Friday, 13 January 2012

PUNCA-PUNCA YANG MEMBAWA KEPADA PERISTIWA BERLAKUNYA 13 MEI 1969 DAN IMPLIKASI TERHADAP HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

SEKAPUR SIRIH….
            Ucapan setinggi –tinggi terima kasih kepada En.Mat Ali kerana memberi peluang kepada kami untuk membuat kertas kerja ini secara berkumpulan. Sekalung penghargaan kepada rakan-rakan yang memberi kerjasama dalam menyiapkan kertas kerja ini. Kertas kerja ini telah memberikan kami ruang dan peluang untuk bersama-sama berkumpul mencari bahan mengenai peristiwa 13 mei  1969. Sebagai generasi yang dilahirkan selepas merdeka kami pastinya kurang berpengetahuan tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum kemerdakaan. Dengan adanya peluang ini maka kami  berpeluang mendekati peristiwa ini sekaligus memberi pengatahuan yang cukup banyak mengenai peristiwa ini. Pastinya kami akan mengambil pengajaran tentang peristiwa yang telah banyak mengubah sosio-ekonomi di Malaysia sekaligus membentuk Rukun Negara. Kami berharap akan diadakan lagi kertas kerja seperti ini supaya dapat menambahkan lagi pengetahuan kami.


PENGENALAN
Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar diMalaysia. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia yang sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan penjajahan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei . Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Dari sudut ekonomi misalnya banyak meninggalkan kesan yang negatif terrhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Akibat dari tragedi ini banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban dan harta benda musnah. Bagaimanapun, sebenarnya peristiwa ini juga merupakan titik perubahan corak dan falsafah sosio-politik dan ekonomi negara, sekaligus menyedarkan semua pihak betapa jurang perbezaan sosial dan ekonomi yang merupakan masalah asas masyarakat Malaysia.

KRONOLOGI BERLAKUNYA PERTUMPAHAN DARAH 13 MEI
Keputusan pilihanraya pada 10 Mei 1969 telah menunjukkkan kemerosotan pengaruh Parti Perikatan di kalangan rakyat. Hakikat ini sebenarnya membuktikan apa sahaja kelemahan yang cuba ditonjolkan oleh parti-parti pembangkang khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mendapat sambutan dari kalangan rakyat malah boleh dikatakan mereka berjaya dalam meniupkan sentimen perkauman antara Melayu dan bukan Melayu.
Pada  pilihan raya tersebut, negeri Pulau Pinang telah dimenangi oleh Parti Gerakan sementara Kelantan pula tetap di tangan PAS . Bagaimanapun bagi negeri-negeri seperti Selangor dan Perak, Parti Perikatan hampir-hampir gagal untuk menubuhkan kerajaan kerana kelebihan majoritinya yang sangat sedikit. Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO, MCA, MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat ( Parlimen ) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) memenangi 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala Pas memenangi 12 kerusi. Rentetan dari kemenangan ini, Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan yang telah menang besar di kawasan Batu, Selangor meminta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor.
Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur diarak dari Jalan Campbell dan Jalan Hale menuju ke Kampung Baru. Sedangkan, penduduk yang menduduki Kampung Baru itu diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu kuat UMNO. Ini menyebabkan mereka berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini juga terletaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu Dato' Harun Idris. Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Bagi masyarakat Melayu pula, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Pada masa yang sama, satu peristiwa telah berlaku di Jinjang, Kepong, iaitu kematian seorang masyarakat berbangsa Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu. Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chyes selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang,  Kuala Lumpur. Tapi permohonan beliau meminta maaf sudah terlambat. Berikutan itu, UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. Perarakan ini tidak dirancang. Orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato' Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan. Rupa-rupanya, mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang dan hanya menunggu isyarat lampu hijau dari Dato' Harun Idris untuk mengamuk.
Ketika berkumpul, cerita-cerita tentang kebiadapan ahli parti Gerakan yang meluap-luap tersebar luas. Pada jm 3.00 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya dua kilometer dari rumah Menteri Besar Selangor. Pada jam 4.00 petang dua penunggang motosikal Cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya orang Cina dan pemuda Cina ini lengkap dengan pelbagai senjata besi, tombak dan lembing berparang di hujung seperti dalam filem lama Cina.
Rusuhan besar terjadi dan perintah darurat dikeluarkan. Semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah. Pasukan polis berkawal di sekitar Kuala Lumpur. Tentera dari Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur. Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan askar dari Rejimen Renjer ambil alih. Malangnya pasukan ini terdiri dari orang-orang Melayu, Iban, Cina, India, Sikh, Gurkha, dan lain-lain turut menembak orang-orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap. Menurut laporan, ketua pasukan Rejimen Renjer dikatakan berbangsa Cina. Pemuda-pemuda Melayulah yang mempertahankan Kampung Baru dan yang lain-lain mengamuk merasakan diri mereka terkepung antara orang Cina dengan askar Rejimen Renjer. Beberapa das turut ditujukan ke arah rumah Menteri Besar Selangor. Akhirnya Rejimen Renjer dikeluarkan dan digantikan dengan Askar Melayu. Beberapa bangunan rumah kedai di sekitar Kampung Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman masih terus terbakar. Pentadbiran diambil alih oleh Askar Melayu. Malangnya beberapa Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana. Ada yang berkata askar tersebut berpakaian preman. Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah. Kononnya juga ada yang membuat rakaman televisyen, beberapa pemuda Cina ditangkap, dibariskan di tepi lombong dan dibunuh. Bagaimanapun, sehingga sekarang tiada bukti yang diedarkan mengenai rakaman ini.
Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Akibat daripada tindakan sebegini, orang-orang Melayu mulai bertindak balas, dan dikatakan kepala orang Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar. Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan. Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan  Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.
Berikutan dari kejadian ini, terdapat 4 kiai di sekitar Kampung Baru mengedarkan air jampi dan tangkal penebat iaitu ilmu kebal dengan harga yang agak mahal. Sesiapa yang memakainya menjadi kebal dan boleh terbang. Apa yang pasti, Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu. Mungkin juga ramai yang pernah mendengar kisah parang terbang yang terbang dan memenggal kepala orang Cina.[1]
Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit kekecohan di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh PKM. Sesetengah pihak menyifatkan bahawa pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan "politik" dan bukannya perkauman. Kerana sebelum itu masyarakat Melayu dan Cina boleh hidup dalam keadaan yang harmoni. Seperti dinyatakan pergaduhan tidak belaku di negeri Melayu seperti Kelantan, Pahang dan Kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya hari ini tiada lagi orang Cina di negeri-negeri tersebut kerana habis dibunuh. Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tetapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei.
Kesimpulannya, pergaduhan ini bukanlah rusuhan perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas pilihanraya (perbezaan politik) dan hanya melibatkan orang-orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur sahaja.

