Tuesday 20 September 2011

Ketaksamaan Sosial : Bukti bahawa Ketaksamaan Sosial dan Perlapisan tidak dapat dielakkan dan berlaku di setiap Masyarakat

PENDAHULUAN

Ketaksamaan sosial adalah merujuk kepada cara atau proses penstrukturan sosial yang berlainan dalam masyarakat kerana terdapatnya stratifikasi sosial didalamnya. Walau bagaimanapun, ketaksamaan sosial memberi definisi yang membawa kepada makna dan konsep yang lebih umum. Dimana didalamnya merangkumi apa jua bentuk penyusunan manusia ke dalam kedudukan-kedudukan sosial yang tidak sama rata yang terbentuk menerusi proses penilaian dan penyusunan taraf ke atas manusia dan kedudukan sosial dalam menentukan tugas dan peranannya. Ketaksamaan sosial juga merujuk kepada peluang yang diwujudkan berbeza kepada anggota masyarakat atau kumpulan sosial. Fenomena ini juga boleh difahami mengikut sifatnya yang berbeza dari segi kompleksiti, budaya, masa dan sistem-sistem ekonomi dan politik masyarakat. [1]

 
Ketaksamaan Sosial berlaku dimana-mana sahaja kerana manusia itu sendiri adalah unik kejadiannya dan wujud dalam berbagai bentuk serta melibatkan kesemua anggota masyarakat. Menurut catatan sejarah, fenomena perbezaan kedudukan sosial antara individu dalam masyarakat memang sudah wujud sejak zaman dahulu lagi. Bermula dari zaman awal kewujudan manusia sendiri, dimana manusia mula memberi perhatian kepada keunikan disebabkan perbezaan yang terdapat didalam masyarakat mereka.
Keunikan yang didapati itu diklasifikasikan kepada dua bahagian yang besar iaitu perbezaan yang ada pada diri manusia itu secara semula jadi dan perbezaan yang dicapai oleh anggota masyarakat. Variasi ini akan menimbulkan perbezaan diantara satu sama lain seterusnya membawa kepada ketaksamaan sosial yang berlaku. Perbezaan individu ialah satu konsep yang merujuk kepada keunikan dan ketidaksamaan yang wujud diantara individu yang berlainan.

Walau bagaimanapun terdapat dua bentuk ketidaksamaan di kalangan manusia. Pertama, ketidaksamaan semula jadi atau fizikal seperti ketidaksamaan anggota masyarakat dari segi umur, jantina, warna kulit, kekuatan fizikal, kecerdasan otak dan sebagainya. Kedua, ialah ketidaksamaan yang dicapai oleh anggota masyarakat dari aspek kekayaan, pendidikan, pekerjaan, penghormatan dan kuasa politik. Sesetengah ketidaksamaan ini pula kadangkala dijadikan asas atau kriteria untuk membeza-bezakan kedudukan dan tugas anggota-anggota masyarakat dan seterusnya memperlihatkan strata atau lapisan-lapisan tertentu yang dilahirkan atas faktor ketaksamaan ini.

PERBEZAAN SECARA SEMULA JADI

Perbezaan secara semula jadi adalah perbezaan yang timbul dalam diri manusia itu sendiri. Dengan merujuk kepada manusia sebagai model dalam mencari perbezaan individu yang wujud dapat dipecahkan pula kepada beberapa bahagian unik yang saling berbeza diantara satu sama lain. Perbezaan individu ini dapat dilihat dalam konteks aspek perkembangan secara fizikal, mental dan emosi dikalangan individu. Perbezaan yang ada pada manusia itu dihuraikan sebagai variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan sama ada yang bersifat kognitif, emosi, fizikal, moral, sosial dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat dikalangan individu dalam sesuatu kumpulan.
            Aspek perbezaan fizikal misalnya dapat dilihat dari segi perbezaan jantina lelaki dan perempuan, perbezaan dari segi rupa samada cantik, kacak, manis dan saiz badan yang mengukur besar mahupun kecil, tinggi mahupun rendah rangkanya serta kemahiran jasmani. Bukti perbezaan ini juga seperti yang terdapat didalam Al-quran surah Al-Qiyamah ayat 39 yang bermaksud : 
“Lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang: laki-laki dan perempuan.”[2]
Antara faktor-faktor yang dapat dilihat tentang ketidaksamaan jantina ini ialah :
i)                 Perbezaan jantina dari segi biologi
ii)               Perbezaan bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh budaya tentang konsep kelelakian dan kewanitaan. Ini dinamakan keunggulan kejantinaan. Misalnya anak lelaki sepatutnya menunjukkan sifat agresif jika dibandingkan dengan anak perempuan yang sepatutnya menunjukkan sifat lemah lembut dan tidak bersifat agresif.
iii)            Perbezaan peranan jantina dimana lelaki sebagai ketua keluarga dan wanita pula menjaga anak. [3]

