Friday, 13 January 2012

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA DALAM MENYEDIAKAN TENAGA KERJA BERKEMAHIRAN

 
PENDAHULUAN

Pendidikan merupakan faktor kritikal dalam menghadapi situasi tegang yang melanda mana-mana Negara jika tidak ditangani dengan segera seperti masalah pengganguran. Kemahiran dan pengetahuan boleh dibina melalui proses latihan dan pendidikan dimana ia dilihat menjadi faktor yang penting dalam membantu sesebuah negara menikmati kelebihan persaingan dan peningkatan ekonomi yang berterusan. Ini kerana melalui pendidikan, tenaga mahir yang kompeten dan berdaya saing dapat dihasilkan dan ia turut memberikan impak positif kepada perkembangan ekonomi negara.

Pendidikan merupakan suatu fenomena yang sangat dinamik dan melalui proses evolusi dan transformasi mengikut peredaran masa dan zaman. Pendidikan perlu dijadikan alat untuk menjayakan sektor ekonomi. Dengan perkembangan dan kemajuan dalam teknologi, khususnya dalam bidang sains dan teknologi, berbagai-bagai aktiviti ekonomi dapat dipergiatkan dalam hal ini sekaligus membolehkan sumber manusia juga dapat dipelbagaikan dari segi kemahiran. Pendekatan yang mungkin perlu diberi perhatian ialah penglibatan industri dalam merancakkan aktiviti ekonomi Negara. Industri di Malaysia seharusnya menggunakan takungan kemahiran Negara sebagai penjana sektor ekonomi supaya negara terus dapat bermandiri selain menjimatkan kos pengeluaran daripada mengupah kepakaran dari luar. Industri boleh melibatkan diri dalam perancangan universiti dengan cara mengenal pasti program yang menepati keperluan industri, disamping membantu untuk menyediakan kewangan dalam menjayakan pendidikan, melalui penyediaan prasarana dan dana penyelidikan yang mempunyai kepentingan industri.

Penyelidikan dan pembangunan merupakan asas untuk menjana teknologi dan perubahan baru dalam perkembangan sosioekonomi. Bagi kebanyakan Negara maju, kejayaan ekonominya bergantung kepada hasil penyelidikan yang dapat mengubah ekonomi Negara, disamping meningkatkan nilai budaya sosiobudaya bangsa. Perubahan ekonomi ini sebenarnya menentukan tahap daya saing sesebuah Negara. Peranan universiti menjadi lebih jelas, yakni untuk memastikan setiap hasil penyelidikan akan dapat mewujudkan daya saing yang baru sama ada dalam penjagaan produk atau proses yang memungkinkan ilmu baru dapat mempengaruhi sektor ekonomi negara.


PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Sebelum Kemerdekaan

Sebelum kedatangan kuasa penjajah, pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kognitif pelajar-pelajar. Corak pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan menumpukan kepada pengajaran al-quran, tingkah laku, dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian serta seni mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan. Pada peringkat lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang disebut sebagai ‘sekolah pondok’ yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal. Pelajar-pelajar yang menuntut di Madrasah agama akan tinggal di pondok yang dibina di sekelilingnya.