PUNCA-PUNCA YANG MEMBAWA KEPADA KEPADA PERISTIWA 13 MEI 1969
Apabila negara mencapai kemerdekaan, kita dapati bahawa orang Melayu agak tertinggal dari segi penguasaan ekonomi dan juga pendidikan manakala orang Cina pula setapak di hadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain. Golongan bumiputera merasa gusar akan tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Masyarakat Cina dan India pula bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian besar daripada mereka bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Malaysia. Walaupun terdapat perbezaan dan pengasingan antara kaum dan tidak ada dasar perpaduan yang khusus dilaksanakan selepas kemerdekaan hingga tahun 1969, rakyat pelbagai kaum ini tetap dapat hidup dengan aman.
Antara punca yang terawal berlakunya permulaan  peristiwa 13 Mei adalah akibat daripada pendudukan Jepun. Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza. Masyarakat Cina telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dengan orang Cina. Dasar Jepun yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan orang Cina. Apabila Jepun menyerah kalah, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga yang bernaung di bawah Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan sebelum ketibaan Inggeris untuk membalas dendam. Ketika darurat, iaitu dari tahun 1948–1960, berlaku peristiwa pertelingkahan kaum yang melibatkan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang terdiri daripada orang Cina dengan pasukan keselamatan yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada orang Melayu.
Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah juga turut menyumbang kepada salah satu punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi mahupun polarisasi kaum. Orang-orang Cina yang tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong  menjadikan mereka memiliki aset yang tinggi dalam sektor ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu yang tinggal di luar bandar bekerja hanya sebagai petani atau nelayan kecil. Manakala kaum India pula kebanyakannya bekerja  sebagai buruh kasar kerajaan dan juga bekerja di ladang. Kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India ketika itu adalah bercorak sara diri. Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang. Keadaan  ini juga menyebabkan hubungan masyarakat antara kaum di negara ini menjadi terbatas.
Punca yang kedua pula ialah akibat dari suasana yang tidak seimbang ini telah berlanjutan sekalipun negara telah mencapai kemerdekaan. Bahkan suasana sosio-ekonomi yang tidak seimbang, semakin melebar akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap pertumbuhan ekonomi tanpa menghiraukan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dalam masyarakat Malaysia. Perkembangan rumit yang melibatkan kelas dan kaum ini akhirnya telah membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei 1969.
Punca yang ketiga ialah latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Keempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang berbeza dan tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira dan hanya sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India. Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan perkauman etnik yang sememangnya telah lama wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja.
Punca yang keempat pula ialah berlaku dalam pilihan raya 1964 dimana Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya . Walaupun sudah ada persetujuan antara Tunku dan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya tersebut. Namun apabila pilihan raya itu berlangsung PAP telah meletakkan calonnya seramai sembilan orang. Bagaimanapun setelah Tunku membuat perisytiharan bahawa beliau tetap mengekalkan keanggotaan MCA dalam perikatan, maka PAP yang gagal untuk menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu . Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut dipersoalkan tanpa menghiraukan rasa tersinggung orang-orang Melayu. Sedangkan segala-galanya telah dipersetujuinya sebelum ini . Setelah gagal dalam pilihan raya, PAP telah menubuhkan Konvensyen Perpadauan Malaysia (KPM) dengan disertai oleh Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. KPM juga telah menyebarkan cogan kata "Malaysia hak orang Malaysia " (Malaysian Malaysia) dengan tujuan supaya hak istimewa orang Melayu atau bumiputera dihapuskan. Perlu ditegaskan di sini bahawa tuntutan KPM itu adalah bercanggah sama sekali dengan kandungan perlembagaan Malaysia yang memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera lain yang telah dipersetujui oleh PAP sewaktu menyertai Malaysia pada 16 Sept. 1963. Perikatan sememangnya menerima persamaan hak tetapi perkara ini perlu di selesaikan secara berperingkat. Peringkat awal perlu dilaksanakan langkah-langkah untuk memulihkan kedudukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera lain yang telah jauh tertinggal di belakang.
