Friday 13 January 2012

ADAT ISTIADAT, RESAM DAN PANTANG LARANG ORANG MELAYU


PENGENALAN
Penyelidikan telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu tebal dan kukuh dengan kepercayaan mereka, adat resam mereka, permainan-permainan asli mereka, tarian-tarian mereka dan berbagai-bagai lagi. Sejarah telah menunjukkan bahawa adat resam Melayu ini dibawa mula-mulanya dari Tanah Hindi (India), dan seterusnya dengan kedatangan agama Islam ke rantau ini, adat resam ini dipengaruhi pula oleh Islam.
            Sedikit demi sedikit, diperhatikan dengan peredaran zaman, dan pengaruh sains dan teknologi dari Barat, jenis-jenis tahyul, kecenderungan kepada bomoh dan lain-lain lagi ini semakin menghilang. Kalau pun diketahui atau masih disimpan lagi, unsure-unsur begini masih terdapat di dalam kajian ilmiah atau akademik di Universiti-universiti atau di lain-lain institusi.
            Kepercayaan dan fahaman orang Melayu zaman dahulu berpandukan kepada fahaman animisme iaitu kepercayaan kepada semangat dan benda-benda yang ghaib atau benda-benda yang halus. Semangat mengendalikan secara keseluruhan di dalam kehidupan manusia dan masyarakat ketika itu.
            Namun, orang-orang Melayu pada hari ini berpandukan kepada konsep agama iaitu percaya kepada adanya Allah dan pesuruhNYA, kitab-kitabNYA dan segala-galanya yang berhubung dengan agama.

ADAT ISTIADAT

Adat merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun sejak dahulu kala di dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi serta merujuk kepada tatacara yang sudah menjadi satu kebiasaan dan sifat.
Istiadat pula bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan di dalam majlis rasmi untuk menyambut sesuatu peristiwa seperti perkahwinan, pertabalan dan sebagainya.
Istilah adat berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Tetapi apabila istilah ini diinterpretasikan di dalam bahasa Melayu, ia telah memberi makna yang lebih meluas dan mendalam sehingga secara tradisi ia dapat disamakan dengan kebudayaan. Konsep adat dalam masyarakat Melayu bukan membawa maksud istiadat atau upacara sahaja, tetapi sistem hidup yang nenyeluruh sama ada dari segi sosial, kepercayaan dan perundangan.      
Masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, khususnya masyarakat Melayu Negeri Sembilan beranggapan bahawa adat Melayu itu terdiri daripada dua jenis iaitu Adat Perpatih (yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan dan Naning di Melaka) dan Adat Temenggung (yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di semua negeri Semenanjung Malaysia kecuali Negeri Sembilan).


ADAT PERPATIH

Istilah Adat Perpatih berasal daripada gelaran Sultan Balun, iaitu Datuk Perpatih Nan Sebatang. Adat ini diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan kawasan-kawasan tertentu di Melaka seperti Naning. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau ke Negeri Sembilan pada abad ke 17 dan telah menjadi satu peraturan dan undang-undang yang tidak bertulis dalam bentuk pepatah yang dihafal oleh Ketua Adat dan diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Susunan hukum ini dikenali sebagai tambo atau kata perbilangan adat. Adat Perpatih mengandungi susunan peraturan yang lengkap meliputi semua sudut kehidupan masyarakat seperti susunan pentadbiran dan pembahagian kuasa politik, pembahagian harta, aturan perkahwinan dan kekeluargaan serta kemasyarakatan.

STRUKTUR DAN ORGANISASI SOSIAL
Adat Perpatih menjalankan pemerintahan secara demokrasi dengan kedaulatan terletak di tangan rakyat. Peraturan adat menetapkan bahawa orang lelaki tidak mempunyai hak, kecuali hak dalam mentadbir. Mereka yang melanggar adat akan dibicara dan dihukum. Ketua pentadbir dan pemerintahan yang tertinggi ialah Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar (Raja). Ini diikuti dengan Undang, iaitu Penghulu, Lembaga, Buapak dan Anak Buah. Yamtuan Besar dilantik oleh empat Undang, Undang dipilih oleh Lembaga. Lembaga dipilih oleh Buapak. Buapak pula dipilih oleh Anak Buahnya. Ini bermakna sistem perlantikan Adat Perpatih dibuat dari peringkat bawah ke atas.

 Pemerintahan dijalankan secara permuafakatan melalui wakil daripada setiap suku. Setiap suku dapat dipecahkan kepada kelompok yang lebih kecil yang dinamakan perut. Setiap perut dibahagikan pula kepada beberapa kelompok ruang yang mengandungi beberapa rumpun.
Suku dianggap sebagai satu kelompok kekeluargaan yang besar dalam masyarakat Adat Perpatih. Orang yang menganggotai sesuatu suku itu percaya bahawa mereka berasal daripada moyang perempuan yang sama, akan tetapi garis salasilah yang berpuncakan moyang perempuan itu sebenarnya tidak dapat dipastikan dengan tepat dan jelas. Walau bagaimanapun, ahli-ahli sesuku menganggap diri mereka sebagai adik-beradik. Oleh itu, rasa kesatuan di kalangan mereka adalah kuat dan teguh. Penentuan suku adalah berdasarkan kepada suku ibu.     
Perut adalah kelompok kekeluargaan yang berasal daripada satu keturunan moyang yang sama. Hubungan kekeluargaan dalam satu-satu perut itu lebih jelas jika dibandingkan dengan hubungan kekeluargaan dalam satu-satu suku. Kerjasama di kalangan ahli seperut dalam ritual-ritual utama, seperti majlis perkahwinan dan kematian adalah perlu. Sebelum menjalankan sesuatu aktiviti sosial, ekonomi atau politik, ahli seperut akan berkumpul dalam satu majlis yang dinamakan berkampung. Adat berkampung memainkan peranan penting dalam hidup masyarakat adat. Istiadat ini merupakan satu adat mengumpulkan semua ahli ( sesuku seperut atau sekelompok kekeluargaan yang lain ) untuk membincangkan masalah.

