Friday 23 September 2011

RM200j naik taraf kemudahan UniSZA

SEBAHAGIAN daripada graduan meraikan kejayaan pada Istiadat Konvokesyen Ketiga UniSZA


KUALA TERENGGANU 20 Sept. - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)) membelanjakan RM200 juta bagi pengembangannya, termasuk melengkapkan prasarana bagi kemudahan dan keselesaan warganya sejak 2006 sehingga kini.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Alias Daud berkata, ia melibatkan kos pembelian tanah, pembinaan bangunan jabatan pembangunan dan penyelenggaraan serta kerja-kerja infrastruktur melibatkan Kampus Besut.

UniSZA juga telah menyiapkan pembinaan blok akademik dan pembinaan bangunan Pusat Teknologi Maklumat di Kampus Gong Badak serta pembinaan Makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Kampus Kota.

"Sebanyak RM417 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh 2006 hingga 2010 dan setakat ini kita telah membelanjakan RM200 juta.

"Manakala RM420 juta telah diperuntukkan bagi RMK-10 iaitu untuk tempoh tahun 2011 hingga 2015," katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ketiga UniSZA di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Alias berkata, terdapat beberapa projek pembangunan yang masih dalam pembinaan pihak universiti bagi melengkapkan kemudahan sedia ada.

Jelasnya, ia termasuk pembinaan bangunan asrama fasa satu di Kampus Besut, bangunan tambahan perpustakaan Kampus Gong Badak, laman selera, kemudahan sukan serta pembinaan Fakulti Informatik dan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi.

Tambahnya, melihat kepada status pembangunan yang dinyatakan itu, ia jelas menunjukkan bahawa UniSZA masih belum mempunyai kemudahan asas yang benar-benar mencukupi berbanding universiti lain yang telah lama.

Bagaimanapun, beliau menolak kekurangan itu menjadi halangan kepada warganya untuk melahirkan graduan dan staf yang berkeupayaan serta berprestasi tinggi.

"Buktikan UniSZA telah berjaya melahirkan pencapaian yang membanggakan daripada sudut akademik, penyelidikan dan kokurikulum.

"Antaranya, pensyarah UniSZA telah meraih anugerah Best Paper Award pada persidangan antarabangsa ASEAN Academy of Applied Business 2011 dan meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi di Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik.

"Selain menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti antarabangsa dari China, Timur Tengah, Jepun dan Thailand, UniSZA turut mengadakan perjanjian persefahaman dengan McGill University di Kanada bagi membina sebuah hospital pengajaran dan kemudahan teleperubatan di universiti itu,"ujarnya.

Dalam ucapan pembukaan istiadat itu, Alias turut memberitahu, jumlah graduan UniSZA sehingga kini 5,451 orang termasuk 3,280 graduan pada tahun 2009 dan 1,003 graduan tahun lalu.
Sumber : Utusan Online










No comments :