Thursday 1 September 2011

Perubahan Keluarga

Perkahwinan merupakan satu jalinan yang kukuh berpandukan aspek penyatuan terhadap beberapa elemen seperti perasaan, kasih sayang, kepercayaan, penghormatan, komitmen, peranan serta tanggungjawab dan seumpamanya.

Pentingnya institusi kekeluargaan ini boleh dilihat daripada makna sebenar perkataan keluarga. Dalam Bahasa Arab, perkataan keluarga atau ‘usrah’ bermaksud ikatan. Ulama, ar-Razi ketika menghuraikan maksud perkataan ini menerangkan bahawa ikatan itu ibarat simpulan kain yang saling mengikat kukuh antara satu sama lain. Jelas, pengertian keluarga bukan hanya dilihat mengandungi ahli seperti ayah, ibu dan anak-anak, sebaliknya tersirat makna jalinan dan ikatan ukhuwah yang perlu dipelihara sepanjang masa. Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam memupuk kepelbagaian keperibadian individu dan masyarakat. Katanya, keluarga yang mengamalkan disiplin terpimpin, penuh bertanggungjawab dan subur dengan akhlak akan melahirkan sistem masyarakat serta negara yang lebih positif.



Realitinya, Islam meletakkan keluarga sebagai ejen penting dan berpengaruh serta yang mempunyai rantaian dengan kehidupan semasa. Ini kerana, perspektif Islam lebih menumpukan keluarga sebagai unit sosial yang bersifat majmuk. Keluarga majmuk ini bukan hanya merangkumi ibu bapa dan anak, tetapi juga datuk, cucu-cicit, adik-beradik dan saudara-mara.

Berbeza dengan tafsiran Barat yang hanya memfokuskan keluarga kepada keluarga nuklear iaitu keluarga yang mengandungi sekurang-kurangnya dua orang yang hidup bersama melalui pertalian darah, perkahwinan atau anak angkat. Ahli psikologi Barat, Coleman umpamanya mentakrifkan keluarga sebagai sekumpulan manusia yang dihubungkan melalui perkahwinan, keturunan atau anak angkat yang tinggal dalam sebuah rumah. Justeru, pada mereka keluarga juga terbentuk daripada pasangan yang tidak berkahwin, tetapi hidup bersama dan mungkin juga mempunyai anak.

Melihatkan kepada pengertian ini, jelaslah tanggungjawab kekeluargaan dalam Islam mencakupi makna yang lebih luas di mana ia sentiasa berkait rapat dengan jalinan kaum kerabat, kejiranan dan kemasyarakatan. Meskipun keluarga diharap dapat menjadi momentum yang boleh menyuburkan kesejahteraan hidup, namun ia tidaklah sebaik yang disangka. 

Masih banyak nilai kekeluargaan yang gagal diselamatkan hingga kadang-kadang menyebabkan perlanggaran hak dan tanggungjawab, di samping mewujudkan pelbagai polemik serta konflik yang akhirnya menjejaskan kemakmuran negara.

Di Barat misalnya mengenengahkan teori-teori yang banyak berkaitan dengan keluarga untuk dijadikan panduan. Diantara teori-teori yang diperkenalkan ialah teori sistem dan teori konflik. Dari awal pengenalan lagi dapat dilihat perbezaan yang ketara dari segi makna perkahwinan dan keluarga yang cuba ditonjolkan diantara Barat dengan Islam. Persoalannya adakah teori yang dikemukakan ini sesuai untuk diaplikasikan dalam konteks masyarakat kita pada hari ini yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.


TEORI SISTEM

Dalam teori sistem menurut pandangan Barat menganggap keluarga sebagai sebuah struktur yang terhasil dari gabungan bahagian-bahagian atau subsistem dimana keluarga adalah sebuah institusi sosial yang amat penting dalam negara. Daripada keluarga, terbentuklah masyarakat dan daripada masyarakat terbina negara. Oleh itu keluarga, masyarakat dan negara adalah tiga komponen yang saling berkait dan sama penting antara satu dengan lain. Dengan erti kata lain, apa juga yang menimpa institusi keluarga, ia turut memberi natijah kepada kesejahteraan masyarakat dan Negara. 

