Thursday 1 September 2011

Orang hiburan pun boleh buat baik

SINOPSIS

Artikel yang ditulis oleh Astora Jabat ini menceritakan tentang hiburan yang dipenuhi dengan kemaksiatan. Walau bagaimanapun individu yang terlibat di dalam industri ini juga tidak semua yang ‘jahat’ malah mereka juga boleh berbuat baik. Itulah apa yang mahu diketengahkan oleh beliau. Menurut beliau semua orang perlukan hiburan dan itu adalah fitrah dalam hidup manusia. Tidak kira golongan apa sekalipun, semuanya memerlukan hiburan sebagai makanan jiwa. 

Walaupun ulama’ menganggap beberapa jenis hiburan adalah haram, tetapi masyarakat tidak mempunyai hiburan alternatif yang lain untuk dijadikan ganti. Malah penulis juga menasihatkan orang hiburan agar menjaga maruah dan akhlak dan jangan sesekali terlibat dalam perkara-perkara yang dikategori sebagai dosa besar. Setakat mencari makan dengan terlibat dalam perkara-perkara yang dianggap dosa kecil masih diampun oleh Allah. Malah orang hiburan juga digalakkan jangan berputus asa dalam melakukan kebaikan walaupun ulama’ menghukum bahawa hiburan yang mereka terlibat itu haram dan berdosa. Dan ibadat dikatakan sebagai salah satu cara yang paling tepat untuk berbuat baik setelah seharian bergelumang dengan dosa. Ramai juga artis yang terlibat dalam dunia hiburan akhirnya berubah ke arah kebaikan. Ada yang masih terlibat dalam industri mahupun yang telah bersara.


ULASAN ARTIKEL 

‘Orang hiburan pun boleh buat baik.’ Melihat kepada tajuk artikel ini pun tentu kita akan tertanya-tanya apa yang mahu disampaikan oleh penulis sebenarnya. Mungkin penulis mahu mengetengahkan orang hiburan yang saban hari terlibat dengan perkara kemaksiatan dan kemungkaran juga boleh membuat kebaikan dan tak semestinya orang lain yang tidak terlibat dalam industri hiburan sahaja yang boleh berbuat baik. 

Tetapi, sebelum mahu dibincangkan dengan lebih lanjut mengenai isu berbuat kebaikan ini, kita fokus dahulu pada tajuknya iaitu ‘orang hiburan’ yang tentu sekali merujuk kepada penyanyi, penghibur, pelakon mahupun pelawak. Contoh seperti penyanyi. Bukan semua nyanyian hukumnya harus. Nyanyian yang harus hendaklah mempunyai tema yang bertepatan dengan ajaran Islam, tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun akhlak Islam. Persembahan yang tidak melampau dan menggoda juga dititik beratkan dalam Islam dimana gaya persembahan juga mempunyai kesan dan kepentingannya. Terdapat lagu yang mana liriknya tidak bermasalah namun cara ia dipersembahkan oleh penyanyi lelaki atau wanita telah mengeluarkannya dari zon halal kepada zon haram, syubhat ataupun makruh. Mereka sengaja memanja-manjakan vokal mereka diiringi lengguk badan yang berlebih-lebihan seolah-olah menggoda jiwa manusia yang lemah.

'Manusia tidak mungkin meninggalkan hiburan kerana ia dianggap makanan jiwa.’ Hiburan bermaksud sesuatu (perbuatan, benda, dan lain-lain) untuk menghiburkan (menyenangkan, menenteramkan) hati [3]. Jadi apa yang dikatakan oleh penulis tiada salahnya kerana semua manusia juga perlukan hiburan bahkan golongan ustaz juga tidak terkecuali. Tetapi hiburan yang dalam konteks menghiburkan diri secara tidak melampau-lampau. Islam juga menggalakkan agar tidak berlebih-lebihan dalam mendengar nyanyian. Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah dihadkan agar tidak berlebihan. Allah s.w.t. telah berfirman: 
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
(Al-Aa’raf: 31)


Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan kitab Suhuf Nabi Ibrahim a.s ada menyebut:
“Seorang yang waras perlu menumpukan perhatiannya kepada tiga perkara: Mencari kehidupan duniawi, mencari bekalan untuk hari akhirat atau keseronokan yang tidak diharamkan.” [4]

Dan yang terakhir ialah berkaitan dengan pendengar. Inilah yang digambarkan oleh sebuah hadis nabi:

الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَاْلاءثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ

Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan. [5]
Di dalam Islam, Al-quran adalah sebaik-baik ‘hiburan’ yang menyenangkan hati serta melapangkan dada. Pendengar akan terusik jiwanya mengikut irama dan lagu yang dibaca oleh pembaca dan akan membawa mereka merasa khusyuk dan mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang digambarkan oleh syair ini :
"Al-quran adalah kalam Allah yang qadim dan tidak membosankan bagi para pendengarnya apabila dibaca dan menghindarkan dari segala perkataan, perbuatan dan niat yang buruk juga dapat menyembuhkan segala penyakit dan sebagai petunjuk bagi hati yang tersesat."
Pembaca Al-quran sentiasa berfikir, mengkaji dan mentadaburkan terhadap makna ayat-ayat Al-quran. Dibaca dengan khusyuk hingga terasa roh Al-quran menjalar dan meresap sampai ke dalam jiwanya lantas membuahkan ketenangan jiwa, kerehatan akal dan kekuatan iman kepada Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud :
Ingatlah, dengan berzikir kepada Allah itu sahajalah yang dapat menenangkan jiwa.
Dalam Islam sendiri sudah ada panduan dan batasan syariat dalam membenarkan hiburan nyanyian iaitu lirik lagu hendaklah bebas dari segala penyelewengan syariat dan nyanyian juga tidak boleh bercampur dengan perkara yang haram. Yang dimaksudkan di sini ialah seperti meminum arak, menagih dadah, disamping muzik yang menghairahkan seperti yang mengiringi lagu-lagu barat masa kini, antaranya yang berkonsep budaya hippies (hip-hop) dan seumpamanya.

Tapi jika dilihat hiburan pada zaman ini dengan liriknya yang banyak mengarut serta melekakan seperti contoh lagu ‘Papa jahat’ nyanyian kumpulan The Faboulaus Cat, adakah contoh lagu ini yang mahu kita ambil sebagai hiburan dengan alasan masyarakat sekarang ini tidak mempunyai alternatif yang lain? Alasan ini ibarat ‘Sudah terhantuk baru nak terngadah’. Alasan yang digunakan oleh penulis amat tidak boleh diterima. Hiburan yang melalaikan dan boleh membawa manusia kepada kejahatan tidak patut dijadikan sebagai halwa telinga. Jika dilihat sekarang, hiburan berbentuk ‘hip hop’ amat popular dikalangan anak muda sekarang dan kini ia diterima pakai menjadi satu evolusi baru dalam dunia hiburan. Dan sekarang ia mula menjalar masuk ke dalam industri hiburan kita hari ini. Sehinggakan lagu nasyid juga tidak terkecuali terpengaruh dengan muzik ini seperti yang terdapat dalam lagu ‘Alhamdulillah nyanyian Yasin berduet bersama Two Phat’. Mengikut beberapa pendapat daripada golongan artis mengatakan bahawa mereka mesti mengikut arus muzik sekarang agar mereka tidak dikatakan ketinggalan disamping peminat suka akan lagu yang ‘up to date’.

Begitu juga muzik yang mengiringi nyanyian yang diharamkan yang mana dengan menyanyikan lagu tersebut akan menyebut secara langsung perkara haram tersebut. Contohnya lagu yang menyebut perkataan lucah, berhias dan pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa ikatan dan had. Inilah yang biasa berlaku dalam konsert dan majlis-majlis nyanyian semenjak dahulu lagi, sehingga apabila disebut sahaja majlis nyanyi-nyanyian, gambaran yang datang secara langsung di dalam minda ialah: Arak dan perempuan.

Pada zaman sekarang ini pun jika dilihat apabila mahu menyambut perayaan seperti Sambutan Kemerdekaan 31 Ogos misalnya, akan diadakan konsert sebelum mengira countdown. Di situ sudah berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan. Mereka berseronok menyanyi bersama-sama artis kesayangan mereka sambil berpeluk-pelukkan tidak kira jantina. Dan ini telah mempengaruhi generasi muda dengan memalingkan mereka dari agama yang mengharamkan perbuatan mereka itu.

Situasi sebeginilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللهُ بِهِمْ اْلأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ

Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain. Mereka dialunkan oleh muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan khinzir-khinzir.
‘Dalam suasana yang belum ada hiburan alternatif, orang hiburan perlu berhati-hati dalam setiap langkah mereka dalam menyajikan hiburan dalam masyarakat.’ Apa yang dimaksudkan di sini ialah beliau tidak melarang penyanyi wanita tidak menutup aurat mahupun menyanyi walaupun diketahui bahawa rambut dan suara perempuan adalah aurat dan haram dipertontonkan. Bagi beliau tidak mengapa kalau sekadar mencari makan dengan terlibat dalam perkara-perkara yang dianggap dosa kecil dan masih diampun oleh Allah dengan mudah dengan syarat artis itu mestilah menjaga akhlak mereka dengan baik.

Kata-kata dari Astora Jabat ini seolah-olah seperti kata-kata Dr. Mashitah Ibrahim yang mengatakan tidak mengapa menjadi pelacur kerana ketiadaan kerja serta perempuan itu dalam keadaan ‘terdesak’. Kata-kata yang dikeluarkan oleh mereka ini seolah-olah memainkan hukum Allah dan membenamkan ummat Islam ke dalam aliran-aliran fikiran yang menyesatkan. Apakah mendedahkan aurat itu tidak dalam kategori dosa besar? Jika telah dijatuhkan hukum haram, ia tetap dianggap dosa lebih-lebih lagi umat Islam sendiri tahu akan hukum yang satu ini. Mengenai aurat wanita, Astora Jabat pernah mengunakan hujah-hujah berlandaskan nas-nas al-Quran untuk menghalalkan wanita daripada menutup aurat (bertudung). 'Fatwa' sesatnya ini disiarkan di dalam Mingguan Malaysia pada 30 April 2000. Katanya :
"Ini kerana pada zaman itu dibezakan antara wanita Islam yang bebas dengan wanita Islam tidak bebas. Perbezaan ini bukan ditetapkan dalam al-Quran, tetapi ditetapkan oleh adat dan peraturan masyarakat pada zaman itu. Rasulullah SAW dan para sahabat melarang wanita Islam yang tidak bebas bertudung kerana tunduk kepada realiti masyarakat pada zaman itu. Dengan itu tidak hairan jika sesetengah cerdik pandai Islam berpendapat kerana tiada lagi realiti masyarakat zaman itu–kerana perhambaan telah terhapus-maka sebab yang membeza-bezakan wanita (bertudung) tidak lagi dianggap relevan dengan zaman ini.”[6]

