Friday 30 December 2011

Fungtional Football


Bola sepak ialah sukan sepasukan yang paling banyak dimainkan dan ditonton di seluruh dunia. Bola sepak telah wujud di negara China sejak abad ke-3SM dan ia kemudiannya telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah. Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah sekitar United Kingdom mula mendapat perhatian kerana corak permainan yang berbeza-beza mengikut sekolah. Lantaran itu, undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan corak permainan. Badan pentadbiran dunia bola sepak ialah FIFA (Federation International of Football Association) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa telah menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi Undang-undang Bola Sepak yang ada seperti hari ini.


TEORI FUNGSIONAL DALAM SUKAN BOLA SEPAK

TEORI FUNGSIONAL


Teori Fungsional melihat masyarakat sebagai sesuatu yang perlukan kesinambungan serta berterusan dan caranya adalah dengan melalui kerjasama dikalangan ahli masyarakat yang lain. Ini bererti setiap unit komponen sistem mempunyai peranan masing-masing dalam menjamin kesinambungan. Interaksi, hubungkait dan perjalanan sistem merujuk kepada tingkah laku manusia. Setiap tingkah laku manusia merupakan tindak balas terhadap sesuatu rangsangan. Semua orang bertindak balas untuk mencapai sesuatu matlamat. Tindak balas manusia dihasilkan daripada rangsangan yang dilahirkan oleh manusia lain.

Seperti didalam sukan Bola Sepak, apa yang penting adalah kerjasama diantara pemain-pemain dan setiap pemain perlu sedar akan peranan masing-masing dalam pasukan. Sesebuah pasukan tidak akan berjaya jika elemen peranan setiap pemain tidak diambil kira. Contoh yang dapat dilihat didalam Kejohanan Piala Dunia di Jerman yang diadakan suatu masa dahulu. Pusingan awal peringkat kumpulan memperlihatkan cabaran dan halangan yang perlu dilakukan oleh setiap pasukan yang beraksi. Persaingan bagi kesemua 32 pasukan yang bersaing memperlihatkan kekuatan mereka dalam mengharungi cabaran untuk muncul dua pasukan yang bersaing untuk memegang trofi Piala Dunia. Dua elemen penting yang harus dilihat dalam mengharungi cabaran ialah bakat (kemahiran) dan semangat berpasukan.

Seperti dalam pasukan bola sepak misalnya terdapat 11 orang pemain dimana dari penjaga gol sehingga penyerang di barisan hadapan telah ditentukan peranan masing-masing dan kejayaan setiap pasukan amat bergantung pada semangat berpasukan. Mereka termasuklah pada bahagian pertahanan yang menjalankan tugasnya sebagai pemain yang pakar dalam mencegah jaringan gol dari pihak lawan. Pemain tengah pula berperanan melakukan serangan serta memberi laluan bola kepada pemain penyerang, selain menolong bahagian pertahanan dengan mengganggu serangan pasukan lawan pada peringkat awal. Pemain bahagian penyerang pula berperanan untuk menjaringkan gol. Kedudukan ini selanjutnya dibezakan oleh bahagian mana pemain banyak menghabiskan masa. Para pemain mungkin menghabiskan kebanyakan masa dalam perlawanan pada bahagian spesifik di padang. Bagaimanapun, mereka tidak dikekang oleh peraturan sukan dan boleh berubah kedudukan pada bila-bila masa. Ini juga boleh diguna pakai oleh penjaga gol yang biasanya menghabiskan kebanyakan masa perlawanan berhampiran dengan gol bagi mengelakkan bola daripada merentasi garisan gol dengan menggunakan tangannya untuk menangkap bola di dalam kawasan penalti selain boleh melibatkan diri dalam permain berpasukan. Ini biasanya hanya berlaku pada tendangan percuma atau tendangan sudut di akhir perlawanan itu.

