Tuesday 20 September 2011

Memahami Aurat Wanita

Keratan dari Akhbar Mingguan Malaysia
15 Feb 2004
Slot     : Bicara Agama
Tajuk  : Memahami aurat wanita

Oleh    : Astora Jabat

BERDASARKAN maklum balas yang diterima, ramai pembaca tidak sempat membeli majalah Al Islam keluaran Februari kerana kehabisan di pasaran. Penulis menyiarkan dalam ruangan ini salah satu rencana yang dipercayai menjadi punca Al Islam mendapat sambutan luar biasa. Rencana bertajuk Rambut Wanita Bukan Aurat ditulis oleh Ustaz Zainudin Idris, pengikut Shah Waliyullah ad-Dihlawi (ulama reformis India).

Beliau menghasilkan rencana itu pada 10 Februari 1989 sebagai jawapan kepada kawan-kawannya yang keliru mengenai aurat wanita. Bagaimanapun, kerana ruang yang terbatas, penulis tidak dapat menyiarkan sepenuhnya rencana bahagian pertama itu.

Berikut disiarkan rencana Ustaz Zainudin itu.

Pertikaian mengenai hukum aurat dan pakaian wanita sebenarnya telah lama berlaku di kalangan umat Islam. Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama. Selain itu mereka tidak merenungi tentang apakah hikmat yang terkandung dalam risalah Nabi Muhammad s.a.w. yang begitu umum dengan kitab suci al-Quran yang amat berhikmat lagi Maha Agung. Al-Quran diturunkan bukan untuk orang Arab sahaja malah untuk manusia sejagat.

Perkataan aurat menjadi sebutan biasa di kalangan orang kita dengan pengertian anggota-anggota yang diharamkan melihatnya sama ada lelaki dengan perempuan atau perempuan dengan perempuan atau lelaki dengan lelaki. Asal perkataan `aurat' daripada bahasa Arab yang bermaksud `keaiban' atau setiap sesuatu bahagian anggota yang ditutup oleh manusia secara mengejut dan malu.

Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah pada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:
``Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat."

Tidaklah perlu mendapatkan dalil lagi mengenai perkara itu. Persabdaan Nabi s.a.w. menunjukkan, apabila seseorang kamu mengahwini amahnya maka janganlah ia lihat pada auratnya. Riwayat yang lain pula Nabi s.a.w. bersabda: 
"Maka janganlah lihat kepada anggota yang di bawah pusat dan di atas lutut."
Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu aurat? Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada firman Allah taala di dalam surah al-A'raf, ayat 26. Allah berfirman: 
"Wahai anak Adam sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik."
Pada ayat ini Allah mendedahkan kepada kita tiga jenis pakaian manusia, sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Pertama yang menutup dua kemaluan seperti pakaian Adam dan Hawa, sebagaimana Allah berfirman: "Mulailah mereka berdua menutup atas mereka dengan dua daun syurga." (surah al-A'raf, ayat 22)

Kedua, pakaian yang menutup seluruh tubuh seperti burung. Ini adalah pakaian berhias-hias. Ketiga, yang berasaskan kesederhanaan, kecergasan dan keadilan itu adalah lebih baik (libasataqwa).

Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab. Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya. Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang. Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3, halaman tiga berkata: ``Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.''

Kemudian beliau mengemukakan beberapa hadis yang sahih daripada Nabi s.a.w. dan athar para sahabat untuk menerangkan maksud aurat sebagaimana yang terdapat pada ayat 26 daripada surah al-A'raf di atas pada halaman 30, jilid tiga, beliau berkata:
Telah datang beberapa athar daripada Nabi s.a.w. berhubung dengan masalah ini (menutup aurat) di antaranya hadis Bahzun bin Hakim yang diriwayatkan daripada bapanya dan diriwayatkan pula daripada neneknya, beliau berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w. : "Aurat kami apakah yang kami gunakan dan apa yang kami tinggalkan?" Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hendaklah engkau peliharakan aurat engkau kecuali isterimu atau perempuan yang kamu miliki." Lalu aku bertanya: ``Wahai Rasulullah! Jika kami berseorangan?'' Baginda bersabda: ``Sesungguhnya Allah lebih patut dimalukan kepada-Nya.''

