Friday 30 December 2011

Teori Radikal Feminisme

TEORI RADIKAL FEMINISME : KESAN POSITIF DAN NEGATIF




TEORI RADIKAL FEMINISME



Teori Radikal Feminisme lahir dari kalangan aktivis dan penganalisa politik berkenaan hak-hak sivil dan gerakan perubahan sosial pada tahun 1950an dan 1960an serta gerakan wanita yang radikal pada tahun 1960an dan 1970an. Lewat karya Mary Wollstonecraft, Vindication of the Rights of Women pada tahun 1797 menulis mengenai kemunduran wanita dalam bidang ekonomi. Elizabeth Cuddy Stanton pada tahun 1880an menentang hak-hak seksual kaum lelaki terhadap wanita dan menyerang justifikasi keagamaan yang menindas wanita.

Feminis radikal juga dikembangkan dari gerakan-gerakan Kiri Baru (New Left) yang menyatakan bahawa perasaan keterasingan dan ketidak upayaan pada dasarnya diciptakan secara politik dan kerananya transformasi peribadi melalui aksi-aksi radikal merupakan cara dan tujuan yang paling baik. Aliran ini secara asasnya menolak agenda feminisme liberal mengenai kesamaan hak wanita dan menolak strategi kaum liberal yang bersifat tidak menyeluruh. Feminis radikal menekankan kepada perbezaan antara wanita dan lelaki. Misalnya, wanita dan lelaki mengkonseptualisasikan kekuasaan secara berbeza. Bila lelaki berusaha untuk mendominasi dan mengawal orang lain; wanita lebih tertarik untuk mendapatkan kekuasaan.


Inti ajaran feminis radikal

‘The personal is political’ adalah slogan yang kerap digunakan oleh feminis radikal. Yang memberi makna bahawa pengalaman-pengalaman individu wanita mengenai ketidakadilan dan kesengsaraan yang dialami para wanita dianggap sebagai masalah-masalah peribadi. Pada hakikatnya adalah isu-isu politik yang berakar pada ketidakseimbangan kekuasaan antara wanita dan lelaki. Mereka memprotes eksploitasi ke atas wanita dan pelaksanaan peranan sebagai isteri, ibu, dan pasangan bagi lelaki, serta menganggap perkahwinan sebagai bentuk formalisasi pendiskriminasian terhadap wanita. Menggambarkan sexism sebagai sistem sosial yang terdiri dari hukum, tradisi, ekonomi, pendidikan, keagamaan, ilmu pengetahuan, bahasa, media massa, moral seksual, penjagaan anak, pembahagian kerja, dan interaksi sosial. Agenda tersembunyi dari sistem sosial itu adalah memberi kekuasaan kepada kaum lelaki melebihi wanita. Masyarakat harus diubah secara menyeluruh. Lembaga-lembaga sosial pada asasnya harus diubah. Para feminis radikal menolak perkahwinan bukan sahaja dalam teori,tetapi juga dalam mengamalkannya. Menolak sistem hierarki yang berstrata berdasarkan garis jantina dan kelas, sebagaimana diterima oleh feminis liberal.

Melihat punca penindasan kaum wanita disebabkan sistem patriarkal. Dalam dunia patriarkal, kuasa kaum lelaki mendominasi kaum wanita dalam sistem sosial, ekonomi dan politik. Keadaan ini dapat dilihat dalam sistem perindustrian, agama, dan undang-undang. Dalam aspek individu pula, kaum lelaki memiliki kuasa yang lebih dari kaum wanita dan kanak-kanak terutama dalam sistem kekeluargaan. Mereka yang memperjuangkan fahaman ini terdiri daripada Shulamith Firestone, Ann Oakley, Adrienne Rich. Bagi feminis radikal ini, kunci pembebasan perempuan adalah dengan menghapuskan semua institusi patriakal seperti industri pornografi, keluarga, prostitusi dan heteroseksualiti. Feminisme bertolak dari asas berfikir dan bertindak yang sama yakni demokrasi sekular yang menolak campur tangan Islam dalam menyelesaikan masalah kehidupan sekaligus menyerahkan penyelesaian pada asas rasional dan kemampuan manusia semata.


CONTOH KES YANG BERLAKU DI MALAYSIA

Gerakan feminisme di Malaysia kuat dipengaruhi oleh gerakan feminisme di Barat, lebih bermotif reformasi sosial dan politik golongan wanita. Gerakan ini didukung oleh wanita elit dan menengah atasan yang berpendidikan tinggi. Mereka begitu tertarik kepada gerakan feminisme di Barat yang membangkitkan soal keadilan sosial, kesaksamaan, hak kemanusiaan, hak wanita, liberalisasi kaum wanita, dan pelbagai pendekatan yang berpusat pada kepentingan dan pandangan yang memihak dan menyebelahi wanita. Dengan mengeksploitasi pelbagai isu yang bukan sahaja bersifat gender bias, kebanyakan pejuang gerakan feminisme terperangkap oleh isu asas yang masih dihadapi oleh masyarakat negara membangun.

