Thursday, 1 September 2011

Dosa dan Pahala dalam Komunikasi

Sebagai seorang yang beragama Islam kita hidup berlandaskan hukum-hukum islam seperti wajib, harus, makruh, sunat dan haram. Apabila sampai satu tahap di mana seseorang muslim itu ditaklifkan hukum-hukum ini ke atas dirinya maka ia wajib menunaikan segala hukum itu. Sekiranya seseorang itu mengingkari hukum yang telah ditaklifkan ke atas dirinya maka ia akan mendapat dosa, manakala apabila ia mematuhi hukum itu ia akan mendapat pahala. Segala tindak tanduk dan perlakuan kita tertakluk kepada dosa dan pahala, apa sahaja yang kita lakukan adalah merupakan amal atau perbuatan sama ada itu amal soleh atau tidak.



KONSEP DOSA 
Dosa ialah perbuatan melanggar hukum Tuhan atau agama, juga disebut sebagai kelakuan yang bertentangan dengan hukum-hukum yang ditetapkan dalam Islam. Dosa juga ialah kesalahan yang sengaja dilakukan walaupun diketahui hukumannya dari segi agama, semua urusan yang dilakukan bukan kerana Allah dan tidak mengikut kehendak syariat sebagai contoh, kerja-kerja yang kita lakukan adalah bertentangan dengan kehendak syariat adalah dinamakan maksiat dan mendapat dosa seperti mencuri, merompak, melacur, atau sebarang kerja yang bertentangan dengan syariat sama ada dalam bidang pendidikan, pengurusan atau bidang ekonomi, sosial, politik dan lain-lain lagi. Sekiranya seseorang itu tidak mengetahui sesuatu kelakuan itu adalah berdosa maka ia tidak dikira dosa. Melakukan dosa dengan sengaja akan dikeji olah masyarakat di dunia dan akan menerima balasan neraka di akhirat kelak.

KONSEP PAHALA

Pahala ialah ganjaran yang diberikan oleh Tuhan di atas perlakuan kita kerana berbuat baik. Amal soleh adalah mencakupi seluruh perbuatan yang bertujuan untuk melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi segala larangannya. Setiap perbuatan amal soleh ini diganjarkan Allah pahala sepanjang masa sejak bangun tidur sehinggalah tidur kembali. Sebagaimana hadis daripada Abu Zarr al-Ghifarri yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i yang bermaksud 
“Sesiapa yang naik atas katilnya dan dia berniat untuk bangun sembahyang waktu malam, kemudian dia tertidur sehingga waktu pagi, maka ditulis baginya pahala apa diniatnya itu.”

Semua pekerjaan semasa hidup ini yang bertujuan kerana Allah adalah dikira amal soleh, mendapat pahala ibadat daripada Allah, sama ada bekerja dalam sektor pertanian, pendidikan pengurusan, keselamatan atau sektor ekonomi, sosial dan politik atau bidang sains dan teknologi dengan syarat kerana Allah dan kerja tersebut tidak bertentangan dengan kehendak syariat. Islam amat menggalakkan umatnya melakukan kebaikan sebab itu diberi ganjaran yang banyak bagi sesiapa yang melakukan kebaikan berbanding dengan sesiapa yang melakukan kejahatan di mana dosa yang diberi tidak sebanyak pahala yang didapati.


DEFINISI KOMUNIKASI 
Komunikasi ialah perhubungan secara langsung seperti lisan atau secara tidak langsung iaitu melalui perantaraan media cetak atau media massa seperti surat, radio, telefon dan lain-lain. Komunikasi sebenarnya adalah konsep yang susah untuk didefinisikan kerana ia bersifat abstrak dan holistik.

Komunikasi adalah asas dalam kehidupan seseorang manusia. Dalam sesebuah masyarakat, komunikasi ibarat nadi yang menggerakkan sistem sosial masyarakat tersebut. Komunikasi menjadi medium penyebaran maklumat daripada seorang manusia kepada manusia yang lain. Justeru, sistem sosial sesebuah masyarakat tersebut akan tergendala tanpa komunikasi. Semakin berkesan sistem komunikasi diamalkan, semakin cekaplah pengurusan dan pentadbiran dalam sesebuah masyarakat tersebut sama ada komunikasi itu melalui saluran rasmi atau pun tidak, sistem komunikasi perlu melalui kaedah dan etika yang betul untuk memastikan keberkesanannya.

