Friday 30 December 2011

CABARAN UTAMA DALAM MELAKSANAKAN DAKWAH BAGI KAUM SENOI DI KAMPUNG SUNGAI KUCHING, PAHANG



ABSTRAK

Dakwah di Malaysia telah berkembang dengan begitu pesat sejak tahun 1980-an lagi. Pelbagai institusi mula ditubuhkan dan bergiat secara aktif ke arah merealisasikan cabaran dakwah Islam, sama ada terhadap orang Islam atau bukan Islam. Malah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang kepada pertubuhan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri bagi menunaikan hasrat murni ini.

Penyertaan Pertubuhan Bukan Kerajaaan (NGO) dan masjid-masjid negeri dari seluruh daerah dan kampung turut meyemarakkan pergerakan dakwah di Malaysia. Malah kesungguhan institusi dakwah ini dalam mengatur strategi dan program yang sesuai untuk melaksanakan keperluan dakwah begitu rancak dan membanggakan. Aktiviti ceramah, kuliah, ziarah, sambutan, majlis keagamaan, majlis diskusi, penganugerahan dan sebagainya adalah memenuhi tentatif perancangan program dakwah setiap tahun dalam merealisasikan tuntutan dakwah.

Latar belakang masyarakat pelbagai bangsa dan kaum di Malaysia menjadikan negara ini sebuah negara yang mewarisi pelbagai agama, tradisi budaya dan kepercayaan dan setiap satunya mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Pemahaman terhadap kepelbagaian setiap agama dan kaum ini sangat penting bagi memastikan perlaksanaan usaha-usaha dakwah dapat berjalan dengan lancar tanpa ada unsur-unsur prasangka dan prejudis.

Islam sebagai agama fitrah (the primodial religion) mengakui kewujudan berbilang etnik, agama dan anutan serta mengangkat martabat insan (human dignity) melebihi persoalan etnik. Oleh itu, dakwah bukan semata-mata bertujuan untuk mengislamkan orang bukan Islam tetapi matalamatnya lebih jauh daripada aspek tersebut.


PENGENALAN

Dakwah didefinisikan sebagai mengajak atau menyeru manusia dengan tujuan untuk melaksanakan sesuatu iaitu ke arah kebaikan. Dakwah juga bermaksud usaha perpindahan paradigma umat manusia kepada suatu tahap yang sesuai dengan tabiat semula jadi manusia ciptaan Allah S.W.T. iaitu perpindahan yang berasaskan kesedaran daripada kekufuran kepada keislaman, kesesatan kepada hidayah, negatif kepada positif dan perkara-perkara keburukan kepada kebaikan.

Dakwah juga ialah usaha mengubah situasi kepada situasi yang lebih baik dan sempurna, baik terhadap peribadi mahupun masyarakat. Dakwah bukan sekadar usaha peningkatan pemahaman keagamaan, tingkah laku dan pandangan hidup sahaja tetapi juga menuju sasaran yang lebih luas. Apatah lagi pada masa kini, dakwah harus lebih berperanan menuju kepada perlaksanaan ajaran Islam secara holistik dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dakwah boleh dianggap sebagai satu kurikulum dan penerangan yang lengkap ke arah suatu gerakan ajakan sama ada dalam bentuk lisan, tulisan mahupun tingkahlaku yang dilakukan secara sedar dan terencana dalam usaha untuk mempengaruhi orang lain. Hal ini bertujuan untuk menimbulkan suatu pengertian, kesedaran dan sikap penghayatan dalam diri insan terhadap ajaran Islam sebagai mesej yang disampaikan tanpa wujud sebarang unsur paksaan.

Namun begitu terdapat juga usaha-usaha dakwah yang perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dari sudut perlaksanaan, perancangan dan para pendakwah itu sendiri terutama dalam konteks berdakwah terhadap masyarakat pribumi yang bukan Islam kerana kebanyakan mereka bukan sahaja tidak mengetahui perlaksanaan agama dalam bentuk akidah malah jauh untuk mengenali maksud Islam itu sendiri.