Perbezaan kognitif pula lebih terarah kepada perbezaan dari segi mental yang memfokuskan dari segi keupayaan berfikir, belajar, mengingat, menaakul serta menganalisis. Dengan perbezaan kognitif inilah munculnya tamadun manusia yang maju dan bervariasi bentuknya.  Lahirnya tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam bidang masing-masing seperti Ibn Sina dalam bidang perubatan, Ibn Batutta dalam ilmu pelayaran, Adik beradik Wright dengan penciptaan kapal terbang, Alexander Graham Bell dengan penciptaan alat komunikasi dan beberapa orang tokoh lagi yang menjadi pelopor kepada penciptaan alatan atau sumber ilmu yang ada di didunia ini. Perbezaan kognitif yang ada itulah yang dapat melahirkan tokoh yang berlainan dengan penciptaan yang berbeza diikuti pencambahan ilmu yang lebih meluas lagi.

Manakala perbezaan dari segi aspek emosi pula merujuk kepada emosi yang berbeza yang diinterpretasikan oleh setiap orang walaupun berada dalam situasi yang sama yang mana seterusnya akan memberikan respon yang berlainan kepada aspek tingkah laku termasuklah dari segi pergaulan, interaksi dan aktiviti sosial. Emosi marah, sedih, gembira akan dirasai oleh individu dan emosi ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh suasana sekeliling atau hormon yang terdapat didalam tubuh manusia itu sendiri. Faktor semulajadi inilah seterusnya menjadi penyebab kepada lahirnya emosi yang pelbagai dan berubah-berubah mengikut pembolehubah bergerak balas hasil manipulasi yang dilakukan.


PERBEZAAN YANG DICAPAI OLEH ANGGOTA MASYARAKAT

Perbezaan individu juga boleh dipengaruhi oleh persekitarannya disebabkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh masyarakat. Banyak faktor-faktor yang memainkan peranan dalam menterjemahkan perbezaan kepada kelainan dalam diri individu itu sendiri. Faktor-faktor yang menyumbangkan kepada perbezaan individu dapat dikelaskan kepada tiga bahagian utama iaitu dari aspek sosial, ekonomi dan politik.

Aspek Sosial
Aristotle contohnya telah menyatakan bahawa kira-kira 2000 tahun yang lampau manusia terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu kumpulan yang paling kaya, kumpulan yang paling miskin dan kumpulan yang sederhana kedudukannya. Jadi penyelidikan tentang kehidupan sosial suku-suku bangsa dalam peradaban dunia dengan jelasnya menunjukkan bahawa suatu bentuk susunan pangkat pasti wujud. Oleh itu fenomena susun lapis dalam masyarakat adalah sesuatu yang bersifat universal iaitu boleh dilihat dalam mana-mana masyarakat.

            Dengan perbezaan individu atau kelompok dalam masyarakat telah menyebabkan munculnya satu hierarki yang terdiri daripada lapisan ataupun strata yang berlainan kedudukannya yang disebut sebagai stratifikasi sosial. Terdapat satu konsep lagi yang sering digunakan dalam perspektif sosiologi tentang fenomena ini iaitu ketidaksamaan mendapat ganjaran sosial yang sama.

            Stratifikasi sosial adalah fenomena yang berasal dari perkataan ‘stratified’ atau strata yang bermaksud susun lapis. Struktur pola tersebut juga merupakan susunan sesuatu masyarakat kepada satu hierarki kedudukan yang tidak sama rata berhubung dengan kuasa, harta, penilaian sosial dan kepuasan psikologi. Oleh itu stratifikasi sosial merupakan proses pembezaan individu-individu dalam masyarakat yang menyebabkan kemunculan sesuatu hierarki yang terdiri daripada lapisan atau strata yang berlainan kedudukannya. Pada asasnya stratifikasi melibatkan keistimewaan yang berbeza-beza serta peluang hidup (life chances) yang berlainan dan mempunyai keistimewaan yang berlainan. Peluang hidup meliputi peluang untuk mencapai matlamat tertentu, peluang untuk menikmati kemudahan sosial dan sebagainya.

