Friday 13 January 2012

Abdul Rahman Limbong


PENGENALAN

Kemunculan Haji Abdul Rahman Limbong, seorang yang dianggap berpengaruh oleh Penasihat British, dengan idea penentangannya terhadap sistem pentadbiran yang dikemukakan oleh pemerintah, telah membuka suatu babak baru dalam perkembangan politik dikalangan ulama di Terengganu. Politik protes yang didukung olehnya menjadikan beliau seorang tokoh agama yang unique memandangkan tidak pernah wujudnya tradisi penentangan dikalangan ulama tanah air. Ciri-ciri protes hanya terdapat dalam pergerakan Islah yang lebih terhala kepada kemunduran masyarakat Melayu, sementara majoriti daripada para ulama sama ada terserap dalam birokrasi atau tersisih dari arus siasah – “they have nothing to say against the British rule, since they all agree that the British do not interfere at all with their religion.”

Dizaman pendudukan Jepun, polisi pemerintah begitu berjaya mengawasi pergerakan ulama, menerusi penjinakan raja-raja Melayu, sehingga persoalan kebangkitan mereka menentang kerajaan tidak timbul langsung. Pengajarannya ketokohannya dan penyokongan massa yang diberikan kepada Haji Abdul Rahman Limbong selaku pemimpin tradisi telah membuah reaksi penolakan yang meluas dikalangan masyarakat desa terhadap undang-undang tanah yang diperkenalkan di Ulu Terengganu. Sebagai seorang ulama, beliau begitu sekali dihormati dan disanjungi. Dalam keadaan Penasihat British gagal menyerapkan ulama ke dalam sistem birokrasi, maka pakar-pakar agama berkenaan semakin berkemampuan bergerak secara autonomous, dan dengan itu prestij mereka turut meningkat.

Dengan ini dapat dikatakan penentangan itu berpunca dari faktor-faktor yang saling berkaitan antara satu sama lain seperti sistem tanah, sistem di pejabat agama dan pihak tertentu dari golongan istana serta pemimpin tempatan yang boleh dianggap mempunyai kepentingan tersendiri. Faktor-faktor ini merangkumi aspek ekonomi, politik, agama dan sosial. Struktur dan suasana sosial inilah yang menjadi latar belakang kepada “Kebangkitan Tani” di Terengganu pada tahun 1928.


BIODATA HAJI ABDUL RAHMAN LIMBONG

Nama penuh Haji Abdul Rahman Limbong ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Kadir, manakala gelaran “Limbong” yang digelarkan kepadanya itu berpunca dari pembabitannya sebagai guru di Kampung Limbong yang terletak di Cukai, Kemaman. Ibu beliau, Tun Tijah binti Tun Akut, dipercayai dari keturunan Tun Zain Indera, sementara bapanya, Haji Abdul Hamid dikatakan berasal dari Patani. Beliau dilahirkan di Telemong, Terengganu pada tahun 1285H bersamaan 1868M dan meninggal dunia di Mekah pada 1347H bersamaan 1929M

Haji Abdul Rahman menghabiskan zaman kanak-kanaknya bersama bapa saudaranya, Haji Tun Mohamad di Mekah tanpa megikuti pengajian secara formal di sana. Beliau mula menerima pendidikan Islam dengan serius apabila pulang ke tanah air dan berguru dengan Haji Yaakob Paya Bunga. Dalam tempoh 2 bulan bersama gurunya, Haji Abdul Rahman berjaya menguasai pelajarannya. Kemudian beliau menuntut dengan Haji Wan Musa, juga di Paya Bunga. Akhirnya setelah berpengalaman berguru dengan beberapa orang guru, barulah Haji Abdul Rahman memilih belajar dengan Tok Ku Paloh, sehingga membawa kepada perhubungan yang rapat dengan gurunya itu.

Pengalaman belajar Haji Abdul Rahman dibawah Tok Ku Paloh agak luar biasa. Selaku khadam dirumah tuan gurunya, beliau kelihatan agak bersahaja ketika mengikuti pengajaran. Haji Abdul Rahman dikatakan mendengar sendiri ditepi kolah sambil menatap kitab yang digunakan, termasuklah kitab Ma’arijul Lah-fan. Lazimnya setelah selesai majlis ilmu yang dikendalikan oleh Tok Ku Paloh, beliau menyimpan kitabnya dicelah-celah atap surau, seolah-olah tidak mahu menunjukkan bahawa beliau juga turut sama belajar. Kelainan tingkahlakunya itu akhirnya mendapat perhatian gurunya, dan beliau dianggap benar-benar berguru. Dari segi pengajiannya, Haji Abdul Rahman gemar bermutala’ah dan bersendirian.

Seperti Tok Ku Paloh juga, Haji Abdul Rahman Limbong berpegang kepada ajaran As-Syafie dan Tarikat Naqsyabandiah. Tarikat ini berasal dari Turkestan dan diasaskan oleh Muhammad bin Bahau’ddin Al Uwaisi Al Bukari (1317-1389). Kitab-kitab yang digunakan semasa berguru itu ialah seperti Matan umi Albarahin, Syiarul Salikin dan lain-lain karangan Al-Ghazali yang membicarakan hakikat dan syariat, fikah, usul dan tasawuf.

Pendidikan yang telah diterima dari ayahnya, serta guru-gurunya membentuk peribadi Haji Abdul Rahman, dan menjadikannya seorang yang warak, tenang hati dan bersopan santun tetapi keras dan tegas terhadap mereka yang ingkar kepada ajaran agama. Keperibadian Haji Abdul Rahman kuat sekali mencerminkan pendidikan dan asuhan yang telah diterimanya. Beliau dikenali sebagai seorang yang berhemah tinggi, peramah tetapi hanya pada perkara-perkara yang mustahak dan benar. Pengaruhnya tidak digunakan untuk kepentingan diri, suatu pendirian dan pendekatan hidup yang membuat seorang pegawai Inggeris melaporkan 
“……he was an extremely good man….he was absolutely unique in his dealings with the rayat, in doing things for them without getting any profit from them.”
Dalam satu nukilan lain beliau digambarkan sebagai “a very holy man with a very big influence and very generous to the rayat.” Haji Abdul Rahman juga sangat mengasihi kanak-kanak serta menghormati orang miskin dan anak-anak yatim. Kanak-kanak akan diberikan layanan istimewa dan pada bulan puasa mereka akan dijamu olehnya.