MASYARAKAT ORANG ASLI

Merupakan masyarakat pribumi, asal-usul keturunan lahir dan tinggal di sesebuah wilayah atau negeri. Orang asli juga merupakan satu istilah yang digunapakai ke atas kumpulan masyarakat pribumi yang mendiami kepulauan Semenanjung Malaysia dan bukannya orang asing atau pendatang. Antara panggilan lain yang pernah digunakan ke atas masyarakat ini ialah Sakai, Pagan dan Orang Darat.

Mereka dipercayai berasal dari Utara Asia iaitu Yunan dan Indonesia. Penghijrahan ke negara ini berlaku secara berperingkat. Mereka merupakan masyarakat yang tidak homogenous. Selain itu mereka berasaskan kepada dialek bahasa dan ciri-ciri fizikal mereka yang boleh dibahagikan kepda tiga kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu- Proto (Proto-Malay), yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.


KAUM SENOI

Terdiri daripada suku kaum Temiar, Semai, Che Wong, Jah-Het, Semaq Beri dan Mah Meri. Menurut perangkaan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli pada tahun 2003, kaum Senoi terdiri daripada 81 826 orang iaitu taburan mendapati mereka tinggal di kawasan tengah Semenanjung Malaysia. Organisasi sosial bagi kaum Senoi ini mempunyai kaitan dengan bentuk atau struktur rumah kediaman dan sebahagian besar mereka tinggal di rumah panjang.


KAMPUNG SUNGAI KUCHING

Merupakan sebuah perkampungan orang asli yang didiami oleh suku kaum Semaq Beri (Senoi). Terletak di pedalaman kawasan Jerantut, Pahang dan perjalanan mengambil masa selama tiga jam dengan menaiki bot dari Kuala Tahan serta melalui tujuh jeram. Kampung Sungai Kuching mempunyai 32 jumlah kelamin dengan lebih kurang 100 orang penduduk dan majoriti penduduknya telah memeluk Islam.

Kegiatan ekonomi suku kaum ini di Kampung Kuching adalah tertumpu kepada kerja-kerja di ladang, mencari rotan dan mencari madu lebah. Kehidupan mereka sudah banyak berubah berbanding dahulu walaupun tidak secara keseluruhan. Tanggapan yang menganggap orang asli masih tinggal di atas pokok tidak benar sama sekali. Rata-rata mereka tinggal di rumah yang disediakan oleh Jabatan Orang Asli, meskipun ada lagi rumah-rumah lama yang masih didiami mereka tetapi jumlahnya amat kecil.

Kehidupan sosial mereka tidak banyak berbeza dengan masyarakat luar. Walaupun ada di antara mereka yang masih mempunyai sikap tertutup terutamanya semasa berinteraksi dengan masyarakat luar, namun ini tidak bermakna mereka tidak dapat menerima kehadiran masyarakat luar. Cuma perasaan malu dan segan masih bersarang dalam diri mereka.

Pengetahuan mereka hanya terhad kepada perkara-perkara asas sahaja. Keadaan ini sebenarnya amat baru bagi mereka dan masih memerlukan bimbingan yang berterusan dari pihak-pihak yang berkenaan. Setakat ini mereka hanya mendapat bantuan dan bimbingan daripada masyarakat Kampung Bantal dan juga dari pihak-pihak lain seperti DOA, PERKIM dan JHEOA.


CABARAN UTAMA DALAM MELAKSANAKAN DAKWAH

Aktiviti dakwah di Malaysia telah lama wujud sejak dahulu lagi dan terus berkembang sehingga kini. Melalui proses perkembangan inilah aktiviti dakwah kini sering kali dilakukan di bawah organisasi-organisasi tertentu. Kewujudan organisasi dakwah seperti Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri, Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain bukan sahaja memudahkan perlaksanaan dakwah, bahkan dapat dijalankan dengan lebih teratur dan jelas memenuhi kehendak masyarakat.

Dakwah adalah sangat perlu bagi menumpukan usaha ke arah pembinaan pemikiran manusia berasaskan kepada akidah yang sebenar bagi mewujudkan kesatuan pemikiran insan yang berkesan seterusnya mampu mencapai matlamat kehidupan yang diinginkan berasaskan tuntutan Islam. Dakwah dilihat sebagi satu alternatif yang berkesan untuk mencegah, seterusnya mengubati penyakit-penyakit sosial yang berlaku kepada masyarakat kini.