Teori sistem menerangkan bagaimana proses yang berlaku dalam keluarga bertindak mengekalkan keseimbangan sepanjang masa selain digunakan sebagai garis panduan untuk menentukan kefungsian dan ketidakfungsian keluarga. Keluarga terdiri daripada ayah, ibu, dan anak. Seperti keluarga Omar Abdul Aziz, bekas Pembantu Tadbir Rendah di Jabatan Peguam Negara. Beliau mempunyai seorang isteri bernama Hasmiza Mad Shahar dan 5 orang cahaya mata yang berumur lingkungan 15 hingga 3 tahun. Dalam menjalankan peranan yang sepatutnya dalam sesebuah keluarga, si suami seharusnya memainkan peranan sebagai ketua keluarga dan pencari rezeki bagi menampung keluarga mereka. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya bagi keluarga En. Omar kerana beliau tidak berkeupayaan untuk melakukan kerja disebabkan menghidap penyakit Muscular Dystrophy iaitu sejenis penyakit keturunan keluarga. Dalam hal ini kefungsian seorang bapa tetap dilakukan oleh En. Omar cuma peranannya sebagai ketua keluarga sedikit berubah kerana sedikit sebanyak isterinya mengambil alih tugasnya itu. Walapun dalam keadaan kesihatannya yang tidak menentu, beliau tetap berusaha mencari rezeki dengan melakukan pekerjaan membuka perniagaan membaiki dan membaikpuliih komputer.

Terdapat subsistem yang penting dalam keluarga iaitu subsistem pasangan suami isteri, subsistem keibubapaan dan subsistem pasangan adik beradik. Apa yang dimaksudkan dengan subsistem pasangan suami isteri ialah ia merujuk kepada hubungan suami dan isteri seperti En. Omar dan Puan Hasmiza. Suami bertanggungjawab terhadap isteri dan begitulah juga sebaliknya. Ia akan membentuk kumpulan berpasangan yang saling menyokong antara satu sama lain dari aspek seks dan teman setia. Seperti En. Omar dan Puan Hasmiza, mereka saling sokong menyokong antara satu sama lain dari segi fizikal dan psikologinya. Puan Hasmiza misalnya menjaga suaminya menguruskan diri dari segi fizikalnya. Malah dari segi psikologinya, Puan Hasmiza juga sanggup untuk menjaga suaminya walaupun suaminya dahulu pernah mahu berpisah disebabkan tidak mahu menyusahkan beliau. Tetapi beliau tetap mahu bersama suaminya kerana kasih sayang beliau pada suaminya selain rasa tanggungjawab dan tabahnya beliau dalam menjaga suaminya. Bagi subsistem keibubapaan, ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak, juga berfungsi untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada anak-anak dalam banyak hal seperti menyediakan kemudahan anak-anak belajar dan sebagainya. Walaupun En. Omar tidak mampu untuk bergerak kemana-mana dan hanya bergantung kepada kerusi roda, beliau tetap menjalankan tugasnya sebagai seorang bapa yang akan menegur anak-anaknya jika mereka melakukan kesalahan begitu juga Puan Hasmiza, walaupun sibuk dalam mengurus keperluan suami, beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu kepada anak-anak. Subsistem pasangan adik beradik pula memberi makna hubungan adik beradik perlu ada kemesraan dan saling menolong dalam menyelesaikan masalah serta bertanggungjawab antara satu sama lain seperti anak-anak En. Omar dan Puan Hasmiza dimana masing-masing tahu akan tugas mereka dan disebabkan itu mereka sudah pandai berdikari kerana memahami beban dan tanggungjawab yang terpaksa digalas oleh ibu juga bapa mereka,

