Thursday 1 September 2011

Cerai SMS - Sah atau Tidak?!


Dunia hari ini memperlihatkan perkembangan kemudahan teknologi yang dicipta bagi memudahkan urusan manusia itu sendiri. Kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi di era langit terbuka ini, membolehkan manusia berhubung di antara satu sama lain melintasi sempadan Negara. Suatu ketika dahulu, interaksi dua pihak yang berjauhan hanya melalui surat yang dibawa burung merpati tetapi kini fungsinya diambil alih oleh sistem perhubungan seperti telefon, faksimili, voice-mail, e-mail, chit-chat, tele-conference, sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya. Hanya dengan menggunakan jari segala-galanya bukan lagi mustahil untuk dilakukan. Tetapi jika kemudahan itu disalahgunakan boleh membawa akibat yang buruk lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hukum agama sendiri.



Polemik mengenai perceraian melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon baru-baru ini telah menarik perhatian orang Islam kepada isu perkahwinan. Persoalan-persoalan baru mengenai perkembangan seumpama ini dan kaitannya dengan hukum munakahat Islam sememangnya memerlukan ijtihad semasa. Apapun pendapat yang dikeluarkan berdasarkan penelitian dan kajian kepada sumber yang muktabar, kebimbangan mula diketengahkan sekiranya alat yang sepatutnya memberi kemudahan disalahgunakan. Mungkinkah alat perhubungan yang sepatutnya mengeratkan kasih sayang boleh menjejaskan imej Islam apabila perceraian berlaku hanya dihujung jari? Tidakkah ini mempersendakan keutuhan institusi keluarga yang menjadi intipati kekuatan ummah? Apabila ia membabitkan soal cerai, sedangkan natijahnya adalah berat, ada baiknya jika seseorang itu mengambil langkah berhati-hati apabila menggunakan cara yang serius itu kerana ini boleh memporakperandakan sesebuah keluarga Islam. Cerai adalah suatu persoalan serius di mana ia merupakan suatu kesilapan besar jika ia disalahgunakan. Kini kita berdepan dengan terlalu banyak fitnah dan kerosakan akhlak yang begitu berleluasa, jadi kita terpaksalah berhati-hati pada orang yang mahu menyebabkan masalah terutamanya terhadap ikatan suci seperti sebuah perkahwinan.


PENGERTIAN

SMS adalah Short Messaging System atau sistem pesanan ringkas yang merupakan satu sistem komunikasi yang menggunakan teks tulisan bagi menghubungkan dari satu individu ke individu yang lain melalui teknologi seperti telefon bimbit.

Perkahwinan adalah suatu ikatan yang terjalin antara lelaki dan wanita melalui akad yang sah untuk hidup bersama, tolong-menolong dan menunaikan naluri seks secara halal.

Talak pada bahasa bermaksud menghuraikan ikatan dan melepaskannya. Manakala talak pada syarak pula ialah menghuraikan ikatan perkahwinan dan melepaskannya dengan lafaz talak dan seumpamanya sama ada terhurainya talak itu dengan serta merta ataupun bertangguh. Talak yang terhurainya dengan serta merta itu ialah talak ba’in (بائن), sementara talak yang bertangguh hingga habisnya waktu iddah dinamakan talak raj’ie (رجعى)1]


HUKUM PENCERAIAN

Memandangkan dalam perkongsian hidup suami isteri mungkin akan menempuhi berbagai-bagai kesulitan dan mengalami berbagai-bagai kesukaran yang kadang-kadang sesuatu perkahwinan itu tidak dapat memenuhi maksud-maksud yang tertentu antara mereka berdua. Jadi sebagai langkah akhir yang baik untuk mengatasi kesulitan adalah berpisah (talak), dengan cara berpisah kedua-dua belah pihak berpeluang untuk memilih jodoh perkongsian mereka yang lebih sempurna dan sesuai dengan mereka.

Sebagaimana yang diterangkan di atas tadi bahawa islam tidak menyukai berlakunya talak dan kebenaran itu secara makruh, tetapi ia boleh berubah kepada hukum-hukum lain mengikut sebabnya, iaitu sebagaimana dijelaskan dibawah ini :

1. Makruh, menceraikan isteri yang baik perangainya dan tidak didapati apa-apa kesalahan yang dilakukannya

2. Sunat, apabila suami tidak sanggup menanggung nafkah yang patut atau masing-masing tidak lagi dapat menyempurnakan kewajipan-kewajipan yang tertentu dalam perkongsian hidup atau kerana isteri tidak menjaga kehormatan dirinya.