Namun begitu, penganjuran aktiviti dakwah yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat sudah pastinya mempunyai pelbagai perbezaan pandangan, budaya, cara hidup dan persepsi. Fenomena ini secara tidak langsung menyebabkan masalah yang akan menganggu kelancaran dan keberkesanan aktiviti dakwah tersebut.

Cabaran aktiviti dakwah dapat dibahagikan kepeda beberapa klasifikasi yang utama iaitu masalah yang dihadapi oleh penganjur atau dalam konteks pendakwah, cabaran dari sudut sasaran dakwah, dan skop menerusi perancangan dan perlaksanaan dakwah itu sendiri.


CABARAN DALAM KONTEKS PENDAKWAH

Manusia memerlukan pemimpin dan bimbingan untuk memandu mereka ke arah kebaikan. Dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 menunjukkan mengenai tuntutan dakwah yang dituju kepada seluruh umat Islam.

Pengertian dakwah dari segi bahasa ialah دعى , دعوة,يدعو yang bererti memanggil, mengajak, menyeru dan menjemput. Manakala dari segi istilah syara’ adalah sebagai usaha membawa orang lain kepada Islam. Dakwah bukan semata-mata mengajak manusia kepada agama Allah, tetapi disertai uslub atau kaedah untuk mempengaruhi orang yang didakwah.

i. Pengetahuan
Pengisian pengetahuan bagi seorang pendakwah adalah perlu dititikberatkan terutama dalam ilmu kemasyarakatan. Keadaan ini dapat dijelaskan sekiranya pendakwah mengetahui perkara seperti yang perlu bagi mempengaruhi sasaran seperti hal ehwal orang yang akan menerima dakwah iaitu tentang kesediaannya untuk menerima dakwah, persekitaran dan sosial bagi sesuatu masyarakat yang berkaitan.

Pengetahuan dilihat dalam konteks seseorang pendakwah itu perlu menguasai beberapa bidang ilmu misalnya ilmu sejarah umum, psikologi, ilmu geografi, ilmu akhlak, mazhab-mazhab, aqidah yang betul dan mazhab-mazhab yang salah, bahasa orang yang menerima dakwah, ilmu kemasyarakatan (sosiologi) yang membincangkan perkembangan masyarakat manusia dan segala yang berkaitan dengannya.

ii. Persediaan
Pendakwah mestilah mampu untuk menyediakan diri menjadi pendakwah dan sekaligus menjadi pemimpin pendidikan yang cemerlang. Untuk menjadi pendakwah yang cemerlang, kita mestilah perlu menyediakan diri menjadi pendakwah yang sentiasa up to date bukan out of date. Ia mestilah menjadi golongan yang menyedari dengan mendalam pelbagai cabaran besar yang berlaku.

Persediaan bagi seseorang pendakwah ialah dengan mempunyai visi yang jelas untuk membina generasi ummah terutamanya generasi pelajar masa depan. Hal ini bertujuan sebagai cara bagi pendakwah agar mampu menyediakan strategi dan penyelesaian yang berteraskan kerangka yang benar dan mutlak, yang datang dari ajaran Islam itu sendiri.

Pendakwah perlu memainkan peranan yang utama dalam pembangunan ummah dan mampu menentukan ‘prioriti’ sesuatu tugas, amanah atau tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Selain itu berusaha untuk mempersiapkan pasukan kepimpinan generasi muda yang lengkap dan berterusan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan kelangsungan kecemerlangan ummah. Situasi yang berterusan ini memerlukan para pendakwah memainkan peranan utama dan melipatgandakan kerja masing-masing.

Para pendakwah terutamanya mestilah merasakan tugas mengajak manusia kepada kebenaran dan beriman kepada Allah ini bukan tugas kecil, tugas remeh, tugas sambil lewa, tugas sampingan, tugas semasa dan tugas bermusim. Tetapi mereka mestilah menerimanya sebagai tugas sepanjang hayat.

 iii. Kemahiran
Pendakwah perlu memiliki beberapa kemahiran dalam mendapatkan kepercayaan sasaran dan kerjasama bagi mengelakkan perasaan prejudis daripada pihak sasaran terutama dari aspek psikologi dan mental. Antara cabaran yang perlu dilalui adalah seperti jarak jauh dan cabaran meredah hutan belantara untuk ke sesebuah pos atau kampung orang asli.