KEKELUARGAAN DAN PERKAHWINAN
Setiap anak perempuan yang telah berkahwin tidak semestinya mempunyai rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibunya. Jadi, rumah pusaka ibu dan anak perempuan yang sudah berkahwin lebih cenderung untuk berkelompok dan berjiran mengadap kawasan sawah padi ( pusaka suku ) yang mereka kerjakan bersama.
Dalam masyarakat Adat Perpatih, kelompok kekeluargaan rumpun membentuk unit keturunan dalam satu suku. Anak-anak bukannya hak keluarga asas yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak-anak mereka, tetapi hak rumpun ibunya. Apabila berlaku kematian atau perceraian ke atas diri si ibu, anak-anak tetap berada dalam lingkungan kelompok rumpun dan jika yatim piatu, mereka akan dijaga oleh saudara perempuan ibunya. Menurut adat, seseorang lelaki tidak mempunyai sebarang hak ke atas anaknya dan tidak dibenarkan menjaga anak-anaknya di rumah sendiri.
Kesemua pihak ibu akan menuntut dengan serta-merta hak pemeliharaan anak yang kematian ibu tanpa mengambil kira keadaan. Hak suku ke atas anak ahli perempuannya adalah penting dan hak ini dijaga dengan baik oleh kelompok rumpun. Melalui anak kelompok perempuan, sesuatu kelompok rumpun itu dapat mengekalkan haknya ke atas harta pusaka suku yang penting. Tanpa anak, harta pusaka suku akan diserahkan kepada waris lain, atau kepada rumpun atau perut lain dalam suku. Justeru itu, masyarakat Adat Perpatih menggalakkan orang lelaki yang kematian isterinya supaya mengahwini adik atau kakak iparnya yang belum berkahwin ( ganti tikar ).
Aturan perkahwinan masyarakat Adat Perpatih mempunyai kedua-dua norma dari segi perspektif dan preferential. Norma perspektif dasar sistem ini ialah ekogami iaitu seseorang lelaki tidak boleh berkahwin dengan perempuan dari sukunya sendiri. Perkahwinan dalam masyarakat ini melibatkan hubungan antara dua suku atau perut iaitu menggalakkan perkahwinan dua orang yang berlainan suku.
Norma preferential pula adalah untuk melakukan perkahwinan silang pupu iaitu anak gadis abang atau adik lelaki ibu sendiri dan dengan anak gadis kakak atau adik perempuan ayah. Dalam bentuk pemilihan jodoh terakhir ini, walaupun mempunyai kaitan biologi (darah) yang sama dengan hubungan pupu selari tetapi oleh sebab masyarakat ini mengamalkan sistem nasab ibu, ia tergolong  ke dalam kelompok kekeluargaan yang berlainan. Perkahwinan silang pupu mewujudkan hubungan yang rapat antara kelompok-kelompok saisi jika dilakukan dari generasi ke generasi. 
Adat juga melarang orang lelaki berkahwin lebih dari dari seorang perempuan. Aturan tempat tinggal selepas berkahwin di kalangan masyarakat Adat Perpatih adalah uksorilokal atau matrilokal iaitu suami menetap di rumah keluarga isteri walaupun suami berasal dari kawasan atau kampung yang sama. Suami akan balik ke rumah ibunya sekali-sekala. Adat Perpatih mementingkan konsep kerjasama dan jalinan kekeluargaan yang rapat. Sebarang urusan dan masalah berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian menjadi urusan keluarga dan Buapak. Tanpa pengesahan daripada pihak itu, pekahwinan dan penceraian tidak boleh dilakukan.

PERCERAIAN DAN PEMBAHAGIAN HARTA
Adat Perpatih memberatkan kaum wanita dalam mewarisi harta dengan menurunkan harta melalui keturunan wanita, iaitu daripada pihak ibu sebagai pengasas keluarga kepada anak perempuan. Jika seseorang ibu tidak ada anak perempuan, harta itu akan diwariskan kepada adik perempuan, anak  adik-adiknya atau cucu-cucunya.
Apabila berlaku perceraian, segala harta dikendalikan oleh waris terdekat pihak isteri sehingga diselesaikan oleh Buapak. Kesemua harta pasangan dibahagikan kepada tiga jenis. Iaitu harta carian, harta dapatan dan harta pembawaan. Harta carian ialah harta yang diperoleh semasa pasangan itu hidup bersama sebagai suami isteri. Apabila berlaku perceraian mati, jika suami yang meninggal dunia, harta itu akan diberikan kepada si isteri. Jika isteri pula yang meninggal dunia, pihak yang masih hidup perlu menjaga harta tersebut untuk diwariskan kepada anak-anak mereka, sama ada lelaki atau perempuan. Jika suami isteri tidak mempunyai anak, harta tersebut harus dibahagikan di antara suku dan waris si suami dan si isteri. Dalam kes perceraian hidup pula, harta ini akan dibahagikan di antara kedua-duanya. Harta dapatan adalah harta yang sedia ada pada si isteri semasa dia berkahwin. Harta ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu harta carian semasa dia masih anak dara, harta yang diperolehi apabila berlaku perceraian (harta carian) dengan suami sebelumnya, dan harta yang diperoleh semasa dia janda. Apabila perempuan itu meninggal dunia, harta dapatan ini jatuh kepada anak perempuannya. Jika bercerai hidup, harta dapatan ini diserahkan kepada isteri, suami tidak ada hak ke atasnya. Harta pembawaan ialah harta yang sedia dimiliki oleh lelaki pada waktu dia berkahwin. Punca harta ini lebih kurang sama dengan punca harta dapatan. Segala harta pembawaan harus diisytiharkan kepada kelompok keluarga isteri sewaktu berkahwin. Apabila isteri meninggal dunia, permohonan untuk pemulangannya harus dibuat kenduri “beratus hari”. Suami tidak mempunyai hak lagi untuk tinggal di tanah pusaka isterinya. Harta pembawaan ini akan dikembalikan kepada waris lelaki jika lelaki meninggal dunia. Jika bercerai hidup, si suamilah yang berhak membawa balik harta pembawaannya, bersama-sama dengan bahagian yang diperolehi daripada pembahagian harta carian suami isteri.

UNDANG-UNDANG JENAYAH
Hukum dalam Adat Perpatih dilaksanakan dengan tujuan membaiki keadaan dan tidak menghukum pesalah iaitu pesalah dihukum mengikut kesalahan yang dilakukannya. Undang-undang jenayah dalam Adat Perpatih lebih menekankan sifat bertimbang rasa. Seseorang yang melakukan kesalahan didenda mengikut kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Bagi kesalahan mencuri, pencuri akan dihukum dengan memulangkan barang yang dicuri itu atau membayar ganti rugi.

KEMASYARAKATAN
Adat menetapkan bahawa perbincangan antara anggota kelompok harus dibuat terlebih dahulu sebelum sesuatu perkara dilakukan. Tindakan menyelesaikan masalah digelar sebagai muafakat. Setiap anggota masyarakat harus bersikap bertimbang rasa dan menekankan nilai-nilai yang menunjukkan tentang hidup bermasyarakat. Adat ini menetapkan satu peraturan hidup yang berlandaskan kepentingan hidup bersama, bergotong-royong dan bekerjasama. Ini membolehkan semua anggota masyarakat dapat mengambil bahagian dalam setiap jenis kegiatan yang dilakukan. Setiap anggota masyarakat dalam Adat Perpatih dianggap mempunyai kebolehan dan kemampuan tertentu. Tiada seorang pun boleh disisihkan daripada masyarakat sama ada ataupun tidak. Apabila sesuatu yang diusahakan itu berjaya, adat tidak menekankan kejayaan orang perseorangan sahaja, tetapi kejayaan kelompok masyarakat. Begitu juga jika sebaliknya berlaku, semua anggota perlu menanggung kerugian atau kegagalan itu.