3. Harus, apabila seseorang itu menceraikan isterinya mengikut sebab-sebab yang tertentu dan isterinya yang berada dalam keadaan suci dalam haid yang belum dipersetubuhi lagi dan tidak dalam masa mengandung.

4. Haram, apabila menjatuhkan talak terhadap isteri tanpa sebab yang dibenarkan seperti talak bad’ie iaitu dalam dua keadaan di mana satu keadaan ialah dengan menjatuhkan talak waktu isteri sedang dalam haid dan keadaan kedua di mana suami menjatuhkan talak sewaktu isteri suci yang telah dipersetubuhi semasa suci itu, sepatutnya kalau hendak diceraikan jangan dipersetubuhi lagi selepas isteri suci daripada haid.

5. Wajib, apabila terjadi perselisihan diantara suami isteri, sedangkan kedua-dua hukum (seorang dari pihak suami dan seorang lagi dari pihak isteri) yang membuat perundingan tentang perkara itu, keduanya berpendapat mereka perlu bercerai.



HIKMAH DISYARIATKAN TALAK

Tujuan perkahwinan adalah hidup dalam pergaulan yang sempurna, sekiranya suami isteri tidak lagi boleh hidup dengan sempurna, maka mereka diberi peluang untuk berpisah supaya mereka membaiki diri masing-masing. Perkahwinan sebagai satu jalan yang paling mulia untuk mengaturkan rumahtangga dan keturunan. Oleh itu, sekiranya mereka mandul dan tidak dapat melahirkan zuriat dan keturunan, maka mereka diberi peluang berpisah untuk mencari pasangan lain yang boleh memberi zuriat. Perkahwinan juga merupakan satu jalan yang amat teguh untuk memperkukuhkan tali hubungan silaturrahim antara keluarga suami dengan keluarga isteri, sekiranya dalam pergaulan antara suami isteri tidak dapat menyampaikan tujuan tersebut bahkan sebaliknya, maka dengan keadilan Allah memberikan satu jalan keluar iaitu dengan bercerai.

Perkahwinan diasaskan dengan hidup harmoni, kasih sayang dan tolong menolong antara satu sama lain, jadi sekiranya pasangan selalu tidak bersefahaman dan berselisih pendapat, bertengkar dan bermasam muka antara keduanya, maka suasana ini akan memberi implikasi yang amat buruk terhadap anak-anak. Oleh itu, untuk mengelakkan perkara tersebut, diberi peluang kepada mereka untuk berpisah. 

HUKUM PERCERAIAN MELALUI SISTEM PESANAN RINGKAS (SMS)

Keputusan Fatwa
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos 2003 telah membuat penelitian mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) seperti berikut:

i. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mail dan sebagainya merupakan talak berbentuk kinayah dan adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

ii. Semua perceraian perlu dikemukakan ke Mahkamah Syariah untuk mensabitkan talak tersebut.

iii. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab perceraian yang digariskan oleh syarak.[2]


Konsep Talak Dalam Islam

Allah menetapkan talak sebagai jalan penyelesaian terakhir kepada perselisihan suami isteri di saat tidak ada cara lain mengatasinya. Disyariatkan pula tempoh iddah yang di antaranya bertujuan untuk menilai kembali kesilapan, menimbulkan penyesalan kerana keterlanjuran dalam bertindak dan membolehkan mereka menyambung ikatan kasih sayang sebagai suami isteri melalui rujuk. Firman Allah s.w.t,

Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.
(Surah al-Baqarah: 229)


Konsep ikatan perkahwinan di dalam Islam adalah diasaskan dengan kasih sayang, hormat menghormati, hubungan dan interaksi yang baik bukan sekadar di antara suami isteri malah dengan kedua-dua pihak keluarga pasangan. Oleh itu, perkahwinan dan perceraian hendaklah dilakukan dengan cara yang paling makruf dengan mengikut peraturan tertentu. Firman Allah s.w.t ,
وٳن خفتم شقاق بينهما فٱبعثوٱ حكما من أهله ۦ وحكما من أهلهآ إن يريدآ إصلٰحا يوفق ٱلله بينهمآۗ ٳن ٱلله كان عليما خبيرا
Dan jika kamu bimbang perpecahan di antara kedua suami isteri, maka lantiklah dua orang tengah (untuk mendamaikan mereka iaitu) seorang dari keluarge lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan (kedua suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Mendalam Pengetahuannya.
(Surah al-Nisa’ : 35)


SYARAT SIGHAH

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa perkahwinan itu akan tamat dengan sebab talak, sama ada dia berlafaz talak itu dengan bahasa arab ataupun dengan bahasa-bahasa selain bahasa arab, dan sama ada dengan cara berlafaz, menulis ataupun dengan cara isyarat. Oleh kerana sighah atau lafaz itulah yang melahirkan tujuan seseorang yang dapat dipegang untuk menunjukkan sesuatu maksud, jadi dengan itu suatu perceraian itu dikira dengan lafaznya. Perkataan sighah atau lafaz yang digunakan untuk talak itu ada 2 jenis iaitu lafaz soreh dan lafaz kinayah.