Setiap keluarga mempunyai pelbagai struktur untuk menangani masalah yang berbeza. Contohnya dilihat apabila En. Omar mahu memasang peralatan komputer, beliau akan mengarahkan anak sulungnya melakukan kerja seperti tolong mengangkat peralatan untuk disambungkan ke wayar yang sepatutnya sementara beliau hanya mampu memberi arahan dan melakukan kerja-kerja ringan dihadapan komputer. Pernah juga anak sulungnya disuruh membetulkan komputer dirumah pelanggan. Jadi disini En. Omar tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja dan ini memerlukan anak sulungnya dalam mengambil alih tugas bapanya. Ahli keluarga juga boleh membahagikan tugas masing-masing untuk membuat kerja rumah dengan dipantau oleh ibu bapa. Kadangkala anak sulung akan diberi tugas untuk menjaga adik-adiknya jika ibu bapa bekerja atau tiada dirumah. Ini menunjukkan setiap unsur saling bergantungan antara satu sama lain bagi mewujudkan keseluruhan sistem.

Disebabkan sistem dalam institusi keluarga En. Omar itu tidak dapat berjalan dengan lancarnya, jadi sistem-sistem yang terdapat di dalam masyarakat seperti institusi Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerajaan memberi bantuan dalam bentuk kewangan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh En. Omar sekeluarga. Di sini menunjukkan peranan setiap sistem dalam menjalankan fungsi masing-masing bagi mengekalkan keseimbangan yang terdapat dalam sistem yang saling bergantungan itu secara keseluruhannya.

Asas yang penting dalam teori sistem ialah membina sebuah keluarga sejahtera dan berfungsi sebagai sebuah keluarga. Pentingnya peranan dan tanggungjawab ahli di dalam sistem dan saling bergantungan dan memerlukan antara satu sama lain sebagai sebuah sistem yang kukuh dan stabil. Sebagai contoh En. Omar tidak mampu untuk menguruskan dirinya dan ini secara tidak langsung memerlukan isterinya dalam membantu beliau dan dalam hal ini, anak sulung beliau, Muhammad Saifun Nassrullah turut membantu ibunya menguruskan ayahnya yang tidak sihat dengan membantu ayahnya setiap kali ayahnya mahu ke bilik air.

Melihat kepada keluarga En. Omar, isterinya Puan Hasmiza bt Mad Shahar dilihat begitu komited dalam melakukan tugas sebagai seorang isteri disamping menjaga beliau yang terlantar sakit. Sebagai seorang isteri, Puan Hasmiza sanggup mengorbankan kerjaya beliau sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah swasta semata-mata mahu menjaga suaminya.

Teori Konflik

Konflik dalam keluarga membawa maksud sebarang bentuk perselisihan atau pertentangan antara ahli keluarga khususnya suami dan isteri serta anak-anak. Perselisihan yang wujud membawa banyak spekulasi dalam hidup berkeluarga yang berkemungkinan besar boleh mengganggu sistem keharmonian keluarga tersebut. Konflik ini melibatkan gangguan kepada beberapa elemen penting sesebuah institusi kekeluargaan iaitu perasaan, pemikiran, tingkah laku dan sistem kepercayaan serta konsep nilai. Konflik suami isteri pula berlaku disebabkan terdapat situasi dalam memainkan peranan, komunikasi, pemikiran, dan sistem kepercayaan pasangan adalah tidak sejajar dengan falsafah dan konsep perkahwinan.

Menurut Mat Saat Baki (1985), terdapat beberapa tanda konflik yang perlu disedari dan diberi perhatian secukupnya oleh pasangan suami isteri agar sesuatu konflik dapat diredakan. Di antaranya adalah ketiadaan nilai kasih sayang dan sikap mesra antara suami isteri, berlakunya gangguan emosi dan sistem kepercayaan, wujud masalah/gangguan komunikasi, sentiasa bertentangan pendapat dan perasaan, pergaulan menjadi kurang baik, bersikap negatif dan tidur berasingan, merasa tidak tenang dan seronok untuk berada di rumah, tanggungjawab dan peranan suami isteri terabai, bermasam muka dan menyendiri, serta membawa haluan masing-masing. Pengesanan dan kesedaran awal tanda-tanda konflik ini memudahkan proses pemulihan perhubungan yang renggang.