ADAT TEMENGGUNG
Istilah Adat Temenggung berasal dari gelaran abang tiri Sultan Balun iaitu Datuk Ketemenggungan. Adat ini dibawa ke Melaka pada abad ke 15 dan kemudiannya disebarkan ke negeri-negeri Melayu seiring dengan perkembangan empayar Melaka. Pada peringkat awal, Adat Temenggung banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur budaya Hindu. Setelah orang Melayu menganut agama Islam, adat ini disesuaikan dengan pengaruh Islam melalui hukum syara’ mengikut Mazhab Syafie, terutama dalam sistem perkahwinan dan perwarisan harta. Undang-undang Adat Temenggung diamalkan di semua negeri di Tanah Melayu (kecuali Negeri Sembilan) seperti Johor, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka (kecuali Naning dan Alor Gajah)

STRUKTUR DAN ORGANISASI SOSIAL
Adat Temenggung merupakan satu sistem pemerintahan yang terbentuk dari atas ke bawah. Puncak pemerintahan dan kekuasaan terletak di tangan pemerintah. Setiap pemerintahan diberi gelaran mengikut negeri tertentu, iaitu gelaran Sultan atau Raja. Baginda menjadi ketua pentadiran, ketua agama dan simbol perpaduan rakyat. Adat ini menekankan keistimewaan pihak pemerintah. Terdapat banyak peruntukan yang dikhususkan kepada hak dan bidang kuasa Raja dan pembesar. Golongan pemerintah dan pembesar diperuntukkan kuasa yang berlebihan
            Susunan pemerintahan bercorak autokratik, iaitu kuasa terletak ditangan pemerintah atau Raja yang bersifat hampir mutlak dalam kebanyakan urusan. Sultan juga berhak melantik para pembesar di peringkat negeri, jajahan, mukim dan kampung.
Adat ini memperuntukkan keistimewaan khusus kepada Raja seperti unsur daulat dan derhaka. Raja juga dikaitkan dengan unsur sakti dan sesiapa yang melanggar perintah Raja dikenakan hukuman yang berat, termasuk hukuman bunuh. Terdapat banyak pantang larang kepada rakyat dalam hubungan mereka dengan Raja. Misalnya mereka tidak dibenarkan memakai pakaian atau menggunakan payung yang berwarna kuning kerana itu ialah warna diraja. Seseorang Raja atau Sultan dilantik melalui istiadat pertabalan. Pewaris takhta kerajaan biasanya ialah putera sulung daripada permaisuri atau isteri Raja yang berketurunan raja. Gelaran untuk pengganti raja berbeza antara negeri seperti gelaran Raja Muda, Tengku mahkota, Tengku Besar atau Yang Dipertuan Muda. 
Di Perak, sistem perwarisan takhta raja dibuat mengikut satu pusingan penggantian raja daripada tiga keluarga yang berbeza. Apabila seseorang raja mangkat, Baginda digantikan oleh Raja Muda, diikuti oleh Raja Bendahara dan Raja di Hilir. Apabila Raja Muda dilantik menjadi Sultan, Raja Bendahara beralih sebagai Raja Muda. Seterusnya Raja di Hilir dilantik menjadi Raja Bendahara dan putera raja pula akan mengambil tempat sebagai Raja di Hilir.

Adat Temenggung turut menggariskan peranan pembesar dalam membantu Sultan mentadbir negeri. Kadangkala mereka dikenali sebagai menteri yang dibahagikan kepada beberapa lapisan yang membentuk satu piramid hierarki. Mereka terdiri daripada Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Enam Belas dan akhir sekali ialah Orang Besar Tiga Puluh Dua. Hierarki kuasa ini digunakan oleh kebanyakan negeri seperti Melaka, Pahang dan Perak


KEKELUARGAAN DAN PERKAHWINAN
Dalam Adat Temenggung, susunan kekeluargaan sebelah ayah dan ibu dianggap sama penting. Sistem perkahwinan dalam Adat Temenggung adalah sistem perkahwinan endogami. Aturan perkahwinan dalam Adat Temenggung telah lebih banyak didasarkan kepada hukum Islam. Pemilihan jodoh tidak terikat kepada larangan adat. Aturannya terbuka asalkan ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak dan sesuai dengan kehendak individu dan keluarga yang berkenaan. Aturan perkahwinan juga tidak terikat. Tidak ada sistem kekeluargaan yang bersifat kesukuan dalam Adat Temenggung dan perkahwinan tidak disyaratkan diluar daripada suku sahaja. Adat ini memberi keutamaan yang sama kepada lelaki dan perempuan. Pihak lelaki hanya dilebihkan kerana mematuhi hukum syarak. Orang lelaki menjadi ketua keluarga dan nasab keturunan dikira daripada sebelah bapa.
Larangan perkahwinan yang dikenakan antara lain adalah pertalian darah dua perempuan yang bersaudara, sepersusuan dan perempuan yang telah diceraikan dengan talak tiga kecuali setelah perempuan itu berkahwin dan diceraikan suaminya. Selain itu, dilarang juga berkahwin atas dasar perbezaan agama. Adat perkahwinan didahului dengan peminangan, diikuti denagn akad nikah dan diakhiri denagn kenduri perkahwinan. Institusi perkahwinan masarakat Adat Temenggung tidak melibatkan kelompok kekeluargaan dan pemimpin-pemimpinnya, jika berlaku perceraian, cara pembahagian harta suami isteri adalah berdasarkan hukum syarak.
 
PEMBAHAGIAN HARTA
Mengikut Adat Temenggung, kaum lelaki berhak mewarisi lebih banyak harta daripada wanita kerana pengaruh daripada hukum Islam. Adat ini mengutamakan jurai keturunan sebelah bapa. Jika berlaku penceraian, cara pembahagian harta suami isteri dibuat mengikut hukum syarak. Harta yang didapati semasa perkahwinan dikenali sebagai harta sepencarian. Harta sepencarian bagi isteri yang diceraikan dibahagi dua sama banyak dan jika isteri yang diceraikan itu tidak bekerja, dia berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja. Bagi harta asal kepunyaan suami dan isteri, pembahagiannya dibuat mengikut hukum adat, iaitu dikembalikan kepada suami dan isteri berkenaan.

UNDANG-UNDANG JENAYAH
Undang-undang Adat Temenggung dilaksanakan dengan tujuan untuk menghukum dan perlaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas. Ini bertujuan untuk memberi iktibar kepada orang lain dan pembalasan kepada orang yang bersalah. Adat Temenggung membenarkan kekerasan dilakukan dalam melaksanakan undang-undang kerana dianggap dapat meninggalkan kesan kepada orang lain sebagai amaran atau pengajaran. Hukuman bunuh merupakan hukuman yang paling berat. Biasanya hukuman bunuh dijatuhkan ke atas kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah, tidak menurut perintah Raja atau menderhaka
Sebahagian besar hukuman ini tidak dijatuhkan dengan sewenang-wenangnya dan disesuaikan mengikut keadaan masyarakat setempat. Misalnya Hukum Kanun Melaka melonggarkan hukuman untuk kesalahan mencuri sedikit wang daripada dihukum bunuh kepada potong tangan atau kakinya sahaja. Undang-undang ini mengutamakan golongan atasan. Misalnya seseorang rakyat atau pembesar boleh membunuh diri atau meminta orang lain membunuhnya, jika dia didapati melanggar perintah Raja, walaupun perintah itu bersifat tidak adil. Undang-undang dalam Adat Temenggung memerlukan bukti atau keterangan yang kukuh terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan.