Lafaz soreh (صريح) ialah lafaz yang melahirkan maksud yang dikehendaki darinya itu, serta tidak meragukan lagi, ia ghalib (غالب) digunakan pada uruf (عرف) untuk menceraikan isterinya. Lafaz soreh itu ada tiga iaitu Talak (الطلاق) ertinya mencerai, Firak (الفراق) ertinya memisahkan diri dan Sarah (السراح) ertinya lepas.

Untuk menjatuhkan talak, mestilah mengandungi beberapa syarat iaitu :

1. Hendaklah dengan menggunakan lafaz yang memberi erti talak, atau dengan cara penulisan, atau dengan isyarat yang boleh difahami.

2. Hendaklah suami yang melafazkan talak itu faham ertinya walaupun dengan bahasa عجم, maka apabila orang عجم menggunakan lafaz soreh bagi talak, maka terjatuh talak itu tanpa niat.

3. Hendaklah disandarkan lafaz itu ke atas isterinya, seperti katanya : “Aku ceraikan isteriku ini.”

4. Hendaklah dia tidak meragui tentang bilangan atau lafaz talak yang diucapkan itu.

Jumhur Ulama’ sepakat berpendapat bahawa talak yang soreh ialah lafaz yang jelas dari segi maknanya dan kebiasaannya membawa erti talak. Contohnya, seorang suami berkata kepada isterinya, “Saya ceraikan awak”. Lafaz begini memberi kesan jatuh talak walaupun tanpa niat. Manakala mazhab Al-Syafie menggunakan tiga konotasi yang berbeza dengan membawa maksud yang sama iaitu perceraian, penghapusan milik atau pembubaran perkahwinan iaitu al-Talak (Surah al-Baqarah 229), al-Firaq, Surah Al-Nisa’ : 130 dan al-Sarah (Surah Al-Ahzab : 28)

Lafaz kinayah (كنايه) ialah perkataan-perkataan yang mengandungi erti talak dan erti yang lain yang memerlukan niat orang yang melafazkannya seperti kata suami “Engkau bolehlah pulang ke rumah ibu bapa engkau.” Atau katanya “Berpisahlah kita berdua.” Ataupun seumpamanya apabila suami berkata kepada isterinya, “Engkau haram ke atasku” atau katanya “Aku mengharamkan engkau.” Jika diniat talak atau zihar, berhasil apa yang diniatkan, dan jika sekiranya dia berniatkan keduanya, hendaklah dia pilih dan sabitlah apa yang dipilih.

Sesungguhnya lafaz kinayah itu tidak jatuh talak kecuali dengan niat, dan tidak diambil kira dengan dilalah al-hal (دلالة الحال) atau keadaan semasa. Oleh itu, tidak jatuh talak kecuali dia meniatkan talak. Lafaz kinayah ini disyaratkan niat itu menyertai dengan setiap lafaz yang diucapkan. Maka jikalau sekiranya dia sertakan pada permulaan ucapannya dan tidak berniat pada kalimah sebelum akhirnya tidak jatuh talak itu.

Jumhur ulama’ berpendapat talak al-kinayah ialah talak yang dinyatakan secara kiasan atau sindiran yang boleh ditafsir dengan dua kemungkinan sama ada memberi maksud cerai atau sebaliknya. Contohnya, “Pulanglah engkau ke rumah bapamu”. Atau “Keluarlah kamu dari rumah ini”. Lafaz talak al-kinayah seperti ini memerlukan kepada niat. Hanya dengan wujudnya niat talak akan jatuh. Manakala mazhab al-Syafie dan Hambali berpendapat, lafaz yang dianggap kinayah adalah seperti lafaz “Awak haram ke atas saya”. Sekiranya suami melafazkan kepada isterinya dengan niat menceraikannya maka jatuh talak.