            Susun lapis dalam stratifikasi sosial itu juga meliputi satu bentuk penyusunan struktur dalam masyarakat yang diterima umum untuk menentukan kedudukan sosial seseorang dalam struktur sosial masyarakat tadi. Kadangkala bentuk tersebut diperkuatkan oleh tradisi yang diwarisi. Keadaan ini pada pandangan ahli sosiologi melibatkan satu sistem pembahagian keistimewaan yang berbeza kerana dalam sesuatu masyarakat akan terdapat sesuatu kelompok atau golongan yang akan menerima barangan, khidmat, kuasa dan kepuasan emosi lebih daripada orang lain sebagai satu bentuk taat setia atau pertukaran kepada sesuatu.

            Jadi stratifikasi sosial wujud kerana terdapat ketidaksamaan sosial dikalangan anggota-anggota masyarakat dan ketidaksamaan ini pula diiktiraf oleh masyarakat disebabkan wujudnya variasi diantara mereka. Walaupun dalam semua masyarakat boleh dikatakan wujud fenomena susun lapis masyarakat, namun bentuk susun lapisnya berbeza-beza daripada masyarakat kepada masyarakat dari semasa ke semasa disebabkan perbezaan budaya dan agamanya. Namun demikian perspektif sosiologi telah dapat membezakan empat jenis sistem susun lapis yang utama iaitu sistem perhambaan, sistem kasta, sistem estet serta sistem kelas dan status sosial.

i)                    Sistem Perhambaan (Slavery)
Perhambaan merupakan bentuk ketidaksamaan sosial yang terdapat dalam masyarakat tradisional. Ia lebih bersifat melampau kerana golongan ini adalah golongan terendah didalam sistem sosial manusia. Ciri penting dalam sistem ini ialah manusia menjadi alat atau hamba yang dimiliki oleh pihak lain. Mereka merupakan aset kepada seseorang dan ia sah dari segi undang-undang kerana diterima pakai oleh masyarakat. Status hamba adalah sangat rendah sehingga mereka dianggap sama seperti binatang yang boleh digunakan untuk bekerja atau perkakas yang dimiliki tuan punya sahaja. Seorang hamba itu dibezakan daripada yang lain berdasarkan faktor perbezaan ras dan etnik, jantina atau tawanan perang. Sistem ini pada satu masa dulu dianggap sebagai satu keperluan dalam susun lapis sosial masyarakat kini telah dihapuskan oleh undang-undang diseluruh dunia seiring dengan perkembangan dunia yang semakin berbeza keadaanya.

ii)                  Sistem kasta
Sistem kasta ini berasal dari agama Hindu di India. Sistem kasta ini merupakan pembahagian anggota masyarakatnya mengikut keturunan atau kelas-kelas yang tertentu. Perbezaan prestij yang sungguh nyata ini telah mewujudkan satu sistem status yang tertutup bagi ahli-ahli masyarakat tersebut. Seorang kanak-kanak yang lahir dalam satu kasta tidak boleh berpindah kepada satu kasta yang lain. Tiada siapa yang boleh bergaul atau berkahwin dengan kasta yang lain. Ahli-ahli dalam kasta adalah bersaudara dan saling tolong-menolong.

            Jadi sistem kasta ini merupakan satu hierarki lapisan sosial yang keanggotaannya ditentukan oleh faktor kelahiran dan bersifat kekal. Antara lapisan-lapisan itu terdapat ketidaksamaan dari segi status dan kebolehan menikmati benda-benda dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada dalam masyarakat tersebut. Sistem kasta ini pun masih kuat mempengaruhi kehidupan masyarakat India.

            Dalam sistem kasta India, masyarakat terbahagi kepada 4 strata :
a)      Kasta Brahmin yang terdiri daripada golongan pendeta dan agama
b)      Kasta Ksatriya yang terdiri daripada pahlawan-pahlawan perang
c)      Kasta Vaishyas yang terdiri daripada pedagang dan pekedai
d)      Kasta Sudras yang terdiri daripada pembantu rumah dan hamba abdi

Satu aspek penting tentang sistem ini ialah seseorang itu haruslah mengamalkan larangan atau taboo tentang perkahwinan, makan dan pergaulan. Misalnya perkahwinan dengan orang yang lebih rendah kastanya adalah dilarang dan dianggap sebagai satu pencemaran. Walaupun ramai yang menentang sistem kasta ini tetapi ia masih kuat diamalkan lagi khususnya di India.

iii)                Sistem Estet
Sistem estet biasanya dikaitkan dengan masyarakat feudal yang menentukan kedudukan seseorang melalui hubungannya dengan tanah. Sistem ini berkembang di Eropah pada zaman pertengahan. Dalam sistem feudal, tanah merupakan sumber penghidupan yang utama bagi semua lapisan penduduk. Oleh itu martabat dan kuasa seseorang bergabung kepada hubungannya dengan tanah dimana orang yang mempunyai tanah adalah bebas dan berkuasa sementara orang yang tidak bertanah, terpaksa mengerjakan tanah orang lain berada dibawah kuasa tuan tanahnya.
            