Peranan tidak boleh terhad kepada satu sistem itu sahaja. Dengan erti kata lain, sukan bola sepak ini tidak dapat diteruskan jika tiada pengadil untuk mengadili perlawanan. Maka dari sini dapat diperhatikan bahawa bukan sahaja fungsi sebagai pemain terlibat malah turut melibatkan fungsi yang lain seperti fungsi pengadil sebagai orang yang menentukan menang kalahnya sesuatu pasukan itu. Fungsi sebagai jurulatih juga tidak terkecuali dalam berperanan mengatur formasi dan taktik sesebuah pasukan. Susun atur para pemain di padang dipanggil sebagai formasi. Untuk menggambarkan satu formasi tiga nombor digunakan. Nombor pertama menentukan berapa banyak pemain pertahanan digunakan, yang kedua adalah bilangan pemain tengah yang akan digunakan dan yang ketiga adalah bilangan penyerang. Formasi yang popular dalam bola sepak moden termasuklah 4-4-2 , 4-3-3 , 3-5-2 , 3-4-3 dan 4-5-1. Kejohanan Antarabangsa adalah Pertandingan Antarabangsa terbesar di dalam arena bola sepak dipanggil Piala Dunia FIFA yang diselenggarakan oleh FIFA. Piala Dunia yang diadakan setiap empat tahun sekali ini membuktikan kejayaan peranan yang dimainkan oleh FIFA dimana ia menjalankan tugasnya sebagai satu struktur organisasi yang bertanggungjawab mempopularkan permainan bola sepak ini. Lebih dari 190 negara bertanding di peringkat kelayakan mengikut zon sebelum dapat melayakkan diri ke peringkat akhir. Perlawanan peringkat akhir ini biasanya berlangsung selama empat minggu dan kini melibatkan 32 pasukan.

Apabila satu fungsi tidak melaksanakan peranannya dengan betul, maka kelicinan sistem itu akan terganggu dan jika berterusan ia akan memberi kesan ke atas sistem lain. Seperti juga pemain bola sepak. Apabila salah seorang pemain dilayangkan kad kuning ataupun merah, maka disitu peranan setiap pemain berkurangan dan menyebabkan mereka terpaksa bermain dengan jumlah yang kecil dan ini mengakibatkan keseimbangan antara pemain hilang. Di Malaysia misalnya, Pasukan Bola Sepak diuruskan oleh FAM (Football Association of Malaysia). Tetapi FAM telah gagal menjalankan fungsinya dengan betul kerana tidak fokus pada satu fungsi saja. Badan induk itu sewajarnya perlu menggariskan keutamaan serta fungsi mereka dengan jelas dan tidak cuba untuk menjadi pakar dalam semua perkara yang menyebabkan tiada satu pun matlamat serta tanggungjawab mereka tercapai. FAM juga perlu menggariskan fungsi persatuan bola sepak negeri dan tidak lagi memanjakan mereka hingga menyebabkan ia gagal menjalankan tugas utama dalam pembangunan bola sepak, sekali gus memaksa tanggungjawab itu dipikul FAM. Antara kesilapan dan kelemahan FAM yang harus diperbetulkan ialah mereka perlu memfokuskan kepada satu fungsi saja seandainya mahu melihat bola sepak negara kembali pada landasan tepat. Pada 1960-an hingga awal 80an, kita dapat saksikan bagaimana kelab atau Jabatan Kerajaan seperti Penjara dan Kelab Sultan Sulaiman (KSS), bertindak selaku pengasah bakat dan melahirkan ramai pemain ternama. Dan FAM ketika itu hanya bertindak sebagai badan yang mengambil pemain terbaik ini untuk membentuk pasukan kebangsaan. Tetapi selepas memasuki era separuh profesional dan kemudian profesional sepenuhnya, struktur lama ini sudah hilang sepenuhnya dengan FAM cuba melakukan semua tugas termasuk pembangunan akar umbi, menguruskan liga dan pasukan kebangsaan. FAM tidak boleh melaksanakan semua tugas dan apabila pasukan kebangsaan gagal beraksi dengan cemerlang sudah pasti badan induk ini dipersalahkan kerana mereka dilihat sebagai pihak yang bertanggungjawab kepada semua perancangan bola sepak negara ini. Pembangunan akar umbi yang diabaikan dulu mesti dihidupkan semula kerana persatuan negeri kini dilihat tampak lebih terarah kepada kejayaan singkat. Jika persatuan negeri gagal melahirkan pemain berbakat dan berkaliber sudah tentu ia akan mempengaruhi pasukan kebangsaan. Pendek kata tanggungjawab semua persatuan ini harus digaris dan dipisahkan dengan jelas peranan masing-masing bagi bertujuan melicinkan lagi perjalanan struktur dalam sesuatu sistem. Begitu juga jika pemain sendiri tidak menjalankan peranannya dengan betul. Ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti yang dapat dilihat dikalangan pemain tempatan misalnya membawa kepada pelbagai faktor penolak seperti tiada lagi penglibatan syarikat-syarikat multinasional untuk memberi bantuan kewangan. Dahulu penaja Liga Bola Sepak diMalaysia di pelopori oleh syarikat Rokok Dunhill misalannya telah melabur sejumlah besar wang untuk kejayaan liga itu. Persatuan mempunyai peruntukkan yang besar untuk membeli pemain-pemain yang berkualiti. Lihat sahaja nama-nama Ervin Boban, Alistair Edward, Olumbuni Adigun. Mereka hadir memberi impak yang besar dalam liga semi-pro.