Rentetan dari peristiwa itu, PAP telah secara lantang menyuarakan rasa tidak puashati terhadap apa yang disebut sebagai hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Mereka mendakwa hak kaum-kaum lain telah diketepikan kononnya mereka telah tersisih daripada keadilan. Oleh sebab itu menurut Jomo dalam bukunya "Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia " , isu sebenar yang mencetuskan peristiwa 13 Mei adalah perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang Melayu.
Namun hakikat sebenarnya, kedudukan taraf ekonomi orang Melayu adalah paling terkebawah berbanding dengan kaum Cina . Segala  yang didakwa oleh orang-orang Cina bahawa mereka terjejas oleh peruntukan hak istimewa orang Melayu adalah sebagai alat semata-mata umtuk mereka berlindung di sebaliknya bagi menarik perhatian dan sokongan ramai terutama menjelang pilihan raya 1964. Menyedari akan bahayanya pengaruh majoriti Cina dari Singapura ini, Tunku telah mengambil keputusan untuk memaksa Singapura keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 . Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat PAP untuk cuba membela nasib orang-orang Cina di Tanah Melayu. Berikutan itu sebuah parti baru telah ditubuhkan di Malaysia bagi mengambil alih fungsi PAP sebelum ini yang dikenali sebagai Parti Tindakan Demokratik (DAP). Menjelangnya pilihanraya 1969 parti DAP dan parti-parti pembangkang lain telah memainkan isu-isu sensitif dan perkauman termasuk membangkitkan soal-soal ketidakadilan menyebabkan perasaan tidak puashati dan kegelisahan di kalangan rakyat menjadi semakin bimbang. Sebenarnya apa yang cuba dilakukan oleh parti-parti politik ini bertujuan untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya, di mana mereka tidak mempedulikan sentimen antara kaum yang boleh membahayakan itu.[2]
Manakala punca yang kelima pula ialah berkaitan dengan isu bahasa. Tidak kurang pentingnya juga dalam menyumbangkan faktor kepada peristiwa 13 Mei . Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan jelas tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa rasmi negara. Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengugurkannya daripada status bahasa rasmi dan hanya bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu . Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan , Minggu bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dipimpin oleh Syed Nasir bin Ismail.
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dirasmikan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 telah dikecam oleh pelbagai pihak bukan Melayu . Ini kerana mereka merasakan langkah itu terlalu mengutamakan bahasa Melayu, namun Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) pula tidak berpuas hati dengan perlaksanaannya. Mereka berasa kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak menubuhkan sekolah menengah dan universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada awal 1958 sebagaimana yang telah dirancangkan .
Bagaimanapun berkat perjuangan beberapa orang tokoh termasuk Tuan Syed Nasir bin Ismail, sebagai pengerusi dan Dr. Mahathir Mohamad sebagai naib pengerusi, termasuk juga antaranya dua orang tokoh UMNO ketika itu iaitu Tun Razak bin Hussain, Dato` Dr.Ismail bin Abdul Rahman, akhirnya gagasan Universiti Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mendapat sokongan UMNO dan kerajaan perikatan dan ianya berjaya ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Berikutan ini, penubuhan Universiti Kebangsaan ini telah mendapat reaksi yang kurang menyenangkan daripada kaum Cina, apabila mereka juga telah mengemukakan permohonan untuk menubuhkan Universiti Merdeka. Oleh kerana pilihan raya 1969 sudah hampir maka pihak MCA telah mendakwa bahawa sekiranya mereka tidak menyokong projek Universiti Merdeka maka ramai pengundi keturunan Cina akan menolak mereka dalam pilihan raya nanti. Untuk itu kerajaan telah menyelesaikan tuntutan itu secara memberi kebenaran kepada MCA menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).
Suatu keganjilan di sini apabila kerajaan telah memberi bantuan kepada sebuah institusi pendidikan yang bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. KTAR sebenarnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya . Namun itulah hakikatnya kerajaan sedapat mungkin cuba bertolak ansur demi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