ADAT RESAM MELAYU
Adat mengikut kamus dewan bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun temurun sejak dahulu kala dalam sesuatu masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi atau cara yang sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Manakala resam didefinisikan dalam kamus dewan sebagai kebiasaan. Adat resam adalah segala macam perbuatan yang sentiasa dilakukan pada setiap hari ataupun musim, pertukaran bulan mahu pun tahun. Banyak kebiasaan ini merupakan cara harian kita seperti berpakaian, cara makan dan minum, jadual harian dari pagi hingga petang, cara bertemu dan bergaul dengan rakan-rakan dan kenalan ataupun cara menyapa seseorang tetamu. Sebahagian lagi, adat resam itu merupakan upacara-upacara dalam pusingan kehidupan seseorang manusia misalnya adat kelahiran, adat berkhatan, adat perkahwinan, adat kematian dan sebagainya. Ada juga adat resam yang merupakan perayaan tahunan seperti perayaan Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha dan sebagainya.
Bangsa Melayu amat terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan seharian sangat dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya dan kebiasaan ini telah menjadi amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang mereka. “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” begitulah amalan-amalan tertentu ini tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan masyarakat Melayu di negara kita kini. Setelah kedatangan Islam lebih 700 tahun yang lalu amalan-amalan tertentu di dalam kehidupan seharian ini telah disesuaikan dengan tuntutan dan saranan agama, mana-mana amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam telah ditinggalkan serta tidak diamalkan lagi. Amalan ini juga dipanggil sebagai adat. Pepatah melayu "Biar mati anak, jangan mati adat", merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya dalam masyarakat melayu. Terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu. Kebanyakkan adat adalah juga merupakan peraturan terhadap kehidupan sehari-harian, ia juga dipanggil ritual. Berikut adalah beberapa rentetan adat resam Melayu yang pernah diamalkan dan ada yang masih diamalkan hingga kini.
BERKHATAM AL-QURAN    
Dalam masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran semenjak kecil lagi. Bertitik tolak dari itu, maka muncullah pantun yang sehingga kini masih diamalkan oleh para ibu untuk mendodoikan anak mereka yang masih di dalam buaian.
Buai tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.
            Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, mereka menghantar anak mereka untuk mempelajari Al-Quran di pondok-pondok agama atau di madrasah. Di sana, terdapat seorang guru agama yang akan mengajar anak-anak mereka membaca Al-Quran sehingga tamat. Bagi zaman kini, konsep yang sama masih digunakan, yang berbeza cuma cara ia dijalankan. Ada sesetengah ibu bapa yang mengajar sendiri anak mereka dan ada juga yang menjemput ustaz atau guru agama datang ke rumah untuk mengajar anak mereka. Tidak kira bagaimanapun caranya, yang pasti, setelah tamat menghabiskan pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab dipanggil Khatam Al-Quran, satu kenduri kesyukuran akan dijalankan oleh ibu bapa dan kenduri ini akan dihadiri oleh semua ahli keluarga dan penduduk setempat.
Dalam kenduri tersebut, seorang guru akan dipanggil untuk menyemak bacaan anak-anak yang bakal khatam Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran dari surah-surah yang terakhir dalam Al-Quran bermula dari surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas akan diperdengarkan kepada tetamu dan setelah tamat tuan guru tersebut akan membacakan doa khatam Al-Quran, menandakan kanak-kanak tersebut sudah diiktiraf tamat membaca Al-Quran. Namun begitu, ini tidak bererti mereka tidak perlu lagi membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian. Upacara ini sebenarnya menandakan bahawa kanak-kanak tersebut sudah tidak lagi memerlukan seorang guru untuk menyemak bacaan mereka setiap kali mereka membaca Al-Quran. Bermula dari hari tersebut, mereka hanya perlu membaca Al-Quran sendiri kerana mereka telah dianggap fasih dan mahir dalam membaca Al-Quran. Selepas tamat bacaan doa, para tetamu akan dijamu dengan makanan yang istimewa, bersesuaian dengan konsepnya iaitu mengadakan kenduri kesyukuran supaya rahmatnya dapat dirasai bersama dalam kalangan semua anggota masyarakat.

BERTINDIK
Adat resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak. Bagi keluarga Melayu zaman kini, ia merupakan suatu simbolik titik permulaan pemberian sesuatu yang berharga daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka yang berupa barang kemas.
Selain itu, adat bertindik juga dilakukan sempena mengingati peristiwa di zaman Rasulullah di mana seorang wanita telah cedera di telinganya semasa terlibat dalam peperangan. Untuk menutup kecederaan di telinganya, beliau telah meletakkan sesuatu di lubang tersebut sebagai perhiasan. Keadaan inilah yang dikatakan asal-usul adat bertindik dalam kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi, pada zaman sekarang ini, kerja tersebut tidak banyak lagi dilakukan walaupun oleh orang-orang melayu kampung. Pada masa sekarang, bertindik ini dilakukan sendiri dengan apa sahaja cara yang mudah, asalkan cuping telinga anak masing-masing dapat ditebuk dengan selamat. Tambahan pula di bandar-bandar dan pekan-pekan besar sekarang, pelbagai jenis subang dan anting-anting moden yang cantik-cantik boleh dibeli dengan murah. Malah ada juga anting-anting yang boleh dibeli dan dipakai di cuping telinga dengan hanya pakai ketap sahaja. Walaubagaimanapun, dalam zaman moden kini, perkara bertindik telinga tidak lagi menjadi suatu perkara yang perlu bagi setiap kanak-kanak perempuan.

MENILIK ATAU MERISIK
Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Hal ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.
Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Hal ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah ‘sudah ditebuk tupai’ bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah dalam kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Hal ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Keadaan ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.
            Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang-orang tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Keadaan ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang-orang tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.
            Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.

MEMINANG DAN BERTUNANG
Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang-orang tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Keadaan ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkah laku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.
Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang-orang tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.
Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap” iaitu bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral[1] iaitu sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.
            Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.
Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu yang pertama pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin. Yang kedua pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Keadaan ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

BERANDAM DAN BERASAH GIGI
Biasanya bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, adalah menjadi adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Anak dara tersebut akan diandam oleh tukang andam yang memang kerjanya mengambil upah menjadi emak pengantin dan beliaulah yang akan menguruskan semua kerja-kerja menyiapkan dan mengandam pengantin. Pengertian berandam itu ialah perempuan yang hendak dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur andam anak rambut di sepanjang dahinya. Kemudian, gigi anak dara itu akan diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat disama ratakan. Semua ini dilakukan oleh orang-orang tua zaman dahulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri kepada anak dara tersebut.
Setelah selesai diandam dan diasah gigi, anak dara tersebut akan dimandikan serta disapukan bedak. Beliau akan dimandikan dengan air daun buah limau purut dan mak andam akan menjalankan upacara sintok langir yang mengikut kepercayaan, upacara tersebut akan membuang rasa takut, sial, malang dan malapetaka yang bakal mengganggu anak dara tersebut. Apabila telah siap dimandikan, maka hujung kesepuluh-sepuluh jari tangan, di tengah-tengah kedua belah tapak tangan dan di sekeliling kedua belah kaki anak dara itu akan diinaikan. Upacara inai ini dilakukan terlebih dahulu sebelum adat berinai di pelamin dijalankan.