Haji Abdul Rahman juga adalah ulama’ yang kuat beramal. Sebahagian besar daripada waktu malam digunakannya untuk beribadat kepada Allah, terutamanya pada bulan puasa. Pada setiap Hari Raya pula, beliau lazimnya mengurungkan diri didalam rumahnya selepas sembahyang Hari Raya dan beribadat tanpa menghirau mereka yang datang membawa makanan untuknya. Sikap ini dapat diertikan bahawa beliau tidak menggalakkan orang ramai bersusah payah menyediakan makanan untuknya, sebagaimana yang menjadi amalan didalam masyarakat Melayu tradisi yang sangat mengambil berat terhadap orang-orang alim. Tambahan pula Haji Abdul Rahman amat menghalusi asal-usul makanan, bagi mengetahui halal-haramnya.

Dalam hidupnya Haji Abdul Rahman menjauhkan diri daripada dipengaruhi oleh semangat kebendaan. Keadaan rumahnya tidak memperlihatkan apa-apa hiasan kecuali kelengkapan yang ringkas. Pakaian hariannya ialah baju melayu atau jubah putih, seluar potongan Cina, terendak dan terompah. Beliau juga dikatakan tidak pernah memakai kasut yang dibeli dikedai, apa lagi jika ia dibuat oleh orang bukan islam. Malah apabila berjalan di perkampungan Cina, beliau akan menyamak kakinya. Haji Abdul Rahman juga dikatakan tidak pernah bertentangan mata dengan perempuan walaupun perempuan itu muridnya sendiri. Ketika bertembung ditengah jalan, beliau akan memberi salam kepada lelaki dan menyisihkan diri daripada perempuan. Isterinya sendiri pun sukar untuk dilihat orang lain hatta oleh khadamnya sendiri.

Segalanya ini tidaklah pula bererti Haji Abdul Rahman adalah ulama yang tidak berusaha menyara diri dan keluarganya, walaupun setelah beliau muncul sebagai seorang guru agama yang popular. Malah dalam masa yang sama, beliau juga adalah seorang pengusaha yang gigih. Beliau menenun kain untuk dijadikan baju, membuat terompah, terendak dan sebagainya. Kegiatan beliau dalam perniagaan menjadi contoh yang baik kepada umat islam. Haji Abdul Rahman berpegang kepada prinsip bahawa bumi ini adalah milik Tuhan dan siapa sahaja boleh mencari rezeki serta mendapat rahmat daripadaNya, asalkan perbuatannya tidak bercanggah dengan syariat.

Haji Abdul Rahman memiliki beberapa buah perahu besar, perahu bedor dan motorbot untuk menjalankan perniagaan dan perikanannya. Beliau juga mempunyai beberapa bidang tanah dusun yang ditanam dengan kelapa di Pasir Tebakang, Beladau, Pulau Tunggul (juga kebun pisang), kebun getah di Bukit Gelugor, Sarawak, Sungai Pinang, Kemaman, tanah padi dan dusun kopi di Telemong serta tanah padi dan dusun kelapa di Kemaman. Tanah-tanah pertanian itu diamanahkan kepada orang lain untuk menguruskannya. Menerusi penglibatannya beliau telah dapat menyediakan bantuan kewangan kepada orang ramai. Kekayaan material bagi beliau bukanlah menjadi matlamat hidup yang mutlak. Ini termasuklah gesaan beliau supaya ditanam rotan sega yang boleh digunakan untuk membuat bubu perangkap ikan, selain mengambil inisiatif membuka kilang membuat kapur tohor dan bata di Losong dengan tujuan menggalak dan memberi peluang kepada orang melayu menceburkan diri didalam bidang perusahaan bagi membaiki taraf hidup masing-masing. Konsep berbakti kepada tanah juga telah diperkembangkan oleh Haji Abdul Rahman kepada orang lain supaya mereka terus maju. Beliau mengesyorkan agar dipelbagaikan jenis tanaman, dan pernah menyuruh petani membersihkan dusun durian untuk ditanam dengan kapas, pisang dan padi.



HAJI ABDUL RAHMAN LIMBONG SEBAGAI GURU DAN PEMIMPIN RAKYAT

Ulama yang bertanggungjawab dan berfungsi ialah ulama yang menyampaikan ilmunya kepada masyarakat dan berjuang membentuk orang ramai menerusi pemupukan nilai-nilai Islamiyyah. Haji Abdul Rahman mewakili golongan ulama seperti ini. Beliau terus mengajar disuraunya di Jonggok Tong, Beladau, di waktu-waktu akhir hayat gurunya, Tok Ku Paloh. Berikutan kematian Tok Ku Paloh, beliau berulang alik pula ke Kuala Terengganu, khususnya untuk mengajar di Surau Sayyid al-Sagof. Ramai orang yang tinggal disekitar Kuala Terengganu datang untuk mengikuti pengajaran beliau, sehinggakan tidak ada ruang kosong disurau itu. Pada tahun 1920an, nama Haji Abdul Rahman mula menjadi sebutan sebagai guru yang berkelayakan setanding dengan Tok Ku Paloh.

