Sunday 15 January 2012

PROGRAM INTERGRASI SOSIAL


LAPORAN PROGRAM INTERGRASI SOSIAL DI PEDALAMAN SARAWAK
(3 JUN 2009 HINGGA 22 JUN 2009)



PENGENALAN
Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Perkim Kebangsaan kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Darul Iman Malayasia (UDM) untuk mengikuti Program Intergrasi Sosial ini. Tidak lupa juga kepada Dr. Ramle bin Abdullah merangkap pengiring yang banyak membantu kami dalam melakukan persiapan awal sebelum bertolak ke sana dengan berkongsi beberapa tips dan pengalaman serta sedikit ingatan mengenai negeri yang akan kami lawati memandangkan majoriti pelajar tidak pernah sampai lagi ke sana.

Program Intergrasi Sosial yang dijalankan mengambil tempoh masa hampir 3 minggu dan sebanyak 3 kampung telah dilawati seperti Kampung Simbau Rembau di Ulu Simunjan, Kampung Sungai Buloh dan Kampung Rudan yang terletak didalam daerah Serian. Bagi saya program seperti ini banyak memberi pengalaman berguna dalam melihat dan merasai sendiri kehidupan penduduk kampung disamping mempelajari mengenai budaya mereka khususnya Kaum Iban dan Bidayuh.

Secara keseluruhannya program ini banyak membantu kami yang majoritinya terdiri dari kalangan pelajar yang mengambil jurusan Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dalam melakukan kajian lapangan dan ia bukan sekadar melakukan pemerhatian sahaja tetapi kami juga turut serta dalam aktiviti yang dilakukan oleh penduduk setempat yang rata-ratanya beragama Islam dan ini amat membantu kami dalam melakukan persiapan awal menjadi ahli antropologi disamping berdakwah kepada masyarakat kelak.


KAMPUNG SIMBAU REMBAU

Berada di kampung ini selama 3 hari. Merupakan sebuah perkampungan Suku Kaum Iban. Pelajar perempuan diberi kepada keluarga angkat manakala pelajar lelaki terpaksa tinggal di surau. Keadaan kampungnya menyenangkan seolah-olah berada di kampung sendiri kerana persekitarannya yang bersih dan dilihat kurang anjing berkeliaran sementelah majoriti penduduk di situ beragama Islam. Cuma terdapat beberapa ekor anjing yang digunakan untuk berburu misalnya atau menjaga sesebuah rumah.

Penghayatan Islam dalam kehidupan masih kurang diamalkan kerana kurang diberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai agama Islam. Malah kehidupan sesetengah keluarga juga dilihat kurang menampakkan seolah-olah mereka menganut agama Islam jika tidak bertanya apa agamanya. Solat merupakan contoh terbaik untuk melihat adakah Islam diamalkan dalam kehidupan seharian dimana ia tidak didirikan sepertimana yang dituntut. Tetapi menurut perbualan dengan keluarga angkat dimana apai (ayah) kami merupakan bilal dikampung ini, mereka tidak lagi minum tuak lebih-lebih lagi apabila tibanya Pesta Gawai dan kurangnya hiburan yang melampau seperti berpesta yang berlebih-lebihan di kampung itu. Mereka hanya menyambut perayaan mereka itu ala kadar sahaja seperti menziarahi saudara mara sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung khususnya apabila tiba Hari Raya. Ini dilihat sebagai suatu perubahan menuju ke arah kebaikan apabila mereka sedikit demi sedikit meninggalkan amalan yang bercanggah dengan apa yang dituntut oleh Islam yang mereka amalkan sebelum memeluk Islam dan bagi saya ia satu pencapaian yang agak baik.