MENGHANTAR BELANJA DAN AKAD NIKAH
Mengikut adat resam, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Di antara barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding iaitu wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih, sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak, 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung, beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam, beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung, tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap dan satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.
Semua barang tersebut akan dibawa setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan mempelai yang sudah siap berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah. Mempelai dan rombongannya akan disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding di hadapan semua tetamu.
Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, sama ada dengan mas kahwinnya sekali atau tidak dan barang-barang hantaran, seperti cincin akan dihitung dan diperiksa oleh tuan kadi bersama dua orang yang dilantik sebagai saksinya bagi mewakili pihak perempuan. Sekiranya ia bukan majlis akad, bererti tuan kadi tidak hadir sama di majlis tersebut, wang dan barang-barang yang dihantar akan diterima oleh seorang wakil dari pihak perempuan beserta dua orang saksi yang dipilih dari kalangan tetamu yang hadir di majlis tersebut.
Setelah selesai adat penerimaan kesemua wang dan barang-barang tersebut, tepak sirih, talam bunga rampai dan perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai kemudiannya akan diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad. Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftarkan nama mempelai itu terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah dalam bahasa Arab. Setelah selesai khutbah nikah itu dibacakan, maka tuan kadi akan memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi di dalam buku daftar nikah untuk duduk berhampiran dengan mempelai. Tujuan saksi dipanggil adalah untuk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan kadi.
Setelah selesai, doa akan dibacakan oleh tuan kadi. Mempelai kemudiannya akan bangun bersalam-salaman bermula dengan tuan kadi, kemudian bapa mertuanya, dan akhir sekali dengan tetamu yang hadir sebelum diarak pulang ke rumahnya. Bunga rampai dan sirih pinang yang dibawa oleh mempelai akan dibahagikan kepada tetamu yang hadir selepas jamuan diadakan manakala bekas-bekas kuih dan juadah serta buah-buahan yang diterima dari pihak lelaki akan dibalas oleh pihak perempuan dengan balasan yang berpatutan dan akan dibawa pulang oleh pihak lelaki ke rumah mempelai. Setelah mempelai berarak pulang, jamuan akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Biasanya di majlis akad nikah, kenduri secara besar-besaran tidak diadakan. Pihak pengantin perempuan hanya mengadakan jamuan kuih-muih atau nasi tetapi jenis dan bilangan lauk-pauknya tidaklah sebanyak lauk-pauk sewaktu kenduri bersanding. Ini kerana biasanya majlis akad tidak dihadiri oleh ramai tetamu luar, melainkan saudara-mara dan ahli keluarga.

MAJLIS PERKAHWINAN
Di antara kesemua adat resam orang Melayu, upacara atau aturan yang berhubung dengan perkara nikah kahwin adalah sesuatu yang amat diambil berat dan dianggap penting. Ia akan dijalankan secara besar-besaran dan melibatkan kesemua anggota masyarakat setempat yang dikenali sebagai penduduk sekampung serta seluruh sanak saudara. Oleh hal yang demikian, adat ini dikategorikan sebagai adat yang paling rumit dilaksanakan kerana memerlukan modal yang banyak untuk menjalankan kenduri kendara, majlis persandingan dan lain-lain upacara di samping memerlukan tenaga kerja yang ramai dan memakan masa yang panjang.

MANDI-MANDIAN ATAU BERLIMAU
Setelah sempurna kedua-dua pengantin suami isteri itu menunaikan satu daripada hikmah perkahwinan, maka akan diadakan sekali lagi persandingan di atas pelamin. Namun, pengantin tidak akan dipakaikan dengan pakaian pengantin dan persandingan ini hanya melibatkan sanak saudara sahaja. Setelah bersanding, kedua-duanya akan turun duduk di bangku yang terletak di tengah-tengah rumah itu dan di sinilah dijalankan upacara mandi-mandian dan bersintok limau sebagai menandakan penyatuan antara kedua pengantin suami isteri itu telah sempurna dan selamat. Setelah kedua-duanya selesai dimandi dan disintok limaukan mengikut syarat, mereka pun dibawa oleh emak pengantin ke bilik peraduan pengantin dengan keadaan suami memimpin isterinya dengan memegang sehelai sapu tangan masuk ke bilik. Manakala di luar, sekalian hadirin yang ada akan menyiram air tersebut sesama mereka sambil bersuka ria. Air yang digunakan untuk upacara ini disediakan dalam pelbagai warna bagi menambah kecantikannya dan dianggap sakral bagi masyarakat Melayu.
Kain basahan yang dipakai oleh pengantin suami isteri itu mengikut adat tidak boleh diambil oleh mereka. Kain tersebut akan dijadikan hadiah pemberian kepada emak pengantin. Menurut adat Melayu, bukan sahaja kain basahan itu tidak boleh diambil semula oleh kedua pengantin itu malah mereka juga ditegah untuk memerah sendiri kain tersebut. Ini semua bertujuan untuk membuang rasa takut atau menolak bala daripada kedua-dua pengantin itu. Kain tersebut akan diambil dan disimpan oleh emak pengantin bagi membantu membuang dan menjauhkan bala.