 Dalam sistem ini terdapat lapisan sosial yang disusun dalam satu hierarki. Dikemuncak hierarki ialah raja. Kemudian golongan bangsawan atau pemerintah (nobility), diikuti oleh golongan paderi (clergy) yang berpengetahuan tentang agama dan di bawah sekali ialah golongan rakyat atau kaum tani (peasantry) yang tidak bertanah, tertindas dan tidak mempunyai kuasa politik. Tiap-tiap estet ini ditentukan oleh faktor kelahiran, tetapi boleh mengubah kedudukannya contohnya melalui pengurniaan raja atau keizinan daripada pihak atas dalam hierarki status tadi.

iv)                Sistem Kelas dan Status Sosial
Pembahagian anggota masyarakat ke dalam kelas-kelas tertentu merupakan salah satu manifestasi ketidaksamaan sosial yang paling menonjol di dunia moden ini. Berbagai-bagai kelas sosial wujud apabila kuasa-kuasa pengeluaran melampaui peringkat-peringkat sara diri dan ini melibatkan perluasan pembahagian tugas di luar unit keluarga, pengumpulan harta yang berlebihan dan kewujudan hak pemilikan persendirian terhadap sumber-sumber ekonomi.
          
     Ketidaksamaan sosial ini lantas membawa kepada pergerakan sosial dan organisasi lalu melahirkan beberapa gerakan yang lain seperti gerakan buruh, penyewa tanah, pelajar, wanita dan tentera sendiri. Atas beberapa faktor, gerakan ini bergerak diatas tindak balas sistem yang dimalarkan dan akhirnya membentuk satu manipulasi dari segi perubahan ketidakseimbangan masyarakat. Seterusnya faktor seperti inilah yang membawa kepada timbulnya kelas dan kekuasaan dalam perubahan sosial yang berlaku akibat dari kesan sejarah lalu.[4]     

Aspek Ekonomi
Banyak pendapat dari aspek ekonomi menjerumus ke arah pembentukan kelas, kuasa dan status di dalam masyarakat dimana pembentukan ini akan membawa kepada ketaksamaan sosial yang berlaku. Jika diperhatikan pembahagiannya, kelas lebih merujuk kepada pengukuran kedudukan sosial manusia dari segi kebendaan dan pembentukan ini tidak dapat dipisahkan daripada institusi ekonomi.

Ini kerana kelas-kelas sosial yang terhasil itu kemudian menjadi kumpulan-kumpulan ekonomi yang terbuka yang tidak dibentuk atau disokong oleh apa-apa peraturan agama atau undang-undang. Kelas sosial itu akan mengalami mobiliti menegak dalam hierarki sosial mengikut taraf ekonomi yang dimilikinya. Pembahagian kepada kelas-kelas tertentu adalah didasarkan kepada faktor ekonomi khususnya.  Kawalan ke atas harta faktor asas yang menentukan peluang hidup seseorang individu atau satu-satu kelas. Orang-orang yang mempunyai kawalan yang banyak ke atas sumber-sumber pengeluaran seperti tanah dan modal akan dianggap sebagai menganggotai kelas-kelas yang tinggi kedudukannya berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai apa-apa kawalan ke atas sumber-sumber pengeluaran dan dianggap sebagai menganggotai kelas bawahan. Istilah yang lebih teknikal lagi menyatakan kelas sosial ialah status sosioekonomi (SES).