Pengajaran yang diusahakan oleh Haji Abdul Rahman meliputi pelbagai ilmu Islam, manakala kitab-kitab yang digunakan untuk tujuan itu termasuklah juga kitab Tahrir, Hidayat Us-Salikin dan Matan Ummi al-Barahin, dan kitab-kitab yang lebih tinggi seperti Siyarul Solikin, Durrul al-Nafis dan Muttamimmah. Pengajaran berpusat di Kuala Terengganu, beliau juga pada masa yang sama mengajar dibeberapa tempat yang lain seperti di Telemong, Ulu Terengganu dan pada waktu yang lain bertugas di Beserah dan Kuantan, Pahang dan juga di Sambas, Jambi, Brunei, Riau, Kelantan, Patani dan Kedah. Pendek kata, dimana sahaja beliau singgah dalam pengembaraannya, Haji Abdul Rahman akan mengajar, disamping belajar serta mencari idea-idea baru. Pemergian beliau ke Beserah mungkin ada kaitannya dengan Syarikat ul Islam, kerana tempat tersebut dikatakan telah muncul sebagai pusat kegiatan pertubuhan tersebut. Dari pengesahan ini, bererti pengaruh Haji Abdul Rahman tidak hanya terhad disekitar Negeri Terengganu. Malah murid-murid beliau jelas terdiri daripada berbagai lapisan masyarakat, termasuk dari golongan istana, seperti Tengku Nik Maimunah (Tengku Nik Haji), Tengku Muhammad (Raja Darat) dan Tengku Ismail. Dari kalangan pelajar-pelajarnya yang ramai itu, Sayyid al-Sagof adalah satu-satunya yang dianggap berkelayakan dan berpengaruh semasa dan selepas beliau meninggal dunia.

Keyakinan kepada kepimpinan Haji Abdul Rahman juga dapat dilihat dari segi ideologi millenerianisme, iaitu mengharapkan tibanya satu tempoh hidup bahagia dengan tiada tindasan, tiada ketidakadilan, tiada beban hidup, tiada penyakit tetapi hidup dalam keadaan makmur. Dalam erti kata lain ia bermaksud hidup didalam Negara yang merdeka yang terhindar dari tekanan Barat dan kembali kepada ajaran agama Islam yang benar. Rata-rata hidup masyarakat petani Ulu Terengganu adalah ringkas atau “simple” dan aman. Dengan adanya unsur-unsur luar yang dibawa oleh Barat menyebabkan mereka merasakan keadaan mereka terancam. Tetapi mereka tentunya tidak terlepas dari unsur-unsur “revivalisme” iaitu keadaan kehilangan budaya dan gangguan terhadap hukum tradisional oleh perubahan sosial. Dengan itu dirasakan perlu pemupukan hasrat untuk mencapai jaminan kebudayaan dengan mengembalikan nilai-nilai dari sistem hidup yang lama disamping kepatuhan yang kuat dan rasa bertanggungjawab kepada agama. Malah dari “revivalisme” itu, timbul semangat untuk menentang sesiapa sahaja yang dianggap telah menyeleweng dari amalan-amalan nilai hidup dalam masyarakat itu.

Hasrat untuk menentang ini akhirnya dapat dikaitkan dengan idea Perang Sabil yang dianggap idea yang selalu mendapat sokongan dari masyarakat tani untuk bangkit memberontak, bukan sahaja untuk menegakkan agama tetapi juga untuk menuntut hak yang lain sama ada hak ekonomi, politik dan sosial. Walau bagaimanapun dapat disimpulkan bahawa alam sekitar kebudayaan tradisional, agama (sama ada messianic, nativistik atau Sabil) merupakan unsur-unsur yang boleh disesuaikan dengan kegelisahan petani. Kegelisahan inilah yang menjadi punca tarikan kepada ketokohan seseorang pemimpin.


KEBANGKITAN 1921-1928

Pengaruh dan pimpinan Haji Abdul Rahman yang berasaskan agama Islam telah meneguhkan lagi perpaduan dan kesatuan diantara mereka sehinggakan atas dasar Perang Sabil mereka dapat menghilangkan perasaan kedaerahan masing-masing yang selama ini boleh mengongkong kemajuan, dan telah mewujudkan satu perpaduan yang teguh dan bersemangat hingga ke tahap dimana semangat itu sendiri yang menjadi pemimpin mereka. Perasaan dipimpin itu kekal sehingga mereka merasai seolah-olah mereka dipimpin oleh Haji Abdul Rahman sendiri walaupun beliau tidak berada dikalangan mereka. Dalam erti lain pula, kehadiran Haji Abdul Rahman membangkitkan lagi semangat perjuangan itu. Sikap inilah yang menyebabkan Haji Abdul Rahman dituduh sebagai seorang yang bertanggungjawab mencetuskan peperangan di Ulu Terengganu pada tahun 1928 itu.

Dalam laporan masing-masing, pegawai-pegawai Inggeris pernah membandingkan kekacauan di Ulu Terengganu itu dengan kebangkitan ditempat-tempat lain. Sir Hayes Marriot menulis bahawa penentangan berpunca dari undang-undang tanah dan membandingkannya dengan “Peasantas Revolt of 1881” yang pernah berlaku di Eropah. Begitu juga dengan J.L. Humphreys yang melaporkan  
“…..that the ultimate cause of the trouble is the tactless incompetence and probably the corruption of the Malay Land Officers. The Kelantan uprising had a similar origin and in both cause the paradox followed – an out break of anti-foreign feeling, when the source of the trouble was in point of fact, the lack of an European Officer.” 

Laporan ini menunjukkan bahawa sistem pentadbiran tanah khususnya dan pentadbiran negeri amnya merupakan faktor penting yang berperanan mencetuskan kekacauan atau penentangan 1928 itu. Kemudian kejadian itu dikaitkan pula dengan ketokohan Haji Abdul Rahman yang memang berpengaruh dikalangan murid-muridnya dan masyarakat tani di Ulu Terengganu membimbangkan pegawai-pegawai Inggeris dan hampir seluruh kakitangan kerajaan, dari peringkat atas hingga ke peringkat bawah. Perjuangan beliau membela nasib anak bangsanya tidak dapat dipatahkan oleh tindakan dan ancaman oleh pihak yang berkuasa.