Walau bagaimanapun, Mazhab Hanafi dalam menyatakan pandangan mengenai perkataan haram berpendapat bahawa sekiranya suatu masyarakat telah melazimkan perkataan tersebut sebagai talak maka ia dikira sebagai lafaz soreh bukan lagi kinayah dan jatuh talak walaupun tanpa niat. (Wahbah AL-Zuhaily: 6897)

Talak Melalui Tulisan (Bil Kitabah) mengikut pendapat Jumhur, kebanyakan Fuqaha berpandangan bahawa talak melalui tulisan hanya berlaku sekiranya disertai dengan niat. Hal ini adalah kerana tulisan adalah sama kedudukannya dengan kata-kata seseorang yang boleh difahami maksudnya. Walaupun Fuqaha sependapat bahawa talak boleh jatuh dengan perantaraan tulisan berdasarkan kriteria tertentu, mereka berbeza pandangan dalam menentukan kriteria tersebut.

Mazhab Hanafi mensyaratkan dua kriteria tulisan yang sama statusnya dengan lafaz iaitu tulisan yang jelas dan ditujukan khusus kepada isterinya yang tertentu.

Al-Hanafiah berpendapat bahawa tulisan yang jelas adalah tulisan yang dapat dilihat dengan jelas (lafz al-mustabinah) seperti yang tertera di atas helaian kertas, batu, tanah dan ianya ditujukan kepada isteri dengan tertera nama dan alamat beserta tulisan yang jelas (marsumah) seperti “Aku ceraikan kamu” statusnya sama dengan lafaz soreh. Bagaimanapun talak dengan tulisan yang tidak jelas (ghair al-mustabinah) seperti tulisan yang dilakarkan di udara atau di atas air yang tiada apa-apa kesan yang boleh dilihat maka tidak jatuh talak. (Wahbah al-Zuhaily: 6902, al-Jaziri 250 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah : 24). Tulisan yang tidak dapat ditentukan kepada siapa cerai itu ditujukan seperti “Aku ceraikan si dia” atau hanya menyebut sifatnya seperti “Aku ceraikan si putih kuning” memerlukan kepada niat. Hanya lafaz yang disertai niat sahaja talak akan jatuh.

Secara ringkasnya Mazhab Hanafi berpandangan jatuh talak apabila tulisan tersebut jelas yang tentu siapa yang ditujunya (al-Marsumah) sama seperti kedudukan talak yang soreh. Tetapi sekiranya tidak jelas (ghair al-Marsumah), maka perlu ada niat. (Wahbah al-Zuhaily: 6902, al-Jaziri 250 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah: 24)

Mengenai penulisan yang ghalib, para fuqaha bersependapat mengatakan jatuh talak dengan menulis surat menurut sebagaimana penjelasan berikut:

1. Apabila suami menulis dalam surat menceraikan isterinya dengan lafaz soreh tanpa niat, maka itu adalah lagha (لغا) tidak terjatuh talak dengan surat itu, kerana penulisan itu boleh jadi untuk menceraikan isterinya dan boleh jadi untuk melatih menulis khat misalnya.

2. Jika suami menulis dalam surat cerai untuk menceraikan isterinya dengan lafaz soreh atau kinayah serta dia niatkan cerai tetapi ditaklikkan dengan sampainya surat itu, seperti katanya “Apabila sampai kepada engkau suratku ini, maka engkau tertalak” maka sesungguhnya tercerailah isterinya itu dengan penerimaan surat itu.

3. Jika suami menulis dalam suratnya “Apabila engkau membaca suratku ini, maka engkau tertalak” dan isterinya membaca suratnya itu, maka dengan pembacaannya itu isterinya tertalak kerana didapati perkara yang ditaklikkan itu. Dan jika dibacakan kepadanya surat itu, maka tidak terjatuh talak padanya yang memang sah ( أصح قول ) kerana dia tidak membacanya serta dia boleh membaca, dan jika dia tidak pandai membaca serta dibacakan kepadanya, tercerailah isteri itu kerana pembacaannya pada hak orang yang tidak pandai membacanya boleh ditanggungkan dengan melihat apa tertulis dalam surat itu.

Talak dengan isyarat adalah sah sekiranya ia boleh difahami dengan menggunakan tangan mahupun dengan kepala. Hal ini adalah untuk orang yang tidak mampu bercakap, seperti orang bisu dan seumpamanya kerana keperluan. Maka apabila orang bisu mengisyaratkan untuk bercerai, maka tercerailah isterinya itu. Tetapi bagi pendapat Hanafiah, apabila si bisu itu pandai menulis, tidak harus isyaratnya itu. Manakala menurut Jumhur Ulama pula, adapun orang yang mampu bercakap, tidak sah menceraikan isterinya dengan menggunakan isyarat. Sebagaimana tidak sah nikah dengan menggunakan isyarat. Oleh itu maka tidak jatuh talak dengan isyarat kecuali orang yang bisu. Manakala menurut Malikiah isyarat orang yang mampu bercakap itu adalah seperti kinayah yang memerlukan niat, dan sah dengan isyarat jika disertakan dengan niat.