Majoriti pekerjaan penduduk disitu kebanyakannya bercucuk tanam seperti tanaman lada hitam dan menuai padi. Cuma agak terkilan sedikit kerana kami hanya tinggal disitu beberapa hari dan tidak sempat untuk beramah mesra serta mengikuti setiap aktiviti keluarga angkat kerana kepadatan program yang perlu dilaksanakan seperti aktiviti gotong royong di sekitar kawasan surau, aktiviti sukaneka yang perlu dijalankan serta aktiviti menziarah penduduk dari rumah ke rumah disamping memberi mereka sumbangan berbentuk barang makanan kepada penduduk Islam disitu.

Kemudahan dikampung itu juga dilihat lengkap dengan elektrik 24 jam seperti biasa dan kemudahan perkhidmatan air. Cuma rangkaian telefon disana amat susah untuk didapati dan sukar mencari talian secara tidak langsung menyukarkan bagi kami berhubung sesama peserta apabila diminta untuk berkumpul. Nasib baiklah sistem pembesar suara yang dipasang di surau berfungsi dengan baik dan ia banyak membantu lebih-lebih lagi dalam menjemput penduduk kampung dalam sama-sama menyertai program yang telah dirancangkan. Sambutan yang diberikan agak baik dimana kebanyakan penduduk menyertai program yang kami jalankan disamping memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi. Penduduk disitu juga peramah dan ini memudahkan kami menyesuaikan diri dengan cepat disana dan bagi saya tiada perbezaan antara kami walaupun secara realitinya kami berbeza bangsa, budaya dan adat tetapi sama dari segi agama.


KAMPUNG SUNGAI BULOH

Berada di kampung ini selama 3 hari. Juga merupakan sebuah perkampungan suku kaum Iban. Majoriti penduduk adalah beragama Islam dan dilihat penduduk disitu tidak sahaja menghayati agama Islam malah turut mengamalkan cara hidup yang dianjurkan oleh Islam. Perbualan antara saya dengan Ketua Kampung Sungai Buloh mengutip banyak maklumat. Menurut beliau masyarakat bukan Islam disitu dilihat sering mempersendakan agama Islam malah masyarakat yang beragama Islam juga sering sahaja diperkecilkan serta disindir oleh mereka. Ditanya kepada Ketua Kampung apa jawapannya jika orang Kristian selalu memperlekeh-lekehkan agama Islam ini, beliau hanya membidasnya balik dengan mengatakan mengenai sejarah nenek moyang dahulu dimana dikalangan mereka asalnya kemungkinan beragama Islam tetapi disebabkan beberapa keturunan selepas itu mereka sendiri yang telah menukar agama yang dianuti nenek moyang dahulu. Jadi memperlekeh-lekehkan agama Islam samalah seperti memperlekeh-lekehkan agama yang dianuti nenek moyang dahulu.

Pelajar lelaki mahupun perempuan ditempatkan di surau dan tidak diberi keluarga angkat. Tidak banyak program yang dilakukan disana cuma acara sukaneka yang dijalankan menerusi kerjasama dengan penduduk disana disamping perlawanan persahabatan bola sepak yang diadakan diantara pelajar lelaki dengan penduduk disitu. Sambutan yang diberikan penduduk kepada kami amat menggalakkan. Malah seolah-olah kedatangan kami amat dialu-alukan. Semasa mengadakan sukaneka, mereka juga turut memberi kerjasama dan segala aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan baik.


KAMPUNG RUDAN, SERIAN

Berada di kampung ini selama 10 hari dimana kali ini kami diberi peluang merasa tinggal bersama masyarakat Bidayuh yang majoriti penduduk disini beragama Islam nisbah 2:3 dan lain-lain adalah beragama Kristian. Semua pelajar diberi keluarga angkat. Terdapat 2 keluarga yang bukan Islam turut mengambil pelajar yang beragama Islam. Pengalaman berada bersama keluarga angkat disana tidak dapat dilupakan. Mengikut sumber yang boleh dipercayai, ayah angkat kami adalah merupakan seorang pengedar minuman arak serta rokok. Tetapi Alhamdulillah, sepanjang kami tinggal bersama, babah kami tidak melakukan kerja seperti itu. Malah babah bekerja seperti biasa sebagai seorang buruh binaan. Mak juga sangat menjaga kami, ini terbukti apabila mak memarahi kawan-kawan babah yang selalu datang melepak dirumah tidak kira siang mahupun malam. Ternyata babah mahupun mak amat menghormati kami sebagai tetamu disamping menerima kami dengan rela hati sebagai anak angkat mereka.

