Friday 23 September 2011

Perkim Ziarah PPUM

"HILANGKANLAH segala penyakit dan sembuhkanlah ia wahai Tuhan pencipta manusia, Engkaulah sahaja (Ya Allah) penyembuh segala penyakit, tiada kesembuhan kecuali daripada-Mu sahaja. Iaitu kesembuhan yang tidak akan dihinggapi penyakit lagi."
(Riwayat Bukhari & Muslim)


Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuktikan kasih sayang. Bukan setakat wang ringgit tetapi melakukan amal kebajikan adalah satu cara untuk melahirkan rasa prihatin sesama insan.

Kebelakangan ini, pelbagai pihak berusaha menganjurkan program amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, golongan memerlukan dan mereka yang terlantar sakit.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (SPPUM) dan Skali Web Services Sdn. Bhd. menganjurkan program ziarah pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor pada 16 Jun lalu.

Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara, Puteh Kalsom Shamsuddin bersama 20 sukarelawan menziarahi serta menyampaikan 60 hamper dan buku Panduan Solat kepada pesakit Muslim sambil dipimpin oleh jururawat bertugas di Wad Surgikal 7U dan Pusat Harian Psikiatri.

Puteh yang juga sukarelawan Perkim berkata, program ini merupakan satu kaedah merapatkan silaturrahim antara Perkim dan pesakit tanpa mengira agama dan bangsa.

"Biarpun jumlah bantuan yang disampaikan tidak seberapa tetapi diharapkan ia dapat meringankan beban penerima," katanya.

Pesakit yang ditempatkan di Wad Surgikal ialah mereka yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan, ketumbuhan, pendarahan usus, pembedahan plastik.

Manakala di Pusat Harian Psikiatri ialah mereka yang mengalami tekanan, kemurungan, gangguan saraf otak, gangguan perasaan dan gangguan persekitaran.

Menurut Ketua Jururawat Pusat Harian Psikiatri, Suhana Yaakob, selain membantu memulihkan pesakit, aktiviti senaman aerobik, terapi bersantai, terapi tempatan, kraftangan, latihan kemahiran sosial, program pengurusan kesihatan mental turut ditekankan.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi SPPUM, Prof. Dr. Omar Salleh.
 
 
Sumber :  Utusan Online

No comments :