IMPLIKASI 13 MEI 1969
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Peristiwa 13 Mei banyak memberi kesan kepada Negara, salah satunya ialah pembentukan perpaduan kaum yang mana ia merupakan perkara yang amat penting untuk membentuk satu Negara yang utuh. Menyedari hakikat tersebut, kerajaan telah berusaha membentuk perpaduan kaum di Negara agar Malaysia mampu maju seiring dengan Negara lain di dunia. Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan Negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air.
Perpaduan boleh dicapai melalui dua cara utama iaitu integrasi dan asimilasi. Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan identiti nasional dalam kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesuatu unit politik. Manakala asimilasi pula merupakan satu proses bagaimana kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar. Namun jika diteliti  kedua-dua aspek tersebut, kerajaan lebih banyak mengusahakan pembentukan perpaduan kaum melalui proses integrasi kerana melalui proses integrasi setiap etnik akan dapat berkongsi satu identiti nasional dan apabila ini berlaku maka secara logiknya akan wujudlah proses asimilasi. Namun begitu apa yang ingin difokuskan di sini ialah usaha kerajaan membentuk perpaduan selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Dalam usaha untuk membentuk perpaduan selepas peristiwa 13 Mei, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan mengisytiharkan darurat. Ketika peristiwa 13 Mei 1969 berlaku,  keadaan amat tidak terkawal dan pertempuran antara kaum berlaku akibat suasana tegang. Untuk meredakan ketegangan keadaan ini, kerajaan telah mengisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969 di seluruh Negara. Tujuan diisytiharkan darurat ialah pertama untuk menenangkan keadaan yang tidak terkawal. Kedua ialah untuk memberi masa kepada pihak yang terlibat bertenang dan berfikir secara rasional atas segala tindakan mereka. Ketiga untuk cuba menghentikan kekacauan yang berlaku dalam masa yang singkat.
Selain itu tertubuhnya Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Setelah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 16 Mei 1969 kerajaan telah menubuhkan Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Tun Abdul Razak. Turut menganggotai MAGERAN ialah pemimpin-pemimpin parti politik, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera. Antaranya ialah Tun Dr. Ismail, Tan Siew Sin, Tun G.T Sambatan, Dato’ Hamzah Bin Abu Samah, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Tan Sri Mohd Salleh Ismail dan Jeneral Tunku Osman Tunku Mohd Jiwa. Fungsi utama MAGERAN adalah untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang Negara, menentukan pentadbiran yang licin dan sempurna dan mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum di Malaysia. Dengan wujudnya MAGERAN, maka sistem kerajaan berparlimen telah digantung dan semua kuasa pentadbiran telah dipusatkan kepada MAGERAN. Fungsi kerajaan berparlimen mula dipulihkan semula pada 23 Februari 1971.
Tertubuhnya Majlis Perundingan Negara juga merupakan salah satu usaha untuk membentuk perpaduan dalam masyarakat Negara Malaysia. Majlis perundingan  Negara telah ditubuhkan pada bulan Januari  1970 untuk membentuk perpaduan antara kaum di Malaysia dan  telah dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak. Ahli-ahli majlis ini terdiri daripada wakil-wakil menteri-menteri yang menganggotai MAGERAN, kerajaan-kerajaan Negeri, parti-parti politik,  Sabah dan Sarawak, kumpulan-kumpulan Agama, badan-badan Profesional, Perkhidmatan Awam, Kesatuan Sekerja dan Persatuan Majikan, wartawan, Persatuan Guru-guru dan kumpulan minoriti. Fungsi utama  Majlis Perundingan Negara ini adalah untuk meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melibatkan pelbagai kaum. Ia juga bertindak sebagai penasihat kepada MAGERAN mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan perhubungan dan integrasi kaum di Malaysia.
Selain itu, usaha untuk membentuk perpaduan adalah dengan memperkenalkan Rukun Negara. Menyedari masyarakat berbilang kaum di Malaysia tidak mempunyai satu hala yang jelas maka kerajaan telah memperkenalkan rukun negara untuk memberi garis panduan yang lebih jelas kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Rukun negara adalah manifestasi ideologi nasional dengan tujuan untuk mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, warna kulit, bangsa dan agama. Konsep rukun negara yang dibentuk oleh MAGERAN ini pada asasnya  ialah untuk membentuk corak masyarakat Malaysia berdasarkan prinsip hidup yang telah pun wujud dan boleh dijadikan  pegangan masyarakat Malaysia. Antaranya ialah mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta suatu masyarakat yang adil dan kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi yang kaya dan pelbagai corak dan membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi. Konsep rukun negara  telah dibahagikan kepada lima prinsip iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja Dan Negara, Kedaulatan Undang-undang, Keluhuran Perlembagaan dan Kesopanan Dan Kesusilaan.
Pembentukan Majlis Muhibah. Majlis Muhibah ini telah ditubuhkan atas arahan daripada MAGERAN. Majlis ini telah diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ia diadakan di setiap peringkat iaitu peringkat pusat, daerah negeri dan kawasan. Hal ini bertujuan untuk memastikan matlamat penubuhan majlis ini berjaya di segenap lapisan masyarakat Malaysia.  Majlis ini berperanan untuk menggalakkan perkembangan muhibah dalam kalangan pelbagai kaum dan berusaha ke arah memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia yang telah musnah akibat peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Wujudnya penyusunan semula politik iaitu penubuhan Barisan Nasional. Apabila berlakunya masalah 13 Mei, kebanyakan parti-parti politik mula menyedari peri pentingnya bersatu dalam satu barisan yang menggabungkan pelbagai kaum. Justeru itu, wujudlah Barisan Nasional yang lahir atas kesedaran untuk mengatasi masalah perpaduan kaum akibat peristiwa 13 Mei 1969. Ia dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) serta enam lagi parti politik. Tujuan pembentukan Barisan Nasional adalah untuk mengurangkan perpecahan politik dan sesuai dengan pindaan Perlembagaan 1971. Rombakan politik ini telah berjaya menampakkan hasil yang cukup memberangsangkan kerana semua pihak semakin mula memahami kepentingan perpaduan kaum.
