Friday 5 August 2011

Tegurlah jika ia membawa kepada kebaikan

Salam...

Dakwah adalah bermaksud menyampaikan atau dalam erti kata lain menegur ke arah kebaikan. Apa-apa sahaja yang kamu sampaikan yang membawa kepada kebaikan juga dikira berdakwah. Iaitu memberi atau menyampaikan peringatan kepada yang terleka. Maka dengan ini ia menjadi tanggungjawab kepada semua umat manusia. 

Tidak salah untuk kita menegur dan ditegur. Sentiasalah berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan.

Fahamilah disebalik perbuatannya itu mengapa begitu dan kenapa begini sebelum menegur. Gunakan sebab begini dan begitu dengan cara menegur yang sesuai metodnya.

Sekali tegur cukuplah untuk peringatan. Teguran kedua untuk memperingatkan dan teguran seterusnya agar teringat. Menegur, bukan suatu perkara mudah dan ditegur juga bukan suatu perkara yang senang diterima.
Cuba jadi diri kita bila ditegur, rasanya tidak semua orang akan suka akan hakikat ditegur. Tapi telah menjadi kewajipan semua orang untuk menegur dan kita tidak boleh lari dari tanggungjawab ini. Maka perlunya menegur sekadar yang kita boleh lakukan. Jangan meletak teguran kita itu untuk mengubah dirinya tetapi anggaplah teguran itu sekadar satu peringatan pada yang terleka, terlupa mengenai sesuatu.

Lihat kepada isi teguran itu, bukan kepada orang yang menegur. Jikalau teguran yang diberikan itu adalah untuk kebaikan, kenapa tidak kita ikutinya? Tidak perlulah membandingkan tegurannya itu dengan dirinya. Perkara itu, biarlah Tuhan yang tentukan. Sekurang-kurangnya dia telah berkongsi sesuatu yang memberi kebaikan kepada kita bukan merugikan. Jadi janganlah timbul isu "Cakap tidak serupa bikin" kerana manusia ini tidak ada yang sempurna. Kerana itulah kita dipertanggungjawabkan untuk saling memberi peringatan dan saling menasihati. 

"Kita ini tidak sempurna, jadilah tidak payahlah nak menegur orang lain. Baiki diri itu dulu!" Ayat seperti ini seringkali kita dengar dari mulut kebanyakan orang. Tidak ada salahnya dari segi penuturan 'Kita tidak sempurna' kerana manusia memang tiada yang sempurna. Jadi, adakah itu boleh dijadikan alasan untuk kita tidak mahu menegur? Adakah mahu menunggu manusia yang sempurna barulah boleh menegur? Persoalan di sini, adakah ada manusia yang sempurna? Kalau begitu kenyataannya, masihkah lagi kita mengelak dari memikul tanggungjawab menegur itu?

Nabi s.a.w juga dijadikan oleh Allah sebagai penyampai peringatan kepada manusia untuk menyedarkan mereka akan kealpaan tetapi Nabi bukan pengubah hakikat hidup manusia kerana itu semua kerja Allah. Kerana tugas seorang Rasul adalah penyampai peringatan. 

Jadi perlu diingatkan kita perlu menegur tetapi yang mahu mengubah adalah dirinya sendiri. Jika ditegur masih tidak mahu berubah maka terserah pada diri mereka. Kita sekadar memperingatkan tapi perlu juga diingatkan jangan berputus asa. Jadi tegurlah selagi mana kita boleh menegur. Insyaallah berkat usaha kita, Allah pasti akan memudahkan caranya. Maka mohonlah pada Allah kerana Dialah penentu segalanya. Wallahualam...

 

No comments :