Pengaruhnya membolehkan masyarakat Ulu Terengganu maju dalam bidang ekonomi, bukan setakat sara diri sahaja tetapi diperingkat eksport dan import. Keadaan ini boleh menyekat matlamat dan rancangan Inggeris di Terengganu malahan kemajuan kawasan Ulu Terengganu dari segi ekonomi menyebabkan Penasihat Inggeris membuat cadangan supaya kawasan itu dijadikan jajahan yang ditadbir oleh seorang Pesuruhjaya. Cadangan ini terkandung didalam sepucuk surat yang dihantar kepada Menteri Besar Terengganu oleh Penasihat Inggeris pada 12 November 1921. Kawasan yang dimaksudkan oleh Penasihat Inggeris itu meliputi Kuala Telemong melalui Sungai Telemong sehingga ke Hulu Telemong, termasuk Jeram Kelemong. Jajahan baru ini dinamakan Kuala Brang, jajahan yang ditadbir oleh seorang Pesuruhjaya.

Haji Abdul Rahman telah disyaki bertanggungjawab dalam kegelisahan kaum tani di Ulu Terengganu yang menyebab berlakunya kebangkitan 1928, yang menjadi mercu kepada gerakan protes rakyat desa. Beliau secara terbuka dibabitkan dalam kejadian-kejadian yang bersangkutan. Surat pemberitahu bilangan 1925/1346 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerajaan Terengganu, antara lain menyebut bahawa “dengan sebab-sebab pengajarannya kepada rakyat menubuhkan gerakan menderhaka rakyat-rakyat kepada raja dan kerajaan Terengganu.” Salah seorang pegawai Inggeris yang membuat laporan mengenai kekacauan Ulu Terengganu 1928, H.W Thompson, membuat kesimpulan bahawa kekacauan itu keseluruhannya telah dirancang oleh Haji Abdul Rahman Limbong. J.L. Humphreys, Penasihat British pula, menyifatkan penentangan oleh pengikut ulama itu sebagai penderhakaan. Akibatnya tokoh itu telah dibuang negeri ke Mekah, untuk meredakan suasana ketegangan sosio-politik dalam negeri. Tindakan itu juga bermaksud untuk melumpuhkan semangat rakyat tani yang bangkit menentang struktur pentadbiran baru dalam konteks perubahan pemerintahan Negeri Terengganu mengikut sistem politik dan ekonomi Barat.

Campurtangan pihak Inggeris dalam pentadbiran tanah, telah menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat tani. Tahun 1920an juga membawa perubahan dalam pentadbiran tanah yang melibatkan juga jajahan Kuala Berang. Dengan berkuatkuasanya peraturan-peraturan baru, termasuklah penetapan sempadan tanah, petani tidak lagi bebas mengerjakan tanah mereka. Pada bulan Februari 1924, Majlis Mesyuarat Kerajaan telah meluluskan Undang-undang Penempatan Tanah (Land Settlement Enacment). Kuatkuasa undang-undang tanah ini terbukti dengan kenyataan yang dibuat oleh J.W.Simmons “The important provision too was enacted that all lands in the State was liable to the payment of rent.” Berikutan dengan penetapan sempadan tanah serta surat kuasa (Permanent document of title), undang-undang juga dikuatkuasakan kepada petani yang hendak membuka kawasan padi di Kuala Berang setelah daerah itu ditadbirkan oleh Pesuruhjaya. Dengan “Undang-undang Istihar” yang juga dikenali sebagai “Surat Kebenaran (pas)” bererti petani tidak lagi bebas mengerjakan tanah-tanah mereka.

Undang-undang tanah telah diluluskan dan dikuatkuasakan pada penghujung tahun 1921. Untuk mengawal orang ramai daripada menebas hutan dengan sewenang-wenangnya, kerajaan telah menetapkan beberapa aturan yang mesti dipatuhi. Pertama, apa sahaja tanah yang yang hendak diduduki walaupun tanah penempatan sementara dan tanah yang dibersihkan mestilah mendapat kebenaran dari Pejabat Tanah terlebih dahulu dengan bayaran 50 sen setahun. Kedua tidak dibenarkan menebang pokok-pokok kayu hutan yang berumur kurang dari tujuh tahun.

Pengenalan enakmen ini menimbulkan kemarahan rakyat desa, tetapi untuk meneruskan kehidupan, mereka menjalankan kerja mereka seperti biasa walaupun terdapat khabar angin mengatakan bahawa penduduk Telemong bangkit menentang peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Keadaan ini dipandang berat oleh kerajaan dan sebagai tindakan awal surat saman telah dikeluarkan kepada empat puluh tiga orang. Mereka disaman kerajaan dan didenda sebanyak seratus ringgit. Peristiwa inilah yang memulakan penglibatan Haji Abdul Rahman Limbong dalam soal tanah antara penduduk Ulu Terengganu dengan kerajaan.