Kriteria-kriteria bagi mengukur status sosioekonomi seseorang ialah pendapatan, tahap pendidikan yang dicapai, kekayaan dan keturunan. Berdasarkan kriteria ini ahli sosiologi pada hari ini telah mengenalpasti 5 kelas sosial iaitu kelas atasan, kelas pertengahan atas, pertengahan bawahan, kelas pekerja dan kelas bawahan.[5]   

Faktor yang mewujudkan lagi ketaksamaan sosial dari aspek ekonomi ini dapat dilihat melalui perkerjaan yang dikerjakan oleh ahli masyarakat. Dari perspektif sosiologi, pekerjaan didefinisikan sebagai aktiviti yang dilakukan secara berterusan untuk mencapai matlamat yang berkaitan dengan keperluan ekonomi. Jadi dengan melakukan pekerjaan itu dapat menentukan kedudukan sosial individu kerana aktiviti seperti itu mempunyai nilai pasaran. Dan secara tidak langsung turut mempengaruhi gaya hidup individu itu berdasarkan kedudukan sosial yang dihuni.

Menyelusuri sejarah dapat dianalisa perbezaan punca pencarian ekonomi dahulu dan kini sudah banyak bezanya. Jika zaman dahulu, masyarakat lebih selesa menjalankan ekonomi sara diri tetapi keadaan itu sudah berubah dalam menuju ke Negara Industri dimana anggota-anggota masyarakat mula bersaing sesama sendiri bagi menjana ekonomi dan prinsip ‘sekadar cukup makan’ tidak lagi diguna pakai kerana masyarakat sudah mula mengumpul kekayaan bagi menentukan kedudukan status mereka dalam sesebuah masyarakat. Pekerjaan yang dahulunya mudah kini menjadi kompleks disebabkan beberapa faktor globalisasi. Oleh itu pekerjaan kini adalah untuk mencapai satu darjat jaminan ekonomi bagi memperolehi kehidupan yang lebih selesa dan terjamin pada masa akan datang.  Pendeknya pekerjaan telah menjadi alat atau saluran kepada manusia untuk memajukan diri disamping untuk terus hidup dan secara tidak langsung telah mengakibatkan faktor kepada perbezaan status anggota-anggota masyarakat.

Jenis sistem yang diamalkan oleh Negara juga memainkan peranan yang penting dalam melahirkan ketaksamaan sosial. Jika di dalam sistem kapitalisme, anggota masyarakatnya saling berlumba mengumpul harta, sistem ekonomi sosialis pula lebih memfokuskan kepada ekonomi yang dikuasai oleh kerajaan sebagai pembuat keputusan. Manakala sistem ekonomi islam lebih menekankan kepada sistem yang bercorak keislaman dalam erti kata lain meletakkan agama sebagai dasar membuat keputusan berdasarkan konsep amar makruf nahi mungkar.

Jadi secara umumnya dapat dilihat akan kepelbagaian sistem ekonomi yang wujud dalam masyarakat memberikan perbezaan dari sudut sosial dan sistem politiknya. Sebagai contoh yang dapat dilihat dalam struktur ekonomi Sudan yang semakin membangun dengan pembinaan kondominium di kawasan lembah sebagai satu usaha dalam mewujudkan variasi perubahan ekonomi. Kondominium yang dibina di lembah Sungai Nil, utara Khartoum yang terletak berdekatan pusat Kordofan dan diselatannya adalah kawasan Kassala itu adalah satu kawasan yang turut mengandungi skim pertanian dan memberi faedah dalam penyebaran pendidikan dan perkhidmatan kesihatan. Dengan mewujudkan pembangunan urban, banyak pengilangan dan pembuatan dilahirkan dan ini mewujudkan ketidakseimbangan dalam pembangunan kerana menumpukan kepada sesebuah kawasan untuk dimajukan dan bukan secara keseluruhan. Tanda ketidakseimbangan kawasan dapat dijumpai dalam perbandingan pengaliran pelaburan didalam sesebuah wilayah.[6] Ini memberi kesan kepada ekonomi Negara secara tidak langsung membawa kepada perubahan sosial masyarakat yang berlainan kawasan seterusnya mewujudkan ketidaksamaan dalam sistem masyarakat itu sendiri.

Aspek Politik
Terbentuknya sebuah Negara dengan adanya pemimpin dan rakyat. Jadi perlunya sebuah organisasi dalam sesebuah pentadbiran bagi menjadikan sistem pemerintahan menjadi lebih sistematik. Maka lahirlah pelbagai jenis sistem pemerintahan antaranya ialah sistem monarki, demokrasi, feudal, republik dan lain-lain lagi.

Perbezaan dalam sistem pemerintahan ini kemudiannya membawa kepada ketaksamaan sosial yang berlaku. Sistem monarki misalnya merupakan sistem beraja dimana kekuasaannya diwarisi daripada keturunan diraja. Berlainan dengan sistem demokrasi yang mana pemerintahnya dipilih berdasarkan suara undi dari rakyat melalui pilihanraya. Jadi dengan perbezaan ini melahirkan rakyat yang berlainan corak hidupnya, organisasi yang berbeza dan menimbulkan begitu banyak ketidaksamaan diantara satu sama lain.