Komunikasi sangat berpengaruh terhadap proses evolusi kehidupan manusia, baik sebagai hamba, anggota masyarakat dan anggota keluarga sebagai satu kesatuan yang universal. Seluruh kehidupan manusia tidak terlepas dari komunikasi yang sangat berpengaruh terhadap kualiti perhubungan sesama anggota masyarakat


KOMUNIKASI DALAM PERSPEKTIF ISLAM

Allah jadikan kita nikmat berkata-kata adalah satu nikmat yang besar, kerana dengan nikmat pertuturan inilah kita dapat melahirkan sesuatu hasrat dan hajat dan terjadinya komunikasi antara sesama manusia yang dipanggil pertuturan atau tutur kata.

Lidah yang ada pada kita hendaklah digunakan untuk beribadat kepada Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 191 yang bermaksud
Mereka yang sentiasa menyebut nama Allah ketika berdiri, semasa duduk, berbaring dan pemikiran mereka setiasa berfikir tentang langit dan bumi hingga terungkap daripada lidah mereka “Wahai Tuhan kami, engkau tidak jadikan kami dengan sia-sia, Maha Suci engkau, jauhilah kami daripada azab neraka.”

Lidah memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia bahkan keselamatan, keamanan dan kedamaian hidup mereka atau kemuraman, kecelaruan hidup mereka adalah terletak pada penggunaan lidah seseorang. Sekiranya mereka bijak menggunakan lidah mereka mengikut saranan Islam akan bahagialah hidup mereka, sebaliknya jika mereka tidak bijak menggunakannya akan meranalah hidup mereka.

Rasulullah s.a.w pernah menasihatkan kita supaya bijak menggunakan lidah ini dengan sabdanya yang bermaksud 
“Bercakaplah kamu tentang perkara baik jika tidak, diam janganlah bercakap kerana diam itu ibadah.” 
Islam mengharamkan salah guna lidah seperti berbohong, maki hamun, berbangga, memperlekehkan orang lain dan sebagainya. Lidah hendaklah dijadikan alat untuk mendakwahkan kalimah Allah dimuka bumi ini. Sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud 
“Sampaikanlah dariku walaupun satu kalimah atau pun satu ayat.”

Islam sebagai cara hidup yang komprehensif telah menyediakan alternatif kepada sistem komunikasi biasa yang sering menimbulkan masalah. Islam bukan sekadar menyediakan etika, bahkan Islam juga menyediakan teknik-teknik komunikasi yang berkesan untuk menjamin perlaksanaan pengurusan dan pentadbiran yang efektif sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam Al-Quran dan kemudian ditunjukkan oleh Nabi Muhammad melalui sunnahnya.

Komunikasi dalam Islam adalah penting kerana adanya kewajipan berdakwah iaitu dengan menyeru kepada kebaikan, menyuruh membuat makruf dan melarang membuat yang mungkar kepada setiap orang yang beriman sehingga nilai-nilai yang terdapat di dalam Al Qur’an dan hadis harus dikomunikasikan kepada orang lain. Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi Muhammad bersabda 
“Iman seseorang itu tidak lurus kecuali hatinya lurus, dan hatinya tidak lurus kecuali lidahnya lurus”.


DOSA DAN PAHALA DALAM KOMUNIKASI MENURUT PANDANGAN ISLAM

Dosa dan pahala dalam komunikasi juga boleh diklasifikasikan sebagai baik dan buruk atau betul dan salah. Segala bentuk dosa dan pahala dalam komunikasi ditentukan oleh perbuatan manusia itu sendiri melalui akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah di mana jika mereka melakukan kebaikan maka mereka akan mendapat pahala tetapi jika mereka melakukan sebaliknya iaitu kejahatan maka mereka akan mendapat dosa. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 99:7 dan 8 yang bermaksud 
“Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul telah menetapkan prinsip dan kaedah untuk melakukan sesuatu amalan, antaranya amalan komunikasi sama ada komunikasi dengan Tuhan, komunikasi sesama manusia dan komunikasi dengan diri sendiri. Prinsip dan kaedah ini dinyatakan dan diterangkan dalam Al-quran dan Hadis Nabi.