CONTOH KES PENCERAIAN MELALUI SMS

Dalam kes Azida Fazlina dan Shamsudin Latif misalnya di mana kes mereka hangat diperkatakan suatu ketika dahulu telah diputuskan pada 2003, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengesah dan mensabitkan perceraian pasangan suami isteri yang dilafazkan melalui SMS apabila suami menghantar kepada isteri, di mana SMS tersebut berbunyi, 
“Kalau engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga.”
SMS itu dihantar pada jam 10.04 pagi dan isteri membacanya pada jam 8 malam apabila telefon bimbitnya dipasang. Isteri mengatakan bahawa dia yakin suaminya iaitu defendan dalam kes ini yang mengirim mesej itu dan apabila mahkamah mengajukan soalan kepada defendan, beliau memperakukan keterangan yang diberikan plaintif. Hakim Syarie ketika membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta gugur talak tiga terhadap plaintif.

Begitu juga kedudukan talak ditulis di atas sepucuk surat yang dikirim melalui penghantar kepada isterinya yang berjauhan sekiranya memenuhi syarat talak maka hukumnya jatuh talak seperti mana lafaz yang soreh. Seperti contoh kes yang berlaku di Johor beberapa tahun yang lepas dimana laporan itu menyebut seorang anggota polis marin di Muar didakwa menceraikan isteri keduanya menerusi khidmat pos laju yang dikirimkan kepada seorang rakan setugasnya di Ibu Pejabat Polis Marin Wilayah Selatan, di Tampoi, Johor Bahru.

Perceraian kedua-dua pasangan itu menggunakan pendekatan berbeza, tetapi sah kerana kedua-dua cara itu tergolong dalam talak kinayah iaitu talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus.


CERAI SMS: SAH ATAU TIDAK?!

Perlaksanaan dinamisme syari‘at Islam dari zaman sahabat hingga ke zaman para imam mazhab yang empat, radhiallahu 'anhum. Contoh-contoh ini menunjukkan bagaimana mereka menetapkan hukum bagi sesuatu perkara yang sebelum itu tidak ditetap oleh syari‘at Islam secara jelas seperti dalam kes berkaitan penceraian. Di waktu yang sama terdapat juga beberapa contoh di mana mereka menetapkan hukum yang berlainan daripada apa yang sudah ditetapkan oleh syari‘at Islam. Tindakan mereka yang terakhir ini bukanlah kerana menentang syari’at Islam atau menganggapnya tidak sempurna, tetapi kerana mereka lebih memahami syari‘at Islam secara seluruhnya, khasnya dari sudut tujuan dan objektif yang ingin dicapai olehnya.

Al-Syafi’iyyah dan Al-Malikiyyah berpendapat talak melalui tulisan walaupun dalam bentuk soreh tidak menjatuhkan talak dan tidak mendatangkan kesan kecuali disertakan dengan niat. Sebagai contoh suami yang menulis catatan perbincangan dan menguji dakwat pen dengan menulis secara soreh seperti contoh “Aku ceraikan kamu” atau kinayah menceraikan isterinya maka tidak jatuh talak melainkan memang suami berniat berbuat demikian.

Mazhab Syafie juga berpendapat bahawa talak melalui tulisan yang sama statusnya dengan lafaz, adalah tulisan yang disertai dengan niat. Hal ini kerana talak melalui tulisan dianggap sama dengan lafaz talak secara kinayah. Selain daripada tulisan yang disertai dengan niat sebagai syarat jatuh talak, Syafie juga mensyaratkan bahawa tulisan tersebut juga hendaklah ditulis sendiri oleh suami kepada isterinya.

Al-Mawardi mengulas pandangan al-Syafie


فٳذا كتب إذا جاءك كتابي فحتى يأتيها

Berpendapat bahawa talak melalui tulisan bukanlah soreh, ia adalah sama dengan lafaz kinayah yang memerlukan kepada niat. Talak melalui penulisan ada tiga keadaan :

i. Tulisan yang disertai dengan lafaz

ii. Tulisan yang disertai dengan niat

iii. Semata-mata tulisan; tanpa disertai dengan niat dan lafaz. Sekiranya disertai dengan lafaz maka jatuh talak kerana lafaz meskipun tanpa niat talak akan jatuh

Mengenai masalah suami yang menulis kepada isterinya, talak secara taklik melalui tulisan sama ada soreh atau kinayah dengan niat untuk menceraikan isterinya seperti ditulis “Apabila sampai tulisan ini ke tangan kamu maka jatuh talak”. Al-Syafie berpendapat bahawa apabila sampai sahaja surat tersebut kepada isterinya maka jatuhlah talak. Keadaan ini bermakna secara ringkas dapat disimpulkan bahawa bagi Syafie dan Maliki talak melalui tulisan hanya berlaku apabila disertakan dengan niat. (Wahbah al-Zuhaily: 6897)