Kesan pemerintahan yang diamalkan oleh Negara membawa perubahan kepada rakyat yang menghuni. Lihat sahaja pada Negara Amerika dimana rakyatnya saling berlumba dalam mengejar kekayaan kerana faktor sistem ekonomi berbentuk kapitalisme dan sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan telah memberi sepenuh kebebasan kepada rakyatnya dalam membuat keputusan. Berbanding dengan Negara Malaysia sendiri yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dimana walaupun rakyat mempunyai kebebasan dalam bersuara, mereka masih terikat dengan perlembagaan yang tersedia. Dalam erti kata lain, mereka tidak bebas sepenuhnya kerana ada kerajaan yang mengawal diatasnya. Jadi melihat kepada contoh kedua-dua Negara dapat membuktikan bahawa perbezaan dalam sistem pemerintahan politik juga melahirkan masyarakat yang berbeza diantara satu sama lain.

Kuasa juga dilihat menjadi faktor dalam menimbulkan ketaksamaan sosial ini. Apabila hubungan sosial dilihat sebagai berhubungan dengan kekuasaan maka akan wujudlah golongan individu yang mempunyai kuasa dengan tidak mempunyai kuasa. Agihan kuasa ini akan menjadi ketidaksamaan kerana hakikat bahawa tidak semua orang berkuasa atau memiliki kekuasaan yang sama banyak menunjukkan kuasa itu adalah suatu sumber bernilai yang terhad. Justeru, kewujudan ketaksamaan sosial berasaskan kuasa ini tidak mungkin dapat dielakkan dalam kehidupan masyarakat.


KETAKSAMAAN SOSIAL DALAM MASYARAKAT

Melihat kepada kedua-dua pembahagian aspek yang telah dibincangkan diatas dapatlah dibuktikan bahawa perlapisan dan ketaksamaan sosial tidak dapat dielakkan dan berlaku di setiap individu masyarakat itu sendiri.

Menganalisa dari sudut masyarakat secara umumnya memberi perbezaan yang berlainan diantara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Perbezaan yang terhasil daripada ciri-ciri semulajadi ini membawa kepada perbezaan yang lebih meluas dimana ciri ini kemudiannya dijadikan oleh masyarakat suatu keunikan yang mahu dicapai oleh anggota masyarakat itu sendiri.

Perbezaan semulajadi ini melahirkan pembahagian dari segi ras dan etnik bangsa yang juga merupakan satu punca ketaksamaan dalam struktur susun lapis masyarakat. Keadaan perhubungan antara etnik dan ras ini muncul akibat daripada pertemuan kelompok-kelompok manusia dan interaksi diantara mereka. Konflik dan ketegangan diantara kelompok akan berlaku kerana terdapat perbezaan warna kulit, bertutur dalam bahasa yang berlainan, menganut agama yang berlainan, dan mempunyai budaya dan nilai hidup yang berbeza. Ada kalanya satu kelompok etnik atau ras akan dapat menguasai satu kelompok etnik atau satu ras yang lain dan akan berlaku beberapa fenomena yang akhirnya muncul susun lapis dalam struktur stratifikasi sesuatu masyarakat. Contohnya sistem apartheid di Afrika Selatan. Keadaan-keadaan seperti diskriminasi, prasangka, stereotype, racism, kekerasan fizikal dan penindasan akan wujud antara kelompok yang berkuasa dan yang tertindas yang menyebabkan kemunculan ketaksamaan antara etnik atau ras yang berbeza dan digolongkan ras yang lebih superior dan ada ras yang inferior. Jadi ini menimbulkan ketidakseimbangan dalam Negara tersebut kerana faktor yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat.