 Terdapat juga beberapa dasar kerajaan yang dibuat untuk membentuk perpaduan yang lebih baik selepas peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa 13 Mei 1969 telah memberikan impak negatif terhadap perpaduan rakyat Malaysia. Kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak Dato’ Hussein menyedari akan hal ini kerana jika ia tidak dibendung atau disekat ia akan mencetuskan satu situasi yang tidak diingini sekali lagi. Justeru pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah ini melalui dasar-dasar yang dibentuk untuk membina perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
Antaranya ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini telah diperkenalkan pada tahun 1970 dan mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Melalui dasar ini kerajaan bertindak untuk merapatkan jurang kekayaan antara golongan kaya dan golongan miskin tanpa mengira kaum kerana ketidakseimbangan kekayaan terutamanya antara kaum hanya akan mencetuskan suasana yang tidak harmorni akibat rasa tidak puas hati antara satu sama lain. Justeru untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru ini kerajaan telah memberi banyak tumpuan kepada golongan seperti pekebun-pekebun kecil, penghuni estet, petani nelayan dan pesawah.
Antara program dan perancangan yang telah dilaksanakan ialah seperti berikut penyediaan infrastruktur parit dan tali air termasuk pemberian subsidi dan kredit bagi membolehkan pesawah melaksanakan penanaman padi dua kali setahun, menyediakan skim penanaman semula yang menggalakkan penggunaan benih kacukan berhasil tinggi serta pemberian kredit dan subsidi sara hidup serta bantuan untuk pembiakan ikan dan kegiatan ternakan yang  ditujukan kepada pekebun kecil, menyediakan skim pemilikan bot dan pemberian subsidi kepada nelayan untuk membantu mereka memberi kelengkapan menangkap ikan yang perlu dan lebih berguna, melaksanakan rancangan pembukaan tanah baru yang membolehkan penghuni desa menyertai kegiatan pertanian moden, misalnya skim anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA) dan melaksanakan penyediaan kemudahan sosial seperti klinik, hospital, sekolah bekalan air dan elektrik, rumah kos rendah dan peluang pekerjaan sebagai peniaga kecil bagi kumpulan berpendapatan rendah.
Dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), kerajaan juga memberi tumpuan untuk menyatupadukan semula masyarakat yang telah berpecah belah akibat ketidakseimbangan perolehan dan pengagihan kekayaan negara. Dalam dasar ini kerajaan menetapkan sasaran untuk pemilikan ekuiti dalam bidang perusahaan dan perniagaaan iaitu 70 peratus ekuiti rakyat Malaysia termasuk 30 peratus ekuiti bagi kaum Bumiputera pada tahun 1990. Selaras dengan usaha untuk menjayakan DEB kerajaan telah mengambil langkah-langkah berikut untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan DEB iaitu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan kurang berupaya, menyusun semula corak guna tenaga dalam sektor ekonomi tertentu, menyusun semula pemilikan ekuiti, melatih dan membentuk para usahawan dan pedagang baru dalam kalangan masyarakat bumiputera, menambahkan kuota pendidikan di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri khas untuk pelajar bumiputera dan menambahkan bilangan bumiputera yang berkelayakan ikhtisas dan teknikal dalam sektor awam dan swasta.
Untuk memastikan DEB akan berjaya mencapai matlamatnya kerajaan turut menggembleng tenaga jabatan kerajaan yang terlibat untuk menggerakkan instrumen DEB. Antara perbadanan yang mengambil bahagian untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf ekonomi kaum Bumiputera ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Perbadanan-perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Bank Negara, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Skim Amanah Saham Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan  Pusat Daya Pengeluaran Negara (PDPN). Setelah tahun 1990 tahun yang dijangkakan untuk mencapai matlamat DEB tiba, DEB masih lagi belum berjaya mencapai matlamat sepenuhnya seperti pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam aktiviti ekonomi. Namun begitu banyak juga kejayaan yang telah dicapai seperti purata pendapatn isi rumah yang bertambah, pengurangan kadar kemiskinan telah dapat dikurangkan dan pengenalan kaum berdasarkan aktiviti ekonomi telah berkurangan.
Seterusnya adalah Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah hasil daripada Akta Pelajaran 1961 yang berdasarkan syor laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Ia telah termaktub dalam Ordinan Pendidikan 1957. Pada amnya dasar ini bertujuan untuk membantu menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan melalui sistem pelajaran yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama serta berasaskan kokurikulum, peperiksaan dan kegiatan kokurikulum yang sama. Antara langkah yang telah diambil ialah bahasa Inggeris diwajibkan di semua sekolah rendah dan bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan di semua sekolah menengah.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di semua sekolah diperkenalkan secara berperingkat-peringkat. Bahasa Melayu mula diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun 1970, tetapi pada tahun 1983 semua kursus tahun pertama di peringkat universiti diajar dalam Bahasa Melayu. Objektif utama sistem pelajaran kebangsaan ialah untuk memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya. Antara matlamat lain dasar ini adalah untuk menghasilkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih, menggalakkan perkembangan ekonomi, umpamanya menyediakan tenaga kerja khasnya dalam bidang sains dan teknologi, menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan politik Negara, membentuk satu masyarakat majmuk yang bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain, mengurangkan pembaziran tenaga kerja akibat terlalu ramai murid yang keciciran dari alam persekolahan pada usia yang muda hingga mengurangkan potensi kerja Negara dan mendemonstrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar.
