Friday 23 September 2011

Jalinan Kasih GPMS UniSZA

Penduduk kampung, mahasiswa dan tetamu kehormat bergambar bersama pelajar cemerlang di Majlis Penutupan Program Jalinan Kasih dan Cakna Waris, di Terengganu, baru-baru ini.

Pada 14 Januari 2011, Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama dari Kawasan Rukun Tetangga Kampung Gong Baru (KRT), Persatuan Belia Ikatan Kampung Gong Baru dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Gong Baru telah mengadakan Program Jalinan Kasih dan Cakna Waris yang bertempat di Kampung Gong Baru.
            Program yang diadakan selama satu hari ini lebih kepada program yang berbentuk khidmat masyarakat diantara mahasiswa dengan penduduk Kampung Gong Baru. Sebanyak 3 aktiviti yang dijalankan secara serentak melibatkan kepada pembahagian mahasiswa kepada 3 kumpulan dan ini secara tidak langsung dapat memudahkan semua pihak dalam menjalankan kerja secara sekaligus. Malah ia juga dapat memberi peluang kepada Mahasiswa UniSZA mencurahkan khidmat bakti kepada semua golongan masyarakat secara bersama. Kumpulan pertama adalah kumpulan yang terlibat dengan Program Motivasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh Mahasiswa UniSZA sendiri dimana sasaran yang terlibat adalah terdiri daripada anak penduduk kampung Gong Baru yang berumur dari 12 sehingga 18 tahun. Mereka telah diberi pendedahan mengenai matlamat yang perlu dicapai dalam hidup seterusnya lebih mengetahui dimanakah hala tuju kehidupan mereka selepas ini bagi memberi input kepada persediaan mental mereka kelak. Kumpulan kedua pula memfokuskan kepada aktiviti bergotong-royong yang diadakan bersama-sama penduduk kampung dalam pembersihan kawasan kubur. Aktiviti gotong-royong ini pula mengetengahkan golongan pertengahan dalam mencurahkan khidmat tenaga dalam sama-sama tolong-menolong di antara satu sama lain. Manakala kumpulan ketiga pula adalah kumpulan yang terlibat di dalam aktiviti menziarahi penduduk kampung yang sakit, orang kurang upaya dan golongan tua. Ini sebagai sumbangan empati dalam merasai sendiri penderitaan mereka dimana dapat memberi kesedaran kepada Mahasiswa sendiri bahawa tidak semua orang bernasib baik malah ada orang yang lebih malang lagi daripada kita serta bersyukurlah dengan apa yang ada
GPMS dibina atas kesedaran kebangsaan Melayu, agama Islam dan menjadi persatuan pelajar kebangsaan. Segala perjuangan GPMS sebelum merdeka menjadi sebahagian gerakan nasionalisme negara. Jadi program yang bertemakan ‘Generasi Berilmu Warisan Melayu’ itu memberikan seribu manfaat bukan sahaja buat penduduk kampung malah sebagai mukadimah yang sesuai untuk merapatkan hubungan sesama mahasiswa dan penduduk kampung. Program yang menghimpunkan seramai 38 mahasiswa GPMS UniSZA untuk turut sama-sama mencurahkan bakti kepada masyarakat kampung. Selain menjalinkan ukhuwah antara mahasiswa dengan penduduk kampung, mereka juga mengenali, mendekati dan memahami budaya penduduk. Malah, dengan adanya program ini juga dapat mempromosikan peranan dan sumbangan GPMS kepada masyarakat tidak kira batasan kaum dan agama. GPMS akan terus memberi sumbangan kepada Negara melalui program keagamaan, kebajikan, pendidikan dan kebudayaan. Semua program yang dianjurkan itu akan disesuaikan dengan tujuan GPMS iaitu memperbaiki keadaan pelajar Melayu dari segenap lapisan, menjaga hak-hak dan mengemukakan segala permintaan. GPMS UniSZA juga turut memberi sedikit sumbangan cenderahati  kepada penduduk kampung sebagai tanda persahabatan dan salam perkenalan dalam menunjukkan kesediaan GPMS  bagi memberi pertolongan kepada penduduk kampung.
Perasmian penutup telah dirasmikan oleh Dato’ Haji Che Mat Jusoh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok di mana dalam ucapannya mengatakan bahawa beliau amat berbesar hati dan menyambut baik kedatangan Mahasiswa dalam mencurahkan bakti serta berkongsi pengalaman mereka kepada penduduk kampung. Hal ini kerana golongan Mahasiswa ini adalah merupakan golongan yang berpengaruh dan sumbangan daripada mereka amat di nanti-nantikan. Tugas Mahasiswa bukan sekadar menuntut ilmu sahaja, bahkan lebih daripada itu di mana peranan Mahasiswa tidak hanya terhad kepada IPT sahaja malah mereka juga perlu diberi pendedahan kepada masyarakat luar bagi penambahan input pengalaman yang tidak dapat dijumpai dimana-mana. Jadi dengan adanya program seperti ini, bukan sahaja penduduk kampung malah Mahasiswa juga turut mendapat kesan yang positif dan mengguntungkan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah dan keyakinan menghadapi dunia yang lebih mencabar.
Turut hadir adalah Penghulu Mukim Bukit Besar, Pengerusi KRT merangkap Pengerusi Persatuan Belia juga Pengerusi JKK Kampung Gong Baru, Tuan Haji Hanafiah atau mesra dipanggil Pok Cu serta Penduduk Kampung Gong Baru. Penduduk Kampung Gong Baru juga turut memberi penghargaan kepada anak kampung yang mendapat keputusan cemerlang di dalam Peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang itu dibuat agar dapat memberi sokongan dan pemangkin semangat kepada pelajar untuk lebih berusaha bagi menggapai cita-cita.
            Program Jalinan Kasih dan Cakna Waris ini juga telah mendapat liputan yang meluas dari media sendiri di mana sebanyak 5 kali berturut-turut tersiar di Surat Khabar Sinar Harian Negeri Terengganu bermula 15-18 Januari dan 27 Januari 2011. Kemudian Surat Khabar Utusan pula melaporkannya pada 31 Januari 2011 di dalam keluaran sisipan Hello Campus! dan dalam ruangan Mega Agama pada 9 Februari 2011. Manakala Surat Khabar Harian Metro pula pada 7 Februari 2011.

Akhbar Utusan Malaysia Slot Hello Kampus

Akhbar Harian Metro

Akhbar Sinar Harian Kuala Terengganu




Sumber : Utusan Online

No comments :