KEMATIAN
Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati. Sesungguhnya kematian tetap akan menjemput insan untuk kembali kepada penciptaNya. Sekuat mana pun kita lari, sejauh mana pun kita cuba hindari, namun kematian akan tetap mengekori kita. Sampai waktunya dan ketikanya kita tetap akan pergi jua. Begitulah bagi kaum masyarakat Melayu, sama ada yang di kampung atau di bandar, langkah yang mula-mula sekali dilakukan oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada siak atau penjaga masjid kampung atau bandar itu supaya dituliskan di atas papan pemberi tahu masjid itu untuk pengetahuan orang-orang kampung tentang siapa yang mati, bila dan di mana dikebumikan atau dikuburkan. Kemudian dihebohkan dengan mulut kepada kaum keluarga dan sahabat handai terdekat dan bagi sanak saudara yang tinggal jauh pula diberitahu melalui telefon atau telegram atau dengan surat. Adalah menjadi perkara mustahak untuk dihebohkan agar tidak ada sesiapa yang akan terkecil hati disebabkan tidak mengetahui akan kematian si mati.
Sekiranya si mati meninggal pada sebelah petang atau malam, biasanya waktu mengkebumikan mayat itu ditetapkan pada waktu tengah hari atau selewat-lewatnya pada waktu petang esoknya. Jika si mati meninggal pada waktu subuh atau pada waktu pagi maka masa mengkebumikannya akan dilakukan pada sebelah petang itu juga. Hal ini disebabkan kerana adalah menjadi tuntutan agama Islam supaya mayat itu dikebumikan dengan seberapa cepat yang mungkin. Dalam Islam adalah lebih afdal mayat dikebumikan dalam tempoh enam jam selepas waktu hayatnya.
Mula-mula mayat itu diangkat daripada tempat ia meninggal dunia dan diletakkan di tengah-tengah rumah di atas katil atau tilam beralas kain cadar yang bersih dan elok. Di atas mayat itu dipasang langit-langit daripada kain bagi menahan atau menyekat sebarang habuk atau kotoran daripada jatuh ke atas mayat itu. Kemudian kedua-dua tangan mayat itu dikiamkan ke dadanya dan mayat itu diselimut atau ditutup dari kepala litup hingga ke hujung kakinya dengan sehelai dua kain panjang. Menjadi adat masyarakat orang Melayu, sebuah kacip pinang akan diletakkan melintang di atas kain yang menutupi mayat itu, di tengah antara perut dengan dadanya. Tujuan ianya dibuat begitu, ialah kononnya untuk menegah mayat itu daripada dilangkah hantu atau syaitan. Di sebelah mayat itu diletakkan bara atau tempat perasap yang sentiasa berbara api dan dibakar di dalamnya sejenis serbuk harum. Apabila dibakar atau dipanggil oleh masyarakat Melayu "setanggi", atau kalau tidak setanggi maka dibakarlah serbuk kayu gaharu dan bakaran ini diadakan berterusan selagi mayat itu ada di dalam rumah. Bahkan ada yang meneruskan bakaran tepak bara dengan gaharu atau setanggi itu setiap siang dan malam selama tiga hari.
Sementara menunggu alat-alat kelengkapan mandi, kapan dan keranda mayat itu disiapkan yang akan mengambil masa beberapa jam lamanya, maka sesiapa daripada kaum keluarga dan sahabat handai si mati itu yang ingin melihatnya bolehlah bergilir-gilir masuk melihat mayat dengan hanya menyingkap kain tudung muka mayat itu. Setiap orang perlulah cermat dan hormat ketika melihat mayat. Menjadi adat, selagi mayat itu masih berada di dalam rumah hendaklah ahli-ahli pelawat yang datang berkumpul menziarah dan juga jiran-jiran di sekeliling rumah mayat itu tidak membuat bising dan berbual-bual perkara yang tidak senonoh. Sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat Islam sebagai tanda menghormati insan yang telah pergi buat selama-lamanya dan menganggap setiap mayat itu akan masuk syurga. Begitu jugalah dikehendaki ketika mengiringi mayat di sepanjang jalan mayat itu diangkat dan diiringkan ke kuburnya, di mana bacaan surah al-fatihah disedekahkan sebagai hadiah kepada roh si mati.
Apabila tiba masanya mayat itu dimandikan, mayat itu pun diangkat dan dibawa ke tempat yang disediakan untuk dimandikan oleh tukang mandi perempuan, jika mayat itu perempuan, atau oleh tukang mandi lelaki, jika mayat itu lelaki. Memandikan mayat itu dilakukan dengan tertib dan sehabis bersih. Selesai memandikan mayat itu, tubuh badannya dilumur serata-ratanya dengan dua jenis serbuk atau kapur barus dan cendana. Di celah-celah pelipat dan lain-lain tempat yang mustahak diselitkan dengan kapas, kemudian barulah mayat itu diangkat dan dibawa ke tengah atau ke serambi rumah itu untuk dikapankan iaitu dipakaikan kain dan seluar daripada kain putih yang tidak berjahit. Setelah itu, dibungkus atau disarung mayat itu dengan kain putih yang juga tidak berjahit. Kedua-dua jenis pakaian yang dipakaikan ke atas mayat itulah yang dipanggil atau dinamakan kapan mayat.
Mayat yang telah dibungkus itu tadi dililit dan diikat dengan beberapa ikatan dari kaki hingga ke leher kecuali di bahagian kepalanya dibiarkan tidak berikat untuk sementara waktu. Keadaan ini bertujuan pada masa itu diadatkan kaum keluarga si mati itu dipanggil untuk menaburkan sejemput daripada serbuk cendana yang memang disediakan, disekeliling kepala mayat itu, sebagai isyarat atau tanda penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah selesai adat menabur cendana itu barulah kepala mayat itu dibungkus dan diikat. Kemudian dimasukkan mayat itu ke dalam sebuah peti yang dipanggil keranda yang diperbuat daripada kayu yang ringan. Di bawah keranda itu lantainya diregang tutup dengan sebidang kain putih yang dilekatkan disekeliling papan keranda itu dengan pin-pin lekap. Setelah itu, keranda itu pun diangkat dan diletakkan di atas usungan dan ditutup keranda itu dengan beberapa lapis kain panjang yang elok-elok. Kain lapis pada atas sekali, biasanya diletakkan kain yang bertulis ayat-ayat Al-Quran. Kemudian barulah dipikul dan diusung oleh orang ramai dengan bergilir-gilir dan berjalan secara perlahan-lahan ke masjid yang berhampiran dengan tanah perkuburannya untuk disembahyangkan jika mayat itu tidak disembahyangkan di rumahnya.
Setibanya di masjid, diturunkan keranda itu daripada usungannya lalu dibawa masuk ke dalam masjid dan diletakkan berhadapan dengan mihrab masjid itu dan kemudian tampillah sekalian haji-haji, lebai-lebai dan juga orang yang mengiringi mayat itu tadi menyembahyangkan mayat itu. Selesai sembahyang mayat, biasanya diedarkan sedekah berupa wang atau benda contohnya seperti kain pelekat kepada mereka yang telah menyembahyangkan mayat itu tadi. Setelah itu, mayat itu pun dipikul kembali oleh beberapa orang untuk di bawa ke kubur yang telah siap sedia digali. Mayat dengan kerandanya itu pun dimasukkan ke dalam kubur itu. Sebelum ditimbus kubur itu, siak masjid atau sesiapa berkenaan akan turun ke dalam kubur membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat itu serta dibukanya ikatan kapannya. Mayat itu disendal dengan kepal-kepal tanah yang kebanyakannya dikepal oleh keluarga si mati, dan setelah diazankan di telinga mayat itu oleh siak maka barulah keranda itu ditutup dan kubur itu ditimbus dengan tanah.
Selesai kubur itu ditimbus, dipacakkan sebatang ranting pohon sebagai tanda untuk memacakkan batu nisan pada kemudian hari. Ada juga yang sudah sedia membawa dua batang batu nisan untuk dipacakkan pada masa itu juga. Siap sahaja kubur itu ditimbus, tampillah seorang haji, imam atau orang alim di tepi kubur itu dimana telah dibentang untuknya duduk sebidang di atas tikar sila atau tikar kecil. Di tepi kubur itu disediakan setalam bunga rampai atau pelbagai bunga changa dan disediakan juga satu atau dua balang air cendana. Di atas tikar sila itulah duduk tuan haji, lebai atau tuan alim membaca talkin dan bertahlil serta membaca doa untuk si mati itu.
Ada juga dahulu, diadatkan orang yang membaca talkin itu dipayungkan walaupun hari tidak hujan atau cahaya matahari tidak memacar ke atasnya. Setelah selesai talkin, tahlil dan doa dibaca dan diaminkan oleh sekalian pengiring-pengiring mayat yang masih ditempat perkuburan itu, lalu air kedua-dua balang itu pun disiramkan ke atas kubur itu dari kepala sampai ke bahagian kakinya sehingga habis air di dalam balang itu. Kemudian bunga di dalam talam itu pun ditaburkan serata di atas kubur itu. Dengan demikian, selesaiah adat mengkebumikan mayat itu dan bersurailah sekalian yang hadir ditempat perkuburan itu. Ada juga yang sebelum bersurai, bertemu dan bersalaman dengan bapa atau waris si mati itu. Tok alim, tok imam atau tok lebai, pembaca talkin itu akan diberi bayaran wang sebanyak lebih kurang dua hingga lima ringgit, ada juga dihadiahkan tikar sila tempat dia duduk membaca talkin itu dan balang air yang telah dikosongkan. Selain itu, sesetengahnya menghadiahkan payung yang telah digunakan ketika memayungkan orang yang membaca talkin tadi.
Dari zaman-berzaman hingga ke sekarang ini telah dijadikan adat resam Melayu mengadakan kenduri arwah, pada hari ketiga, ketujuh, ke-14, ke-40 dan ke-100 selepas hari kematian itu dan kadang kala setiap tahun mengadakan kenduri arwah sebagai tanda memperingati si mati sambil menyedekahkan doa-doa yang merupakan rezeki atau makanan mereka di hari akhirat.