Mufti Wilayah Persekutuan (Federal Territory), Hashim Yahya berpendapat bahawa lafaz (ucapan) talak yang disampaikan dengan menggunakan telefon bimbit melalui sistem pesanan ringkas (Short Message Services/SMS) adalah sah menurut hukum syarak. Menurut Hashim, lafaz talak biasa dilakukan secara berdepan (face to face) atau melalui surat seandainya suami tinggal berjauhan.

Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak apabila sempurna kesemua rukun talak, sabit perceraian. Asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui pesanan SMS, ia memerlukan kepada keyakinan daripada suami bahawa beliau yang menulis pesanan secara sengaja, tanpa paksaan dan ditujukan khas kepada pihak isteri. Keadaan ini bertepatan dengan kaedah Fekah, iaitu tulisan tersebut adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan.

Dalam perceraian, menjadi suatu kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian dalam menjatuhkan talak. Jika wujud ketidakpastian dalam salah satu daripada kelima-lima syarat talak maka perceraian tersebut tidak jatuh. Kebiasaannya mahkamah akan meminta suami melakukan sumpah syarie terhadap pesanan SMS yang dimaksudkan. Jika sabit kepastian melalui lafaz sumpahnya, maka jatuhlah talak tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab isteri dan suami untuk berlaku jujur dalam perkara ini demi menghilangkan perkara-perkara syubahat yang melingkari ikatan pernikahan. Sekiranya suami melafazkan talak, kemudian tidak mengaku, dia akan berhadapan dengan hukuman Allah. Firman Allah 
:ۗ فٱلله يحكم بينكم يوم ٱلقيٰمة
Maka Allah akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat
(Surah Al-Nisa’: 141)


IMPLIKASI TERHADAP MASYARAKAT

Isu bercerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sememangnya menjadi polemik dalam masyarakat. Ada yang berjuang mendesak supaya cerai secara SMS dianggap tidak sah kerana tindakan itu tidak bermaruah, memalukan serta mempersendakan keutuhan institusi keluarga yang menjadi inti pati kekuatan ummah. Bagi Hashim Yahya, Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa tidak perlu dikeluarkan fatwa tentang sah tidaknya lafaz talak melalui SMS, kerana hukum syarak sudah jelas membenarkannya. Cuma dari aspek kemanusiaan, suami tidak sepatutnya melakukan perkara seperti itu setelah bertahun-tahun berkongsi hidup.

Kita semua perlu melihat bahawa semua urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seseorang berkahwin secara baik dan terhormat, membuat kenduri dengan begitu meriah, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya. Sungguh tidak beradab orang yang berkahwin dengan penuh kebesaran dan keriuhan tetapi mengakhiri perkahwinannya dengan menggunakan kaedah SMS.

Sedih rasanya melihatkan kelibat media dan kumpulan tertentu mempertikaikan keputusan mahkamah syariah. Apakah tujuan mereka untuk merendahkan mahkamah syariah atau meragui keputusan hakim. Media pula menemuramah orang-orang di tepi jalan yang tidak tahu tentang hukum nikah cerai. Kenapa media tidak menemubual para Kadi dan Mufti? Kalau kita sakit darah tinggi adakah kita bertanya kepada penebar roti canai ubatnya? Sheikh Abdul Halim, Matan Mufti Kerajaan Perlis apabila diminta pendapat mengenai golongan yang mempertikaikan tentang kesahihan penceraian melalui SMS mengatakan bahawa 
"Kewajipan umat Islam hanya mentaati hukum dan peraturan yang telah ditetapkan Allah."

Dalam kes cerai SMS, sudah semestinya hakim bertanya kepada bekas suami adakah benar kamu yang menaip dan menghantar SMS tadi, jika si suami kata ya memang dia tulis tapi dia bergurau tetap jatuh talak. Talak tetap jatuh cuma salah dari segi undang-undang kerana tidak dilafazkan di mahkamah dan didaftarkan. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sesuatu lafaz cerai. Keadaan ini adalah berdasarkan Seksyen 45 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Terdapat dua jenis perceraian iaitu perceraian di dalam (dengan izin) dan di luar (tanpa izin) mahkamah. Pengesahan perceraian tersebut mesti disahkan di bawah Seksyen 55A. Seksyen tersebut memperuntukkan mahkamah berkuasa untuk mengesah dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah. Pihak mahkamah dalam membuat pengesahan perceraian akan terlebih dahulu mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada lafaz talak itu adalah sah mengikut hukum syarak. Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut ia tertakluk di bawah Seksyen 124 untuk membuat perintah membenarkan perceraian, merekodkan dan memberitahu kepada pendaftar.