Golongan artis seperti yang kita ketahui mereka menjadi idola dan ikutan generasi muda sekarang serta mempunyai ramai pengikut. Jadi apa yang dilakukan oleh mereka secara tidak langsung mempengaruhi peminat. Segala tindakan mereka diperhatikan. Tidak salah orang hiburan atau sesiapa saja mahu melakukan kebaikan kerana itu hal antara dia dengan Allah. Tetapi matlamat tidak semestinya menghalalkan cara. Contoh seperti yang berlaku kepada Siti Nurhaliza, penyanyi no 1 Malaysia apabila duit derma/sumbangan ikhlasnya kepada salah sebuah masjid di Pahang tidak menggunakan duit (hasil) dari penyanyi berkenaan. Seperti yang sedia maklum duit hasil daripada nyanyian seorang perempuan adalah haram kerana suara perempuan adalah haram dipersembahkan lebih-lebih lagi kepada lelaki bukan muhrim untuk tujuan hiburan. Walau bagaimanapun mereka (golongan seperti ini) boleh menderma kepada Baitulmal dan segalanya akan diuruskan. Banyak yang boleh dilakukan untuk berbuat kebaikan tetapi mestilah kena pada caranya.

Orientalis seperti Astora Jabat ini tidak akan berhenti setakat itu sahaja, beliau akan bertindak lebih berbahaya lagi daripada para orientalis barat yang menghina Islam dan memutarbelitkan fakta khususnya ibadah dalam Islam. Beliau akan bertindak untuk mengelirukan umat Islam sepanjang masa yang beliau berpeluang berbuat demikian sepertimana yang beliau telah lakukan selama ini. Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama mempersiapkan minda kita dan masyarakat supaya bersiap-sedia mempunyai ‘jati diri’ untuk menghadapi isu-isu yang pastinya akan diketengahkan oleh Astora Jabat dari masa ke semasa untuk merungkai, mengelirukan dan melalaikan masyarakat dari ajaran Islam sebenar.



P/s : Ini hanya ulasan peribadi dari penulis atas sedikit kajian yang dilakukan. Jika ada pembetulan sila perbetulkan semula. Mungkin penulis ada terlepas pandang. Wallahualam..


BIBLIOGRAFI

1. Al-Fadhil Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah (2009), Muzik ; Hukum dan kedudukannya pada  pandangan syarak, Terbitan Khas Sempena Malam Kesenian Islam 2009, Dewan Konvekesyen, Taman Tamadun Islam

2. Artikel Astora Jabat dihukum sesat oleh MAIJ oleh Aznan Hamat, Rabu ; 23 Februari 2005,  http://www.mail-archive.com/tumpat@yahoogroups.com/msg00330.html

3. Forum PPMS - Persatuan Pelajar Malaysia Syria

4. http://www.bukitbesi.net

5. http://www.tranungkite.net

6. Kamus Dewan Edisi Ketiga

7. Majalah Al-Islam (April 2003), Kuala Lumpur ; Utusan Melayu (M) Berhad

8. Maryam Jameelah (1981), Islam and Orientalisme, Pakistan ; Mohammad Yusuf Khan & Sons, Sunnat Nagar, Lahor

9. Mingguan Malaysia pada 30 April 2000

10. Mohd Ali bin Abu Bakar (1991), Seni Lagu Al-quran di Malaysia, Kuala Lumpur ; Darul Fikir

11. Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi (2001), Fiqh Muzik dan Lagu perspektif Al-Quran dan as-Sunnah, Bandung ; Mujahid Press


___________________________

[1] Forum PPMS - Persatuan Pelajar Malaysia Syria
[2]
Artikel Astora Jabat dihukum sesat oleh MAIJ oleh Aznan Hamat, Rabu ; 23 Februari 2005, http://www.mail-archive.com/tumpat@yahoogroups.com/msg00330.html
[3]
  Kamus Dewan Edisi Ketiga 
[4] Riwayat Ibnu Hibban dari hadis Abu Zar dan hadis ini amat daif. Namun kita boleh melihatnya dari sudut hikmah yang tinggi.
[5]
Riwayat Imam Ahmad dari Abi Tha’labah dan disahihkan lagi dalam kitab Sahih al-Jami’ as-Saghir
[6]
http://www.tranungkite.net

No comments :