Friday 5 August 2011

Salam Ramadhan

Salam,

Sudah 5 hari Ramadhan berlalu...tinggal hanya 25 hari lagi untuk sama-sama mengejar serta memperolehi rahmat yang berlipat kali ganda. Seperti Sabda Nabi Muhammad s.a.w : 

“Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka.”

Jadi, betapa besarnya rahmat pada bulan Ramadhan ini. Cuba tanya pada diri sendiri, adakah sepanjang berlalunya tempoh 5 hari ini, amat membanggakan diri kita atau hanya sekadar melaksanakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sahaja?

Tidak mahukah kita sama-sama beroleh keuntungan yang besar dalam tempoh masa sebulan ini atau kita hanya sekadar mengejar malam lailatul qadar yang tidak kita ketahui bila masa ketibaannya.

Tidak ada ruginya jikalau tiap-tiap malam kita menghabiskan sepermalam kita dengan mengadakan 'dating' bersama Yang Maha Esa. Malah, kitalah paling beruntung kerana 'dating' di malam hari itu amat sunyi dan cukuplah hanya ada kita dan Dia yang Maha Melihat. Tidak akan ada makhluk lain yang berani menganggu. Tidak akan kedengaran Pegawai Pencegah Maksiat mengetuk pintu rumah anda. Malah tiada apa-apa lagi yang boleh mengugat pemerhatian kita pada 'kekasih' yang kita dambakan kasihNya. Maka, di manakah ruginya kita?

Masa tidur tidak akan terganggu jika kita komited pada setiap detik yang berlangsung. Seeloknya selepas Tarawikh, bolehlah kita melelapkan mata sekejap sekadar untuk merehatkan fizikal dan mental untuk seketika. Tidak perlulah dibuang masa dengan berborak sehingga larut malam atau menonton rancangan televisyen yang melekakan. Perlu diingatkan, masa pada bulan Ramadhan adalah terhad di malam harinya. Jika kita tidak dapat mengawal masa yang bergerak, maka kita yang akan dikawal olehnya.  

Sepertimana firman Allah s.w.t : 
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."
(Surah Al-'Ashr  : 103 ; 1-3)

Jadi, amat rugilah manusia yang tidak memanfaatkan waktunya untuk berbakti. Maka, masih rugikah lagi kita? Marilah sama-sama kita renungkan bersama. Wallahualam...~



No comments :