Mendokong ’perjuangan’ wanita Islam di Malaysia ialah dengan kemunculan Sisters In Islam (SIS) yang dilihat mendabik dada mengaku kononnya sebagai pejuang utama wanita yang telah banyak memperjuangkan hak-hak wanita dan isu feminisme. Mereka merasakan seolah-olah bertindak melawan peraturan buatan manusia, tetapi hakikatnya mereka bertindak melawan hukum Allah. Bangkitnya perjuangan SIS dan kaum feminisme ini juga disebabkan oleh undang-undang sedia ada tidak dapat menjamin kemuliaan wanita. Oleh yang demikian, antara objektif SIS yang dianggap selari dengan kehendak kaum kafir Barat adalah menegakkan dan membangunkan suatu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita; menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki; dan membina kesedaran awam serta memperbaharui undang-undang dan dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat juga demokrasi dalam Islam.

Untuk itu, salah satu perjuangan mereka yang radikal adalah menyerang dan menolak institusi keluarga dan sistem kekeluargaan yang dalam pandangan mereka merupakan simbol pengaruh dan ketidakadilan kaum laki-laki atas kaum wanita. Kaum feminisme ini berusaha mengubah struktur pembahagian tugas kehidupan menjadikan kebebasan menentukan tugas antara laki-laki dan wanita. Ia membawa konotasi seolah-olah mereka ingin menjadikan kaum wanita seperti lelaki sepenuhnya, dalam segenap bidang. Terbaru adalah berkenaan isu Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI, Wilayah-Wilayah Persekutuan). Melalui Pindaan 2005 di mana Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) menggesa ahli-ahli Dewan Negara mengkajinya semula rang undang-undang itu walaupun ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 September dengan alasan masih terdapat kekurangan dan diskriminasi terhadap wanita. Pengarah Eksekutif Sisters In Islam, Zainah Anwar mengatakan bahawa JAG membangkitkan isu ini kerana merasakan wujudnya ketidakadilan menerusi pindaan poligami di mana isteri pertama diminta memilih samada untuk mendapat nafkah atau harta sepencarian yang di perolehi atas susah payah isteri bekerja membantu suami dan keluarga. Di samping itu, ada juga sekumpulan lelaki beragama Islam yang amat bimbang tentang rang undang-undang tersebut dan merasa amat terkilan kerana ia diluluskan walaupun terdapat sekurang-kurangnya 12 senator wanita yang memberi tentangan keras terhadap lima peruntukan dalam Rang Undang-Undang tersebut. Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga membantah cadangan memasukkan UUKI sebagai kandungan dalam kursus perkahwinan dan menyatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak sepatutnya menimbulkan cadangan itu kerana masih terdapat klausa-klausa yang perlu dihalusi yang dilihat akan mendiskriminasi wanita.

Berbeza daripada gerakan feminisme di Barat, wanita dalam masyarakat Malaysia kuat dipengaruhi oleh budaya dan agama yang mencorakkan peranan tertentu yang perlu dimainkan oleh wanita. Walaupun angin permodenan bertiup kuat dan mengubah perspektif baru peranan wanita Melayu khususnya, faktor keagamaan dan kebudayaan menjadi benteng pendidikan wanita tentang kesetiaan, tanggungiawab, nilai hidup, peranan, fungsi, dan tugas yang membina yang perlu dipertahankan oleh wanita dalam masyarakat moden. Pemodenan tidak bermakna membuang semua tradisi hidup dan mengambil apa-apa sahaja yang dianggap moden oleh masyarakat Barat. Wanita Timur tidak dikehendaki terlampau ekstrem dan membabi buta mengikut pengaruh feminisme Barat. Kebebasan yang diberi kepada wanita tidak bermakna, jika bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat Timur yang kaya dengan kesopanan dan peradaban. Faktor kebudayaan, sosial, dan agama amat berpengaruh dalam mencorakkan pergerakan feminisme dan penonjolan isu jantina dalam masyarakat membangun.