Dengan rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan mereka yang disaman itu pada tahun 1922, Haji Abdul Rahman telah memohon lesen wakil (pleader) sebagai peguam daripada kerajaan. Dalam perbicaraan ini Haji Abdul Rahman telah menjadi peguam kepada penduduk Ulu Terengganu yang menghadapi saman. Pihak kerajaan pula telah diwakili oleh Ranjer Hutan (Forest Ranger) yang bertugas sebagai peguamcara. Beribu-ribu orang dikatakan telah datang ke kawasan sekitar Ulu dan Bandar Kuala Terengganu. Sebagai tokoh yang sudahpun sedia terkenal dikalangan murid-muridnya, serta fasih dan ahli dalam Undang-undang Islam menegaskan dalam Bahasa Arab bahawa tanah adalah “hak Allah”, dan bukannya “hak negeri”, dan negeri tiada hak mengenakan cukai tanah. Kenyataan beliau tidak dapat dibuktikan oleh peguamcara yang mana tanah Allah dan yang mana tanah negeri. Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa yang terlibat dalam pembukaan dan pembersihan tanah tidak bersalah. Kemenangan Haji Abdul Rahman tidak berakhir begitu sahaja, kerana kerajaan memohon ulang bicara ke atas kes berkenaan. Pada hari perbicaraan pada 31 Oktober 1922, Haji Abdul Rahman sekali lagi didatangi oleh murid-muridnya dan hampir seribu orang membanjiri Mahkamah Tinggi, setengah dari mereka dikatakan membawa senjata. Ini mencemaskan Cheers, Pesuruhjaya Polis ketika itu. Dalam perbicaraan itu sekali lagi Haji Abdul Rahman meminta penjelasan daripada Peguamcara yang diwakili oleh pegawai Pejabat Tanah tentang corak kerajaan dan jenis-jenis tanah yang tidak mengeluarkan hasil serta mengambil beberapa petikan ayat Al-quran. Kegagalan peguamcara menjelaskan pertanyaan Haji Abdul Rahman menyebabkan akhirnya mahkamah menangguhkan keputusan perbicaraan itu pada hari Isnin, 6 November 1922. Walau bagaimanapun, akhirnya Haji Abdul Rahman mendapat kemenangan dalam perbicaraan itu.

Dengan berlangsungnya peristiwa-peristiwa ini, British merasa bertambah bimbang terhadap potensi penentangan yang ada pada Haji Abdul Rahman Limbong. Pesuruhjaya Polis Negeri, Cheers cuba menghubungi ulama tersebut tetapi gagal berbuat demikian. Usaha juga dibuat oleh Humphreys menerusi kerjasama Syeikhul Islam, Tuan Embong dan akhirnya membuahkan kejayaan. Setelah berbincang dengan Humphreys di bilik konsul, Haji Abdul Rahman diminta pula pergi ke Pejabat Polis untuk berjumpa Cheers. Pada mulanya beliau enggan tetapi akhirnya terpaksa akur diatas permintaan Datuk Seri Amar Diraja dan Humphreys sendiri. Di Pejabat Polis, Cheers menasihati beliau supaya tidak menggunakan pengaruhnya mengerah orang ramai datang ke mahkamah ketika beliau dibicarakan. Humphreys juga menerangkan bahawa jika beliau menentang pihak kerajaan bermakna beliau juga menentang raja. Perbicaraan pada 5 November 1922 diadakan tetapi sekejap sahaja dan ditangguhkan pada 20 November 1922. Bagaimanapun perbicaraan ini ditangguhkan pula dengan perintah daripada Humphreys yang mendapat berita bahawa seramai lebih kurang seribu orang pengikut Haji Abdul Rahman akan datang ke rumah beliau untuk menghadiri upacara perkhatanan (mengislamkan) seorang Cina di Kuala Terengganu. Mereka juga dikatakan akan berarak mengelilingi Bandar Kuala Terengganu dan menyembelih empat ekor kerbau dan empat ratus ekor ayam untuk jamuan itu. Disebabkan peristiwa ini, Humphreys telah meminta Syeikhul Islam menghantar surat saman bertarikh 19 November 1922 kepada Haji Abdul Rahman dan keputusan telah dibuat oleh pihak berkuasa untuk menarik balik lesen wakilnya sebagai peguam dan melarangnya mengadakan perarakan dibandar.

Dalam masa yang sama Haji Abdul Rahman menafikan tuduhan yang mengatakan beliau seorang yang tidak mengindahkan peraturan, malah beliau sanggup pula membayar hasil kepada kerajaan agar petani yang tidak mampu tidak berbuat demikian. Lebih daripada itu lagi, beliau juga bagi pihak petani di Ulu Telemong, telah menghantar surat kepada Pesuruhjaya Tanah menerangkan bahawa tindakan penduduk tidak mahu membayar sewa tanah dan tidak mahu mengambil pas untuk menanam padi huma adalah fitnah pegawai-pegawai rendah kerajaan yang kurang jelas dan tidak mengerti tentang cukai itu. Dalam isu yang berkaitan, Haji Abdul Rahman telah mewakili 508 petani yang belum mengambil pas dengan mempertaruhkan wang sebanyak $250.00 kepada Pesuruhjaya Pejabat Tanah dengan alasan wang itu akan digunakan seandainya golongan petani didenda, dan sebagai bukti beliau tidak engkar mengikut perintah.

Kecurigaan kerajaan terhadap Haji Abdul Rahman tidak terhad kepada penglibatannya membela nasib peneroka tanah. Campurtangan Haji Abdul Rahman dalam soal pentadbiran kerajaan dari segi tanah, perubatan, nikah cerai dan sebagainya. Pada 2 Zulhijjah 1342, beliau hadir untuk disiasat atas aduan Pesuruhjaya Kuala Berang bahawa Haji Abdul Rahman tidak membenarkan rakyat Ulu mengambil lesen menebang hutan. Malah pada 12 Zulkaedah 1342, Pegawai Perubatan telah membuat aduan mengenai Haji Abdul Rahman yang dituduh menghalang tukang suntik kanak-kanak menjalankan tugasnya di Beladau dan Telemong. Dalam menjawab tuduhan itu, Haji Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau tidak menahan kerja penyuntikan itu. Malah kata beliau, kerja penyuntikan itu mestilah atas hakikat yang benar iaitu atas kalimah Allah dengan meyakini bahawa menyembuhkan penyakit ialah kuasa Allah bukan kerana suntikan semata-mata. Dalam kes nikah cerai pula, beliau telah dituduh tidak menggunakan buku catatan nikah semasa mengahwinkan Salamah bte Omar dari Kampung Tok Imam Tapa dengan Muhamad bin Ahmad dari Kampung Pelam di Ulu Telemong, walau bagaimanapun ternyata tuduhan-tuduhan ini timbul akibat daripada salah faham apabila beliau tidak dikenakan apa-apa denda.