Pada peringkat kedua dalam perkembangan sistem pendidikan di Tanah Melayu berlaku semasa zaman penjajahan Inggeris (1824-1957). Pada peringkat ini pendidikan di Tanah Melayu telah dikelola, dikendalikan serta dikawal dan diletakkan dibawah kekuasaan penjajah Inggeris tanpa mempunyai satu falsafah yang konkrit atau dasar pendidikan kebangsaan. Pentadbiran pendidikan di Tanah Melayu semasa ini adalah mengikut dasar penjajah pada ketika itu iaitu ‘pecah dan perintah’ serta dasar terbuka dan tiada campur tangan tentang pendidikan vernakular. Matlamat utama sistem pendidikan penjajah ialah semata-mata untuk memberi pendidikan kepada segolongan rakyat bagi membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi dimana perhatian kepada pelajar melayu adalah hanya sekadar melepas batuk ditangga sahaja, iaitu sekadar menunaikan kewajipan dan kebolehan rakyatnya bagi mencapai kemajuan. Mereka mengendalikan pendidikan ini di bawah dasar kebajikan benevolen (benevolent welfare policy). Oleh itu objektif pemerintahan Inggeris hanyalah sekadar menjadikan keadaan struktur sosial yang sedia ada itu sedikit efisien sahaja. Tegasnya, pendidikan zaman ini berkembang secara sewenang-wenangnya tanpa satu dasar yang jelas membina dan memupuk unsur-unsur kebangsaan dikalangan rakyat. Akibat dasar Inggeris tersebut maka wujudlah sistem pendidikan plural (plural education of system) sesuai dengan keadaan struktur masyarakat majmuk. Terdapat lima aliran bahasa iaitu Cina, Melayu, Arab dan Tamil. Sistem pendidikan plural ini tidak dapat menyemai serta memupuk semangat kebangsaan dikalangan penduduk berbilang kaum kerana orientasi pendidikan yang sumbang ini telah menekan dan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang kepada Negara asal mereka.

Zaman Pemerintahan Inggeris

Pendidikan Melayu


Pendidikan Melayu yang awal menekankan pengajaran al-Quran dan pengetahuan asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M). Pendidikan Melayu diadakan hanyalah diperingkat rendah sahaja. Anak-anak Melayu yang bercita-cita tinggi dan ingin melanjutkan pelajaran terpaksa memasuki sekolah menengah Inggeris di bandar. Tujuan utama sekolah-sekolah Melayu diasaskan pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 ialah untuk membolehkan anak-anak Melayu terus kekal di desa bagi mewarisi kemiskinan keluarga. Oleh itu pendidikan yang berbentuk sekular dalam Bahasa Melayu dihadkan kepada empat tahun sahaja dengan skop dan kurikulum yang terhad. Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau menyumbangkan kepada mobiliti menegak dikalangan masyarakat melayu.

Pada awal abad ke 20, bagi menampung permintaan yang bertambah terhadap Pendidikan menengah, maka Maktab Melayu Kuala Kangsar telah ditubuhkan dan diasaskan mengikut model English Grammar School pada tahun 1905. Akan tetapi, sekolah ini adalah khas untuk golongan bangsawan sahaja. Pada tahun 1922, bagi memenuhi permintaan yang bertambah terhadap guru-guru sekolah melayu yang berkelayakan, Maktab Perguruan Sultan Idris pula telah ditubuhkan. Kemudian disusuli dengan penubuhan Maktab Perguruan Perempuan Melayu di Melaka pada tahun 1935. Jelaslah disini, bahawa dasar pentadbiran Inggeris ialah untuk menjaga kepentingan mereka sendiri. Orang-orang Melayu tidak digalakkan ke Bandar atas faktor untuk memisahkan orang melayu daripada kemajuan perbandaran dan perindustrian.


Pendidikan Arab

Pendidikan Arab dan Agama iaitu satu lagi jurusan persekolahan yang digunakan untuk menampung persekolahan anak-anak melayu. Sekolah ini dikendalikan secara tidak formal dan kurikulumnya menekan pengajaran Quran serta pendidikan moral dan kerohanian. Selepas perang Dunia Pertama, sekolah-sekolah Arab dan Agama telah muncul di merata-rata tempat di semenanjung Tanah Melayu dan tersebar terutama di negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.


Pendidikan Cina

Dasar terbuka dan tidak campurtangan Inggeris dalam hal ehwal sosial kaum pendatang menyebabkan wujudnya sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh masyarakat masing-masing tanpa bantuan daripada Inggeris hinggalah tahun 1920 an selaras dengan tradisi mengutamakan pelajaran dan mengekalkan kebudayaan serta identiti bangsa. Masyarakat Cina mula bergiat menubuhkan sekolah Cina sejak awal abad ke19.

