirahmati olehNya..

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 200 : 
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) , dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

Jadi, pikullah tanggungjawab itu dengan sebaiknya dan jadikan ia sebagai satu alasan untuk anda mengubah diri anda ke arah kebaikan kerana manusia selalunya tidak akan mengubah diri mereka sehingga ada perkara yang membuatkan mereka berubah.

Berkata Saidina Abu Bakar as-siddiq kepada Sahabat, 
"Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu tetapi aku bukanlah orang yang paling baik dikalangan kalian, maka berilah pertolongan kepada aku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutlah aku tetapi jika aku salah maka tegurlah aku."

Melihat dari kata-kata Saidina Abu Bakar ini dapat kita lihat betapa pentingnya kritikan dalam sesebuah kepimpinan kerana dengan kritikan inilah dapat membuat kita berfikir akan kekurangan dan keterlepasan perkara yang mungkin kita tidak pernah terfikir mengenainya. Kritikan yang membina dapat membantu mengubah diri menjadi lebih baik manakala kritikan menjatuhkan dapat membantu kita lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Pemikiran mestilah positif.

Jangan sesekali merasakan apa yang kita lakukan adalah terbaik untuk semua kerana lain manusia lain kehendak. Jadi mungkin kita rasa itu adalah yang terbaik tetapi tidak bagi sesetengah pihak. Sebab itulah perlunya kita dalam mendengar pandangan dan kritikan dari orang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Baqarah ayat 216 :  
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu,Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Sesungguhnya manusia adalah tidak sempurna dan memerlukan bantuan daripada yang lain untuk menjadikan mereka sempurna. Seperti kata Ibn Khaldun, 
"Manusia adalah lemah jadi kerana itu perlunya masyarakat untuk saling tolong menolong.."

Akhir kata, ingatlah bahawa setapak ke alam perjuangan bererti selamanya dalam kepahitan, kemanisan hanya terasa bila takbir dilaungkan, roh jihad mula bertebaran, mendakap ukhwah dalam kejauhan, jannah bertapak dihati insan, hidup dan mati diiringi iman, hebatnya sebuah keakraban, andai dibasahi embun perjuangan, salam setinggi ukhuwah sekencang dakwah.
Wallahualam...

No comments :