Thursday 22 September 2011

Kita, Sempurnakah?

"Tidak payahlah nak tegur aku, kau tengok dulu diri kau, sempurna sangat ke nak tegur orang ni?"
Ini contoh ayat klise yang biasa di dengar bila mukadimah nasihat atau teguran baru hendak bermula.
"Aku tahulah aku tidak sempurna, tetapi salahkah aku nak menegur sesuatu yang baik untuk kebaikan kita bersama?"
Ini pula contoh jawapan balasan yang akan dituturkan bila di bidas sebegitu. Tapi kadangkala ada juga yang terus menembak dengan kata sebegini. 
"Kau nak terima ke tidak itu kau punya pasal, yang pasti tanggungjawab menegur aku dah lepas."
Kalau ada yang mendengar atau mungkin malas mahu memanjangkan hal, mereka akan berkata, 
"Ya, aku tahu. Bagi aku masa, okay."
tidak pun, ada yang suka menggunakan ayat yang streotaip
"Aku belum bersedia lagi. Insyaallah, dah tua nanti tahulah aku berubah."
Malah yang lebih hebat lagi siap masukkan watak ketiga dalam dialognya,
"Mak ayah aku pun tak tegur, yang kau nak sibuk sangat ni kenapa?"
Yaw! hebatkan?!

Berbalik kepada tajuk perbincangan di atas 'Kita, sempurnakah?' Ada ke manusia yang sempurna dalam dunia ini? Sekali lagi ditekankan manusia tiada yang sempurna di dunia ini. Oleh kerana itu adanya tanggungjawab saling tegur menegur yang Allah berikan kepada kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Tanggungjawab itulah yang akan dipersoalkan oleh Allah kepada kita adakah kita telah melaksanakannya atau tidak. Allah tidak akan mempersoalkan apa hasil dari kejayaan kita itu tetapi apakah usaha yang kita lakukan untuk menegur. Lantas, apa yang mahu kita jawabkan kepadaNya?

Kenapa mesti mempersoalkan tahap kesempurnaan orang yang menegur jika teguran yang diberikan itu baik untuk diterima? Kita tahu hakikat bahawa tiada yang sempurna, jadi adakah kita mahu menunggu orang yang sempurna untuk menegur kita? Maka, akan adakah harinya untuk melihat orang yang sempurna itu walaupun kewujudannya kita sendiri tahu tiada? Jadi, lantas apakah yang sebenarnya kita mahu? Itulah egois namanya. Egois untuk tidak mahu mengikut. Egois dalam diri dengan memberi beribu alasan, mereka beribu ayat untuk mengatakan tidak. Hanya itu yang terlintas di fikiran saya. Egois dan sombong. Buruk padahnya jika kita sombong di muka bumi ini. Jadi, sila berhati-hati ya :)

Jangan sesekali kita menyalahkan ibu bapa di atas apa yang berlaku pada diri kita. Jika kita mahu melakukan perubahan, maka ia adalah bermula dengan diri kamu sendiri. Tiada ibu bapa yang akan melenting dengan perubahan baik yang dilakukan oleh anak mereka. (Jika ada itu mungkin ada sebab disebaliknya. Wallahualam.)  Tidak semestinya ibu bapa tidak tegur, orang lain pun tidak boleh menegur. Sila jangan salah faham ya. Kita hidup secara bermasyarakat. Bermula dari keluarga kemudian berkembang kepada masyarakat dan seterusnya kepada negara. Jadi, tidak berkaitkah antara satu sama lain?  Maka, atas alasan apakah untuk tidak kita ikutinya?

Bersedia? Ya, kita perlu bersedia jika mahu melakukan sesuatu perubahan. Tetapi apa yang menjadi permasalahannya, kita tidak tahu sampai bila kita boleh hidup. Bagaimana jikalau kita tidak sempat untuk melihat hari esok? Bagaimana pula jika sedetik dua selepas ini kita tiada lagi. Ada sesiapa tahu tempoh hayat hidup kita sampai bila? Kalaulah manusia ada tarikh luput, nescaya tidak akan wujud tegur menegur ini kerana masing-masing tahu bilakah mereka mahu bertaubat. Jadi, kenapa mesti mahu menunggu untuk melakukan perubahan jika kita tahu perubahan itu adalah baik. Malah menjadi jaminan untuk hari yang akan kekal suatu ketika nanti.

Jadi, apa yang sebenarnya kita tunggu dalam hidup ini? Jangan mencipta pelbagai alasan untuk tidak melakukannya. Anda boleh patuh kepada dress code yang ditentukan oleh sesuatu majlis, tetapi kenapa anda tidak boleh patuh kepada dress code yang ditetapkan oleh Islam? Adakah membebankan untuk mengikutnya? Selesa sangatkah pakaian yang dipakai itu sehingga anda susah sangat mahu bertukar fesyen? Adakah kolot jika anda memakainya atau anda merasa tidak up to date atau mungkin juga anda tidak mahu dikenali sebagai seorang muslimah? Jadi, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Renungkanlah dan nilai diri. Jika anda masih bermaruah, anda tidak akan sombong kepada tempat di mana anda menumpang. Ya, menumpang di bumi Allah. Jika kita berada di rumah orang lain, adakah kita akan melakukan rumah itu sepertimana rumah kita? Tentu tidak bukan. Anda mungkin akan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh tuan rumah itu. Begitu juga dengan bumi Allah ini di mana Allah berhak meletakkan peraturan dan kita wajib mengikutinya. Jadi, apakah alasan anda untuk mengatakan tidak?

Manusia diberi akal fikiran untuk berfikir. Ilmu yang didapati itulah yang akan digunakan sebagai petunjuk untuk diri kita. Jadi, masih tidak cukupkah ilmu yang ada untuk memandu anda sedikit demi sedikit? Kita diberi ilmu untuk menjadikan diri kita seorang yang bertamadun selaras dengan syariat yang ditetapkan. Pengubahan itu akan muncul dalam diri hasil keberkatan ilmu yang diberi berserta keredhaan dari Allah atas perkongsiannya. Semuanya bergantung kepada diri individu bagaimana mahu menerima ilmu lantas mengaplikasinya dengan betul...

Di sini saya kongsikan bersama quotes yang saya kongsikan di facebook saya untuk perkongsian bersama. :)

Dan akhir kata dari saya, marilah kita renung bersama kata-kata dari Imam Hasan al-Basri :

Wallahualam..~

No comments :