Masalah perhubungan menyulitkan keadaan kerana kedudukan sesebuah pos atau kampung sangat jauh misalnya perjalanan ke Kampung Sungai Kuching yang memakan masa selama 3 jam menaiki bot dan melalui tujuh jeram. Keadaan masyarakat yang masih ketinggalan dari sudut permodenan menyukarkan perhubungan dengan dunia luar memerlukan kekuatan yang harus diambil sebagi cabaran bagi para pendakwah.

Kurangnya kemahiran berkomunikasi dalam kalangan para pendakwah boleh mengganggu proses perlaksanaan program. Ketidakupayaan pendakwah memahami masalah ibunda Orang Asli menyukarkan proses penyampaian dakwah.

iv. Dilema Moral
Masalah berkaitan etika penyelidikan dan tanggungjawab sosial pengkaji terhadap komuniti yang dikaji adalah cabaran utama dalam diri pendakwah itu sendiri.

Kakitangan merupakan aset yang sangat penting dalam usaha melaksanakan aktiviti dakwah. Masalah kerjasama antara barisan penganjur adalah cabaran utama yang perlu diberi penekanan kerana sedikit sebanyak boleh mengganggu perjalanan aktiviti dakwah.

Tidak ramai yang sanggup meredah hutan belantara dan membuat atau memperkenalkan perubahan kampung-kampung orang Asli yang terbabit. Perkara ini banyak berlaku tertutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Orang Asli merupakan satu komuniti minoriti pribumi Semenanjung Malaysia. Tanggapan umum mengatakan mereka sebagai masyarakat yang ketinggalan dalam serba-serbi dan terpisah dari dunia luar. Kebanyakan orang asli tinggal di pedalamam suatu kawasan yang menyukarkan perhubungan dilakukan.

Alasan ini merupakan sebab yang paling tepat diberikan untuk menafikan pelbagai kemudahan kepada mereka.


CABARAN DALAM KONTEKS SASARAN DAKWAH

Sasaran adalah di kalangan mereka yang menerima dakwah. Penglibatan mereka adalah sangat penting dalam memastikan tujuan dakwah mencapai matlamat yang diusahakan. Pelbagai cabaran dapat dilihat dalam menghadapi kerenah sasaran dakwah.

i. Komunikasi
Bahasa merupakan medium terpenting untuk menyampaikan maklumat. Kesukaran yang paling nyata ialah apabila kebanyakan penduduk kampung tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Segala permasalahan hanya diajukan dan bergantung harap kepada Batin Muda, Encik Aziz Isa selaku perantara terutama hal yang berkaitan dengan Islam. Inilah keadaan yang berlaku di Kampung Sungai Kuching dan kebanyakan tempat petempatan sasaran dakwah.

Hal ini kerana sebahagian besar masyarakat Asli bertutur dalam dialek kaum masing-masing. Masalah ini secara tidak langsung akan menghalang mereka untuk memahami mesej dakwah yang disampaikan. Selain itu, terdapat di kalangan mereka yang mengasingkan diri daripada berinteraksi dengan masyarakat luar lantaran kesilapan bahasa Melayu yang dituturkan mereka.

ii. Adat dan Budaya
Proses perubahan minda berlaku dengan agak lambat kerana masih berpegang teguh dengan adat yang diamalkan. Mereka masih lagi mengandaikan bahawa kehadiran Islam adalah penghapus segala amalan nenek moyang yang telah lama mereka amalkan.

Budaya adalah suatu isu yang sangat sensitif. Sebahagian daripada mereka walaupun sudah memeluk Islam tetapi masih tinggal bersama dengan ahli keluarga yang bukan beragama Islam dan mengamalkan pemakanan yang telah diharamkan dalam Islam.

Melalui sudut ibadat pula, mereka masih percaya kepada perkara-perkara khurafat seperti kuasa ghaib, tangkal dan kepercayaan kepada ‘supernatural’ yang dianggap mempunyai kuasa yang sangat luar biasa.