Dalam riwayat Abu Said al-Khudri daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda:  
``Tidak harus seseorang lelaki yang memandang aurat seorang lelaki yang lain dan tidak harus seseorang wanita memandang aurat wanita yang lain.''

Pada hadis yang lain baginda bersabda: ``Dilaknat mereka yang melihat kemaluan saudaranya.''

Allah berfirman dalam surah an-Nur, ayat 30:  
"Suruhlah kepada orang mukmin hendaklah mereka rendahkan pandangan mereka dan mengawal kemaluan mereka; itu lebih baik untuk mereka; sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang mereka buat."
Pada ayat 31 firman-Nya: "Suruhlah para mukminat rendahkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka melainkan apa yang zahir daripadanya."

Ibnu al-Arabi berkata dalam al-Futuhat al-Makkiah jilid 1, halaman 521 pada bahagian `pada menyatakan batas aurat: ``Sebahagian ulama mengatakan bahawa aurat lelaki itu hanyalah dua kemaluannya sahaja (qubul dan dubur). Manakala sebahagian ulama pula mengatakan aurat lelaki itu dari pusat ke lutut. Di sisi kami (Ibnu al-Arabi) hanyalah dua kemaluannya sahaja yang dikira aurat yang hakiki, iaitu anggota-anggota manusia yang dicaci, dibenci dan dianggap buruk melihatnya. Dua kemaluan itu adalah tempat kepada apa yang kami sebutkan itu adalah menepati hukum haram, anggota-anggota selain daripada dua kemaluan itu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah adalah menepati hukum syubhat yang sepatutnya berjaga-jaga kerana berternak di sempadan kawasan larangan itu hampir-hampir termasuk ke dalamnya.''

Pada bahagian `Batas aurat perempuan' pula beliau berkata: "Sebahagian ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat." Ada yang mengatakan perempuan keseluruhannya aurat.

Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman : "Mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga." (Al-A'raf, ayat 22). Allah menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.

Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan ijmak mengakui bahawa aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum lelaki atau perempuan tanpa sebarang perbezaan kerana menutup dua kemaluan itu adalah suatu sifat yang membezakan di antara manusia dan haiwan sebagaimana berlalu keterangan Hujjatul Islam Shah Waliyullah ad-Dihlawi, termasuklah anggota-anggota yang berhampiran dengannya seperti kedua-dua batang paha dan buah kemaluan lelaki serta ari-ari. Semuanya dikira termasuk ke dalam bahagian aurat. Akan tetapi di akhir huraiannya, Shah Waliyullah menegaskan bahawa semua hadis yang menerangkan masalah aurat dan meletakkan batasan-batasannya adalah berlawanan. Ini bererti keterangan Rasulullah s.a.w. itu tidak sama dalam masalah ini.

Mengikut pendapat Shah Waliyullah semua hadis itu sahih (jelas), maka semuanya boleh dijadikan panduan.

Pengertian aurat ini memang dimaklumi di kalangan umat Arab zaman silam. Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. tidak memberi makna yang jelas atau keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Dengan sebab itu perkhilafan (beza) pendapat di kalangan para ulama Islam tidak timbul sama sekali, tetapi apa yang berlaku adalah sebagaimana yang kita semua saksikan pada hari ini. Punca perbahasan mengenai masalah aurat ini hanya timbul daripada kefahaman yang semata-mata diambil daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. yang keterangannya berlawanan dan juga pendapat para ahli tafsir yang memberi keterangan di bawah ayat-ayat yang tidak sarih (jelas). Kerana sebab itulah Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan dalam Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: ``Para ulama keseluruhannya telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak."

Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang. Sebab perselisihan mereka di dalam menentukan perkara itu ialah kerana hadis-hadis dan athar sahabat yang menjadi tunjang kepada masalah itu didapati saling bercanggah kenyataannya serta para sahabat telah berbeza dalam memahami maksud firman Allah (al-A'raf, ayat 31):
"Wahai anak-anak Adam pakailah perhiasan kamu pada setiap kali ke masjid. Adakah suruhan Allah dengan menggunakan perhiasan itu menunjukkan suruhan wajib atau sunat jua."
Apakah yang dimaksudkan dengan perhiasan (az-ninah) itu? Imam Assudi mengatakan maksud perhiasan pada ayat itu ialah pakaian yang menutup aurat. Riwayat daripada Abu Hanifah, beliau berkata: ``Aurat terbahagi kepada dua bahagian, aurat mughallazah (aurat berat) dan aurat mukhaffah (aurat ringan)."
Aurat mughallazah itu adalah qubul dan dubur dan aurat mukhaffah, iaitu anggota-anggota selain daripada apa yang telah disebut ia daripada aurat.

Akhir sekali penulis ingin terangkan di sini bahawa rencana bahagian kedua akan disiarkan dalam majalah Al Islam keluaran Mac yang akan berada di pasaran esok.

************

Di sini disertakan sekali Email dari Pembaca
Mingguan Malaysia 22 Feb 2004

Saudara Astora,
SAYA banyak membaca artikel saudara dalam majalah dan ia begitu menarik minat saya. Terbaru adalah berkenaan dengan isu tudung dan rambut wanita. Terima kasih kerana memahamkan saya mengenai isu ini dengan membawa jawapan yang kukuh daripada Ustaz Zainudin Idris.

Cuma yang masih menjadi tanda tanya saya ialah artikel 10 Februari 1989 yang ditulis oleh Ustaz Zainudin Idris itu, dipetik daripada sumber mana? Maksud saya bolehkah saudara nyatakan sumbernya dengan jelas, sama ada daripada majalah ataupun daripada surat khabar tempatan? Saya amat mengharapkan jawapan daripada saudara agar mudah saya mendapatkan gambaran yang lebih jelas lagi. - Aliah 84

Jawapan dari Astora Jabat :

Tiga siri rencana Ustaz Zainudin diambil daripada risalah beliau yang tidak pernah disiarkan dalam mana-mana majalah dan akhbar. Penulis akan meminta Ustaz Zainudin mengemas kini dan membaiki risalah berkenaan untuk dicetak dalam bentuk buku.

Perlu dijelaskan bahawa Ustaz Zainudin adalah seorang guru pondok dan sebenarnya boleh dipanggil tok guru kerana mempunyai sekolah pondok sendiri di Kelantan.

***************
Di sini turut disertakan bersama hujahan penjelasan dari 'seseorang' berkenaan artikel yang dikeluarkan oleh Astora Jabat

ISU RAMBUT BUKAN AURAT- ASTORA PEMBOHONG BESAR 

Astora Jabat dalam majalah Al-Islam keluaran Febuari 2004 berbohong lagi dengan mengatakan rambut bukan aurat. Kali ini Tok Dalang Siam ini menggunakan pula patung wayang kulit yang menggunakan nama Zainudin Idris.

Dalam artikel yang tersiar pada m.s. 81-82 'Komik' Al-Islam tersebut Astora merumuskan bahawa Imam Malik dan fuqahak Maliki berpendapat kaum perempuan tidak wajib menutup rambutnya bahkan harus mendedahkan buah dadanya kerana yang wajib ditutup ialah dua kemaluan yaitu faraj dan duburnya sahaja.

Untuk menguatkan hujjahnya yang palsu itu Astora menyelitkan pula nama ulamak yang terkenal seperti Imam Al-Jasos,As-Suudi dan beberapa orang lagi dengan harapan pembaca akan terpedaya.

Untuk membuktikan bahawa Astora adalah pembohong dan pendusta kami lampirkan apa sebenarnya yang merupakan pendapat Imam Malik dan Ulamak2 Mazhab maliki yang tersebut.

(1)- Didalam Kitab Al-Muwatha : Imam malik meriwayatkan 4 buah hadith sebagai dalil kaum perempuan wajib memakai tudung didalam sembahyang yaitu :-

Hadith Ke-321. Dari Imam Malik r.a. bahawasanya telah sampai kepada beliau bahawa A'isyah r.a. isteri Nabi saw adalah ia sembahyang memakai baju dan tudung.