Peranan semangat berpasukan ini seolah-olah satu rangkaian atau urutan peranan setiap individu untuk menyempurnakan tugasan dengan cepat, mudah, sebaik yang mungkin dan berkualiti. Peranan dan fungsi setiap orang akan muncul di mana-mana peringkat yang dapat kita lihat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Justeru, kita tidak boleh menafikan peranan setiap orang dalam setiap tindakan, tugasan, dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di organisasi masing-masing. Oleh itu, semangat berpasukan amatlah penting dalam menjayakan tugasan dan tanggungjawab yang diberikan. Seperti yang kita lihat dengan keadaan sekitar sekarang, perhatikan saja tugasan dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita dan teliti bagaimana dan siapa yang terlibat dalam menjalankan tugasan yang diberikan. Adakah ia memerlukan pembabitan pihak lain untuk melihat hasil ataupun kejayaannya? Mungkin kita memerlukan sokongan pihak lain ataupun pihak lain memerlukan bantuan kita dalam menyempurnakan tugasan. Jadi disitulah terletaknya fungsi masing-masing dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.

Teori Fungsional juga memberi andaian dimana masyarakat akan sentiasa bergerak ke arah keseimbangan hasil daripada penyesuaian terhadap perubahan dan perkembangan. Sebagai contoh perubahan pada FAM misalnya akan menaikkan kembali kegemilangan sukan bola sepak Malaysia. Perubahan akan berlaku secara beransur-ansur dan bukan secara mendadak dan masyarakat tersebut akan kembali kepada suatu keadaan yang stabil dan seimbang selepas suatu pergolakan berlaku.


TEORI ANOMIE

Istilah anomie menurut Durkheim ialah sesuatu keadaan seseorang itu telah kehilangan arah haluan atau keliru dengan nilai dan norma masyarakat yang menjadikannya dalam keadaan kekeliruan norma. Oleh itu kepatuhan menjadi dan persetujuan menjadi kurang penting apabila hasrat individu untuk mencapai sesuatu menjadi tidak mungkin lagi. Ini menyebabkan seseorang itu bebas untuk melakukan tindakan yang tidak sesuai dan menimbulkan satu perasaan tidak perlu kepada norma-norma masyarakat. Teori ini berdasarkan karya dari Durkheim berkenaan ‘Suicide’ yang menjelaskan bahawa fenomena manusia membunuh diri disebabkan oleh keadaan masyarakat bukan sebab individu itu sendiri seperti yang berlaku di Athena dimana seorang pemain bola sepak Yunani telah mengakhiri hidup dengan memilih untuk membunuh dirinya setelah dikeluarkan dari pasukannya pada pertandingan piala domestik melawan Olympiakos Piraeus. Pemain berusia 25 tahun yang bernama Yiannis Koskiniatis telah melompat dari tempat setinggi 12 meter. Polis dalam laporannya mengatakan, pemain tengah itu meninggalkan surat yang mengatakan bahawa beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa beliau telah dikeluarkan dari pasukannya dan menganggap hal ini sebagai tidak adil.

