Friday 23 September 2011

Program Ziarah Pesakit Perkim

"SESUNGGUHNYA Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisi-Nya, pahala yang amat besar."
(an-Nisa’: 40)




KEBAJIKAN adalah sesuatu perbuatan yang baik yang membawa kebaikan. Setiap individu Muslim berkewajipan berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan berbuat sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Perkim Bahagian Negeri Melaka berkesempatan menziarahi 60 pesakit di Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka.

Dalam program pada 27 Mei lalu, Perkim turut menghulurkan buah tangan kepada 60 pesakit.

Program itu mendapat kerjasama dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Persatuan Tionghua Muslim (Pertim) Melaka, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Melaka, Badan Kebajikan dan Persaudaraan Islam (Bakpis) Melaka.

Rombongan ziarah itu diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Perkim Bahagian Negeri Melaka, Rokiah Sungip. Ia turut disertai beberapa kakitangan dan sukarelawan Perkim.

Suariza berkata, rombongan menziarah pesakit seperti ini adalah yang pertama dilakukan di hospital swasta.

Katanya, adalah menjadi hasrat utama Perkim untuk memperluaskannya ke seluruh Malaysia selain penganjuran aktiviti dakwah dan pendidikan lain.

“Program ini sebagai menyahut seruan kerajaan serta sokongan terhadap usaha dan tindakan yang di ambil sebagai organisasi yang prihatin. Mesej keprihatinan ziarah yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini.

“Perasaan gembira, syukur dan terharu akan timbul apabila kita menjadi salah seorang pesakit yang diziarahi serta menerima sumbangan daripada pihak-pihak tertentu,” jelas beliau.

Dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Radhuana Salleh menyampaikan taklimat ringkas dan persembahan multimedia mengenai latar belakang, sejarah, visi dan misi PSH yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Hospital ini menyediakan perkhidmatan dan kemudahan antaranya kecemasan dan kemalangan 24 jam, poliklinik 24 jam, ambulans 24 jam, x-ray, fisioterapi, hemodialisis, pakar bedah, unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan jantung (CCU), unit pemulihan, pemeriksaan kesihatan, patologi dan makmal klinikal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap Perkim Kebangsaan, Datuk Abu Pit berkata, pihaknya memilih menziarahi dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit-pesakit di wad pembedahan lelaki dan wanita, wad bersalin dan wad kanak-kanak.

“Dengan menziarahi pesakit-pesakit kita dapat menyelami dan menghayati penderitaan mereka yang sedang menghadapi musibah.

“Di samping itu, beliau turut menghiburkan pesakit dengan berpantun nasihat agar bersabar dan tabah serta mendoakan pesakit agar sembuh,” ujar Abu Pit.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Persekutuan Malaysia India Muslim Melaka, Datuk Meera Mohideen dan Penolong Pengurus Kanan Kejururawatan PSH Maznan Mohamed Hassan.
Sumber : Utusan Online

No comments :