Antara strategi yang telah dilaksanakan pula ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama, mengadakan kurikulum dan peperiksaan yang sama di semua sekolah, memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada 1982 berdasarkan kemahiran 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira serta memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988, mempertingkatkan pendidikan rohani, disiplin dan keagamaan, menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang dapat memupuk disiplin dan perpaduan dan memperluaskan pendidikan teknik dan vokasional dan mempelbagaikan kemudahan pelajaran.
Langkah-langkah tersebut amat penting untuk memupuk perpaduan terutamanya langkah yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama. Hal ini akan memberikan kefahaman dan rasa saling memahami sambil dapat menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain kerana mereka dapat berinteraksi dengan menggunakan  satu bahasa tunggal iaitu bahasa Melayu. Melalui aktiviti ko-kurikulum pula akan dapat melahirkan insan generasi yang dapat menghargai perpaduan dan bermoral tinggi agar tidak berlaku lagi ulangan kepada peristiwa 13 Mei 1969.  Ia juga boleh dihayati menerusi falsafah pendidikan negara yang telah ditetapkan seperti berikut “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Jika diteliti falsafah pendidikan negara tersebut nyata bahawa dasar pendidikan negara adalah satu dasar yang diwujudkan untuk menyemai rasa cinta kepada negara yang secara simboliknya menuntut usaha ke arah mempereratkan perpaduan antara satu sama lain agar kisah 13 Mei 1969 tidak akan berulang.
Sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama Malaysia tidak lari daripada aspek kepelbagaian budaya antara satu sama lain. Melalui Dasar Kebudayaan Kebangsaan, unsur-unsur kebudayaan dapat digunakan untuk membentuk warganegara yang lebih baik dan membina negara bagi mencerminkan satu keperibadian Malaysia. Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah dirangka berteraskan tiga prinsip utama yang telah ditetapkan oleh Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 iaitu Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsur Kebudayaan Kebangsaan dan Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.
Dasar ini juga penting kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai kebudayaan yang berbeza kerana ia dapat saling memberi kefahaman tentang budaya masing-masing agar perasaan prasangka antara satu sama lain dapat dihindari. Antara lain dasar ini juga menolak unsur-unsur barat yang tidak sesuai daripada meresap masuk dan mempengaruhi kebudayaan rakyat Malaysia. Matlamat Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah membantu mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, memupuk dan menjamin keutuhan identiti kebangsaan dan memperkayakan dan mempertingkatkan mutu kehidupan manusia dan menanam sikap kerohanian yang seimbang dengan pembangunan kebendaan di Malaysia.
Pelaksananan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dalam membentuk apa jua dasar perkara yang paling penting ialah soal pelaksanaan kerana jika ia hanya sempurna di atas kertas tetapi tidak dapat diterjemahkan ke dunia nyata maka tiada gunanya ia dibentuk. Begitu juga dalam soal Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang telah dilaksanakan agar matlamatnya tercapai. Antaranya ialah memperbanyakkan dan mengembangkan pertunjukan kebudayaan di peringkat negeri dan nasional, memberi latihan dan menyokong pergerakan-pergerakan kebudayaan, meningkatkan taraf dan mutu berbagai-bagai bidang seni di negara kita, memupuk kesedaran kebangsaan dan memenuhi keperluan sosiobudaya negara.
Selain itu, dengan mewujudkan Dasar Pembangunan Nasional (DPB). Dasar Pembangunan Nasional (DPB) diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad pada 17 Jun 1991 di parlimen. DPN dilaksanakan bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ia terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) bagi tempoh tahun 1991-2000. Melalui dasar ini ia masih lagi mengekalkan tujuan asas DEB dan bermatlamatkan untuk mencapai pembangunan seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan adil. Matlamat akhir dasar ini ialah untuk membentuk perpaduan kaum. DPN merangkumi beberapa aspek penting seperti berikut  mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara  matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama, memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan, mengurang dan akhirnya menghapuskan keadaan ketidaksamaan dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi dalam negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi daripada pembangunan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia, menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi dalam kalangan negeri-negeri dan di antara kawasan luar bandar dan bandar, membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi, di samping mempunyai   nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif  serta menghayati perasaan bangga dan cintakan Negara, memajukan pembangunan sumber manusia termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran-kemahiran perlu bagi menghadapi cabaran dalam pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat, menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden dan memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.
Melalui DPN terdapat empat perkara yang telah digariskan kepada pendekatan strategi ekonomi DEB iaitu mengalih tumpuan membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan termiskin di samping mengurangkan kemiskinan relatif, menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat dan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama. DPN merupakan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan menerusi DEB dan bertujuan untuk membina sebuah negara Malaysia yang lebih makmur dan sentosa.