Dasar tidak campur tangan Inggeris dalam pendidikan vernakular menyebabkan perkembangan politik dan ekonomi negeri Cina mempengaruhi sistem pendidikan masyarakat Cina di semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kurikulumnya berorientasikan negeri Cina, dan buku-buku teks serta guru-guru juga dibawa masuk dari sana. Isi kurikulumnya menegaskan pengetahuan dalam bidang 3M iaitu membaca, mengira dan menulis serta turut merangkumi pengetahuan berkenaan lukisan, Bahasa Inggeris, Ilmu Alam, Sejarah, Kraftangan dan pengetahuan am. Pada tahun 1920-an pengaruh kuat sekolah Cina telah menyedarkan Kerajaan Inggeris tentang bahaya pertumbuhan sekolah Cina tanpa kawalan. Oleh itu pentadbiran Inggeris mula memperkenalkan satu undang-undang pada tahun 1920 iaitu Enakmen Pendaftaran Sekolah diwujudkan. Tujuannya untuk mengelakkan sekolah ini daripada terasing seta mengawal aktiviti sekolah ini. Bermula tahun 1924, sebahagian sekolah-sekolah Cina ini menerima bantuan kewangan daripada kerajaan. Pada amnya, guru-guru di sekolah ini tidak mengikuti latihan formal sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua apabila program latihan kelas formal telah diadakan. Dasar pentadbiran Inggeris ini secara langsung atau tidak langsung mewujudkan lagi jurang pendidikan diantara anak-anak Melayu dan Cina.


Pendidikan Tamil

Sekolah-sekolah Tamil pula banyak didirikan di ladang-ladang getah yang sebahagian besar kaum keturunan India ditempatkan dan didirikan serta dikelolakan oleh masyarakat India sendiri. Pihak kerajaan atau majikan ladang getah tidak memberi bantuan samada dari segi fizikal, kewangan dan pedagogi. Oleh itu, sekolah-sekolah Tamil yang didirikan di ladang-ladang getah menghadapi beberapa kekurangan dari segi isi kandungan kurikulum, tenaga pengajar dan pedagogi. Sekolah ini adalah tidak berfungsi dengan baik diatsas beberapa faktor pengekang dan bersifat cul-de-suc iaitu sebahagian besar pelajarnya akan kekal di ladang getah untuk menjadi buruh kasar.

Pada tahun 1923, negeri-negeri Melayu Bersekutu telah meluluskan satu rang undang-undang dimana satu peruntukan telah dimasukkan ke dalam ordinan ini iaitu majikan ladang getah diwajibkan membina sekolah bagi anak-anak pekerja mereka. Mubaligh Kristian juga banyak memberi bantuan dan sumbangan kepada perkembangan pendidikan Tamil. Kurikulum di sekolah-sekolah Tamil ini mula disesuaikan mengikut negeri India, begitu juga kebanyakan guru serta buku-buku teks yang telah dibawa masuk dari India. Kurikulumnya menegaskan pengetahuan dalam kemahiran asas 3 M iaitu membaca, mengira dan menulis karangan, ilmu alam dan kebersihan diri (personal hygiene). Pendidikan di sekolah Tamil juga terhad di peringkat rendah sahaja. Dasar pemerintahan Inggeris terhadap perkembangan pembangunan sekolah Tamil terus menambahkan lagi jurang pendidikan diantara 3 kaum utama di Negara iaitu Melayu, Cinda dan India.