Teori Anomie ini juga menurut Merton pula sebagai peraturan-peraturan yang sedia ada tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mengawal tingkah laku masyarakat dimana satu perselisihan yang terjadi diantara matlamat dengan cara-cara untuk mencapai yang diterima oleh masyarakat. Bila berhadapan dengan keadaan begini, manusia bertindak untuk mencapai kebuntuan yang dicapai sebagai adaptasi (penyesuaian) untuk mencapai matlamat. Dalam permainan bola sepak juga, masing-masing tidak kira samada pemain bola sepak, pengurus pasukan mahupun penaja mempunyai matlamat tersendiri. Mereka mahu melakukan perubahan tetapi cara untuk mencapai matlamat itu yang tidak dipersetujui oleh masyarakat. Contoh seperti rasuah dimana kebanyakan pemain tempatan misalnya mahu cepat kaya tetapi bayaran yang didapati dari permainan ini mungkin tidak setimpal dengan apa yang dia lakukan. Akibatnya beberapa nama besar dalam bola sepak tempatan di singkirkan. Ada yang di singkirkan seumur hidup. Rasuah berlaku kerana sikap tamak pemain dan pengurusan yang terlibat. Perkara ini akan berlaku sentiasa samada secara sedar atau tidak. Bookie yang menjadi dalangnya berada di mana-mana untuk mengambil kesempatan. Jadi dengan mengambil rasuah, pemain itu telah mencapai matlamatnya untuk menjadi kaya tetapi caranya untuk mencapai matlamatnya itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan norma nilai masyarakat. Bagi penaja pula, mereka mahu mempromosi produk keluaran mereka dan untuk mencapai matlamat mereka itu lalu mereka menaja pertandingan liga bola sepak seperti yang dilakukan oleh Dunhill. Dan ini secara tidak langsung mereka telah berjaya mempromosi produk mereka dengan cara mencapai matlamat yang dipersetujui oleh masyarakat. Merton menggunakan Teori Fungsional untuk melahirkan Teori Anomie dan Teori Anomie digunakan untuk menjelaskan devian.


DEVIAN

Devian atau lencongan ialah tingkah laku yang berlainan atau menyimpang dan melanggar tatasusila yang ditentukan oleh sesuatu kumpulan masyarakat. Pemain yang bermain untuk negeri lain misalnya Pasukan Selangor membeli pemain bola sepak Perak, Khalid Jamlus untuk bermain dibawah pasukannya. Kelakuannya mungkin menurut sesetengah pihak adalah melencong dari norma-norma nilai kerana bermain untuk negeri lain. Seperti juga pemain seperti David Bechkam yang bermain untuk L.A Galaxy padahal beliau merupakan seorang rakyat England.

Politik dalam sukan tidak terkecuali di anggap sebagai devian. Apabila orang politik bercakap pasal bola, ia seolah-olah kelihatan janggal dimana jika diteliti tentang kefungsian sesuatu peranan itu apabila mereka melakukan sesuatu mengikut peranan yang telah ditetapkan. Ahli politik tiada kelayakan untuk mencampuri urusan permainan bola sepak kerana tugas mereka tidak berada pada landasan itu tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka tetap di lantik ke jawatan yang sepatutnya di isi oleh profesional yang mahir. Politik itu kuasa dan rasuah adalah akibat dari kuasa politik itu. Apa yang pasti mereka ada agenda tersendiri kenapa mahu melibatkan diri dengan sesuatu yang diluar bidang tugas mereka sendiri.


TEORI RASIONAL CHOICE 

Teori ini pada asasnya menjelaskan bagaimana manusia membuat keputusan dengan memilih yang paling baik bagi dirinya. Keputusan yang paling baik diertikan sebagai yang paling banyak memberi keuntungan dan kerugian yang paling sedikit. Bagi pemain bola sepak, memilih kelab yang menawarkan bayaran yang lumayan jika menyertainya adalah suatu keuntungan yang banyak bagi dirinya. Seperti contoh pemain bola sepak terkenal David Beckham ditawarkan perjanjian kontrak lima tahun yang bernilai USD250 juta dari Los Angeles Galaxy jika beliau bersetuju menyertai kelab itu. Jadi beliau mempertimbang tawaran itu dengan rasionalnya supaya beliau tidak akan mendapat kerugian dan akhirnya beliau bersetuju untuk menyertai kelab itu kerana merasakan keuntungan yang beliau dapat lebih banyak berbanding dari kelab lama.
Pemain yang berposisi penyerang juga boleh membuat Rasional Choice dengan memilih sama ada untuk memberikan satu tendangan ke arah gol atau menghantar bola kepada ahli pasukannya yang lain. Dan pilihan yang akan dibuat itu mestilah yang memberi keuntungan yang besar bagi dirinya. Jika dia terus menyepak bola terus ke dalam gawang gol dan bola itu terus meluru memasuki gol, maka itu telah memberi keuntungan pada dirinya dan jika dia memilih untuk memberi bola itu kepada ahli pasukannya dia mestilah memastikan bahawa bola itu sampai terus kepada ahli pasukannya dan tidak jatuh ke tangan pihak lawan. Itu juga boleh memberi keuntungan kepada dirinya. Jadi dia mestilah memilih diantara dua pilihan mana satu yang boleh memberi keuntungan yang lebih besar. Penjaga gol juga mempunyai pilihan samaada mahu menghentikan bola itu daripada terus memasuki gol atau membiarkan sahaja bola itu menembusi pintu gawang gol. Dan keputusan yang rasional mestilah dibuat berdasarkan keuntungan besar yang akan diperolehi pada dirinya bukan kerugian yang bakal ditanggung olehnya.