Hadith Ke-322. Imam Malik meriwayatkan dari Muhammad bin Zaid bin Qunfuz dari ibunya bahawasanya ibunya bertanya kepada Ummi Salamah r.a. isteri Nabi saw "Apakah pakaian yang dipakai oleh kaum perempuan untuk sembahyang?" Maka jawab Ummu Salamah r.a. : "Perempuan bersembahyang dengan memakai baju yang labuh bila dapat menutup belakang tapak kakinya."

Hadith Ke-323. Imam Malik meriwayatkan dari Abdullah bin Aswad Al-Khaulani semasa beliau berada dibilik Maimunah r.a. isteri Nabi saw bahawasanya Maimunah r.a. adalah ia sembahyang memakai baju dan tudung tanpa kain.

Hadith Ke-324. Imam Malik meriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah dari bapanya bahawa seorang perempuan meminta fatwa daripadanya. Perempuan itu bertanya : "Sesungguhnya kainku ini menyempitkan atasku. Adakah boleh aku sembahyang memakai baju dan tudung?" Berkata bapanya : "Ya! Boleh. Asalkan baju itu labuh".

(2)-Berkata Imam Al-Jasos Al-Maliki:
Pada ayat ini : "Hendaklah sekelian perempuan beriman itu melabuhkan atas sekelian badan mereka akan jilbab2 mereka itu". (Al-Ahzab 59)
"Menjadi dalil atas bahawasanya perempuan-perempuan yang muda itu diperintah dengan menutup mukanya dari sekelian lelaki ajnabi dan menampakkan tutupan dan memelihara diri ketika keluar rumah supaya tidak ingin kepada mereka itu segala orang yang jahat". (Tafsir Ahkamul Quran Al-Imam Al-Jasos juz 3 m.s. 372)

(3)-Berkata As-Suudi pada menafsirkan ayat 59 Surah Al-Ahzab :
"Hendaklah kaum perempuan itu menutup dengan jilbab akan sebelah mata dan sebelah dahi mereka." (Tafsir Bahrul Muhith juz 7 m.s. 250)

Menyebut oleh Doktor Wahbah Zuhaili pada fasal Aurat Mazhab Maliki :
"Dan aurat itu nisbah bagi dilihat : Bagi lelaki ialah barang antara pusat dan lutut. Dan bagi wanita dihadapan lelaki ajnabi ialah sekelian badan selain muka dan dua tapak tangan. Dan jika dihadapan mahram2nya ialah sekelian badan selain muka, kepala, leher, dua tangan dan dua kaki melainkan jika ditakuti akan lazat maka haramlah memperlihatkan yang demikian itu bukan kerana ianya aurat." (Sumber Kitab Fiqh Islami Juz 1 m.s. 588)

Jelaslah dari keterangan ulamak-ulamak di atas bahawa Mazhab Maliki sekali-kali tidak ada mengatakan kaum perempuan tidak wajib menutup rambut mereka dihadapan lelaki ajnabi bahkan sekelian keterangan diatas dan lain-lain kitab fiqh mazhab Maliki mewajibkan kaum wanita menutup rambut mereka .

Ustaz Azhar
SurauLadang.net 


Dipetik sepenuhnya dari sini
*********************

Sudah terang lagi bersuluh bahawa aurat perempuan adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Jadi tidak perlulah dipersoalkan lagi. Firman Allah s.w.t :
Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."
Surah An-Nur : 31


Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”
[Hadis Riwayat Abu Dawud]

Jadi, apa lagi yang perlu dipertikaikan dan apa lagi yang perlu dipersoalkan? Sudah jelas larangan dari Allah berkenaan aurat wanita. Rasulullah s.a.w juga telah memberi pengajarannya kepada umat dengan teguran yang diberikan kepada Asma' itu. Maka, perlukah kita mempersoalkan dan menimbulkan isu seperti ini lagi? Wallahualam...~




No comments :