Thursday 1 September 2011

13 Mei 1969

Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Peristiwa berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia yang sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Antara penyebab peristiwa ini pada awalannya adalah kesan penjajahan Jepun di Tanah Melayu, kesan peninggalan penjajah Inggeris seperti amalan diskriminasi yang diamalkan telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Dari sudut ekonomi misalnya banyak meninggalkan kesan yang negatif terhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Akibat dari tragedi ini banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban dan harta benda musnah. Bagaimanapun, sebenarnya peristiwa ini juga merupakan titik perubahan corak dan falsafah sosio-politik dan ekonomi negara, sekaligus menyedarkan semua pihak betapa jurang perbezaan sosial dan ekonomi yang merupakan masalah asas masyarakat Malaysia.




KRONOLOGI 13 MEI 1969

Keputusan pilihanraya pada 10 Mei 1969 telah menunjukkkan kemerosotan pengaruh Parti Perikatan di kalangan rakyat. Pada pilihan raya tersebut, negeri Pulau Pinang telah dimenangi oleh Parti Gerakan sementara Kelantan pula tetap di tangan PAS. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) memenangi 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala Pas memenangi 12 kerusi. 

Rentetan dari kemenangan ini, Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan yang telah menang besar di kawasan Batu, Selangor berarak meraikan kemenangan. Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Bagi masyarakat Melayu pula, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial).

Berikutan itu, UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini. Hal ini adalah kerana perasaan emosi yang tinggi dan kurangnya kawalan dari kedua-dua pihak. 

Rusuhan besar terjadi dan perintah darurat dikeluarkan. Semua orang tidak dibenarkan keluar dari rumah.

Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa. Cuma ada sedikit kekecohan di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh PKM. Sesetengah pihak menyifatkan bahawa pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan "politik" dan bukannya perkauman. Kerana sebelum itu masyarakat Melayu dan Cina boleh hidup dalam keadaan yang harmoni. Seperti dinyatakan pergaduhan tidak belaku di negeri Melayu seperti Kelantan, Pahang dan Kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, pastinya hari ini tiada lagi orang Cina di negeri-negeri tersebut kerana habis dibunuh. Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tetapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 2,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei.

Kesimpulannya, pergaduhan ini bukanlah rusuhan perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas pilihanraya (perbezaan politik) dan hanya melibatkan orang-orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur sahaja.


PUNCA-PUNCA YANG MEMBAWA KEPADA KEPADA PERISTIWA 13 MEI 1969

Kemunduran Melayu dalam menguasai ekonomi dan pendidikan manakala orang Cina pula setapak di hadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain.

Golongan bumiputera merasa gusar akan tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Masyarakat Cina dan India pula bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian besar daripada mereka bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Malaysia.
Perbezaan layanan semasa pendudukan Jepun. Masyarakat Cina telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Dasar Jepun yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan orang Cina

Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah juga turut menyumbang kepada salah satu punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi mahupun polarisasi kaum. Orang-orang Cina yang tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong menjadikan mereka memiliki aset yang tinggi dalam sektor ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu yang tinggal di luar bandar bekerja hanya sebagai petani atau nelayan kecil. Manakala kaum India pula kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar kerajaan dan juga bekerja di ladang. Kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India ketika itu adalah bercorak sara diri. Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang. Keadaan ini juga menyebabkan hubungan masyarakat antara kaum di negara ini menjadi terbatas.

Latar belakang pendidikan yang berbeza apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Keempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang berbeza dan tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira dan hanya sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India. Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan perkauman etnik yang sememangnya telah lama wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja.

Perlanggaran perjanjian persetujuan antara Tunku dan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya tersebut. PAP telah meletakkan calonnya seramai sembilan orang. Bagaimanapun rancangannya gagal lalu menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu. Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut dipersoalkan. 

Menyedari akan bahayanya pengaruh majoriti Cina dari Singapura ini, Tunku telah mengambil keputusan untuk memaksa Singapura keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat PAP untuk cuba membela nasib orang-orang Cina di Tanah Melayu. Berikutan itu sebuah parti baru telah ditubuhkan di Malaysia bagi mengambil alih fungsi PAP sebelum ini yang dikenali sebagai Parti Tindakan Demokratik (DAP). Menjelangnya pilihanraya 1969 parti DAP dan parti-parti pembangkang lain telah memainkan isu-isu sensitif dan perkauman termasuk membangkitkan soal-soal ketidakadilan menyebabkan perasaan tidak puashati dan kegelisahan di kalangan rakyat menjadi semakin bimbang. Sebenarnya apa yang cuba dilakukan oleh parti-parti politik ini bertujuan untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya, di mana mereka tidak mempedulikan sentimen antara kaum yang boleh membahayakan itu.[2]

Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan kaum yang menggariskan sempadan-sempadan yang harus diteliti dan dipelihara oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan negara bangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi. Andaikata petanda-petanda yang diperolehi itu gagal dimanfaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.

Masalah 13 Mei 1969 jika dilihat dari satu aspek sememangnya banyak memberikan kesan negatif terhadap negara kita tetapi jika dilihat pula dari satu sudut yang lain ia sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada kita semua rakyat Malaysia. Melalui peristiwa berdarah itulah, kita kini, dapat hidup dan membentuk sebuah negara Malaysia yang aman damai, harmoni hinggakan menjadi sebutan dunia kerana sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dapat hidup bersama dalam keadaan dan suasana yang aman damai. Jika dilihat faktor berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 kebanyakan disebabkan oleh peranan penjajah yang telah membentuk satu masyarakat yang mempunyai kelas dan tahap tertentu demi untuk memelihara kepentingan mereka di Tanah Melayu.

Justeru setelah berlaku peristiwa 13 Mei kerajaan telah mengambil langkah untuk membentuk semula masyarakat Malaysia menerusi dasar-dasar dan tindakan segera yang telah diambil untuk memastikan bahawa kemakmuran negara akan terus terpelihara dan terjamin. Peristiwa 13 Mei merupakan satu titik tolak ke arah kebaikan kepada negara kita kerana selepas sahaja peristiwa tersebut berlaku, semua pihak mulai sedar dan saling bekerjasama membentuk perpaduan yang lebih jitu seperti yang dapat kita saksikan kini.





BIBLIOGRAFI
  1. Abu Hassan Adam, 1994. Menebus Maruah, Petaling jaya, Selangor: Kumpulan Rusa Sdn. Bhd.
  2. Aziz Deraman, 2002. Pembinaan Bangsa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Chamhuri Siwar, 1988. Dasar dan Strategi Pembasmian Kemiskinan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. Ghazali Shafie, 1985. Rukunegara A Testament Of Hope, Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn Bhd.
5.Hwang, In-Won, 2003. Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir, Institut Pengajian Asia Tenggara.
  1. Mansor Mohd Noor, 2002. Transformasi Hubungan Etnik Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. Norizan Yusof, 2002. Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
  3. Shamsul Amri Baharuddin, 1998. Hubungan Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia: Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia.


[1] Norizan Yusof , Sejarah Malaysia, Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 2000, halaman 67
[2] A. Aziz Deraman, Pembinaan Bangsa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, halaman 117

No comments :