Adat pengebumian bagi sesuatu kematian masih lagi diamalkan mengikut adat tradisional bukan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Upacara-upacara lain seperti sewang masih lagi kuat diamalkan bagi mengubati sesuatu penyakit.

iii. Mendapatkan Kerjasama dan Kepercayaan
Perasaan malu dan segan masih bersarang dalam diri mereka. Ada di antara mereka masih mempunyai sikap tertutup terutama ketika berinteraksi dengan masyarakat luar. Mereka masih merasakan diri mereka begitu asing dengan orang luar.

iv. Perasaan Prejudis
Cabaran dari masyarakat sendiri di mana ada sesetengah mereka anti kepada agama Islam. Sebagai contoh ada pihak agama lain yang memburuk – burukkan Islam dalam masyarakat orang asli, cabaran kewangan, dan lain – lain lagi. Sering menimbulkan gambaran bahawa memeluk Islam beerti masuk Melayu dan terpaksa menerima bahasa dan budaya Melayu.

Mereka masih lagi beranggapan bahawa Islam adalah agama yang banyak pantang larang dari sudut menghadkan pilihan terhadap makanan. Konsep halal dan haram dalam Islam disalahertikan iaitu ajaran Islam lebih banyak menitikberatkan perkara yang haram dari halal. Keadaan ini seolah-olah menyekat setiap penganut agama Islam.

Mereka berprasangka bahawa Islam adalah agama yang cukup keras misalnya dalam ibadat solat, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Solat bererti membuang masa mereka kerana terpaksa dilakukan sebanyak lima kali sehari. Zakat pula seperti dalam keadaan yang menyusahkan mereka kerana terpaksa mengeluarkan duit untuk diberikan kepada orang lain. Manakala menunaikan haji bagi pandangan mereka adalah suatu pembaziran dan hanya menguntungkan negeri Arab Saudi kerana menganjurkan aktiviti tersebut.


CABARAN DARI SUDUT PERANCANGAN

Dakwah merupakan satu kegiatan yang terancang. Masalah perancangan ini merangkumi aspek susunan aktiviti yang dilakukan sepanjang sesebuah program dilaksanakan. Ketiadaan perancangan yang teratur mengakibatkan program yang diadakan seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

i. Pengaplikasian Modul yang Efektif
Isi kandungan dalam setiap usaha dakwah adalah sangat penting untuk memastikan kesesuaian modul yang diberikan adalah bertepatan dengan keperluan sasaran. Hal ini kerana kesilapan dalam menyampaikan hasrat dakwah akan menyebabkan kelompok sasaran akan berlari jauh dengan setiap yang ingin disampaikan. Begitu juga dengan ketidaktepatan isi kandungan dakwah yang dikemukakan kepada sasaran akan menempangkan matlamat sebenar dakwah.

Pengisian modul selalunya tidak selari dengan kehendak sasaran dan hanya berlaku interaksi sehala yang tidak melibatkan sasaran. Modul yang dihasilkan perlu bersifat inovatif dan menguntungkan kedua-dua pihak iaitu sasaran dan pendakwah.

Cabaran ini dilihat dari aspek kelemahan penganjur dan kurangnya penekanan yang lebih khusus dalam memenuhi kemahuan sasaran. Penelitian awal perlu dibuat bagi memastikan kelancaran sesuatu program khususnya penetapan modul yang seimbang dengan keupayaan sasaran.

ii. Kesediaan dan Keupayaan dari Sudut Pembangunan dan Etnografi
Taraf kesihatan mereka perlu diberi kesedaran yang agak lebih kerana ia masih berada pada tahap yang rendah. Cabaran yang paling kritikal ialah tiada institusi kesihatan di tempatkan di kampung berkenaan. Akibat pengurangan kesedaran ini, ada di antara mereka yang mengidap penyakit-penyakit kulit. Malah ada beberapa yang telah dikesan mengidap penyakit kusta.

Keadaan ini disebabkan sosio-budaya mereka yang tidak begitu mementingkan kebersihan. Arus kemajuan dan permodenan perlu mewarnai hidup mereka supaya anak-anak mereka tidak dipinggirkan dengan arus pendidikan.

iii. Tiada Role Model dan Follow Up
Ketiadaan Institut Agama, ulama mahupun ustaz untuk dijadikan sumber rujukan dan panduan. Mereka tidak mempunyai sumber rujukan untuk bertanya dan mengamalkan kehidupan beragama yang amat sukar. Kesannya menyebabkan berlakunya kes murtad kerana kembali kepada ajaran asal. Perkara ini juga disebabkan kekurangan kakitangan dalam membuat projek susulan.