Komunikasi dengan Tuhan, iaitu komunikasi yang paling tinggi darjatnya. Allah selalu berkomunikasi dengan hambaNya melalui wahyu. Untuk menghindari kesalahan dalam menerima pesanan melalui ayat-ayat tersebut, Allah juga memberikan kebebasan kepada Rasulullah untuk mengimplementasikan wahyu-Nya melalui matan hadis. Baik hadis itu bersifat Qouliyah (perkataan), Fi’iliyah (perbuatan) atau Taqrir (persetujuan) Rasul. Kita berkomunikasi dengan Tuhan melalui solat, berdoa dan berzikir. Solat misalnya, kita lakukan lima kali sehari pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Zikir dan doa pula boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi lebih afdal dilakukan selepas solat dan dalam keadaan berwudhu.

Komunikasi dengan tuhan boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu jenis komunikasi verbal dan nonverbal. Komunikasi verbal yang mendorong ke arah dosa ialah seperti syirik yang jelas, iaitu yang menggunakan lidah dalam mununjukkan kesyirikan kepada Allah. Sebagai contoh seorang muslim yang mengaku dengan lidahnya bahawa dia tidak percaya dengan sifat-sifat Allah. Selain itu komunikasi verbal dengan tuhan juga akan mendorong kepada dosa apabila seseorang muslim itu merungut, meratap, memaki hamun kepada Allah kerana tidak dapat menerima takdir yang berlaku ke atas dirinya, sebagai contoh menyalahkan takdir Allah di atas kematian. Manakala komunikasi verbal yang mendorong ke arah pahala ialah seperti zikir, berdoa, beristighfar, membaca Al-Quran dan sebagainya seperti yang kita ketahui Allah telah menyediakan pahala kepada orang yang membaca Al-Quran, setiap huruf yang dibaca akan mendapat pahala. Allah telah menjanjikan bahawa setiap amalan di dunia akan dihitung walaupun sebesar zarah.


KOMUNIKASI DENGAN TUHAN
Komunikasi sesama manusia, iaitu sama ada dengan ibu bapa, suami isteri, adik-beradik, saudara mara, jiran, sahabat, rakan sekerja, majikan dan sebagainya. Komunikasi sesama manusia dilakukan melalui perbualan bersemuka, perbualan telefon, perbincangan, taklimat, dialog, ceramah, syarahan dan sebagainya. Komunikasi sesama manusia amat dititik beratkan oleh Islam sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik bermaksud 
“Janganlah kamu saling benci membenci, janganlah kamu berhasad dengki dan janganlah kamu berpaling muka. Hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara. Dan tidak halal bagi seseorang muslim itu tidak bertegur sapa dengan saudara Islam lebih daripada tiga hari.”
Secara lebih terperinci komunikasi sesama manusia boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan jenis komunikasi. Iaitu komunikasi verbal interpersonal dan intrapersonal dan komunikasi non-verbal interpersonal dan intrapersonal.

Dosa dan pahala dalam komunikasi sesama manusia terdapat dalam semua jenis komunikasi di atas. Komunikasi verbal interpersonal yang boleh membawa kepada dosa ialah seperti memperli, mengeji dan menghina sesama manusia. Manakala dosa dalam komunikasi verbal intrapersonal ialah memburukan seseorang atau mengaibkan maruah seseorang melalui blog, menghantar ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), menyebarkan email yang tidak benar dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti dan maruah seseorang. Kini, metodologi ini sering digunakan untuk menyebar fitnah kerana ia lebih meluas dan cepat. Dosa juga boleh didapati melalui komunikasi non-verbal interpersonal, iaitu melalui perbuatan seperti membunuh, mencuri dan sebagainya. Komunikasi non-verbal intrapersonal pula akan menjadi dosa apabila ia membawa ke arah kemaksiatan seperti menyiarkan rancangan realiti hiburan, dan memaparkan video-video yang mendedahkan aurat serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan dan sebagainya. Semua ini akan memberi kesan buruk terhadap komunikasi sesama manusia,