Perlapisan dan ketaksamaan sosial ini juga berasal daripada nilai-nilai bersama dimana dengan kewujudan nilai-nilai ini maka setiap individu akan diberi penilaian dan diletakkan mengikut susunannya. Dalam Negara Malaysia misalnya, penilaian yang dimaksudkan disini adalah seperti penganugerahan gelaran Ahli Mangku Negara (AMN), Panglima Jasa Negara (PJN), dan beberapa gelaran lagi diberi setelah penilaian dibuat berdasarkan jasa sumbangan dari individu kepada Negara dan pengiktirafan ini diterima dan dipersetujui oleh ahli masyarakat sendiri. Gelaran seperti Dato’, Datuk Paduka, Tan Sri, dan beberapa gelaran lagi diletakkan didalam kelas tersendiri seperti juga dengan individu yang memegang jawatan penting didalam Negara seperti mufti, panglima tentera, para akademik dan intelektual serta yang dapat menyumbangkan sesuatu kepada Negara akan mencipta kelas mereka yang tersendiri membezakan kedudukan mereka dengan golongan pertengahan mahupun bawahan.  Maka sesiapa yang memilikinya serta berperanan penting akan diberi tempat yang paling atas dalam sistem stratifikasi dan berada dalam kelas sosialnya yang tersendiri.

Perbezaan dalam sistem pendidikan turut memberi kesan ke atas perlapisan dan ketaksamaan sosial yang berlaku. Pendidikan digunakan oleh individu yang mahu mengubah kehidupannya kepada kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan kebijaksanaan dan kemampuan secara menyeluruh didalam sistem ini. Dengan mengambil peluang terhad yang tersedia bagi memperolehi kelulusan yang diiktiraf oleh masyarakat.[7] Tahap pendidikan ini kemudiannya akan menimbulkan perbezaan dari segi kelas yang mana akan terdapat pembahagian bagi menentukan status seseorang berdasarkan kejayaannya mencipta momentum yang tersendiri. Maka apabila timbulnya perlapisan kelas, akan muncullah sistem birokrasi yang menyukarkan masyarakat yang lahir dari kerenah manusia yang berbagai ragam dan berlainan status. Semakin tinggi statusnya didalam masyarakat, maka semakin kuranglah sistem birokrasi yang terpaksa dihadapinya berbanding individu yang tidak punya status maka akan berjelalah kerenah birokrasi yang terpaksa dihadapinya demi meneruskan kelangsungan hidup. Ini secara tidak langsung menyukarkan kehidupan mereka yang sememangnya sukar diatas faktor ketiadaan pangkal nama yang bermula dengan status yang tinggi atau disebabkan tidak mempunyai pendidikan yang dapat mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik. Maka dengan itu akan wujudlah keadaan yang tidak seimbang dalam masyarakat itu sendiri berdasarkan taraf sosial yang dimiliki oleh mereka. 

 Menurut Max Weber, setiap kelompok manusia mempunyai peluang-peluang sosial yang bergantung kepada harta kepunyaan dan segala kemudahan-kemudahan untuk mendapat pendapatan yang perlu untuk mereka. Perbezaan peluang sosial yang dimiliki oleh anggota masyarakat itu mewujudkan ketaksamaan dalam masyarakat. Weber kemudiannya melihat ketaksamaan ini dari sudut tiga dimensi atau faktor seperti kekayaan, kuasa dan prestij. Tiga faktor ini kemudiannya dijadikan faktor yang asas yang berasingan tetapi sebagai asas yang berinteraksi dan mewujudkan hierarki dalam masyarakat. Perbezaan harta kekayaan menyebabkan lahirnya kelas, perbezaan kuasa mewujudkan parti politik dan perbezaan prestij melahirkan kelompok yang berlainan status atau berstrata. Oleh itu tiga faktor itu tadi merupakan sumber ketaksamaan dan konflik dalam masyarakat yang tidak dapat dielakkan.

Secara keseluruhannya susun lapis masyarakat boleh dilihat sebagai suatu pola yang kompleks tentang kekayaan, status dan kuasa. Setiap bahagian boleh dilihat sebagai sumber ketidakserataan dan juga konflik antara manusia. Dengan demikian, susun lapis boleh dilihat sebagai beberapa kelompok dalam masyarakat yang setiap satunya mempunyai atau menerima ganjaran sosial yang berbeza. Disamping masyarakat bersetuju dan mengakui akan wujudnya ketaksamaan didalamnya. Jadi keadaan ini merupakan fenomena yang berterusan dan ianya sebagai sesuatu yang berfungsi. Justeru itu ketaksamaan pasti akan wujud dan berfungsi dalam menstabilkan masyarakat secara abstraknya dan ketidakadilan secara tersirat.


KESIMPULAN

            Proses sosial telah dipengaruhi dan berubah akibat daripada dorongan sistem dan transformasi ekonomi iaitu daripada bentuk pertanian kepada bentuk perindustrian dan daripada bentuk perindustrian kepada bentuk post industri. Perubahan ini dikenali sebagai permodenan. Perubahan dalam ekonomi telah mempengaruhi perubahan dalam sosial dan kebudayaan masyarakat serta personaliti individu. Perubahan dalam personaliti individu, bentuk sosial yang asas, kepercayaan, kebudayaan, nilai dan norma masyarakat merupakan maklum balas terhadap sesuatu sistem ekonomi dan politik.