Berkaitan dengan tanah di Ulu Terengganu, pendirian Haji Abdul Rahman bahawa tanah pusaka yang mereka warisi adalah peninggalan orang tua mereka dan mereka berasal dari keturunan Johor yang datang mengiringi Sultan Zainal Abidin I. Dengan itu Haji Abdul Rahman menegaskan pemilikan tanah yang ada adalah sah iaitu dikira dari hukum pusaka. Atas sebab ini, dan hujah-hujah lain, beliau merasa bahawa pengutipan cukai hendaklah dilaksanakan menurut sistem zakat, dan bukannya dengan cara menindas orang miskin.

Laporan-laporan dari pegawai Inggeris menyatakan ada kekacauan berlaku dalam tahun 1925 di Telemong. Ini berikutan dari kerajaan melarang dengan lebih tegas lagi petani menanam padi di tanah sementara melainkan dengan kebenaran dari Jabatan Tanah Kerajaan. Dengan berlangsungnya kekacauan dalam tahun 1925, Haji Abdul Rahman semakin terseret ke dalam konflik antara rakyat desa dan kerajaan. Apabila kerajaan memutuskan dalam mesyuaratnya yang berlangsung pada 17 Zulhijjah 1342 dimana mereka akan menangkap sesiapa sahaja yang tidak mematuhi peraturan kerajaan tanpa mengendahkan sama ada ianya pengikut Haji Abdul Rahman ataupun tidak. Pada 3 Mei 1925 sekumpulan petani yang berjumlah antara 300 hingga 500 orang dikatakan sekali lagi berkumpul di tanah Mat Zin bin Matmin di Kuala Telemong. Pada hari tersebut, mereka dikatakan berkumpul atas kerahan Haji Abdul Rahman untuk membersihkan tanah Tengku Nik Haji, saudara perempuan kepada Sultan Sulaiman. Perbuatan sekumpulan petani yang berhimpun untuk membersihkan tanah Tengku Nik Haji menyebabkan pihak Inggeris makin mencurigai segala tindakan rakyat disebelah Ulu terutama berkaitan pengaruh Haji Abdul Rahman menganggap mereka menentang kerajaan dan anggapan itu dibesar-besarkan dengan memanggil kumpulan orang ramai itu kumpulan pemberontak. Mereka yang dikerah berkumpul atas arahan Haji Abdul Rahman itu, dikatakan bukan sahaja membawa segantang beras seorang tetapi juga siap dengan pisau, parang ranjang dan keris. Mereka juga dikatakan telah diarah ke Kuala Terengganu untuk melancarkan Perang Sabil menentang kerajaan British. Sebenarnya tidak ada kekacauan yang berlaku pada tahun 1925, cuma yang jelas berlaku ialah perkumpulan ramai di Kuala Telemong untuk mengerjakan tanah Nik Haji.

Puncak kebangkitan rakyat menentang kerajaan ialah pada bulan Mei 1928. Ia merupakan kekacauan yang lebih besar dari yang pernah berlaku pada tahun 1922 dan 1925. Walaupun peranan Haji Abdul Rahman tidak begitu ketara dalam kekacauan 1928, kunjungan ketua-ketua kebangkitan ke rumahnya atau tempat beliau berada untuk mendapat nasihat dan rujukan, menjadikan beliau semakin terbabit dalam penentangan terhadap British. Berbanding penglibatannya pada awal tahun 1920an, beliau sebenarnya sekadar berperanan menaikkan semangat rakyat tani yang tertindas oleh sistem tanah (enakmen baru) kerajaan. Apatah lagi, semasa berlakunya kebangkitan 1928, Haji Abdul Rahman sendiri berada di Beserah. Namun begitu, tidak boleh dinafikan hakikat bahawa pengaruh Haji Abdul Rahman telah digunakan seluas-luasnya untuk mengerah masyarakat tani bangkit bertindak menuntut keadilan dan kebenaran. Penyatuan rakyat yang menyeluruh dan padu dikaitkan pula dengan kegiatan Syarikat Islam yang berpusat di Beserah, tempat yang pernah dikunjungi oleh Abdul Rahman Limbong.

Kebangkitan 1928 melibatkan konflik berdarah, apabila perkumpulan dan kemaraan petani telah ditentang oleh pihak kerajaan di Ulu Telemong. Keengganan rakyat membayar cukai atau sewa, dan keengganan mereka mematuhi peraturan supaya jangan menebas hutan dan menanam padi huma tanpa meminta kebenaran dari Pejabat Tanah, ditunjukkan dalam bentuk proses terbuka terhadap kerajaan, dan pihak-pihak yang dipercayai terpengaruh oleh British. Bagi pihak pemerintah, kebangkitan rakyat tani di Ulu Terengganu adalah satu penderhakaan. Ketika berlangsungnya pertentangan di Ulu Telemong, Haji Abdul Rahman tidak ada di Terengganu. Namun begitu beliau telah menyerah diri di Istana Maziah setelah menyedari ancaman bahawa British akan menangkapnya.

Haji Abdul Rahman pada mulanya menafikan tuduhan tersebut kerana beliau bukan menderhaka, tetapi menentang sikap kerajaan dan raja yang telah diperbudakkan oleh penjajah Inggeris. Hakikatnya, Haji Abdul Rahman menentang pegawai-pegawai Inggeris yang mahu menindas rakyat untuk kepentingan British.Walaupun tidak mengaku bersalah, Haji Abdul Rahman Limbong menerima hukuman tersebut demi mengelak dari berlakunya huru-hara. Beliau telah memilih untuk tinggal di Mekah dan meninggal di Mekah pada tanggal 14 Jamadil Akhir 1348 bersamaan 16 November 1929. Maka berakhirlah perjuangan seorang tokoh agama yang ingin menegakkan kesucian agama dan menentang pengaruh barat yang cuba mengganggu-gugat kesucian Islam dan keimanan umat Islam di nusantara.