Kini penglibatan aktif dalam sukan termasuk permainan bola sepak sudah menjadi satu bentuk kerjaya yang mendatangkan pendapatan dan sumber menyara hidup bagi mereka yang menyertainya. Di negara-negara luar yang mempunyai sistem pengurusan dan pentadbiran sukan bola sepak yang mantap lagi tersusun telah menjadikan permainan bola sepak ini sebagai satu kerjaya yang menarik untuk diceburi selain membantu seseorang untuk menerokai sumber pendapatan yang menarik. Bagaimanapun tidak hanya mereka yang bermain, mereka yang memainkan peranan sebagai pemain sahaja boleh memperoleh sumber rezeki, sebaliknya ia akan membantu pihak-pihak lain menerusi pelbagai cara yang lain merebut peluang-peluang yang ada dalam bidang sukan bola sepak. Ia juga merupakan satu teori rasional choice dimana kita dapat memilih samaada mahu menjadi pemain, menjadi pengurus atau penaja misalnya sebagai satu bentuk kerjaya yang bakal memperolehi keuntungan mengikut keputusan yang telah dibuat. Dan segala keputusan yang dilakukan itu mestilah berdasarkan pemilihan yang rasional dan tidak dipengaruhi emosional semata-mata.


MANIFEST DAN LATENT

Manifest adalah tujuan secara sedar dimana pemain bola sepak ini menyedari bahawa mereka bermain bola sepak sekadar untuk bersenam misalnya atau sekadar mengisi masa lapang. Manakala Latent adalah tujuan yang tidak disedari. Pemain bola sepak dahulu tidak menyedari bahawa bermain sukan bola sepak ini bukan sekadar hanya suka-suka tetapi dapat mencipta satu fenomena luar biasa dimana semua orang bercerita tentang sukan bola sepak tidak ketinggalan juga tentang pemainnya sekali. Mereka tidak pernah terfikir bahawa sukan bola sepak ini juga boleh dijadikan sebagai kerjaya yang menawarkan pulangan yang menguntungkan selain dapat membuatkan mereka terkenal diseluruh dunia ibarat seorang selebriti. Jika dahulu setiap kali perlawanan bola sepak dianjurkan, mereka hanya bermain untuk menang dan yang menontonnya terdiri dari kalangan peminat sukan bola sepak sahaja tetapi kini keadaan menjadi sebaliknya apabila setiap kali ada perlawanan, berbondong-bondong orang ke Stadium dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menyaksikan mereka bermain. Bukan sahaja peminat sukan bola sepak yang memenuhi stadium tetapi juga yang hanya sekadar berminat dengan pemainnya juga turut datang menyaksikan perlawanan. Malah, pihak penganjur juga tidak perlu risau akan keuntungan yang bakal mereka perolehi kerana bukan dengan tiket percuma sahaja stadium menjadi penuh tetapi walaupun tiket berbayar sekalipun mereka sanggup membelinya. Ada juga pihak penganjur yang mengambil kesempatan dengan menjual tiket semusim dan pelbagai tawaran menarik lagi ditawarkan bagi merancakkan lagi liga bola sepak. Para penjual juga tidak terkecuali menjual bermacam-macam jenis jersi dan cenderamata dan peminat tidak terlepas untuk memiliki barang yang ada kaitan dengan pasukan pujaan mereka. Industri berkembang dengan begitu teratur dan meriah sekali. Malah disebabkan perlawanan bola sepak, hubungan diantara penonton bola sepak menjadi erat mungkin disebabkan faktor seperti mereka menyokong pasukan yang sama. Tetapi ada juga penonton bola sepak yang tidak berinteraksi sesama penonton yang lain disebabkan masa yang singkat. Mereka datang ke stadium hanya untuk menyaksikan perlawanan dan setelah tamat perlawanan, masing-masing pulang ke rumah. Jadi di situ tiada interaksi yang berlaku. Yang hanya ada adalah kumpulan yang huru hara dimana masing-masing menyokong atau bersorak untuk pasukan yang mereka minati sahaja.