            Peralihan pembangunan yang berlaku dari luar Bandar kepada Bandar akibat dari faktor sejarah memberi kesan kepada sosial, politik dan ekonomi sesebuah Negara. Evolusi yang tercetus ini membawa perbezaan bukan sahaja antara Negara maju, membangun dan mundur tetapi turut memberi impak ketidakseimbangan dalam masyarakat sendiri apabila taraf hidup mereka dibezakan akibat perlapisan yang terjadi dan ketaksamaan sosial yang terlahir atas faktor variasi yang wujud samada secara semulajadi mahupun secara perolehan diatas impak yang terjadi.

            Pada hakikatnya manusia yang memiliki ciri-ciri yang berbeza juga pada kebiasaannya diberikan tugas atau peranan sosial yang berbeza dan sekaligus memiliki atau diberikan kedudukan sosial yang dinilai secara berbeza dari segi kepentingan dan status. Perbezaan ini bukan sahaja menghasilkan perbezaan sosial yang tidak sama rata bahkan perbezaan ini turut dijadikan rasional untuk mengligitimasikan kewujudan ketaksamaan dalam masyarakat. Proses penilaian sosial, penyusunan taraf dan pemberian ganjaran yang berbeza ini kemudiannya mewujudkan ketidaksamaan dalam berbagai bentuk yang lebih luas dengan perkembangan ekonomi dalam masyarakat-masyarakat seterusnya.[8]





BIBLIOGRAFI

1.      Bendix R. and Lipset S.M. (1966), Class, Status and Power, New York ; Free Press
2.      Blowers A. and Thompson G. (1976), Inequalities, Conflict and Change, Walton Hall ; Open University Press
3.      Browne K. (2008), 3rd – Sociology for AS AQA, UK ; Polity Press Cambridge
4.      Heller C. (1969), Structured Social Inequality, New York ; Macmillan
5.      L.Weiss M. and Hassan S. (2204), Social Movement in Malaysia, London & New York ; RoutledgeCurzon, Taylor and Francis Group
6.      Manning P. (1997), A Global Reader to Accompany – Sociology : A Brief Introduction, USA ; Logman Publishers
7.      Mariappan K. (2000), Ketidaksamaan Sosial, Kuala Lumpur ; Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
8.      Marx K. (1974), On Class Structured Social Inequality, London ; The Macmillan Company
9.      Mayer K. and Buckley W. (1955), Class and Society, New York ; Random House
10.  MSC7 – Proceedings : Abstracts Critical Transitions Repositioning the State, Market and Society (2010), Universiti Sains Malaysia ; Malaysian Social Science Association
11.  Niblock T. (1987), Class and Power in Sudan – The Dynamics of Sudanese Politics, 1898 – 1985, London ; The Macmillan Press Ltd
12.  Runciman W.G. (1969), The Three Dimension of Social Inequality, Dalam A.Betteille, Social Inequality, Harmondsworth ; Penguin
13.  Svalastoga K. (1969), Social Differentiation, New York ; David McKay
14.  Weber M. (1969), Class, Status and Party, Dalam Celia S. Heller, Structured Social Inequality, New York ; Macmillan
15.  Yusof R. (2001), Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka



[1] Mariappan K. (2000), Ketidaksamaan Sosial, Kuala Lumpur ; Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
[2] Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran (30) juz (Mushaf Malaysia Rasm Uthmani), Kuala Lumpur ; Darulfikir
[3] Yusof R. (2001), Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka
[4] Niblock T. (1987), Class and Power in Sudan – The Dynamics of Sudanese Politics, 1898 – 1985, London ; The Macmillan Press Ltd
[5] Yusof R. (2001), Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi, Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka
[6] Niblock T. (1987), Class and Power in Sudan – The Dynamics of Sudanese Politics, 1898 – 1985, London ; The Macmillan Press Ltd
[7] Browne K. (2008), 3rd edition – Sociology for AS AQA, UK ; Polity Press Cambridge
[8] Mariappan K. (2000), Ketidaksamaan Sosial, Kuala Lumpur ; Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

2 comments :

Miss No Body said...

nota yang sangat membantu untuk peperiksaan mid term saya..terimakasih

Unknown said...

Sama-sama..:)