PANTANG LARANG
         Pantang larang merupakan sesuatu yang tidak dipersetujui oleh seseorang individu atau kepada sesuatu kumpulan mahupun sesuatu masyarakat, mengenai sesuatu perkara yang tertentu. Bila sesuatu kumpulan atau masyarakat menganggap sesuatu perkara itu sumbang di mata mereka, maka ahli-ahli kumpulan itu ditegah dan dilarang daripada melakukannya. Sebab itulah timbul istilah PANTANG LARANG. Sekiranya seseorang itu ingkar maka sesuatu kejadian buruk akan berlaku, baik terhadap individu itu sendiri mahupun terhadap keluarganya. Menurut kebudayaan orang-orang Melayu, segala pesan orang tua-tua perlu diturut dan tidak boleh disoal. Malahan anak-anak cucu memang tidak berhajat untuk tahu akan apa-apa sebabnya. Kata orang tua-tua : ‘Tak baik kalau dibantah atau disangkal. Buruk padahnya!’.
 Pantang larang bukan sahaja terdapat pada orang Melayu, bahkan boleh dikatakan terdapat dan dimiliki oleh semua bangsa yang ada di dunia ini. Segala “pantang” itu “hidup” hanya sekiranya ia diberatkan oleh sesuatu kumpulan dan dianggap sebagai tidak ada sekiranya sesuatu kumpulan itu menganggapnya tidak penting. Kadangkala terdapat persamaan di antara pantang larang sesuatu bangsa dengan suatu bangsa yang lain untuk sesuatu situasi tertentu. Walau bagaimanapun kita tidak menafikan adanya perbezaan yang pasti. Persamaan ini mungkin disebabkan oleh wujudnya teori difusi kerana manusia biasa hidup sebagai ahli-ahli pelayaran dan sebagai peneroka.
Pantang larang orang-orang Melayu boleh dikatakan menyeluruh untuk semua golongan atau peringkat dalam beberapa keadaan tertentu. Ada juga pantang larang yang dituju khas kepada anak gadis sahaja atau untuk para pemuda, ibu-ibu mengandung dan sebagainya. Namun demikian terdapat banyak pantang larang khas untuk semua. Dalam kehidupan sehari-hari, kanak-kanak dididik mengikut beberapa peraturan tertentu. Mereka dilarang melakukan sesuatu sesuka hati mereka. Misalnya mereka ;
  1. Dilarang meniarap dan menyabungkan kaki ke atas kerana akan menyebabkan kematian ibu.
  2. Tidak boleh menunjuk pelangi, nanti jari tangan kudung.
  3. Tidak boleh bermain sembunyi di kala senja, nanti di sembunyikan hantu.
  4. Tidak boleh bermain melambung batu di malam hari, nanti beras mahal.
  5. Tidak boleh duduk di atas bantal, nanti bisul di punggung.
  6. Tidak boleh memanjat para-para dapur, nanti kelak badan tidak boleh membesar lagi atau bantut.
  7. Tidak boleh makan tebu di malam hari, dikatakan menghisap darah ibu mereka yang mana ibu kelak mati.
  8. Pantang bersiul di malam hari kelak hantu datang.
           Sekiranya kita tinjau dengan secara mendalam akan pantang larang orang Melayu, pantang larang itu bukan sahaja menekankan larangan terhadap orang-orang dewasa tetapi ‘pantang’ telah dikenakan sejak individu itu masih bayi lagi. Misalnya :-
  1. Kita dilarang duduk di hujung kepala bayi. Ini dikhuatiri bayi itu akan mendapat penyakit sawan.
  2. Kita tidak boleh merendam lampin bayi kelak bayi itu kembung dan kena ‘sawan tangis’.
  3. Bayi tidak boleh dibawa berjalan di waktu senja atau maghrib, takut dirasuk hantu jembalang.
  4. Jangan beri bayi makan pulut, nanti ia gagap bercakap sampai ke tua.
  5. Bayi tidak boleh makan ikan, nanti banyak cacing dalam perut.
           Itulah sesetengah pantang larang yang dikenakan kepada bayi yang dipercayai sehingga sekarang. Kadang-kadang kita tertanya-tanya adakah segala pantang larang itu benar? Jawapan tersebut terpulanglah kepada diri individu itu sendiri, samada ia mahu mempercayainya atau tidak. Walaupun dunia kian maju dan pesat dengan kemajuan, kebanyakan pantang larang yang ada masih dipercayai dan digunakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Pemakaiannya jelas terbukti terutamanya di kalangan ibu-ibu mengandung.
            Selain itu juga, terdapat lagi beberapa pantang larang yang wujud yang ditujukan khas untuk wanita yang mengandung. Dalam hal pantang larang ini adakalanya melucukan kita tetapi tetap diikuti dan kadangkala menjadi kebimbangan terhadap setiap gadis-gadis Melayu yang begitu fanatik. Namun begitu tujuannya disebaliknya adalah semata-mata untuk menjaga tingkah laku seseorang. Antara beberapa contoh yang dapat kita singkapkan ialah ;
  1. Jangan mencaci atau menceritakan kecacatan dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.  
  2. Jangan bergaduh dengan ibu mertua dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.
  3. Jangan memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.
  4. Ibu hamil tidak boleh melintas bawah ampaian, nanti anak gagap.
  5. Tidak boleh memotong muncung ikan kelak nanti bayi yang dilahirkan akan sumbing.
  6. Ibu hamil tidak boleh terperanjat bimbang nanti anak dalam kandungan kan terkena ‘kenan’ atau cacat.
  7. Jangan mengalihkan barang-barang dalam rumah sendiri kelak nanti anak akan menyongsang dan akan membuatkan si ibu sukar ketika melahirkan anaknya.
          Walaupun begitu, ada juga beberapa pantang larang yang wujud khas untuk golongan si dara dan si teruna. Antara pantang larang tersebut ialah ;
  1. Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti kahwin dengan orang tua.
  2. Anak dara jangan tidur sehingga matahari meninggi
  3. Jangan duduk di muka pintu
  4.  Sekiranya si adik terlebih dahulu berkahwin dari kakaknya ( langkah bendul ), maka bakal adik ipar ( pengantin lelaki ) mesti menghantar dua persalinan kepada pihak perempuan ( untuk isteri dan kakaknya ) jika tidak si kakak tidak akan kahwin sampai ke tua.
  5. Orang bujang tidak boleh menebuk kelapa kelak nanti dapat isteri yang pernah menjadi hak orang.
  6. Si bujang juga mesti mengelakkan diri dari giginya diapat dipatuk ayam bimbang akan kahwin lewat di mana  susah mendapat pasangan yang benar-benar sesuai.
    Begitu juga dalam upacara perkahwinan. Terdapat juga pantang larang yang dikenakan. Biasanya ianya bermula apabila telah ditetapkan hari perkahwinan. Maka bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Apa yang ditetapkan harus diikuti untuk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjadi kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, tidak rugi apa-apa jika pantang larang yang difikirkan sesuai masih boleh diikuti. Berikut adalah beberapa pantang larang yang telah diamalkan sejak turun temurun ;
1. Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabul.
2. Jangan bebas keluar ke mana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik.
3.  Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit.
4. Elakkan makan ulam yang berbau busuk seperti petai dan jering.
5.  Elakkan terlalu banyak makan makanan laut kerana ia mengandungi banyak toksid.
6.  Belajar ilmu rumahtangga daripada orang yang berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri supaya rumahtangga aman dan damai
7.  Elakkan terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.
8.  Banyakkan baca surah-surah bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.
9. Bilik lelaki atau wanita jangan dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalamnya bagi mengelak dari dikhianati orang.
10. Jangan buat kerja yang berat. Bila pengantin membuat kerja berat, dia akan berasa penat dan mudah terjadinya gangguan emosi.
          Setelah kita perhatikan beberapa contoh pantang larang yang dikenakan kepada bayi, ibu mengandung, anak gadis, orang lelaki, bayi, dalam upacara perkahwinan, kini lihat pula kita terhadap beberapa pantang larang yang dikenakan kepada semua ( umum ) ;
  1. Jangan tidur dalam gulungan tikar nanti kurap.
  2. Kalau hendak memakan ketupat, hendaklah memotongnya dengan betul. Jangan dirombak kulit luarnya sahaja nanti sesat tatkala berjalan.
  3. Jangan makan waktu senja atau maghrib, nanti makanan yang dimakan tidak mengenyangkan kerana makan dengan syaitan.
  4. Jangan pijak nasi kucing nanti buruk tapak kaki.
  5. Jangan lalu di bawah rumah kelak dapat sakit kepala.
  6. Orang muda jangan cuba memarahi orang tua kelak disambar petir.
  7. Jangan buat pintu menghadap jalanraya, boleh mendatangkan sial.
  8. Jangan langkah garam nanti asyik hendak kencing
  9. Jangan katakan tidak ada duit walaupun sememangnya kita tidak ada duit, nanti rezeki hilang.
  10. Jangan bercermin muka di waktu malam, kelak hilang seri di muka.
       Pada garis kasarnya pantang larang yang diciptakan oleh orang-orang tua Melayu dahulu adalah berdasarkan kepada tiga tujuan :
a)      Tujuan mendidik
b)      Untuk menjaga keselamatan
c)      Kepercayaan tua semata-mata
Sebagai misalan pada mendidik itu, mereka selalu berkata kepada anaknya, “Jangan tidur di atas tanah, nanti dihempap oleh langit”. Tujuan untuk menegah anak daripada berbuat demikian kerana takut badan dan pakaiannya kotor. Jadi dengan secara langsung telah mendidik anak itu kepada kebersihan.[2]
Percaya atau tidaknya kita terhadap segala pantang larang di atas ini, terpulanglah kepada individu itu sendiri. Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah daripada pantang larang itu sendiri terutama yang tidak logik semakin lama semakin lenyap dan dilupakan. Kita tidak pula akan berasa terperanjat kelak kiranya pantang larang itu pasti tidak dihiraukan lagi kerana dunia semakin moden. Manusia biasa menerima apa yang nyata dan dianggap praktik sahaja.
             Namun begitu ada juga pantang larang yang belum berani orang melanggarnya terutamanya pantang larang yang dikenakan kepada orang-orang yang mengandung. Mereka masih takut dengan ‘daulat’ sebab ianya ada kena mengena dengan nyawa mereka. Walaupun begitu pantang larang ini akan terhapus sekiranya generasi masa kini tidak didedahkan dengan pantang larang tersebut atau si penerima membuat endah tidak endah sahaja. Mereka juga beranggapan bahawa apa yang terjadi hanyalah secara pertepatan sahaja.[3]
       