Perspektif moral mempunyai kesan yang kuat ke atas pergerakan feminisme Malaysia, khususnya. Masyarakat Timur tidak dapat menerima tindakan dan tingkah laku wanita yang bercanggah dengan nilai budaya, keagamaan, dan etika yang bertopengkan perjuangan liberalisasi menuntut hak individu, hak persamaan dengan lelaki, dan hak kebebasan seks yang bercanggah dengan ajaran agama dan tamadun hidup ketimuran. Golongan feminisme tempatan yang jahil tentang agama dan begitu terpengaruh oleh Barat sering mencemuh agama dan gagal memahami pengajaran agama Islam dalam membawa perubahan nasib wanita yang amat jumud kedudukannya pada zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah moden, wanita diperalat dengan pelbagai cara. Pergerakan liberalisasi wanita umumnya membuka ruang yang lebih luas kepada eksploitasi wanita dalam pelbagai bidang. Wanita menjadi alat komersial yang begitu canggih dan mudah digunakan untuk pelbagai tujuan.

Dari satu segi, gerakan feminisme bertujuan untuk melindungi kepentingan wanita yang semakin terancam, mengalami keruntuhan moral dan akhlak, dan kehilangan idealisme dan hala tuju. Dari segi yang lain, gerakan ini bertujuan untuk memberi lebih banyak kebebasan dan menuntut hak yang lebih luas mengatasi lelaki. Gerakan feminisme di Barat umumnya mencerminkan kegagalan wanita dalam kehidupan berkeluarga dan perkahwinan. Gerakan feminisme dapat dikira sebagai persaingan wanita dengan lelaki. Eksploitasi wanita dari segi imej, status, moral, seks, dan biologikal, khususnya melalui iklan perdagangan, mendorong perjuangan feminisme untuk menghapuskan sebarang bentuk eksploitasi, diskriminasi, prejudis, stereotaip, berat sebelah, dan melemahkan semangat yang berlaku dengan meluas terhadap wanita. Namun sayang, dalam sistem kehidupan yang ada sekarang, wanita separuh bogel yang tidak menutup aurat sudah menjadi kebiasaan. Desakan wanita untuk membahagikan harta warisan dengan kadar yang sama dengan mengatasnamakan ”gender equality” dapat disaksikan di kaca TV walhal hukum perwarisan ini telah termateri sebagai hukum yang Qath’i. Hukum perlu atau tidak wanita Islam berkerja sebagai pramugari memakai tudung pula menjadi isu yang dipersenda guraukan dalam parlimen. Inilah akibat idea kebebasan yang dijajakan oleh Barat sehingga hukum syara’ boleh diselorohkan dan boleh ditolak dengan alasan tidak memenuhi tuntutan zaman dan sebagainya.

Dalam arena politik, keterampilan dan kebolehan wanita umumnya tidak menonjol. Dalam banyak hal, wanita masih bergantung dan mengharapkan ihsan serta sokongan lelaki. Walaupun terdapat sebilangan kecil pemimpin wanita yang cuba mengeksploitasi isu jantina sebagai modal politik untuk meraih sokongan wanita, kebolehan pemimpin wanita untuk merubah imej negatif dan stereotaip terhadap wanita masih belum berjaya. Agenda penstrukturan semula sosial terhadap jantina menjadi semakin penting dan mempengaruhi kecenderungan perkembangan jantina dan wanita dalam masyarakat moden dengan menggunakan perspektif positif pembinaan imej, peranan, dan status wanita. Isu jantina semakin menarik perhatian dalam kerangka pergerakan golongan reformis feminisme di kebanyakan negara membangun yang dianggotai oleh golongan intelek dan kelas menengah wanita yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat. Perspektif sosiologi yang berasaskan teori fungsi pembiakan yang menekankan faktor biologi, perahan, dan status tradisional wanita dilihat mempunyai pengaruh yang negatif terhadap pembinaan imej, fungsi, dan status baru wanita moden yang membawa perubahan yang besar kepada kedudukan, status, dan peranan wanita.


KESAN POSITIF DAN NEGATIF

Apa yang dihasilkan oleh gerakan feminisme telah banyak membawa kesan buruk kepada institusi keluarga dan masyarakat. Fakta menunjukkan bahawa falsafah feminisme radikal telah membawa kerosakan terhadap fungsi dan tanggungjawab wanita dalam keluarga dan masyarakat, sekaligus mengakibatkan kehancuran sistem sosial masyarakat secara keseluruhan. Hal ini disebabkan oleh kebebasan yang ditawarkan feminisme yang mengakibatkan keruntuhan struktur keluarga, peningkatan angka perceraian, fenomena anak dara lanjut usia (andalusia) dan kehidupan tanpa perkahwinan, merebaknya seks bebas, meningkatnya kes pengguguran, dilema wanita berkerjaya, perlecehan seksual, pembuangan bayi, anak-anak bermasalah, dan lain-lain. Walhal, yang terbentuk tentu sahaja bukan masyarakat yang bersatu dan teguh, tetapi sebuah masyarakat yang penuh dengan konflik yang tidak memberikan ketenangan dan kepastian, kerana pelbagai penyimpangan yang terjadi di dalamnya.