Pendidikan Inggeris

Pendidikan Inggeris mula diperkenalkan di Tanah Melayu dengan penubuhan Penang Free School pada tahun 1816. Pada pertengahan abad ke 19, mubaligh Kristian membantu menubuhkan beberapa buah sekolah Inggeris. Kebanyakan sekolah ini ditubuhkan dikawasan-kawasan Bandar dengan bantuan Kerajaan Inggeris. Kurikulumnya bercorak Kurikulum School of Great Britain dengan tujuan mengeluarkan pegawai-pegawai tadbir rendah bagi memenuhi keperluan kuasa, metropolitan British. Pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris diadakan pada peringkat rendah dan menengah. Bagi memenuhi keperluan guru pelatih, program latihan guru kelas normal dimulakan di Kuala Lumpur pada tahun 1905 dan di Pulau Pinang pada tahun 1907. Kursus-kursus pendidikan peringkat diploma kemudiannya ditawarkan di Raffles College, Singapura. Manakala pembelajaran tinggi bermula dengan penubuhan Medical School di Singapura pada tahun 1905 dan pada tahun 1912, namanya telah ditukar menjadi King Edward VII Medical College. Raffles College yang ditubuhkan pada tahun 1928, menawarkan kursus-kursus dalam bidang Sastera dan Sains.

 
Semasa Perang Dunia Kedua

Semasa perang Dunia Kedua (1941-1945), negeri-negeri yang menganggotai Malaysia telah diduduki oleh tentera Jepun. Perkembangan ini memberi perubahan kepada sistem pendidikan di Semenanjung Malaysia. Dasar pelajaran di bawah pemerintahan tentera Jepun, ialah sekolah-sekolah venakular dan Tamil diteruskan seperti sebelumnya tetapi adanya penambahan iaitu Bahasa Jepun dijadikan bahasa pengantar dalam kokurikulum serta berorientasikan negeri Jepun. Penubuhan Sekolah Nippon-Go bagi mengantikan sekolah Cina dan Inggeris. Pendidikan menengah telah dihentikan dan ditubuhkan beberapa sekolah teknik dan maktab teknik untuk pengajian telekomunikasi, ‘maritim’, perikanan, pertanian dan pembinaan. Pendidikan pascazaman pemerintahan Jepun tidak mempunyai satu falsafah untuk tujuan perpaduan rakyat dan membentuk identiti Kebangsaan kerana ia lebih menekankan kepada faktor kesetiaan terhadap kerajaan Jepun itu sendiri.


PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN AWAL MERDEKA

Selepas Perang Dunia Kedua, perkembangan politik negeri China, India dan Negara jiran banyak berlaku perubahan kesan dari Perang Dunia yang berlaku. Masyarakat pendatang mula menganggap Tanah Melayu sebagai kediaman mereka. Orang melayu pula mula mendesak supaya Kerajaan membaiki mutu pendidikan disekolah-sekolah Melayu serta menambahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran.

Sebuah jawatankuasa Laporan Barnes ditubuhkan dan telah mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah kebangsaan dari bahasa berbilang kaum sama ada menggunakan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu sebagai pengantar utamanya. Sekolah Cina dan Tamil akan ditukar secara beransur-ansur kepada sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan aliran Kebangsaan. Cadangan tersebut telah ditentang hebat oleh orang Cina.

Antara laporan lain yang dijadikan kepada asas pembentukan semula sistem pendidikan Kebangsaan ialah Laporan Razak (1957) dimana didalamnya terkandung Dasar Pendidikan Kebangsaan dibawah Ordinan 1957. Tiga aspek dasar yang penting terkandung dalam laporan ini ialah pembentukan sistem pendidikan kebangsaan dimana Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama disebabkan faktor ketuanan dan kependudukan Bangsa Melayu itu sendiri di Tanah air mereka. Tujuan utama sistem pendidikan kebangsaan ini ialah untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai toleransi dan menyatupadukan seluruh rakyat. Aspek lain ialah bertujuan memberi tumpuan kepada fakta-fakta pengajaran yang mengandungi pengertian, pandangan hidup, norma, nilai yang berlandaskan alam Malaysia.