Konsep dan pendekatan Islam Adalah Agama Yang Mudah, kebanyakannya tidak dilaksanakan oleh pendakwah semasa berdakwah kepada orang Asli. Di samping itu juga tidak ramai pendakwah yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk membantu masyarakat orang asli yang masih memerlukan bimbingan terutama penduduk di Sungai Kuching dan berdamping rapat dengan mereka.


CABARAN DARI SUDUT PELAKSANAAN

Dakwah Islam bukan hanya berlaku dalam hal yang berkaitan dengan akidah dan ibadah bahkan sinarnya
menyeluruh dalam pelbagai aspek kehidupan. Kemuliaan usaha dakwah telah meniup semangat gelombang penerusan agenda dakwah dalam menangani arus permodenan masa kini. Pelaksanaan yang jitu akan menghasilkan usaha yang cemerlang. Namun pelbagai cabaran utama yang wujud dalam perlaksanaan yang telah direncanakan.

i. Gerakan kristianisasi
Cabaran dari masyarakat sendiri di mana ada sesetengah mereka anti kepada agama Islam. Sebagai contoh ada pihak agama lain yang memburuk – burukkan Islam dalam masyarakat orang asli, cabaran kewangan, dan lain – lain lagi. Sering menimbulkan gambaran bahawa memeluk Islam beerti masuk Melayu. Menganggap bahawa Islam adalah agama yang banyak pantang larang dari sudut menghadkan pilihan terhadap makanan.

Cabaran memang sudah tidak dapat dinafikan lagi dan menjadi asam garam dalam perjuangan dakwah dalam masyarakat orang asli. Antara cabaran yang di lalui adalah seperti jarak jauh dan cabaran meredah hutan belantara untuk ke sesebuah pos atau kampung orang asli, cabaran dari masyarakat sendiri di mana ada sesetengah mereka anti kepada agama islam. Sebagai contoh ada pihak agama lain yang memburuk – burukkan Islam dalam masyarakat orang asli, cabaran kewangan, dan lain – lain lagi. Namun semua itu dapat di atasi dengan bantuan Allah SWT.

ii. Pengurusan
Kepincangan yang berlaku dalam sistem pengurusan mampu melumpuhkan usaha dakwah secara keseluruhannya. Meskipun memahami peri pentingnya pengurusan dalam melaksanakan dakwah namun masalah ini masih lagi berlegar-legar di sekitar perlaksanaan aktiviti-aktiviti dakwah. Masalah ini menyebabkan sasaran dakwah tidak pasti kepentingan mereka untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti.

Selain aktiviti yang tidak dirancang dengan baik dan teratur, institusi dakwah menghadapi masalah dalam menentukan sasaran. Aktiviti yang dilaksanakan lebih banyak bersifat menyeluruh kepada pelbagai lapisan masyarakat. Ketiadaan pembahagian kumpulan sasaran mengakibatkan berlakunya pertembungan kefahaman yang kurang baik dan juga memudahkan berlakunya persepsi selektif sasaran. Cabaran ini ditambah lagi dengan kelemahan dalam mengurus dan merancang masa untuk melaksanakan aktiviti dakwah.

iii. Pemahaman
Pemahaman terhadap penyampaian yang diberikan merupakan aspek yang penting kepada sasaran dan pendakwah. Hal ini kerana tahap pemahaman yang baik atau tinggi dapat memastikan dan menjanjikan amalan yang sempurna hasil daripada pemahaman tersebut.

Misalnya, kekeliruan yang berlaku oleh masyarakat Asli mengenai Islam dan orang Melayu perlu diselesaikan melalui penyampaian yang mudah diterima oleh mereka.


METODOLOGI DAKWAH

Dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat, para pendakwah seharusnya mengkaji dan menilai dengan melihat pemahaman, budaya dan adat sesuatu kelompok sasaran. Melalui penelitian dan kefahaman yang baik, maka pendakwah akan dapat mengambil metodologi tertentu sebagai pendekatan yang sesuai dan berkesan.