Disana, banyak program yang telah dirangka berjalan dengan lancarnya hasil komitmen yang diberikan oleh peserta disamping kerjasama dari penduduk. Program motivasi yang dianjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan dimana anak-anak penduduk disana ramai yang menyertai dan kami menggunakan kesempatan ini memberi mereka pendedahan mengenai pembelajaran khususnya seperti tips mahu menjadi pelajar cemerlang disamping menyelitkan sedikit mengenai apa yang dituntut oleh agama Islam seperti mengajar mereka bagaimana mahu mengambil wudhu dan cara bersolat. Aktiviti gotong royong juga ternyata mendapat kerjasama serta komitmen 100% dari mereka. Dewan yang telah lama telah dicat menjadi baru dan kawasan sekitar surau juga turut dibersihkan. Sukaneka yang dianjurkan juga dapat diadakan dengan meriah dan sambutannya sangat menggalakkan. Ternyata penduduk disana sungguh ‘sporting’ sekali. Kami juga turut menjadi ‘volunteer’ bagi mengajar kanak-kanak KAFA dikampung sebelah iaitu Kampung Rayang. Aktiviti menziarah di Kampung Rayang diadakan pada waktu petang dan kehadiran kami turut disambut oleh penduduk disana. Kami telah diajar tarian poco-poco disamping pelajar lelaki mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak bersama penduduk disana.

Tempoh masa yang lama di Kampung berkenaan membuka ruang dan peluang kepada peserta untuk menyelami disamping mempelajari budaya penduduk setempat serta secara tidak langsung hubungan yang mesra dapat dijalinkan diantara keluarga angkat masing-masing seterusnya memudahkan setiap aktiviti yang bakal dilaksanakan. Banyak yang saya belajar mengenai budaya penduduk disana seperti gelaran yang mereka gunakan. Contohnya gelaran ‘Babai’ dipanggil kepada lelaki yang sudah tua, ‘Apai’ pula digunakan kepada ketua kampung dan beberapa gelaran lagi. Bahasa turut sama tidak dikecualikan. Beberapa patah yang sempat saya pelajari adalah mate’ (mari sini), mered (masuklah), tengkolok (siput sedut) dan mamuh ka piit’ (mandi sungai). Aktiviti penduduk disini tertumpu kepada pertanian seperti penanaman padi huma, lada hitam, dan ada segelintir dari mereka menjadi buruh kasar. Antara lain ialah berkaitan dengan makanan. Mungkin ada di kalangan peserta tidak biasa makan makanan yang banyak berasaskan kepada ulam-ulaman dan lauk pauk yang berbeza dari kebiasaan. Kami bernasib baik kerana mak memberi sepenuh kebenaran untuk memasak sendiri makanan dan mereka nampaknya makan apa sahaja dimasak oleh kami. Walau bagaimanapun, kami tidak membelakangi mak dalam hal ini dimana setiap kali mahu memasak kami akan bertanya kepada mak adakah mereka makan makanan ini ataupun tidak. Dan dari sini kami turut mengambil kesempatan memberi mereka merasa masakan orang semenanjung seperti ikan celup tepung yang amat popular di Terengganu.

Kemudahan dikampung itu masih belum mencapai tahap maju kerana tiada kemudahan elektrik dan masih menggunakan generator pada malam harinya. Air pula disalurkan dari air sungai yang mengalir. Berbanding dengan penduduk di Kampung sebelah iaitu Kampung Rayang yang ternyata lebih maju lagi dengan kemudahan elektriknya serta kemudahan pembelajaran agama (KAFA) disana. Majoriti anak penduduk Kampung Rudan dihantar bersekolah asrama di Semarahan mahupun di Kuching kerana ketiadaan sekolah di situ.