Laporan Rahman Talib (1960) diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961 telah meneruskan cita-cita yang terkandung dalam Laporan Razak dan menggariskan hasrat sistem pendidikan Kebangsaan yang terdapat dalam empat aspek penting. Empat aspek itu ialah menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama walaupun berlainan bahasa diperingkat rendah, menengah, menengah atas, memberi penekanan kepada pendidikan teknik dan vokasional untuk keperluan tenaga mahir dan memberi pendidikan moral dan keagamaan untuk keperluan rohani sebagai teras.

Laporan Kabinet (1979) muncul selepas beberapa tahun Laporan Rahman Talib dilaksanakan. Satu kajian telah dilakukan untuk mengkaji pelajaran dalam menyahut cabaran sains dan teknologi dan Dasar Ekonomi Baru. Enam aspek penting diberi perhatian iaitu penegasan kepada paradigma kurikulum ala Malaysia, penegasan kepada pendidikan asas dalam 3M dan pengajaran pemulihan, pelajaran menengah atas melalui saluran akademik dan vokasional, peluang melanjutkan pelajaran dari 9-11 tahun, peningkatan kerohanian yang kukuh dan peningkatan keseluruhan mutu pelajaran.


PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TERKINI, DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN MATLAMAT DASAR EKONOMI BARU


Laporan Razak, Laporan Rahman Talib dan Laporan Kabinet adalah orientasi kearah pencapaian matlamat dasar ekonomi baru. Dua matlamat utama DEB ialah membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Peranan Kementerian Pendidikan dalam usaha membantu Kerajaan mencapai matlamat adalah serampang dua mata dimana untuk melaksanakan Dasar Ekonomi Baru itu memerlukan para akademik yang terlatih dan pakar. Jadi adalah amat penting pendidikan itu pada masyarakat yang merupakan alat yang paling berkesan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat disamping menaikkan taraf ekonomi Negara.

Objektif pelajaran mengikut DEB ialah mengadakan satu sistem pendidikan untuk mengintegrasikan perpaduan kaum dengan menyediakan pelajaran dan latihan untuk mendapatkan tenaga rakyat yang berguna bagi pembangunan Negara. Meninggikan mutu pelajaran dalam usaha membentuk masyarakat yang progresif berorientasikan sains dan teknologi, menyediakan peluang-peluang pendidikan yang sama (equality of educational opportunities) kepada semua pelajar dari pelbagai peringkat serta memperbaiki usaha penyelidikan, perancangan dan kebolehan pelaksanaannya untuk mencapai objektifnya.

Objektif pendidikan jangka panjang yang terkandung didalam Rancangan Malaysia dibawah DEB dapat dilihat melalui Rancangan Malaysia Pertama (1956-1970) dimana konsep pendidikan telah berubah dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Kerajaan juga telah menyusun semula bentuk pelajaran dengan mengekalkan pendidikan aneka jurusan seperti jurusan ilmiah umum dengan pelajar vokasional, teknik dan seni. Ini kerana pendidikan yang berkesan dapat mencapai perkembangan yang lebih baik diantara pelajar.

Melalui Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) pula tujuannya adalah untuk menyatukan sistem pelajaran bagi menggalakkan penyatuan dan perpaduan Negara. Rancangan pelajaran harus disusuri dan diperluaskan serta latihan perlu diperbanyakkan bagi mencapai keperluan Negara mengenai tenaga rakyat. Keupayaan penyelidikan, perancangan dan perlaksaan perlu diperbaiki bagi mencapai tujuan rukun Negara disamping membentuk masyarakat yang maju berasaskan sains dan teknologi.

Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) lebih menumpukan kepada tiga matlamat iaitu membasmi kemiskinan, meneruskan usaha untuk menyusun semula masyarakat dan memperkukuhkan lagi keselamatan Negara. Tujuannya adalah untuk membentuk keperibadian, perwatakan dan kewarganegaraan yang baik serta meninggikan akhlak melalui sukatan pelajaran dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan diantara kelas melalui pembahagian sumber dan kemudahan Negara dengan lebih saksama. Disamping itu dapat juga membaiki mutu pelajaran untuk mengurangkan keciciran dan menambahkan kesannya untuk pembangunan Negara. Contohnya dengan adanya sekolah bestari yang ditubuhkan untuk memenuhi kehendak Koridor Raya Multimedia bagi melahirkan generasi Rakyat Malaysia ke arah yang lebih kreatif dan inovatif dalam pemikiran. Lima tujuan penubuhan sekolah bestari telah digariskan bagi mencapai matlamat melahirkan generasi yang memenuhi kehendak pasaran. Lima tujuannya ialah menggalakkan perkembangan menyeluruh individu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, menyediakan peluang-peluang untuk individu memperkembangkan kekuatan dan kebolehannya, menyediakan satu kumpulan tenaga kerja yang berfikiran kreatif serta berilmu dalam bidang teknologi, mendemokrasikan pendidikan agar setiap kanak-kanak berpeluang untuk belajar dan membolehkan penyertaan serta penglibatan daripada semua lapisan masyarakat dalam menyertai proses pendidikan.

Segala perubahan ini dikaitkan dengan usaha IPT dan agensi berkaitan untuk bergerak seiring dengan perubahan, sama ada perubahan tersebut berlaku dalam Negara mahupun luar Negara. Perubahan ini berlaku bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan dan dapat digunakan bagi melahirkan graduan yang dapat menyumbang kepada negara. Graduan IPT perlu memberi saingan kepada graduan IPT yang lain untuk memastikan tahap pencapaian mereka ini setanding dengan perkembangan pendidikan global. Persaingan ini bukan hanya wujud dalam kalangan pelajar IPTA dan IPTS dalam Negara, tetapi juga pada peringkat dunia. Persaingan wujud dalam aspek pendidikan tinggi yang diterima dan dipelajari oleh graduan didalam IPT, termasuk pengajaran dan pembelajaran iaitu kurikulum dan kaedah penyampaian, penyelidikan dan pembangunan, perkembangan teknologi, pembangunan sumber manusia, pertumbuhan ekonomi, perubahan dasar pendidikan tinggi, gaya hidup manusia dan perubahan iklim serta alam sekitar. Semua perubahan ini mencerminkan keupayaan institut pendidikan untuk mengendalikan sesuatu isu dan menentukan kaedah penyelesaian yang tepat bagi melahirkan graduan yang berkualiti bukan berkuantiti

Perubahan dan anjakan baru dalam pendidikan tinggi bertepatan dengan usaha kerajaan mewujudkan modal insan yang dinamik dengan daya saing yang tinggi bagi menjana kemajuan Negara dalam semua aspek. Pewujudan modal insan yang bermutu tinggi dengan mentaliti kelas pertama selari dengan ketetapan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9). Disamping itu, modal insan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam berbagai-bagai bidang kepakaran yang dilengkapi pula dengan kemahiran insaniah dan nilai kerohanian menjadi tunjang yang kukuh bagi menjayakan sektor ekonomi dan seterusnya menjana kekayaan.

Ekonomi adalah salah satu faktor yang memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pendidikan tinggi Negara. Ini kerana ekonomi dilaksanakan dari hasil pendidikan yang mendedahkan individu kepada ilmu yang berguna. Dengan erti kata lain untuk menggerakkan jentera ekonomi memerlukan kepakaran akademik yang lahir dari sistem pendidikan yang bersesuaian dengan apa yang dipelajari. Jadi disitulah pentingnya sistem pendidikan itu dalam merangka corak pembelajaran sekaligus melakukan anjakan melahirkan generasi yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat. Kebergantungan antara sektor ekonomi dan pendidikan ini perlu bergerak seiringan agar sama-sama meningkat seterusnya menuju ke arah Negara maju. Disini jelas sekali ekonomi menjadi daya penggerak yang penting dalam proses transformasi pendidikan tinggi Negara sekaligus dapat menjamin peluang pekerjaan yang kini sangat mementingkan kelulusan akademik dan memerlukan tenaga-tenaga mahir sama ada dari sudut pengetahuan mahupun kemahiran yang mereka miliki.