Dalam masyarakat peribumi khususnya masyarakat Orang Asli, terdapat beberapa metodologi yang dapat digunakan dalam dakwah. Antaranya ialah :

i. Dakwah Bil Hal.
Dakwah bil hal merupakan satu pendekatan dakwah yang mengunakan perilaku atau akhlak sebagai satu cara menarik perhatian sasaran. Cara ini tidak memerlukan pendakwah mendekati sasaran, tetapi sebaliknya menjadikan diri pendakwah sebagai perantaraan dakwah yang ingin disampaikan. Dakwah melalui perilaku dikatakan 70 peratus lebih memberi keberkesanan dalam memastikan kejayaan dakwah kepada sasaran. Contoh paling utama yang dapat diambil ialah Baginda Rasulullah s.a.w. Sifat , perilaku dan tutur kata Baginda merupakan satu daya penarik kepada masyarakat Arab untuk menerima Islam.

ii. Dakwah Bil Lisan
Metodologi lain yang dapat diambil ialah melalui lisan atau perkataan. Dengan lain maksud ialah melalui dengan mengajak dan menyeru. Kaedah ini dapat dilakukan dengan mengambil pendekatan halus melalui percakapan biasa, perdebatan, perbincangan atau sebagainya yang dapat memberi kesan dakwah yang sempurna.

iii. Dakwah Bil Kitabah
Dakwah bil kitabah merupakan pendekatan yang mungkin kurang sesuai kepada masyarakat Orang Asli. Pendekatan melalui penulisan dan risalah ini mungkin sesuai kepada masyarakat lain seperti di kampung atau bandar. Tetapi bagi masyarakat Orang Asli hampir kebanyakan mereka tidak mampu membaca dan setiap suku kaum dan puak Orang asli mempunyai bahasa yang berbeza. Namun mungkin apabila tahap kemampuan masyarakat Orang Asli mampu membaca dan menulis. Pendekatan ini dapat diambil.


Tahap Metodologi Dakwah dalam Masyarakat Orang Asli.

Hasil dari pembentangan kertas kerja Orang Asli di Kelantan pada tahun 2006. Majlis Agama Islam Kelantan telah membentangkan kertas kerja mengenai tahap metologi dakwah terhadap masyarakat Orang Asli.

1) Tahap Pertama
Mewujudkan suasana yang erat dengan masyarakat Orang Asli. Sebagai contoh ialah melalui interaksi menerusi pergaulan, lawatan ke rumah-rumah masyarakat Orang Asli, perbualan dan sebagainya.

2) Tahap Kedua
Pendakwah membuat pantauan atau intipan kehati samaada individu-individu tetentu dalam masyarakat mempunyai perasaan beragama atau pun tidak. Kaedah ini dapat dilakukan melalui perbualan tidak langsung atau pun sebaliknya melihat kepada suasana individu dan pastikan pendekatan ini dilakukan dalam situasi mereka tenang dan relaks dalam memberi jawapan dan bukan dalam penekanan dan paksaan. Misalnya perbualan dan pertanyaan yang dilakukan dalam maksud memberi keinginan rasa ingin tahu tentang sesuatu perkara tentang kejadian alam, penciptaan dan sebagainya yang difikirkan dapat menarik pemikiran mereka.

3) Tahap Ketiga
Pada peringkat ini sasaran boleh didedahkan dengan apa itu Islam dan tujuannya dalam kehidupan manusia. Pendakwah boleh menyatakan perbandingan antara agama lain dan kelebihannya tetapi jangan sekali-kali menghina ajaran agama lain. Fahamkan Islam merupakan agama yang tidak membezakan antara penganutnya. Apabila mereka faham apa itu Islam, pendakwah boleh mendedahkan tentang kewajipan dan kefardhuan dalam Islam yang mencakupi syahadah, solat, zakat, puasa, dan menunaikan haji dan sebagainya. Sebaiknya perkara ini dijelaskan secara tidak membebankan mereka.

4) Tahap Empat
Selepas memberi mereka kefahaman dan penjelasan yang betul, berikan masa bagi kumpulan sasaran berfikir dan menilai tentang agama. Berikan mereka tempoh yang difikirkan sesuai bagi mereka. Selepas beberapa ketika pendakwah meninjau kembali dengan melihat pandangan mereka terhadap apa yang telah difikirkan dan dibincangkan sebelum ini. Pendakwah seharusnya mendampingi mereka untuk menarik perhatian mereka terhadap Islam. Pastikan hubungan ini tidak menunjukkan kita memperkecilkan mereka sebaliknya membuatkan mereka rasa dihargai.