Masalah keluarga wujud bukan disebabkan ketidakfungsian sebuah keluarga tetapi kerana tidak menemui struktur yang sesuai untuk menyelesaikan masalah keluarga. Semua keluarga mempunyai potensi untuk menyelesaikan masalah mereka kerana usaha untuk mendapat struktur yang bersesuaian telah wujud dalam pemikiran mereka. Encik Omar juga pernah menghadapi masalah seperti ini apabila beliau ditakdirkan menghidap penyakit Muscular Dystrophy yang menyebabkan beliau tidak boleh berjalan, bangun apatah lagi berlari dan keadaan ini menyebabkan beliau beranggapan bahawa beliau tidak mampu lagi untuk bekerja menyara keluarga, jadi konflik dalam diri beliau timbul dan ini menyebabkan beliau pernah mahu berpisah dengan isterinya kerana tidak mahu menyusahkan isterinya itu. Malah Puan Hasmiza sendiri turut berhadapan dengan konflik dalaman di mana beliau terpaksa membuat pilihan samada mahu memilih kerjayanya sebagai guru bahasa Inggeris ataupun berhenti kerja kerana mahu menjaga suaminya.

Konflik juga boleh berlaku dalam keluarga En. Omar. Dalam sibuk mencari rezeki disamping menguruskan keperluan En. Omar, anak-anak mungkin akan rasa terabai kerana pada umur sebaya merekalah sangat memerlukan kasih sayang dan sepenuh perhatian dari ibu bapa. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah termasuklah melibatkan status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.

Masalah-masalah dalam subsistem timbul kerana kemungkinan subsistem itu tidak dapat berfungsi dalam ketiga-tiga subsistem ini. Contohnya, subsistem keibubapaan, akan menganggu subsistem anak-anak menyebabkan kedua-dua subsistem akan terganggu. Subsistem keibubapaan bermasalah seperti keadaan keluarga En. Omar yang menampung hidup hanya dengan mengharapkan duit pencen bulanan sebanyak RM141.42 sebulan selain bantuan dari Baitulmal sebanyak RM300 sebulan dan Elaun Orang Cacat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan. Jadi dalam hal ini, ia membawa masalah kepada anak-anak secara tidak langsung menyebabkan anak sulungnya berkemungkinan terpaksa berhenti sekolah disebabkan keadaan kewangan yang tidak seberapa. Hidup dibandar selalunya memerlukan kos sara diri yang tinggi. Malah menurut kajian yang dilakukan, pendapatan sebanyak RM5000 sebulan masih dianggap satu pendapatan yang hanya cukup-cukup makan sahaja. Kini, masih banyak lagi permasalahan kekeluargaan yang perlu dibincangkan, diketengahkan dan diselesaikan bagi memastikan matlamat keluarga sebagai sebuah institusi terpenting dalam negara benar-benar tercapai. Cabaran keluarga pula kian bertambah dengan peningkatan bilangan penduduk yang dijangka meningkat kepada 28.9 juta pada 2010. Ini bermakna, kes yang bakal dihadapi keluarga pada masa depan kian kompleks, rumit dan mencabar andai tidak ada persediaan yang benar-benar terjamin.

Selain itu, institusi keluarga yang kian rapuh dan peningkatan keluarga asas akibat penurunan saiz isi rumah dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini dijangka akan memberi cabaran bagi sistem kekeluargaan di negara ini. Dikhuatiri juga tanggungjawab keluarga akan berubah pada masa depan apabila kini lebih 18.5 peratus ketua isi rumah diketuai oleh kaum wanita. Hambatan sosioekonomi yang kian pesat turut membawa cabaran baru kepada institusi keluarga kerana dibimbangi ada keluarga yang gagal melaksanakan peranan dengan berkesan bagi menjamin keharmonian dalam mendidik, membimbing dan memberikan kasih sayang kepada anak. Bagi menyelesaikannya, terpulang kepada setiap diri, keluarga dan masyarakat untuk sama-sama berusaha ke arah mewujudkan persekitaran keluarga yang lebih sihat.