Pahala pula boleh dicari melalui komunikasi sesama manusia yang pelbagai jenis antaranya ialah komunikasi verbal interpersonal seperti memberi salam, memberi kata-kata yang menyenangkan, nasihat, tazkirah serta penerangan yang jelas dan tepat. Dalam berkomunikasi, Islam sangat menekankan untuk memulakan komunikasi dengan panggilan yang menyenangkan sekalipun pesanan yang disampaikan dalam komunikasi merupakan teguran dan peringatan. Allah telah mencontohkan hal tersebut ketika sedang menegur kesalahan Rasulullah. Allah tetap memanggil beliau dengan sebutan “wahai Nabi”. Allah berfirman; 
“Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagimu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.”
Surah At-Tahrim : 1

Seterusnya komunikasi verbal intrapersonal akan mendorong ke arah mendapat pahala apabila komunikasi itu membawa unsur dakwah kepada manusia dengan menyiarkan rancangan televisyen seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Al-Kuliyyah, Al-Hidayah, dan Akademi Al-Quran kerana secara tidak langsung rancangan ini dapat membimbing masyarakat ke arah kebaikan. Tetapi, rancangan keagamaan seperti ini kurang diberi pendedahan oleh media berbanding rancangan hiburan yang boleh merosakkan moral masyarakat seperti yang kita lihat pada hari ini.

Selain menggunakan komunikasi verbal, komunikasi non-verbal juga boleh diamalkan untuk mendapat pahala. Sebagai contoh komunikasi non-verbal interpersonal membolehkan seseorang mendapat pahala melalui perbuatan tolong-menolong, bertolak-ansur serta sabar dalam menjalani kehidupan seharian di dalam keluarga mahupun masyarakat. Manakala komunikasi non-verbal intrapersonal dalam mengajak manusia mendapat pahala pula adalah dengan menggunakan perantaraan seperti menyebarkan kata-kata nasihat melalui pamplet, video atau papan iklan yang menyiarkan kata-kata seperti 
“Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan”.


KOMUNIKASI SESAMA MANUSIA

Komunikasi dengan diri sendiri. Lazimnya ini dilakukan pada malam hari sebelum tidur. Kita bermuhasabah diri dengan menilai amalan, usaha, tindakan, perbuatan, fikiran dan ibadah kita sepanjang hari dari mula bangun tidur sehingga berada semula di katil tidur. Antara soalan-soalan yang kita tanya pada diri kita ialah ‘Adakah solat kita pada hari ini sudah bertambah?’, ‘Adakah kita telah melakukan dosa lisan pada hari ini?’ atau bermacam-macam jenis soalan lagi yang kita tanyakan pada diri kita. Niat merupakan instrumen penting dalam komunikasi dengan diri sendiri. Niat penting untuk membezakan adat dan ibadat. Melalui niat jugalah dosa dan pahala dinilai. Hadis daripada Anas yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi yang bermaksud 
“Tidak dikira amalan sesiapa yang tidak berniat.”
Untuk itu niat menjadi syarat utama sah atau batal sesuatu perkara itu atau diberi pahala atau dosa. Untuk itu amalan yang tidak disertai dengan niat tidak mendatang apa-apa kesan.

Al-Quran telah menggariskan kaedah berkomunikasi untuk dijadikan panduan kepada umat islam supaya dapat mengelakkan diri dari melakukan dosa dalam berkomunikasi sekaligus memberi panduan untuk mendapat pahala dalam berkomunikasi. Pertama, kaedah Qaulan Tsaqila iaitu komunikasi yang berpengaruh. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 256 yang bermaksud 
“Tidak ada paksaan dalam agama (islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) dari kesesatan (kufur).” 
Prinsip ini menunjukkan bahawa setiap maklumat yang kita sampaikan melalui komunikasi dapat memberikan kesan kepada pihak yang menerima maklumat.