DISEDIAKAN OLEH:
AEIZA MUNIRAH BT AHMAD FUAD (022689)
SITI MARHANIM BT ABDULLAH (020757)
NURUL AIN BT ZAINUL ABIDIN (022125)
NAZHATUL AIN BT HISAMUDIN (022166)
SITI NURMALA BT ARIFF (022889)
WIDAD BT MAT ALI (021942)

IJAZAH SARJANA MUDA SAINS SOSIAL (ANTROPOLOGI & DAKWAH) DENGAN KEPUJIAN

DISEMAK OLEH:
WAN FARIDAH BT WAN SEMBOK



RUJUKAN


1. Amran Kasimin. 1989. Istiadat Perkahwinan Melayu : Satu Perbandingan. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur

2. Haji Mohtar bin H. Md. Dom. 1977. Kepercayaan dan Pantang Larang. Federal Publications: Kuala Lumpur.

3. Haji Mohtar bin H. Md. Dom. 1977. Tahyul dan Kepercayaan. Federal Publications: Kuala Lumpur.

4. Norhalim Hj. Ibrahim. 1993. Adat Perpatih : Perbezaan dan Persamaannya Dengan Adat Temenggung. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd: Kuala Lumpur.

5. Ruslan Zainuddin. 2005. Sejarah Malaysia. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd: Kuala Lumpur.

6. Taha Abd Kadir. 1985. Hari Perayaan Penduduk Malaysia. Pelanduk Publications: Petaling Jaya.

7. Budi Bahasa Budaya Kita. 2005. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Malaysia

[1] Sakral bermaksud berkaitan dengan atau untuk upacara suci
[2] Haji Mohtar bin H. Md. Dom, Tahyul dan Kepercayaan, Federal Publications, Kuala Lumpur, 1977, halaman 47.
[3] Haji Mohtar bin H. Md. Dom, Kepercayaan dan Pantang Larang, Federal Publications, Kuala Lumpur, 1977, halaman 24.



No comments :