Bagi pihak berkuasa pula, dasar yang lebih mantap terutama membabitkan kepincangan dalam pentadbiran kekeluargaan seperti nafkah, dan hak jagaan anak hendaklah diwujudkan sebagai persediaan menghadapi era kian mencabar. Justeru bagi memperkasakan lagi fungsi dan kepentingan keluarga termasuk tanggungjawab keibubapaan hendaklah disemarakkan agar institusi ini benar-benar terjalin utuh demi melahirkan masyarakat dan negara yang sejahtera.

Rumahtangga dan keluarga adalah amanah dari Allah s.w.t. ke atas para suami dan ayah. Oleh itu ianya hendaklah dijaga, dipelihara dan diuruskan dengan sebaik-baiknya. Jangan diabaikan jauh sekali untuk dikhianati. Dalam masyarakat hari ini untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia, setiap anggota mestilah memainkan peranan masing-masing dalam menggerakkan sistem keluarga itu sendiri. Ketidakfungsian dalam salah satu peranan anggota keluarga boleh menyebabkan berlakunya konflik. Dan ini semua adalah bergantung kepada sistem keluarga itu sendiri bagaimana caranya mahu menangani konflik yang berlaku.

Begitu juga, keluarga bahagia dan diredhai Allah tidak akan dapat dibentuk jika suami isteri tidak sama memainkan peranan ke arah membentuk keluarga tersebut. Setiap suami isteri bertanggungjawab untuk melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya terhadap pasangan dan keluarga sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Tegasnya, untuk mewujudkan sebuah perkahwinan yang bahagia dan diredhai Allah itu, ianya hendaklah dibentuk dan diasaskan kepada nilai ajaran dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ianya tidak akan terbentuk melainkan dengan penghayatan Islam sepenuhnya sebagai ad-Din yang syumul serta cara hidup yang sempurna dalam erti kata sebenar.

Dari sini dapat dilihat kebanyakan teori yang diperkenalkan oleh Barat sebenarnya adalah hasil daripada kajian yang dilakukan oleh umat Islam sendiri. Malah didalam Al-Quran sendiri ada dinyatakan mengenai keluarga. Contohnya bagaimana mahu menasihati anak, dapat diteliti dalam surah Al-Luqman. Jadi, dalam agama Islam sendiri telah terdapat semuanya dan menyeluruh termasuk dari segi luaran mahupun dalaman. Dalam Islam tiada teori kerana apa yang diturun dan diberitahu itu adalah datang daripada Allah manakala teori-teori yang dikemukakan oleh Barat adalah ciptaan dari mereka sendiri dan berubah mengikut perubahan budaya keluarga mereka sendiri.



Credit too Nurul Ain bt Zainul Abidin & Siti Nurmala bt Ariff


BIBLIOGRAFI

1. Abdul Latif b Muda (2001). Huraian Ayat-ayat Hukum, Kuala Lumpur; Pustaka Salam Sdn. Bhd.

2. Majalah MIDI, September 2006 ; Karangkraf Sdn Bhd. (m.s 100)

3. Maso’od Abd Rashid (1991). Keluarga, Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka

4. Mohd Ali Abu Bakar (2005). Tanggungjawab Setiap Muslim, Kuala Lumpur; Al-Hidayah Publishers

5. Mohd Yusof Sulaiman (15 Mei 2004). Penerapan Ilmu Kekeluargaan Asas Pembentukan Masyarakat Sejahtera, Kuala Lumpur; Berita Harian

6. Rozumah Baharudin (2002). Pengantar Perkahwinan dan Keluarga, Serdang; Universiti Putra Malaysia


No comments :