Kedua, melalui kaedah Qaulan Sadida iaitu komunikasi yang tegas. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 19 yang bermaksud 
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) disisi Allah ialah Islam.” 
Komunikasi yang tegas adalah komunikasi yang tidak mencela-mencela, tidak wujud keraguan, ketidakpastian dan ketidakpercayaan diri. Dengan komunikasi yang tegas, orang lain akan memahami bagaimana sikap kita dan apa posisi kita yang sebenarnya. Seterusnya dapat mengelak daripada berlaku atau timbulnya salah faham mahupun salah erti.

Ketiga, Qaulan Balighoh iaitu komunikasi yang penuh makna. FirmanNya dalam surah Al-baqarah ayat 25 yang bermaksud 
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh…” 
Prinsip ini mengarahkan kita untuk menyampaikan setiap pemikiran, perasaan dan nasihat dengan menggunakan pilihan kata, gaya bahasa, yang penuh makna sehingga memberi bekas atau kesan dalam diri seseorang yang menerimanya.

Keempat, Qaulan Layyina iaitu komunikasi dengan lemah-lembut. Sebagaimana yang berlaku di antara Nabi Syu’aib dengan kaumnya dalam Surah Huud ayat 11:88 di mana Syu’aib dengan lemah-lembut berkata kepada kaumnya 
“Wahai kaumku bagaimana fikiranku jika aku mempunyai yang nyata dari tuhanku dan dianugerahiNya aku daripadaNya rezeki yang baik. Patutkah aku menyalahiNya? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan kepadaNya aku akan kembali”. 
Kata-kata yang diucap dengan lemah lembut adalah satu faktor penting dalam berdakwah, bersosialisasi, bergaul supaya apa yang kita sampaikan dapat diterima oleh pihak sasaran dengan rasa tenteram dan menerima perbicaraan yang kita sampaikan dengan rela hati.

Kelima, Qaulan Ma’rufa iaitu komunikasi yang penuh dengan nilai-nilai kebaikan Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 7:199 yang bermaksud 
“Terimalah apa yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)." 
Komunikasi yang penuh dengan nilai kebaikan akan menghindarkan kita dari berkata dusta, keji atau menimbulkan kemudaratan kepada pihak sasaran dan secara tidak langsung akan memberikan banyak manfaat kepada orang lain.

“Sebenarnya kamu melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap”.

Surah Al-Anbiyaa’ 21:18


Demikianlah konsep berkomunikasi menurut pandangan Islam. Sebagai umat Islam, kita seharusnya mengamalkan komunikasi yang betul dalam kehidupan seharian sepertimana yang diajar dalam Islam, kerana sebaik-sebaik umat adalah yang menghadap Allah dengan hati yang bersih, yang penuh dengan keimanan, kesyukuran serta ketaqwaan dan jiwa yang penuh ketenangan dan kemuliaan dari Allah. Sekiranya kita mengamalkan cara komunikasi seperti yang telah diterangkan dalam Al-Quran pastinya kita akan mendapat pahala dan menjauhkan diri daripada dosa. Dalam Islam, komunikasi harus dilandasi dengan cinta dan kasih sayang jadi tidak ada alasan lagi untuk keluar dari etika-etika yang telah digariskan oleh Islam.

“Jadikanlah komunikasi anda sebagai muara cinta dan kasih sayang yang tulus kerana Allah”
p/s : Nota ini adalah assignment by group. Credit to Siti Nurmala bt Ariff & Nurul Ain bt Zainul Abidin



BIBLIOGRAFI

1. Abdullah Hassan, 2007. Seni Bercakap-cakap & Berbual-bual, Selangor: PTS Publication Distributors Sdn Bhd.
2. Mohd Ali Abu Bakar, 2005. Tanggungjawab Setiap Muslim, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
3. Prof. Dr. Muhammad Sayyid Thantawi, 1997. Etika Dialog Dalam Islam, Jakarta Selatan: Mustaqiim.
4. Rosmawati Ali @ Mat Zin, 1997. Pengantar Ulum Al-Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
5. Rosmawati Ali @ Mat Zin, 1997. Pengantar Usul Fiqh, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
6. Saodah Wok, 2005.Teori-teori Komunikasi, Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
7. Ustaz Abdul Latif bin Muda, 2001. Huraian Ayat-ayat Hukum, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

2 comments :