5) Tahap Lima
Seterusnya apabila segala usaha yang telah dilakukan menampakkan hasil dan sasaran menunjukkan rasa minat, pendakwah boleh memaklumkan kepada pihak berkenaan samaada pihak Jabatan Agama Islam atau jabatan Orang Asli untuk membuat lawatan dan penerangan khas kepada masyarakat yang kita sasarkan. Beri bantuan yang sewajarnya dalam memudahkan mereka memeluk Islam.


KESIMPULAN

Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap organisasi dakwah ini tidak seharusnya dianggap sebagai batu penghalang kepada setiap usaha yang dirancangkan bahkan ia perlu dianggap sebagai satu cabaran dan batu loncatan untuk institusi dakwah bertapak seterusnya melangkah jauh lebih maju daripada segala yang didapati kini.

Perkembangan dakwah pada hari ini semakin mencabar apatah lagi adalah dalam suatu perkara yang agak sukar untuk mencapai sesuatu tahap yang dikatakan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk cabaran. Sememangnya dalam menyebarkan dakwah Islamiah tidak terlepas daripada sebarang cabaran dan masalah. Tiada istilah “Permaidani Merah” dalam usaha dakwah. Malah “onak” dan “duri” sentiasa menjadi peneman setia di sepanjang perjalanan.

Hakikatnya, perkembangan positif dan penerimaan masyarakat orang asli terhadap agama Islam adalah begitu memberansangkan. Ini adalah hasil perjuangan yang tidak pernah kenal jemu dan kombinasi diantara semua badan dakwah dalam menyampaikan risalah Ilahi serta bantuan dari Allah SWT.

Pihak kerajaan juga tidak kira pusat atau negeri termasuklah NGO telah mengambil berat terhadap isu dakwah kepada orang asli. Semoga suasana ini dapat ditingkatkan lagi dan Islam terus berkembang subur dalam masyarakat Orang asli.

”Kebangkitan Ummah bermula daripada kebangkitan minda dan paradigma..... bukan suatu evolusi yang pasif...”



Disediakan bersama : 
Muhammad Affnan bin Mohd Azmin
Nazhatul Ain bt Hisamudin
Widad bt Mat Ali

Diselia oleh :
Prof. Madya Dr Ramle Abdullah
Jabatan Sains Sosial
Universiti Sultan Zainal Abidin



RUJUKAN

1. Ali Mustafa Yaqub (1997), Sejarah dan Metode Dakwah Nabi. Jakarta ; PT Pustaka Firdaus.
2. Buku Method Dakwah. Majlis Agama Islam Kelantan.
3. Dato’ Dr Hj. Abd. Razak b. Kechik, Kertas kerja seminar : Pengalaman dan Cabaran BerdakwahKkepada Orang Asli. Seminar Dakwah kepada Orang Asli Peringkat Kebangsaan Mei 2007, Anjuran Islamic Outreach ABIM.
4. Dr Fariza Md Sham. Kertas kerja seminar : Pendekatan Dakwah dan memahami psikologi Masyarakat orang asli. Seminar Dakwah kepada Orang Asli Peringkat Kebangsaan Mei 2007, Anjuran Islamic Outreach ABIM.
5. Drs. H.M Arifin M. Ed (1977), Psikologi Dakwah – Suatu Pengantar Studi. Jakarta ; Bulan Bintang.
6. Jurnal YADIM bil ke 3 (Jun 2002). Kuala Lumpur ; Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
7. Majalah Dakwah bil 234 (Nov 1996), Catatan Perjalanan ke Kampung Sungai Kuching – Dakwah Orang Asli Gagal. Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM).
8. Muhammad Husain Fadhlullah (1986), Metodologi Dakwah dalam Al-quran – Pegangan bagi para aktivis. Jakarta ; PT Lentera Basritama.
9. Muhammad Yusuf Khalid (2005), Isu Dakwah dan Kemanusiaan dalam Era Globalisasi. Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).
10. Tesis : Ilham b. Haji Daud(2006-2007) Praktikal Pengajaran Solat Terhadap Saudara Baru Orang Asli : Satu kajian di Islamic Outreach ABIM Kelantan, Latihan Ilmiah. Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra.




No comments :