Sepanjang pengamatan saya berada disana, penghayatan agama dilihat amat kurang sekali diamalkan. Mereka masih lagi dengan aktiviti meminum arak, makan labi-labi dan hiburan yang berlebihan dimana kesemua ini amat bertentangan dengan apa yang dituntut oleh Islam. Apa yang menyedihkan adalah pada malam terakhir kami berada disana, selesai sahaja majlis penutup, kami diraikan oleh penduduk disana dengan majlis tari menari yang bagi saya amat tidak patut dilakukan oleh masyarakat yang majoritinya beragama Islam. Lelaki dan perempuan bercampuran dalam satu dewan sambil menari mengikut muzik yang melalaikan. Dan majlis tari menari itu hanya berakhir setelah pukul 7 pagi! Dan ini merupakan satu pengalaman baru bagi saya yang selama ini hanya mendengar tetapi kali ini saya turut mengalaminya sendiri. Bagi saya, mereka masih mengamalkan budaya kehidupan dahulu walaupun telah memeluk Islam. Faktor seperti ketiadaan seseorang yang betul-betul tahu akan agama tiada untuk dijadikan panduan dan tunjuk ajar kepada mereka. Dan ini patut diambil berat oleh kita semua sebagai saudara sesama Islam.


PENUTUP

Tempoh 3 minggu disana banyak memberi pengalaman yang berbeza dikalangan peserta. Dimana secara tidak langsungnya memberi kami peluang merasai sendiri suasana dari konteks yang lain kerana turut serta menyertai aktiviti secara langsung dan tidak hanya belajar sekadar teori sahaja tanpa mempraktikkannya.

Soal perbezaan bahasa tidak menjadi satu masalah kerana rata-rata mereka sudah mula memahami dan mengikut percakapan orang semenanjung mungkin disebabkan proses sosialisasi yang berlaku di kalangan mereka. Begitu juga dengan budaya dimana tidak sukar untuk memahami budaya mereka walaupun amat berbeza dengan budaya masyarakat Melayu terutamanya. Itulah perlunya pendedahan awal berkaitan budaya masyarakat setempat misalnya berkaitan dengan pantang larang diberitahu seawalnya agar kita tidak terlalu dikejutkan dengan kejutan budaya yang berlaku. Minat yang mendalam untuk mempelajari budaya bangsa lain disamping keinginan menyampaikan dakwah perlu ada dalam diri para peserta yang mengikuti program seperti ini kerana mereka tidak akan berasa janggal dan kekok apabila bergaul dengan orang yang berlainan bangsa dan budaya. Hal ini penting kerana sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi kejayaan dakwah yang bakal dilaksanakan jika kita sendiri tidak dapat menyesuaikan diri.

Apa yang paling penting sebenarnya ialah kelakuan dan tingkahlaku perlu dijaga apabila berada ditempat orang lebih-lebih lagi apabila menetap disana dalam tempoh yang lama seperti tidak melakukan perkara-perkara yang boleh dianggap melencong dari norma budaya masyarakat setempat kerana kita akan diperhatikan sepanjang berada ditempat mereka. Bagaimana mahu mengajak orang ke arah kebaikan jika kita sendiri tidak melakukannya.

Kesimpulannya secara keseluruhan, program ini berjaya dalam mencapai objektifnya. Hal ini terbuki melalui tindak balas positif dari penduduk kampung yang dilawati disamping kerjasama dan komitmen yang tinggi daripda semua peserta program ini. Diharap program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar hubungan yang terjalin tidak akan terputus begitu saja disamping agama Islam dapat diterap sedikit demi sedikit kepada sasaran dakwah.









No comments :