PENUTUP

Riwayat hidup Haji Abdul Rahman Limbong memanifestasikan perjuangan seorang ulama yang bangkit di tengah-tengah masa, berjuang bersama rakyat dengan cara mengajar, membimbing dan menasihati mereka, dan mengakhiri hidupnya dengan kesedaran bahawa penglibatannya adalah kerana Allah. Pengajarannya menjadi inspirasi kepada setiap lapisan masyarakat, terutama sekali dikawasan-kawasan desa, menjadi amaran kepada pihak-pihak yang berusaha memperkenalkan peraturan luar, dan merupakan benteng kepada kemasukan pengaruh bukan islam. Dalam konteks ini jugalah kita perlu menilai pembabitan beliau dalam kebangkitan 1928. Bagi Haji Abdul Rahman, tidak timbul soal penderhakaan kerana bukan tujuan beliau menentang pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Beliau menentang sikap kerajaan dan raja yang dianggap dengan sewenang-wenang telah dipermain oleh Inggeris. Dalam ertikata lain, beliau menentang tindakan pegawai-pegawai Inggeris cuba menggugat kekuasaan Sultan dan kesejahteraan masyarakat tani Melayu. Bagi rakyat desa pula, mereka juga merasakan keutuhan corak pemerintahan yang berlandaskan Islam telah mula terancam. Oleh itu mereka terpaksa bangkit.


KRONOLOGI PERISTIWA KEBANGKITAN MASYARAKAT TANI 1928

1920
- Berkuatkuasanya peraturan-peraturan baru, termasuklah penetapan sempadan tanah.

1921
- Undang-undang tanah telah diluluskan dan dikuatkuasakan pada penghujung tahun. Untuk mengawal orang ramai daripada menebas hutan dengan sewenang-wenangnya, kerajaan telah menetapkan beberapa aturan yang mesti dipatuhi :

1. Apa sahaja tanah yang yang hendak diduduki walaupun tanah penempatan sementara dan tanah yang dibersihkan mesti mendapat kebenaran dari Pejabat Tanah dengan bayaran 50 sen setahun.

2. Tidak dibenarkan menebang pokok-pokok kayu hutan yang berumur kurang dari tujuh tahun.

1922
- Surat saman telah dikeluarkan kepada empat puluh tiga orang dan didenda sebanyak seratus ringgit. Haji Abdul Rahman telah memohon lesen wakil (pleader) sebagai peguam daripada kerajaan.

1924
- Majlis Mesyuarat Kerajaan telah meluluskan Undang-undang Penempatan Tanah (Land Settlement Enacment). Berikutan dengan penetapan sempadan tanah serta surat kuasa (Permanent document of title), undang-undang juga dikuatkuasakan kepada petani yang hendak membuka kawasan padi di Kuala Berang setelah daerah itu ditadbirkan oleh Pesuruhjaya. Dengan “Undang-undang Istihar” yang juga dikenali sebagai “Surat Kebenaran (pas)” bererti petani tidak lagi bebas mengerjakan tanah-tanah mereka.

31 Oktober 1922
- Mahkamah menangguhkan keputusan perbicaraan.

6 November 1922
- Haji Abdul Rahman mendapat kemenangan dalam perbicaraan itu.

19 November 1922
- Seramai lebih kurang 1000 orang pengikut Haji Abdul Rahman dikatakan akan menghadiri upacara perkhatanan (mengislamkan) seorang Cina di Kuala Terengganu menyebabkan Haji Abdul Rahman disaman dan lesen wakilnya sebagai peguam ditarik balik serta beliau dilarang mengadakan perarakan dibandar.

2 Zulhijjah 1342
- Haji Abdul Rahman disiasat atas aduan Pesuruhjaya Kuala Berang bahawa beliau tidak membenarkan rakyat Ulu mengambil lesen menebang hutan.

12 Zulkaedah 1342
- Pegawai Perubatan telah membuat aduan mengenai Haji Abdul Rahman yang dituduh menghalang tukang suntik kanak-kanak menjalankan tugasnya di Beladau dan Telemong.

1925
- Kekacauan dikatakan berlaku berikutan dari kerajaan melarang dengan lebih tegas lagi petani menanam padi di tanah sementara melainkan dengan kebenaran dari Jabatan Tanah Kerajaan.

17 Zulhijjah 1342
- Kerajaan memutuskan akan menangkap sesiapa sahaja yang tidak mematuhi peraturan kerajaan tanpa mengendahkan sama ada ianya pengikut Haji Abdul Rahman ataupun tidak.

3 Mei 1925
- sekumpulan petani yang berjumlah antara 300 hingga 500 orang dikatakan sekali lagi berkumpul di tanah Mat Zin bin Matmin di Kuala Telemong untuk membersihkan tanah Tengku Nik Haji, saudara perempuan kepada Sultan Sulaiman.

Julai 1927
- Kerajaan membentuk tanah penempatan di semua mukim di Kuala Berang

Mac 1928
- Tanah yang dijadikan tanah penempatan itu dikenakan sewa

28 Syawal 1346 / 19 April 1928
- Hamzah b Taib, penolong penghulu bersama 2 orang Forest Guard diarah Pegawai Daerah Kuala Berang supaya menyiasat penduduk mukim menebas hutan tanpa kebenaran atas pas dari jabatan.

29 Syawal 1346 / 20 April 1928
- Konstabel Abdullah b Hj Sulaiman diarah oleh Sarjan Othman, Ketua Balai Polis Kuala Berang supaya menghantar surat saman kepada petani di kampung Penjing (Kuala Menjing) dan Penih kerana ramai tidak mengambil pas untuk menebas hutan.