KESIMPULAN
Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan-sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negara bangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi. Andaikata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimanfaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.
Masalah 13 Mei 1969 jika dilihat dari satu aspek sememangnya banyak memberikan kesan negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain ia sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia. Melalui peristiwa berdarah itulah, kita kini, dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai, harmoni hinggakan menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dapat hidup bersama dalam keadaan dan suasana yang aman damai. Jika dilihat faktor berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 kebanyakan disebabkan oleh peranan penjajah yang telah membentuk satu masyarakat yang mempunyai kelas dan tahap tertentu demi untuk memelihara kepentingan mereka di Tanah Melayu.
Justeru setelah berlaku peristiwa 13 Mei kerajaan telah mengambil langkah untuk membentuk semula masyarakat Malaysia menerusi dasar-dasar dan tindakan segera yang telah diambil untuk memastikan bahawa kemakmuran negara akan terus terpelihara dan terjamin. Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku, semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini.
Apa yang perlu dilakukan kini oleh rakyat Malaysia ialah terus mendukung aspirasi nasional tanpa mengira apa pun fahaman politik dan saling bantu-membantu antara satu sama lain ke arah Malaysia yang lebih adil. Dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan pula haruslah didokong dan diberi sokongan yang sewajarnya agar ia berjaya mencapai matlamatnya. Selepas 13 Mei 1969 juga jelas menampakkan satu peningkatan yang amat membanggakan bagi negara kita dari segi pemupukan perpaduan kaum dan ia adalah hasil daripada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan melalui dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pembangunan Nasional dan sebagainya.