Perubahan suasana dunia serta kemajuan teknologi merupakan daya penggerak yang mempengaruhi sistem pendidikan di Malaysia juga ekonominya. Kesan perubahan akan menyebabkan berlakunya perubahan dalam pendekatan sistem pendidikan. Perubahan ini bertujuan untuk memastikan pendidikan menjadi agen untuk menyesuaikan masyarakat menghadapi kesan perubahan dunia, sama ada perubahan dalaman atau yang berlaku secara global. Pendidikan juga berfungsi untuk menyediakan penyelesaian kepada masalah pengangguran yang wujud yang dikaitkan dengan hal kemelesetan ekonomi dan faktor kebanjiran siswazah itu sendiri.

Antara kepentingan pendidikan ialah melahirkan insan dan masyarakat yang terbaik. Melaluinya masyarakat akan dapat membina keperibadian serta akhlak yang unggul. Sikap saling menolong, kerjasama, ukhwah dan prihatin adalah asas perhubungan sosial. Pendidikan sewajarnya bermatlamat membina perkembangan yang seimbang dalam seluruh peribadi insan melalui latihan rohaniahnya, intelek, rasional, perasaan dan indera. Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia kini telah melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan dan menaik tarafkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangann pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Malaysia, pada hakikatnya telah berjaya dalam usaha pendemokrasian pengajian tinggi dalam mengeluarkan jumlah graduan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja bagi pertumbuhan ekonominya sepanjang tempoh tiga dekad yang lalu. Sebagai gedung ilmu, IPT memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara dan pembangunan modal insan. Pada masa kini, IPTA dan IPTS telah berkembang dengan pesatnya dengan pertambahan bilangan pelajar dan pelbagai program pengajian yang menjadi permintaan pasaran. Usaha meningkatkan keupayaan IPT akan berterusan untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya dengan lebih cekap, telus dan berkesan ke arah mewujudkan sistem pengajian tinggi yang cemerlang.

Kini, universiti awam di Malaysia dikategorikan kepada tiga kumpulan, iaitu universiti penyelidikan, universiti berfokus dan universiti komprehensif. Pusat kecemerlangan di IPTA akan terus dimantapkan supaya mencapai taraf yang dihasratkan. Sehingga kini, terdapat 20 buah IPTA telah ditubuhkan yang terdiri daripada empat universiti penyelidikan, empat universiti komprehensif dan dua belas lagi adalah universiti berfokus.

Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah Negara. Pendidikan juga akan menentukan sama ada tenaga kerja sesebuah Negara itu terus berdaya saing dan berdaya tahan atau tidak. Pendidikan dikatakan pelaburan modal insaniah kerana individu dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran melalui pengetahuan, kemahiran, dan teknologi yang diperoleh menerusi pendidikan yang diambil. Oleh itu, IPT mempunyai peranannya yang tersendiri. Antaranya, menjadi pusat kecemerlangan pembelajaran ilmu dan kesarjanaan. Selain itu pendidikan tinggi juga berperanan dalam mengeluarkan tenaga kerja yang berilmu dan berkemahiran tinggi dan berdaya saing sama ada dalam Negara atau pada peringkat antarabangsa. IPT juga dikenali sebagai pusat perkembangan penyelidikan yang menyebarkan penemuan baru, kreatif dan berinovasi teknologi yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Pendidikan tinggi juga berperanan menyemai nilai kerohanian, keharmonian Negara dan masyarakat dalam mencapai aspirasi Negara.