1/2 Zulkaidah 1346 / 21 April 1928
- Seramai lebih kurang 1000 orang petani berkumpul di Tersat. Laporan menyatakan bahawa ketua yang membuat kekacauan di Ulu Tersat ialah Penghulu Salleh dan penolongnya Abdullah bin Abu Bakar

3 Zulkaidah 1346 / 22 April 1928
- Penghulu Salleh bersedia untuk berunding dengan kerajaan

5 Zulkaidah 1346 / 24 April 1928
- Penghulu Salleh, Abdullah b Abu Bakar dan Lebai Hassan bersetuju untuk menghilir ke Kuala Terengganu bersama Tengku Nara dan Dato Lela. Tetapi mereka dilaporkan menghilir pada tengah malam 5 Zulkaidah melalui Kampung Buluh, tidak melalui Kuala Berang. Walaupun telah dipersetujui bahawa mereka akan dibawa ke Kuala Berang terlebih dahulu sebelum ke Kuala Terengganu.

7 Zulkaidah 1346 / 26 April 1928
- Setiausaha kerajaan menghantar surat kepada Pegawai Daerah Marang untuk menyiasat samaada pengikut Penghulu Salleh pergi ke Ulu Tersat.

9 Zulkaidah 1346 / 1 Mei 1928
- Penghulu Salleh masih belum dijumpai.

11 Zulkaidah 1346 / 3 Mei 1928
- Setiausaha Kerajaan mengarahkan supaya menahan 4 orang dari Daerah Kuala Berang. Kerajaan mula bertindak menyiasat semua kegiatan Haji Abdul Rahman dan Sayyid Sagof. Mereka dijemput untuk menemani Pegawai Kerajaan dan Polis ke Ulu Tersat dan mendapati seramai 1000 orang berkumpul di rumah Penghulu Salleh.

13 Zulkaidah 1346 / 5 Mei 1928
- Penghulu Salleh dating ke rumah Haji Abdul Rahman untuk meminta nasihat dan arahan daripadanya

14 Zulkaidah 1346 / 6 Mei 1928
- Sultan Sulaiman bersetuju untuk berangkat ke Kuala Berang

15 Zulkaidah 1346 / 7 Mei 1928
- 1000 - 3000 orang berkumpul di Pasir Kampung Buluh. Rakyat diberi peluang untuk mengadu hal kepada Sultan mengenai kehidupan mereka.

21 Zulkaidah 1346 / 13 Mei 1928
- Satu mesyuarat diadakan untuk meluluskan permintaan penduduk Ulu memakai senjata ketika berada di dalam hutan

27 Zulkaidah 1346 / 19 Mei 1928
- Satu kumpulan orang yang lengkap bersenjata dari Ulu Dungun, Marang dan Jerung telah berkumpul di rumah Che Samil di Kuala Pur. Mereka dikatakan berjumlah 400 orang bertujuan untuk menyerang Pegawai Daerah serta Sarjan Polis di Kuala Berang. 200 orang berkumpul dihadapan rumah Lebai Hassan untuk mara ke Kuala Terengganu. Manakala seramai 600 orang berkumpul di Gambang atau Rakit Besar di Kuala Berang.

29 Zulkaidah 1346 / 21 Mei 1928
- Rakyat Ulu telah menghilir ke Kuala Terengganu. Antaranya termasuklah Mamat Tok Pitas dan Penghulu Abdullah.

30 Zulkaidah 1346 / 22 Mei 1928
- Melaporkan rakyat Ulu Dungun dan kawasan lain akan berhimpun serentak. Ada mengatakan rakyat yang lengkap bersenjata bertujuan untuk menawan Kuala Telemong telah disekat oleh air yang sedang surut. Mereka kemudian berundur ke Kuala Berang

1 Zulhijjah 1346 / 23 Mei 1928
- Kumpulan penyerang dari Kuala Berang telah memecahkan Balai Polis Kuala Berang. Kumpulan itu juga telah turun ke Pulau Babi dan akan turun ke Kuala Terengganu

2 Zulhijjah 1346 / 24 Mei 1928
- Rakyat dikatakan akan menghilir ke Kuala Terengganu untuk menghadap Sultan kerana hendak menuntut tuntutan mereka diterima dan dilaksanakan. Berlaku sedikit pertempuran dan seramai 9 orang petani terbunuh dan 2 tercedera.

3 Zulhijjah 1346 / 25 Mei 1928
- Sebuah jawatankuasa dibentuk untuk menyiasat dan menangkap pemimpin yang terlibat dan bertanggungjawab didalam kebangkitan masyarakat tani pada 22 Mei.

6 Zulhijjah 1346 / 28 Mei 1928
- Wan Mahmud telah membawa Penghulu Omar, salah seorang ketua kumpulan petani yang menentang kerajaan dan dipenjarakan. Diikuti penyerahan diri beberapa pemimpin. Mereka dibicarakan di Istana Maziah.

13 Zulhijjah 1346 / 4 Jun 1928
- Che’ Ismail Kuala Pur bersama-sama dengan Haji Zakaria atau Karia Telemong ditangkap

21 Zulhijjah 1346 / 11 Jun 1928
- Hukuman dijatuhkan. Penghulu Salleh Pasir Nyior dan Che’ Leh b Haji Abdul Rahman dibebaskan setelah bukti mereka tidak terlibat dalam pakatan terakhir untuk menentang pemerintahan British

23 Zulhijjah 1346 / 13 Jun 1928
- Haji Abdul Rahman Limbong menyerah diri dan dibawa ke Singapura dan diletakkan dibawah jagaan Kerajaan Negeri-negeri Selat

29 Safar 1347 / 19 Ogos 1928
- Haji Abdul Rahman dibawa ke Mekah

14 Jamadil Akhir 1348 / 16 November 1929
- Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia di Mekah



No comments :