Ramai masyarakat hari ini yang rata-ratanya tidak setuju mengenai penceraian melalui SMS, mereka mengatakan kaedah tersebut akan menganiaya golongan wanita. Tetapi jika dilihat dari sudut yang lain, perkara tersebut tidak seharusnya timbul kerana itu sudah ditentukan dalam hukum syarak. Aktivis membela kaum wanita dilihat banyak mempertikaikan tentang kesahihan penceraian melalui SMS kerana risau jika penceraian disahkan dikhuatiri para suami akan menyalahgunakan teknologi itu dengan sewenang-wenangnya kerana penceraian bukanlah suatu perkara yang patut dipermainkan.

Sementara Penasihat Agama Perdana Menteri, Dr. Abdul Hamid Othman meminta para suami patuh terhadap peraturan yang telah sedia ada, khususnya yang berhubung dengan Undang-undang Keluarga Islam. Menurut Abdul Hamid, masyarakat Islam di Malaysia tak perlu risau dengan isu tersebut kerana undang-undang yang berlaku sudah cukup untuk melindungi kesejahteraan ummah, khususnya dalam kalangan isteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Bridget (P) Abdul Hamid Zainal Abidin mengatakan, suami yang melafazkan talak melalui SMS telah melanggar Undang-undang Keluarga Islam dan patut dikenakan hukuman. Pasal 124 UU Keluarga Islam menyebutkan bahawa semua perceraian atau talak harus dilafazkan di hadapan hakim di Mahkamah Syariah. 
"Walaupun lafaz talak melalui SMS itu sah mengikut hukum syarak, tapi sesiapa yang ingin melafazkan talak harus mematuhi peraturan yang terdapat dalam UU Keluarga Islam," .

Pasal 55A UU Keluarga Islam tentang Pengesahan Lafaz Cerai menyebut bahawa apabila suami menceraikan isteri di luar mahkamah atau bukan di depan hakim, dia (suami) harus melaporkan (ke mahkamah). Kemudian mahkamah akan memanggil pasangan itu untuk ditanya mengenai lafaz talaknya, apakah tertulis atau tidak. Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Negeri Selangor 2003 (EUKIS 2003) memperuntukkan seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada talak dilafazkan melaporkan kepada mahkamah. Sekiranya tidak melapor dalam tempoh tersebut, itu sudah menjadi satu kesalahan. Iaitu bercerai tanpa kebenaran mahkamah. Jika dalam sidang Mahkamah Syariah terbukti bersalah, menurut UU Keluarga Islam, suami akan dikenakan denda tak lebih dari RM 1.000, atau penjara tak lebih dari enam bulan, atau keduanya sekali (denda dan penjara).

Kes penceraian yang melibatkan golongan selebriti misalnya sewajarnya tidak didedahkan kepada umum. 
"Seharusnya perkara yang dibenci oleh Allah tidak ditonjolkan dengan cara yang sensasi dan menarik perhatian orang ramai,"
kata Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf. Hal ini kerana pendedahan tersebut terutamanya oleh media bukan boleh mendamaikan pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumahtangga tetapi bagaikan mengapi-apikan lagi keretakan ikatan perkahwinan. Perkara itu katanya, perlu dibendung oleh semua pihak dan jangan menganggap penceraian satu perkara biasa dan tidak ada masalah kerana kesan daripada penceraian itu sangat besar terutamanya kepada insan yang terlibat, keluarga dan anak-anak. Kajian psikologi menunjukkan, perceraian boleh menimbulkan tekanan dan trauma kepada kanak-kanak untuk memulakan hubungan baru. Penceraian melalui SMS yang berlaku pada beberapa orang selebriti seperti Noraniza Idris, Nasrizal Ngasri kini sudah menjadi satu trend kerana banyak kes artis bercerai melalui SMS yang sering sahaja dilaporkan oleh media. Mereka seolah-olah menganggap begitu senang untuk memutuskan ikatan sesebuah perkahwinan dan budaya ini tidak elok didedahkan kerana dikhuatiri akan menjadi ikutan peminat-peminat dunia seni khususnya kerana apabila fanatik terhadap seseorang artis, tidak kira baik buruk artis itu pasti akan menjadi ikutan.