Daya penggerak, sama ada lahir dari dalam atau luar Negara sentiasa memberi idea-idea baru yang dapat mempengaruhi pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, tidak semua pengaruh yang menjadi daya penggerak ini membawa kesan positif kepada perkembangan pendidikan tinggi. Oleh hal yang demikian, sebelum menerima sesuatu daya penggerak yang dikatakan sebagai pembaharuan, daya penggerak tersebut harus dinilai terlebih dahulu sebelum diserap ke dalam sistem pendidikan tinggi supaya tidak bercanggah dengan aspirasi Negara.

Malaysia berada dalam fasa ekonomi yang memperlihatkan pengetahuan dan inovasi akan menentukan persaingan masa depan dan kejayaan dalam arena global. Tenaga kerja masa depan dan IPT mesti bersedia untuk menghadapi realiti masa depan ini.

KESIMPULAN

Setelah mengetahui segala kronologi pendidikan sejak zaman sebelum penjajahan British sehinggalah zaman selepas merdeka, banyak perkembangan dan perubahan telah dilakukan terhadap sistem pendidikan Negara. Bermula daripada sistem yang berorientasikan kepada bangsa dan agama beralih kepada pendidikan berteknologi tinggi, namun aspek etika moral dan disiplin tidak ditinggalkan begitu sahaja kerana matlamat melahirkan generasi bermodal insan tetap diikuti.

Namun disebalik usaha murni tersebut, terselit beberapa kelemahan yang akan merebak jika tidak ditangani secara menyeluruh oleh kerajaan. Usaha seperti ini memerlukan pengorbanan seluruh rakyat dan tidak hanya bergantung kepada usaha kerajaan sahaja. Hanya dengan cara inilah perkembangan pendidikan akan selaras dengan perkembangan etika pelajar yang sempurna bagi mencapai taraf individu yang berjaya.

Dalam meneliti perancangan yang diatur dan dirangka sendiri oleh kerajaan dapat memperlihatkan tahap keseriusan dan komited dalam mencapai matlamat ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti dan dinamik. Ditambah lagi dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang telah dirangka untuk melonjakkan kualiti sistem pendidikan negara menjelang 2010 bertujuan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan tertinggi di rantau ini. Menyedari akan hasrat dan matlamat kerajaan yang menekankan pendidikan ini, semua pihak telah diminta untuk turut memainkan peranan yang aktif bagi memastikan ia direalisasikan.

Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menjana dan membangunkan ekonomi. Semua pihak perlu memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan pembangunan ekonomi negara dapat dicapai. Pusat pendidikan kini dilihat aktif merangka dan bertindak ke arah pembangunan modal insan agar graduan yang dilahirkan mampu bersaing di pasaran tempatan dan juga luar negara. Jika kesemua jentera yang bertanggungjawab sama ada kerajaan mahupun swasta memainkan peranan, diyakini matlamat Malaysia yang mahu mengubah dari Negara membangun kepada Negara maju menjadi kenyataan. Oleh hal yang demikian, amat penting pendidikan ini disesuaikan agar daya-daya ini dapat dilaksanakan mengikut aspirasi Malaysia yakni berdasarkan keperluan dan kepentingan Negara.


BIBLIOGRAFI

Chamhuri Siwar (1988), Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
Dasar-dasar Pembangunan Malaysia (1992), Kuala Lumpur ; Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
 
Educational Planning and Research Division, Education in Malaysia (1980), Kuala Lumpur ; Kementerian Pendidikan Malaysia
 
Juriah Long (1992), Aliran dalam Amalan Pendidikan Menjelang Abad ke 21, Bangi ; Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
 
Mansor Mohd Noor (2002), Transformasi Hubungan Etnik Di Malaysia, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
Norizan Yusof (2002), Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur ; Fajar Bakti.
 
Shahril @ Charil Mazuki (1993), Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur ; Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
 
Shamsul Amri Baharuddin (1998), Hubungan Etnik, Universiti kebangsaan Malaysia ; Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia.
 
Ruslan Zainuddin (2005), Sejarah Malaysia, Selangor Darul Ehsan ;Penerbit Fajar Bakti Sdn . Bhd.


No comments :

Post a Comment