video

DISEDIAKAN OLEH :

AEIZA MUNIRAH BT AHMAD FUAD (022689) 
SITI MARHANIM BT ABDULLAH (020757) 
NAZHATUL AIN BT HISAMUDIN (022166) 
NURUL AIN BT ZAINUL ABIDIN (022125) 
SITI ZALEHA BT MOHD RAZMI (024082) 
MASHITAH BT ABDUL RAHIM (024070) 
SITI NURMALA BT ARIFF (022889) 
SURYANI BT TUGIMAN (023702) 
NUR AINI BT ZAINAL (024221) 
WIDAD BT MAT ALI (021942)
IJAZAH SARJANA MUDA SAINS SOSIAL 
(ANTROPOLOGI DAN DAKWAH) DENGAN KEPUJIAN
UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UniSZA)
KAMPUS GONG BADAK
TERENGGANU DARUL IMAN

UNTUK KURSUS HUBUNGAN ETNIK
RUJUKAN
  1. Abu Hassan Adam, 1994. Menebus Maruah, Petaling jaya, Selangor: Kumpulan Rusa Sdn. Bhd.
  2. Aziz Deraman, 2002. Pembinaan Bangsa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Chamhuri Siwar, 1988. Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. Ghazali Shafie, 1985. Rukunegara A Testament Of Hope, Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn Bhd.
5.      Hwang, In-Won (2003). Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir, Institut Pengajian Asia Tenggara.
  1. Mansor Mohd Noor, 2002. Transformasi Hubungan Etnik Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Norizan Yusof, 2002. Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
  3. Shamsul Amri Baharuddin, 1998. Hubungan Etnik, Universiti kebangsaan Malaysia: Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia.


[1] Norizan Yusof , Sejarah Malaysia, Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 2000, halaman 67

[2] A. Aziz Deraman, Pembinaan Bangsa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, halaman 117




5 comments :

aniqbukhary said...

Bermanfaat untuk assignment saya.. thankz...

Widad Ali said...

Alhamdulillah. Semoga ia membawa manfaat kepada semua :)

nurizzati meh said...

terima kasih...
sangat membantu dalam menyiapkan assignment pengajian malaysia saya..
i wish u all hve good future..
:)

nurizzati meh said...

tq..
sangat membantu saya dalam menyiapkan assignment pengajian malaysia..
i wish u hve good futute
:)

Widad Ali said...

Sama-sama. Terima kasih. You too :)