KESIMPULAN

Perceraian perlu dilakukan dengan ma’ruf. Perceraian tidak sepatutnya digunakan untuk menjatuhkan martabat isteri. Memandangkan ramai suami yang dengan mudah menggunakan kuasa talak dengan sewenang-wenangnya, langkah mengawal perceraian di luar mahkamah adalah langkah yang menetapi kaedah fiqhiyyah iaitu al-siasah al-Syariyyah.

Islam menetapkan peraturan perceraian dengan begitu halus dan teliti agar tidak ada mana-mana pihak yang teraniaya. Dalil al-Quran,

يا أيها النبي إذا طلقتم النساء فطلقوهن لعدتهن واحصوا العدة
Hai Nabi! Apabila kamu menceraikan isteri-isterimu hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka (dapat menghadapi) iddah mereka, dan hitunglah waktu iddah itu.
(Surah al-Talak ayat 1)

Perceraian yang tanpa bersemuka dengan pihak isteri menipiskan peluang perdamaian di antara pasangan dan memungkinkan berlaku kemudharatan di pihak isteri.

Keseragaman perundangan Keluarga Islam di Malaysia demi menjamin keadilan memanglah sesuatu yang patut diusahakan. Tetapi amatlah penting untuk memastikan supaya undang-undang yang diseragamkan itu merupakan pentafsiran yang adil dan saksama untuk kedua-dua pihak suami dan isteri, di samping mengutamakan kebajikan anak-anak. Keadilan, bukannya kezaliman merupakan prinsip asas syariah Islam.

Berdasarkan keputusan yang telah diputuskan oleh para Mufti di Malaysia di dalam Muzakarah tersebut, jelaslah kepada kita bahawa Talak melalui SMS atau apa saja alat perhubungan adalah dianggap sah dan dikira jatuh talak sekiranya disertai dengan niat. Walaubagaimanapun, kaedah talak melalui SMS dan alat perhubungan moden adalah tidak menepati adab perceraian dalam Islam. Oleh itu, berwaspadalah dan janganlah kita meringan-ringankan soal talak ini. Keadaan ini disebabkan Talak merupakan satu peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam SyariatNya.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan suami tidak faham hukum yang Allah telah perintahkan dalam hal perceraian. Kenyataan di atas menunjukkan kedangkalan ilmu perkahwinan seorang suami. Tafsiran ayat-ayat dari surah Al-Talak dari ayat 1-7 yang disebut di bawah ini jelas menunjukkan perkara-perkara yang harus difikirkan oleh para suami dan isteri dalam hal perceraian. Inilah pentingnya ilmu perkahwinan sebelum bakal pasangan suami isteri berkahwin.

Seperkara lagi, talak juga merupakan jalan terakhir kepada perselisihan dan pertelingkahan antara suami dan isteri. Pilihlah jalan perdamaian, permuafakatan, merendahkan ego diri, menerima kesalahan diri, menerima kelemahan pasangan dan sebagainya dalam menjernihkan hubungan antara suami dan isteri. Janganlah kita ditipu dengan fitnah dunia, hawa nafsu yang dirasuk oleh syaitan laknatullah, rasukan nafsu gelojak, terburu- buru, sikap percaya fitnah orang tanpa usul periksa dan lain- lain. Dan janganlah suami menggunakan kuasa talak yang ada pada dirinya sebagai alat untuk menjatuhkan martabat si isteri. Perbuatan menjatuhkan ketinggian martabat isteri sangatlah dikutuk oleh agama. Sesungguhnya ikatan pernikahan itu sangat utuh tautannya. Ikatan itu ditaut dengan erti kasih sayang, hormat-menghormati, kesabaran dan sebagainya.

Credit too Nurul Ain bt Zainul Abidin & Siti Nurmala Ariff 


BIBLIOGRAFI

1. Abdul Latif Muda, 1997. Pengantar Usul Fiqh, Ilham Abati Enterprise.
2. Haji Abdul Razak Haji Muhammad, 1997. Sukatan Pelajaran Baru STPM (Fekah), Kuala Lumpur; Pustaka Haji Abdul Majid
3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2004. Memasuki gerbang Perkahwinan.
4. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa fatwa kebangsaan Siri 2.
5. Mohd Ali Abu Bakar, 2005. Tanggungjawab Setiap Muslim, Kuala Lumpur; Al-Hidayah Publisher.
6. Ustaz Abdul Latif b. Muda, 2001. Huraian Ayat-ayat Hukum 2, Kuala Lumpur; Pustaka Slam Sdn Bhd.
_______________________________

[1] Haji Abdul Razak Haji Muhammad, Fiqh (1997) ; Pustaka Haji Abdul Majid
[2] Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Siri 2, JAKIM 



No comments :