PARADIGM

Menggunakan paradigm untuk dijadikan panduan yang boleh menjadi kerangka analisis. Dalam paradigm ada teori. Rangka analisis itu menjadi panduan analisis secara terperinci. Pengurus atau jurulatih biasanya yang menyediakan rangka untuk mencipta satu strategi bagi membolehkan pasukan mereka menang dalam setiap perlawanan. Seperti dalam merancang latihan berkumpulan (statik/bergerak), jurulatih akan membuat strategi seperti contoh dalam bentuk bulatan dimana seorang pemain akan berada ditengah-tengah bulatan dan mengumpan bola kepada ahli pasukannya seorang demi seorang. Selepas satu pusingan, pemain lain mengambil tempatnya. Jika dalam bentuk barisan pula, pemain dalam barisan akan berlari ke hadapan dan mengawal bola yang dihantar oleh pengumpan dan kemudiannya menolak bola kembali kepada pengumpan. Pemain yang akhir sekali mengawal bola akan menjadi pengumpan baru. Ini dapat dilihat dalam gambarajah dibawah.


Sistem permainan yang biasa dijadikan kerangka rujukan dalam permainan bola sepak adalah seperti 4-2-4, 4-3-3, 4-2-2, dan 1-4-3-2. 4-2-4 bermakna kejayaan sistem ini banyak bergantung kepada 2 orang pemain tengah yang menjadi penghubung diantara pemain pertahanan dan penyerang. Keadaan ini membenarkan 6 orang pemain untuk bertahan atau menyerang. Oleh itu daya tahan 2 orang pemain tengah tersebut adalah penting. Rangka tersebut dapat dilihat seperti dalam gambarajah dibawah.

Sistem 4-3-3 pula adalah berkaitan dengan 3 pemain sahaja yang bertindak sebagai pemain penyerang. Oleh itu, pemain tengah atau pertahanan perlu mara dan membuat ‘overlap’ untuk membantu 3 orang penyerang tersebut.


4-4-2 lebih kepada sistem pembentukan jenis yang lebih menitikberatkan pertahanan yang biasa diamalkan oleh pasukan yang kekurangan penyerang utama. Lapan pemain boleh digunakan untuk menghadapi serangan tetapi 2 orang penyerang akan memikul tugas yang berat. Mereka terpaksa menguasai bola sehingga ke barisan tengah supaya dapat membantu serangan.




Sistem 1-4-3-2 atau 5-3-2 ini juga lebih menumpukan kepada barisan pertahanan di mana seorang pemain menjadi ‘sweeper’ manakala yang lain akan menjaga pemain lawan. ‘Sweeper’ ini bergerak bebas dan tugasnya adalah untuk mengganggu dan merebut bola daripada pihak lawan.

Jadi dari kerangka yang telah dirangka inilah terbentuklah strategi bagi memudahkan pemain saling bekerjasama dalam sesuatu perlawanan. Dan dari sinilah pemain memainkan peranan yang penting dan mestilah mengikut apa yang telah dirancangkan bagi mengelak dari berlakunya keadaan yang kelam kabut.


REFERENCE GROUP

Seseorang individu akan memilih kumpulan-kumpulan untuk menjadi panduan kepada mereka bagi membentuk tingkah laku. Jika ingroup adalah dari kelompok kumpulan sepasukan itu sendiri untuk saling bersama-sama. Tetapi melalui outgroup pula mereka merasakan pemain luar dari kelab antarabangsa misalnya seperti AC Milan, Real Madrid, Manchester United dan beberapa kelab besar yang lain sebagai idola. Jadi kebanyakan pemain akan meniru gaya rambut dan pemakaian para pemain luar Negara ini sebagai satu transformasi baru untuk mengubah diri menjadi seperti idola mereka.


KESIMPULAN

Teori fungsional yang diguna pakai dalam sukan permainan bola sepak ini meliputi segala aspek. Dari peranan setiap pemain yang terlibat, peranan pengadil, jurulatih dan pengurus sehinggalah kepada penonton dan persatuan-persatuan yang terlibat seterusnya masyarakat serta broker. Dari sini dapat dilihat bahawa teori fungsional ini menghubungkan setiap perkaitan itu menjadi sebuah institusi yang teratur. Jika salah satu peranan itu tidak dimainkan dengan betul maka keseimbangan institusi itu akan tergugat.



No comments :