Dari segi biologi dan emosinya, wanita masih dikira lemah berbanding dengan lelaki. Faktor keemosian sering mengatasi kekuatan intelektual apabila terpaksa berhadapan dengan isu yang mencabar kredibiliti sosial dan moral mereka. Itulah sebab kenapa kaum lelaki lebih sesuai untuk dijadikan sebagai pemimpin. Tetapi disebabkan faktor ini jugalah ramai wanita yang menentang kerana beranggapan mereka juga boleh berbuat seperti itu. Ini boleh menyebabkan kecelaruan dalam identity dan peranan setiap jantina.

Dari sudut yang positif, terdapat kesedaran dan kesungguhan untuk mengangkat dan membina status, imej, dan moral. Wanita merupakan aset yang amat bernilai dan tenaga penggerak kemajuan. Wanita merupakan benteng pertahanan moral dalam masyarakat yang berubah dan sering dilanda kegawatan dan kemelut sosial. Wanita menjadi sumber inspirasi dan kasih sayang serta pembinaan masyarakat penyayang. Peranan wanita sangat dikehendaki dan dipertahankan oleh masyarakat Timur demi kestabilan institusi keluarga daripada tergugat dan runtuh seperti yang berlaku di kalangan masyarakat Barat.

Malah wanita kini tidak lagi dilihat hanya berada di dapur, tetapi turut berada di dalam sektor pekerjaan dimana hampir 30% yang mengerakkan sektor kerajaan misalnya adalah terdiri daripada kaum wanita. Positifnya hal ini ialah apabila wanita yang bergelar isteri ini turut sama membantu suami dalam mencari rezeki bagi menjamin sebuah keluarga yang bahagia disamping tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Ukuran nilai dan kemaslahatan pada hakikatnya tidak boleh dikembalikan kepada manusia atau individu tertentu. Ini adalah kerana banyak permasalahan akan timbul sekiranya ia dibenarkan terjadi; akan wujud perbezaan, perselisihan dan pertentangan pendapat yang tidak berkesudahan. Di samping itu, pendapat tersebut tidak akan memberikan kemaslahatan kepada manusia, bahkan sebaliknya penilaian baik buruk, ketidakadilan atau kesamarataan serta pujian dan celaan yang didasarkan oleh akal manusia, adalah sesuatu yang merosakkan serta menghancurkan martabat manusia.


Hanya hukum syara’lah yang layak dijadikan rujukan untuk menilai sesuatu di dalam kehidupan manusia, termasuklah di dalam isu-isu yang melibatkan wanita dan hak-haknya.
Dalam memastikan syara’ merupakan satu-satunya rujukan, negaralah yang berkewajiban melaksanakan Islam bagi memastikan penerapannya berlaku dalam setiap jalur kehidupan. Negara wajib melaksanakan Sistem Sosial Islam yang mana sistem ini akan mengatur dan menjaga struktur kekeluargaan Islam. Dengan sistem kekeluargaan ini, fungsi setiap ahli keluarga akan berjalan dalam fitrahnya – wanita sebagai pengurus keluarga sementara suami sebagai ketua keluarga dan sekaligus sebagai sumber nafkah.

Sekiranya berlaku kekejaman, tindakan jenayah atau ketidakadilan keatas wanita, maka hanya syariat Islamlah yang akan dilaksanakan oleh Daulah. Dalam Islam, kejahatan tidak langsung terkait dengan persoalan gender atau masalah kesamarataan hak lelaki atau wanita. Menuduh wanita berzina tanpa bukti, tidak kira lelaki atau wanita yang melakukannya akan dikenakan 80 kali sebatan, menyakiti wanita sama ada akibat deraan suaminya atau orang lain akan dikenakan hukuman dan sekiranya seseorang terluka akan dikenakan denda kepada pelaku, tidak kira lelaki atau wanita, selaras dengan luka wanita tersebut. Suami yang mengabaikan tanggungjawab akan dikenakan takzir oleh Daulah. Mencabul kehormatan wanita akan dikenakan tindakan hukuman penjara, sebat dan buang daerah; malah hukuman yang lebih berat akan dikenakan sekiranya yang melakukan kejahatan tersebut adalah penjaganya. Islam menjunjung tinggi kehormatan dan kesucian kaum wanita. Dalam Islam, lelaki dan wanita dilihat bukan sebagai dua spesis yang berbeza. Dalam Islam, wanita dan lelaki dilihat sebagai manusia yang kedua-duanya mempunyai tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah.


Disediakan oleh : Siti Nurmala bt Ariff, Siti Marhanim bt Abdullah, Aeiza Munirah bt Ahmad Fuad, Widad bt Mat Ali & Nurul Ain bt Zainul Abidin



No comments :